Monday, December 31, 2012

Merancang Program Pendidikan Kanak-Kanak

Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan 'Selamat Tinggal Tahun 2012'. Banyak perkara yang telah dilakukan pada tahun 2012 dalam program pendidikan awal kanak-kanak. Mungkin tanpa disedari perjuangan untuk meningkatkan kualiti akademik dalam program pendidikan awal kanak-kanak telah berkembang dengan pesat di negara kita. Buktinya banyak pusat pengajian sama ada di IPTA dan IPTS telah membangunkan program dari peringkat sijil, diploma, sarjana muda, sarjana dan kedoktoran. Perkembangan ini dilihat amat positif apabila masyarakat telah mula sedar akan kepentingan pendidik yang perlu mendapat kelayakan akademik dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Penubuhan sebuah 'Faculty of Early Childhood Studies'  UNITAR International University merupakan sejarah pengiktirafan kepada pendidikan awal kanak-kanak yang mengangkat bidang ini untuk berkembang dengan lebih jauh. Saya sebagai dekan pertama fakulti tersebut cuba membawa bidang kanak-kanak meliputi semua kepenggunaan yang diperlukan dalam dunia kanak-kanak. Perubahan dan transformasi bidang kanak-kanak amat perlu untuk meluaskan skop bidang kanak-kanak yang tidak lagi tertumpu kepada pendidikan sahaja.

Sunday, December 30, 2012

Kesan Peranti Gajet Berskrin Kepada Kanak-Kanak

Mungkin keratan akhbar dari UTUSAN Malaysia Sabtu 29 Disember 2012 halaman 15 boleh dijadikan renungan kepada mereka yang tegar menggunakan gajet untuk anak-anak yang masih kecil.

Saturday, December 29, 2012

Kekeliruan Konsep Main Dalam Pendekatan Pengajaran

Main merupakan konsep keseluruhan dalam pengajaran di taska dan tadika. Pengajaran disampaikan secara informal. Tenknik pengajaran yang diaplikasikan perlu ada unsur main dalam pengajaran. Umpamanya guru menggunakan pendekatan pengajaran satu konsep untuk mengajar pranombor. Teknik yang digunakan dalam pendekatan tersebut contohnya nyanyian. Kanak-kanak belajar menyebut nombor sambil menyanyi. Menyanyi lagu nombor pembelajaran secara tidak formal tanpa disedari kanak-kanak cuba mengingati urutan nombor.

Friday, December 28, 2012

Unsur Main Dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak

Naluri kanak-kanak sememangnya suka bermain. Main meruakan teras aktiviti pembelajaran pada kanak-lanak. Menerusi main kanak-kanak mempelajari kehidupan seharian. Contohnya main pondok-pondok mereka main-mainkan peranan yang berlaku dalam kehidupan seharian seperti meniru memasak makanan, peranan dalam keluarga dan sebagainya.

Thursday, December 27, 2012

Aplikasi Teknik Dalam Aktiviti Bahasa

Aktiviti bahasa melibatkan lisan atau bertutur, mendengar, membaca dan menulis. Guru perlu menyampaikan pengajaran dengan berkesan dan dapat menarik minat kanak-kanak untuk mempelajari bahasa dengan cara yang menyeronokkan. Antara teknik yang sesuai digunakan ialah teknik bercerita, nyanyian, lakonanan, main peranan dan sebagainya.

Wednesday, December 26, 2012

Aplikasi Teknik Dalam Aktiviti Bulatan

Aktiviti bulatan (circle time) atau lebih difahami oleh pendidik kanak-kanak di negara kita sebagai perbualan pagi. Istilah perbualan pagi terhad untuk waktu pagi sahaja sedangkan aktiviti bulatan boleh berlaku sebagai transisi antara setiap aktiviti ke aktiviti lain. Kanak-kanak duduk di sekeliling guru untuk menyatakan pengalaman, pendapat atau guru ingin menyampaikan sesuatu perkara secara informal. Teknik perbincangan, penyoalan, perbincangan, bercerita dan sebagainya boleh digunakan.

Tuesday, December 25, 2012

Selamat Menyambut Hari Natal

Saya mengucapkan 'Selamat Menyambut Hari Natal' kepada pembaca yang beragama Kristian.

Monday, December 24, 2012

Mengaplikasi Teknik Dalam Pengajaran

Teknik pengajaran berfungsi untuk memberi kesan terhadap kandungan pelajaran dan kemahiran yang ingin dicapai. Contohnya kandungan (isi) pelajaran haiwan. Kemahiran ingin dicapai ialah lisan. Maka guru boleh menggunakan teknik bercerita atau teknik nyanyian. Kanak-kanak dapat menyebut dengan betul menerusi myanyian. Jika bercerita kanak-kanak dapat menceritakan semula cerita yang didengar.

Sunday, December 23, 2012

Pengajaran Dan Pembelajaran Sebagai Proses Jangka Panjang

Ramai yang tidak sedar pengajaran dan pembelajaran yang berkesan adalah menerusi proses yang panjang tetapi berkekalan. Pemahaman bermula dari mudah ke sukar. Guru atau orang dewasa perlu memperkenalkan pengetahuan mudah beransur-ansur ke peringkat yang lebih komplek. Mengharapkan hasil untuk jangka masa yang singkat berlaku tekanan mental menerusi hafalan, latih tubi, latihan pengulangan. Natijahnya kanak-kanak dapat menyatakan tetapi tidak memahami apa yang disebut. Pembelajaran jangka panjang dapat memupuk minat belajar dan asas konsep dapat difahami dan diaplikasikan secara berpeingkat-peringkat. Orang dewasa perlu bersabar dan terus membimbing kanak-kanak dalam memperkenalkan sesuatu konsep dari mudah ke sukar.

Saturday, December 22, 2012

Matlamat Penghasilan Pembelajaran

Pendidik yang menekankan penghasilan pembelajaran matlamat yang ingin dicapai dalam jangka pendek. Pendekatan pengajaran jangka pendek menggunakan pendekatan satu konsep, gabungjalin, unit dan bertema. Semua pengajaran berpusatkan kepada guru yang memberi arahan, latih tubi, mengulang berkali-kali, malah membuat tugasan semata-mata bertujuan mendapatkan hasil dalam masa yang singkat. Apabila keadaan ini berlaku kesan jangka pendek kanak-kanak dapat mempelajari dengan cepat tetapi dalam keadaan yang sama kanak-kanak akan merasa bosan untuk jangka masa panjang. Kanak-kanak mudah merasa bosan dan mengganggap dunia persekolahan adalah membosankan.

Friday, December 21, 2012

Pendekatan Pengajaran Membina Kemahiran Berfikir

Pendekatan pengajaran yang menekankan kemahiran asas berteraskan teori behavioris atau tingkahlaku. Pendekatan tersebut seperti pendekatan satu konsep, bersepadu (gabungjalin), unit dan bertema. Manakala pendekatan pengajaran yang membina kemahiran berfikir berteraskan kepada teori konstruktivis. Pendekatan inkuari arahan guru dan projek merupakan pendekatan pengajaran membina kemahiran kanak-kanak ke arah belajar meneroka, menyelidik dan menyelesaikan masalah menggunakan kemahiran minda dan keupayaan kemahiran asas seperti membaca, menulis, lisan, mengira, mengukur dan lain-lain gabungan kemahiran asas.

Thursday, December 20, 2012

Pendekatan Pengajaran Menguasai Kemahiran Asas

Pengajaran guru memberi kesan positif kepada kanak-kanak jika pendekatan yang digunakan bersesuaian dengan keperluan kanak-kanak. Perancangan bermula dari awal tahun sehingga ke akhir kalender persekolahan. Di awal kalender persekolahan kanak-kanak baru melangkah masuk ke taska dan tadika. Pendekatan paling asas yang sesuai dilaksanakan adalah pendekatan satu konsep (rujuk perbincangan pendekatan satu konsep). Satu kemahiran asas perlu didedahkan dan dikuasai oleh kanak-kanak. Apabila kanak-kanak telah bersedia dengan kemahiran asas, pendekatan seterusnya diaplikasikan iaitu pendekatan bersepadu atau gabungjalin. Pendekatan ini mengabungkan sekurang-kurangnya dua kemahiran asas. Guru tidak perlu tergesa-gesa memaksa kanak-kanak menguasai kemahiran asas kerana keupayaan kanak-kanak berbeza di kalangan mereka. Minat, usia dan latabelakang kanak-kanak perlu diambilkira bukan memberi tekanan kepada kanak-kanak.

Wednesday, December 19, 2012

Pengajaran Informal Di Taska Dan Tadika

Setiap pendidik atau guru yang terlibat mendidik kanak-kanak perlu mendapat keilmuan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Pendidikan dalam bidang ini semakin mendapat tempat dan menjadi keutamaan dalam melaksanakan program pendidikan awal kanak-kanak. Mereka yang mendapat pendidikan akan memahami perkembangan kanak-kanak dan dapat menyampaikan pengajaran mengikut keperluan kanak-kanak. Pembuat dasar yang mempunyai latar pendidikan awal kanak-kanak juga dapat memahami tanpa memberi tekanan kepada guru dan pencapaian kanak-kanak. Apabila mereka yang di luar kepakaran turut mencampuri urusan pendidikan awal kanak-kanak menjadikan keadaannya menjadi celaru dan kesan negatif berlaku dalam sistem pendidikan awal kanak-kanak.

Tuesday, December 18, 2012

Pengajaran Guru Membosankan

Ramai kanak-kanak menjadi bosan belajar kerana guru tidak dapat melaksanakan pengajran dengan menarik minat dan keupayaan kanak-kanak. Apabila guru meletakkan perspektif orang dewasa untuk diaplikasikan kepada kanak-kanak keadaan akan menjadi lebih kesan negatif kepada pemerhatian kanak-kanak terhadap pengajaran yang disampaikan oleh guru. Guru perlu merancang setiap pendekatan pengajaran yang akan digunakan dari awal tahun sehingga akhir tahun. Pendekatan pengajaran yang mudah kepada lebih sukar. Pengajaran bermula dengan memberi kemahiran asas kepada gabungan kemahiran dalam menyelesaikan masalah. Aktiviti dan teknik pengajaran perlu diselaraskan supaya pengajaran dapat dihayati oleh kanak-kanak dengan lebih berkesan untuk jangka masa panjang.

Monday, December 17, 2012

Memperbetulkan Landasan Pendidikan Awal Kanak-Kanak

Keseronokkan kanak-kanak belajar sama ada di taska dan tadika kerana pengalaman pembelajaran dilalui berlandaskan perkembangan kanak-kanak. Pengajaran guru disampaikan mengikut keperluan dan keupayaan peringkat usia, kebolehan dan minat kanak-kanak. Kriteria belajar sambil bermain menjadi teras kepada penhayatan pembelajaran kanak-kanak. Tiada unsur paksaan untuk mencapai kepentingan orang dewasa. Kanak-kanak didedahkan hal-hal akademik secara informal dan mereka belajar berdikari menghadapi situasi pembelajaran yang menyeronokan. Guru dan mereka yang terlibat perlu mendapat pendidikan dalam bidang kanak-kanak bukan sebarangan orang yang boleh mengajar sebagaimana berlaku di sesetengah taska dan tadika. Mereka yang melatih atau pengajar di institusi pendidikan perlu daripada yang mempunyai latar bidang pendidikan awal kanak-kanak supaya dapat mendidik pelajar yang terlibat dalam pendidikan awal kanak-kanak di landasan yang betul.

Sunday, December 16, 2012

Bahan Dan Peralatan Mengajar Di Taska Dan Tadika

Apakah yang menyebabkan kanak-kanak seronok untuk ke taska dan tadika? Salah satunya bahan dan peralatan di taska dan tadika serba melengkapi dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran. Pengajaran yang hendak disampaikan perlu disusuli dengan peralatan dan bahan pengukuhan pembelajaran. Aspirasi 'belajar sambil bermain' perlu dilaksanakan terutama di taska. Fitrah kanak-kanak pada peringkat usia 'praoperasi' sememangnya perlukan sentuhan deria menerusi 'belajar sambil bermain'. Kadangkala orang dewasa tidak menyedari akan keperluan sebegini dengan memberi penekanan terhadap pencapaian akademik jangka pendek menyebabkan kanak-kanak merasa tertekan dengan tugasan seperti 'buku kerja' untuk kanak-kanak di tadika. Amat malang pada kanak-kanak di Malaysia sejak dari mula melangkah kaki ke alam pendidikan terus tertekan oleh mereka yang dangkal dengan ilmu pendidikan awal kanak-kanak.

Saturday, December 15, 2012

Kekeliruan Teknik Dan Pendekatan Pengajaran

Ramai dikalangan guru tidak sedar akan hubungkait antara teknik dan pendekatan pengajaran. Kecelaruan dan kekeliruan kerana guru sendiri tidak melengkapkan diri dengan keilmuan dalam pendidikan awal kanak-kanak. Mereka mengajar berdasarkan perspektif orang dewasa dengan mengharapkan hasil jangka pendek. Pembuat dasar pendidik, masarakat dan ibu bapa sering memberi tekanan kepada pendidik awal kanak-kanak untuk menghasilkan dengan cepat menyebabkan kanak-kanak menjadi mangsa. Malahan guru yang mendapat pendidikan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak turut mendapat tekanan kerana kedangkalan ilmu mereka yang tidak memahami aspirasi pendidikan awal kanak-kanak. Campur tangan mereka yang tidak memahami pendidikan awal kanak-kanak ini menyebabkan sistem pendidikan yang asas semakin bercelaru. Mereka yang terdidik sering terpinggir biarpun pandangan dan pendapat dihulurkan namun bagaikan mencurah air di daun keladi.

Friday, December 14, 2012

Teknik Dalam Pengajaran Di Tadika

Teknik bermaksud cara kaedah dalam pengajaran untuk melaksanakan sesuatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Contohnya teknik bersoal jawab, perbincangan, bercerita, drama, teka teki, nyanyian dan sebagainya. Teknik digunakan untuk mengukuhkan kefahaman pengajaran dan dapat mendorong minat pembelajaran. Contohnya apabila guru memperkenalkan abjad A, B, C...diikuti dengan nyanyian lagu A, B,C. Semasa guru mengajar abjad disusuli dengan nyanyi menerusi aktiviti kumpulan (menyanyi beramai-ramai) penglibatan kanak-kanak belaku secara keseluruhan. Suasana keceriaan dapat dilihat apabila kanak-kanak menyanyi abjad. Kanak-kanak yang pendiam akan turut serta menyanyi. Keyakinan diri untuk menyebut dengan jelas dapat didengar oleh guru. Kanak-kanak turut membantu rakan untuk mengingati huruf abjad semasa menyanyi.

Thursday, December 13, 2012

Aktiviti Di Taska Dan Tadika

Perkataan 'aktiviti' bermaksud kegiatan (mengikut kamus dewan). Oleh itu kegiatan atau aktiviti yang hendak dijalankan oleh guru perlu melihat matlamat pengajaran tersebut. Terdapat aktiviti yang memerlukan secara kumpulan besar seperti bermain di luar kelas secara beramai-ramai dan ada pula aktiviti yang hanya memerlukan kumpulan kecil. Tujuan aktiviti salah satunya adalah untuk mendedahkan sosialisasi kanak-kanak dikalangan rakan sebaya. Mereka belajar bertolak ansur dan bekerjasama ketika melakukan aktiviti seperti bermain bola atau melakukan projek membina bangunan daripada bongkah atau pun 'lego'. Aktiviti yang dilakukan secara sendirian atau individu pula bertujuan untuk memberi penumpuan tanpa sebarang gangguan. Aktiviti individu mendidik kanak-kanak belajar berdikari dan mencuba melakukan sendiri untuk menghasilkan apa yang diinginkan. Biarpun kelihatan mudah aktiviti seperti kumpulan besar, kumpulan kecil dan individu tetapi secara tidak langsung memberi kesan jangka panjang terhadap perkembangan kanak-kanak.

Wednesday, December 12, 2012

Perspektif Kanak-Kanak Dalam Pengajaran

Guru-guru hendaklah melihat perspektif kanak-kanak dalam pengajaran di tadika atau di taska. Keupayaan kanak-kanak adalah berbeza dengan keupayaan orang dewasa. Mereka yang tidak memahami konsep pengajaran yang sepatutnya diajar kepada kanak-kanak akan mengajar di tadika mengikut citarasa  dan perspektif orang dewasa. Perlu disedari keupayaan kanak-kanak adalah berbeza mengikut usia, minat dan latarbelakang keluarga. Guru perlu peka dengan kebolehan kanak-kanak di dalam kelasnya. Pendekatan pengajaran hendaklah disesuaikan dengan kebolehan, keupayaan dan minat kanak-kanak. Guru lebih arif dengan keadaan kanak-kanak di kelasnya. Oleh mengajar dengan menggunakan satu pendekatan sahaja sememangnya tidak wajar diamalkan. Contohnya di awal tahun sepatutnya pendekatan yang sesuai adalah untuk memastikan penguasaan kemahiran asas seperti pendekatan satu konsep diikuti dengan bersepadu.Jika terlalu gairah dengan menggunakan satu pendekatan yang dianggap idea matlamat pendidikan awal kanak-kanak tidak akan tercapai. Kesannya kanak-kanak merasa bosan dan tertekan kerana menjadi mangsa oleh perspektif orang dewasa yang tidak memahami pendidikan awal kanak-kanak.

Tuesday, December 11, 2012

Isu-Isu Perkaedahan Pengajaran Di Tadika

Guru-guru yang mengajar di tadika sebaik-baiknya perlu memahami pendekatan pengajaran yang hendak digunapakai dan mengetahui di sebalik tujuan menggunakan pendekatan pengajaran. Tingkahlaku dan tatacara penyampaian pengajaran sebenarnya mencerminkan sesuatu kaedah yang akan menghasilkan matlamat pengajaran. Hasil pengajaran daripada pendekatan yang digunakan akan menghasilkan pencapaian sama ada jangka pendek dan jangka panjang melalui proses yang berterusan. Kecelaruan pendekatan pengajaran sememangnya berlaku kerana guru tidak jelas dan tidak memahaminya. Malah sehingga kini ada guru-guru tadika yang diarahkan untuk menggunakan satu pendekatan sahaja. Sebenarnya, guru lebih arif dengan keupayaan kanak-kanak di kelasnya dan sepatutnya pengajaran bermula dari mudah ke komplek untuk mendapatkan hasil pengajaran yang berkesan. Tidak salah mempelbagaikan pendekatan pengajaran mengikut keupayaan kanak-kanak dalam memperkenalkan sesuatu perkara yang baru kepada kanak-kanak.

Sunday, December 9, 2012

Pendekatan Projek

Pendekatan projek merupakan penyelidikan yang mendalam dilakukan sama ada datangnya dari dorongan kanak-kanak atau guru. Penyelidikan berfokuskan kepada dapatan jawapan terhadap soalan kanak-kanak atau mengarah kepada minat kanak-kanak. Biasanya pendekatan projek terdapat dalam program Reggio Emillia dari Italy. Pendekatan projek berpusatkan kanak-kanak dan berteraskan teori konstruktivis. Pendekatan ini lebih mengutamakan proses pembelajaran yang berterusan bukan hasil pembelajaran dalam masa yang singkat. Penglibatan ibu bapa, masyarakat dan profesional dapat diaplikasikan dalam pendekatan ini. Walau bagaimana pun jika program yang dilaksanakan oleh sistem berorientasikan hasil pembelajaran (learning outcome) atau hasil keputusan yang cepat seperti yang diharapkan oleh ibu bapa dan masyarakat kita, tidak memungkinkan boleh berlaku menggunakan pendekatan projek yang betul-betul tulen.

Saturday, December 8, 2012

Pendekatan Inkuari Arahan Guru

Pendekatan inkuari arahan guru (teacher directed- inquiry) merupakan pendekatan bertema yang dirancangkan oleh guru dan dirancang dengan mendalam terhadap penyelidikan dan penerokaan oleh kanak-kanak. Maksudnya pendekatan ini berasaskan pendekatan bertema yang dirancang oleh guru untuk kanak-kanak menjalankan penyelidikan dan penerokaan. Semua aktiviti dirancang oleh guru dan kanak-kanak melaksanakannya. Pendekatan ini dianggap pendekatan yang berpusatkan kepada kanak-kanak (child center) dan guru berperanan sebagai pembimbing dan pemudahcara. Pendekatan ini berteraskan kepada teori konstruktivis.

Friday, December 7, 2012

Pendekatan Bertema Di Tadika

Pendekatan bertema merupakan pengajaran yang berasaskan tema umum untuk mengajar setiap bidang komponen seperti bahasa, kognitif, fizikal dan estetika. Pendekatan ini berpusatkan guru yang memilih tema dan merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Contoh tema seperti haiwan, makanan, dan kenderaan.

Thursday, December 6, 2012

Pendekatan Unit Di Tadika

Pendekatan unit adalah pengajaran sub-topik atau sebahagian topik utama. Contohnya jika topik utama makanan, mungkin sub-topik yang boleh disampaikan biskut. Aktiviti susulan menulis perkataan biskut dan berbual tentang biskut kegemaran kanak-kanak. Pendekatan ini berpusatkan guru dan berasaskan teori behavioris. Pada peringkat ini kanak-kanak sudah menguasai asas kemahiran pembelajaran yang telah diperkenalkan menerusi pendekatan satu konsep dan bersepadu.

Wednesday, December 5, 2012

Pendekatan Bersepadu

Pendekatan bersepadu bermaksud menggabungkan sekurang-kurangnya dua kemahiran dalam satu pengajaran. Contohnya jika dalam pengajaran bahasa, kemahiran membaca dan menulis. Pendekatan ini berpusatkan kepada guru. Aktiviti pengajaran lebih kepada arahan guru dan kanak-kanak mengikut arahan daripada guru. Pendekatan ini bersandarkan teori behavioris.

Tuesday, December 4, 2012

Pendekatan Satu Konsep

Pendekatan satu konsep bermaksud kanak-kanak diajar satu kemahiran sahaja. Contohnya dalam pengajaran bahasa, guru hendaklah memilih satu kemahiran yang terdapat dalam pengajaran bahasa. Contohnya jika guru memilih kemahiran membaca maka tidak boleh mencampurkan dengan kemahiran lain seperti kemahiran menulis. Pendekatan ini bersandarkan kepada teori behavioris dan berpusatkan kepada guru.

Monday, December 3, 2012

Pengajaran Berpusatkan Kanak-Kanak Di Tadika

Pengajaran berpusatkan kanak-kanak di tadika lebih kepada inisiatif daripada kanak-kanak itu sendiri. Kanak-kanak berminat untuk mempelajari sesuatu menerusi penerokaan yang kemudiannya mendapat pengetahuan menerusi pengalaman baru yang diperolehi. Aktiviti menyelesaikan masalah seperti bermain 'puzzle' dapat mencabar minda kanak-kanak. Peranan guru sebagai pembimbing menerusi soalan yang terbuka yang mengajak kanak-kanak berfikir. Contohnya; "Cuba kita fikir cara lain untuk mencantumkan mainan ini." Mereka yang berpegang kepada pengajaran berpusatkan kanak-kanak berpegang kepada teori kognitif atau konstruktivis. Pembelajaran adalah proses yang berterusan. Hasil pembelajaran memberi kesan jangka panjang dan kanak-kanak belajar menerusi kefahaman daripada pengalaman penerokaan. Tiada tugasan atau latihtubi (drill) di kelas tadika. Kanak-kanak merasa seronok belajar kerana tiada tekanan. Pembelajaran berteraskan minat dan pilihan aktiviti yang berbagai di kelas tadika. Guru kreatif menyediakan bahan pengajaran dan kreatif menyoal untuk memberi dorongan dan meningkatkan kemahiran berfikir menerusi soalan terbuka.

Sunday, December 2, 2012

Pengajaran Berpusatkan Guru Di Tadika

Jika kita melihat cara guru mengajar di kelas tadika sama ada disedari atau tanpa disedari mereka telah mengamalkan cara pengajaran untuk menyampaikan kandungan pelajaran kepada kanak-kanak. Pengajaran berpusatkan guru bermaksud semua kandungan pelajaran yang disampaikan termasuk kandungan pelajaran, aktiviti yang hendak disampaikan, persediaan bahan dan peralatan pembelajaran datangnya daripada guru. Pengajaran lebih berbentuk arahan guru, manakala kanak-kanak menerima arahan sahaja. Pengajaran lebih kepada satu hala. Contohnya guru lebih banyak menyoal dan memberi arahan, pengajaran lebih berbentuk hafalan, latihtubi, membuat latihan tugasan. Guru yang menggunakan cara ini berpaksikan kepada teori behavioris.

Saturday, December 1, 2012

Belajar Sambil Bermain

Belajar sambil bermain (learning through play) menjadi asas kepada keseluruhan aktiviti pembelajaran kanak-kanak di taska dan tadika. Naluri semulajadi kanak-kanak yang suka bermain tetapi dalam waktu yang sama mereka belajar memahami sesuatu konsep di persekitarannya. Contohnya main pondok-pondok atau masak-masak dilakukan secara bermain meniru keadaan kehidupan sebenar. Secara tidak langsung kanak-kanak belajar peranan sosial dalam masyarakat. Belajar membilang atau membaca abjad diterapkan menerusi nyanyian atau aktiviti yang menyeronokkan lebih berkesan kepada kanak-kanak. Konsep belajar sambil bermain akan mendorong kanak-kanak berminat untuk belajar dan merasa seronok. Secara tidak langsung mereka akan mengganggap pembelajaran itu sesuatu yang menyeronokkan. Jika di peringkat awal kanak-kanak sudah diberi tekanan  dengan alam pembelajaran formal kesan jangka panjang kanak-kanak akan merasa bosan di masa akan datang.

Friday, November 30, 2012

Konflik Perspektif Kanak-Kanak Dan Orang Dewasa

Perbezaan perspektif belajar antara kanak-kanak dan orang dewasa menyebabkan berlaku kekeliruan. Orang dewasa yang tidak memahami konteks pembelajaran kanak-kanak hanya mengamalkan cara pengajaran mengikut pandangan dan citarasa sendiri. Maka berlaku pertembungan keupayaan kemahiran yang tidak sesuai dan tidak sepatutnya dilakukan oleh kanak-kanak. Contohnya 'main' yang sepatutnya diterapkan dalam pengajaran dan pembelajaran di taska untuk kanak-kanak di bawah 4 tahun telah menjadi pengajaran secara formal yang berbentuk abstrak. Kanak-kanak tidak diberi peluang bermain sambil belajar. Orang dewasa menganggap main itu membuang masa. Main bagi orang dewasa adalah riadah atau aktiviti kesihatan. Kanak-kanak pula mengganggap main adalah belajar untuk memahami sesuatu konsep. Kanak-kanak di peringkat praoperasi ini belajar menerusi sentuhan bahan konkrit yang boleh difahami menerusi deria sentuh, lihat, rasa, bau dan dengar yang menjadi asas kemahiran pembelajaran.

Thursday, November 29, 2012

Pencapaian Akademik Jangka Pendek

Ibu bapa dan masyarakat yang tidak memahami pendidikan di peringkat awal berbangga apabila anak kecilnya mencapai kejayaan akademik. Maksudnya apabila anaknya dihantar ke tadika keputusan jangka pendek atau secepat mungkin mahukan anaknya boleh membaca dan mengira. Tekanan ini menyebabkan guru-guru di kelas tadika mengamalkan pendekatan pengajaran bersandarkan teori behavioris atau teori tingkahlaku. Kaedah latih tubi atau mengulangi berkali-kali terhadap suatu perkara yang diajar, menghafal dab membuat latihan tugasan sehingga meletihkan kanak-kanak. Hal ini amat bertentangan dengan naluri semulajadi kanak-kanak yang masih dalam peringkat pemikiran praoperasi. Pendekatan bermain sambil belajar tidak mungkin dapat diterapkan. Kesan jangka panjang akan membosankan kanak-kanak dan kajian menunjukkan kanak-kanak tidak memahami apa yang dipelajari. Pengetahunan diterima bukan menerusi penemuan tetapi disogokan oleh guru tanpa kesedaran diri daripada kanak-kanak. Pembelajaran kanak-kanak tanpa memahami sesuatu perkara yang dipelajari. Kanak-kanak mendapat tekanan dan tidak merasa seronok untuk ke tadika.

Wednesday, November 28, 2012

Teori Dan Amalan Dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak

Teori mempengaruhi amalan pengajaran dan pembelajaran pendidikan awal kanak-kanak. Ini berlaku secara disedari atau tanpa disedari guru mengaplikasikan teori menerusi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Contohnya, sekiranya seorang guru menggunakan kad imbasan dengan melakukan berulangkali menunjukkan kepada kanak-kanak dan menyuruh kanak-kanak membaca berulangkali juga guru tersebut bersandarkan teori tingkahlaku (behaviorist). Sebaliknya jika guru memberi pengalaman kepada kanak-kanak melakukan sesuatu perkara menerusi aktiviti sebagai contoh; guru memberi peluang kanak-kanak menggunakan peralatan seperti batu, bola plastik dan kayu diletakkan dalam bekas air. Kanak-kanak diajak berbincang berat dan ringan, tenggelam dan timbul. Bermakna guru tersebut secara tidak langsung bersandarkan kepada teori konstruktivis atau kognitif.

Tuesday, November 27, 2012

Pengaruh Teori Tingkahlaku Dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak

Teori Tingkahlaku (Behaviorist) mempengaruhi pendidikan awal kanak-kanak selepas Perang Dunia I apabila idea tingkahlaku (behaviorist) yang dipelopori oleh Thorndike dan Watson dijadikan model dalam kurikulum. Penekanan terhadap pengukuhan pembelajaran menerusi ganjaran dan hukuman menjadi teras dalam sistem pendidikan. Aktiviti latihan seperti latihtubi, pengulangan, membuat latihan dengan tujuan mendapat keputusan yang cemerlang dalam akademik disusuli dengan ganjaran apabila mendapat kejayaan merupakan ciri tingkahlaku (Behaviorist). Pembelajaran lebih berpusatkan kepada guru yang menyediakan dan mengarah kanak-kanak semasa aktiviti pembelajaran. Kanak-kanak hanya menghafal tanpa memahami. Apa yang dipentingkan adalah kejayaan akademik dalam jangka masa yang singkat tetapi bukan kesan jangka panjang.

Monday, November 26, 2012

Pendidikan Perkembangan Kognitif

Fahaman pendidikan awal kanak-kanak menerusi teori perkembangan kognitif telah diperkenalkan oleh Jean Piaget.Teori kognitif ini merupakan teori yang memberi penekanan pembelajaran berpusatkan kanak-kanak (child center). Antara pandangannya terhadap kanak-kanak:
  • kanak-kanak memainkan peranan yang aktif dalam perkembangan kognitifnya.
  • mental dan fizikal aktiviti adalah penting untuk perkembangan kognitif kanak-kanak.
  • pengalaman berbentuk peralatan yang digunakan oleh kanak-kanak digunakan untuk membina struktur mental.
  • perkembangan adalah proses yang berterusan.
  • perkembangan adalah hasil daripada kematangan dan hubungan atau saling bertindak antara kanak-kanak dan fizikal dan persekitaran sosial.

Sunday, November 25, 2012

Casa dei Bambini

Maria Montessori dari Rome Italy merupakan doktor perubatan. Bermula dengan kajiannya tentang penyakit kanak-kanak beralih ke pendidikan. Beliau dipengaruhi kerja-kerja yang dilakukan oleh Edouard Seguin tentang sistem mental terencat akal dan Jean Itrad tentang sistem pendidikan untuk individu yang pekak dan bisu. Pada tahun 1906 Montessori diundang oleh Pertubuhan Gereja Roman untuk menubuhkan sekolah yang dikenali Casa dei Bambini (Children House). Setiap hasil kerja mencerminkan agama anutanya. Malah Montessori mengakui dan kerap menggunakan petikan daripada kitab Bible untuk menyokong pandangannya. Sebagai contoh semasa hari pertama melancarkan Casa dei Bambini, Montessori membaca petikan Isaiah 60:1-5 daripada kitab Bilble.

Saturday, November 24, 2012

Asal Usul Nama 'Kindergarten'

Kita selalu menyebut perkataan 'kindergarten' yang kadangkala tersalah sebutan kepada 'kindergarden' disebabkan ejaan yang hampir serupa menyebabkan kekeliruan menyebut perkataan dengan betul. Orang yang mula menggunakan nama 'kindergarten' ialah Friedrich Wilhelm Froebel (1782-1852) berasal dari Jerman. Froebel mengabdikan hidupnya dengan dunia pendidikan untuk kanak-kanak. Froebel berpendapat kanak-kanak sebagai benih yang ditanam, tumbuh, tunas baru, membesar dari muda hingga besar, dan menghasilkan buah. Dia menghubungkan peranan pendidik sebagai tukang kebun yang dinamakan dalam bahasa Jerman 'kindergarten' bermaksud taman untuk kanak-kanak. Froebel digelar sebagai bapa kindergarten.

Friday, November 23, 2012

Peranan Guru Di Tadika Froebelian

Tadika traditional Froebel diperkenalkan tahun 1880an dan 1890an, peranan guru membuat pemerhatian dan membimbing dengan mesra tetapi tidak mencampuri proses kreativiti kanak-kanak. Prinsip pengajaran Froebel telah mempengaruhi pendidik seperti Montessori dan  Susan Blow yang telah menambahbaikan pendekatan pengajaran berasaskan Froebel. Contohnya jika pendekatan traditional Froebel membenarkan kanak-kanak mencipta alatan yang terdapat di dalam 'kotak hadiah' mengikut caranya sendiri, tetapi cara tersebut telah dilakukan pengubahsuaian oleh Susan Blow dan Montessori menerusi manual guru mengikut urutan diperkenalkan penggunaan 'kotak hadiah' untuk aktiviti pengajaran.

Thursday, November 22, 2012

Bermulanya Sejarah Aktiviti Main Sambil Belajar

Berdasarkan catatan sejarah pendidikan awal kanak-kanak Froebel telah mengemukakan pendekatan bermain sambil belajar dengan menggunakan alat bantu yang sesuai dengan minat kanak-kanak. Ciri-ciri tadika dapat dilihat menerusi permainan bebas, menyanyi mengikut arahan dan main mengikut pergerakan dan menggunakan alat yang dikenali sebagai 'hadiah' dan 'tugasan' untuk membantu dan menstuktur permainan. Froebel menyediakan sebuah kotak berisi 6 buah bola benang yang dianyam berwarna merah, hijau, kuning, ungu dan oren. Bola ini digunakan semasa menyanyi dan pergerakan permainan. Diperkenalkan dengan kayu berbentuk kiub, silinder, tiga segi dan empat segi. Kesemua hadiah berbentuk geometri yang dapat membina pengetahuan kanak-kanak dalam bentuk imaginasi dan latihan imaginasi semasa membina bongkah.

Wednesday, November 21, 2012

Peranan Wanita Sebagai Pendidik Terawal Kanak-Kanak

Mendidik kanak-kanak sebaik-baik secara fitrah atau semulajadi paling sesuai adalah wanita. Imam Ghazali menyarankan wanita yang mendidik anak adalah terdiri dari mereka yang baik dari segi tingkahlaku dan pegangan agamanya. Pendidik German yang dikenali sebagai Friedrich Froebel di abad ke 19 turut memberi pandangan yang sama menyatakan wanita secara semulajadi sesuai sebagai guru pertama kanak-kanak dan perlu berpendidikan dan memahami falsafah agama.

Tuesday, November 20, 2012

Aktiviti Harian 30 : Apa Itu Segi Empat?

Guru boleh meletakkan gambar-gambar berbentuk bulat, tiga segi, segi empat atau dengan menggunakan 'musking tate' atau tali supaya kanak-kanak mudah melihatnya. Bercakap dengan kanak-kanak tetang garisan lurus dan bengkok yang membentuk pada setiap bentuk geometri. Minta kanak-kanak membuat bentuk geometri dengan menggunakan anggota secara individu atau kumpulan. Minta kanak-kanak menunjukkan bentuk-bentuk geomeri yang dan berbincang tentang bentuk geometri.

Monday, November 19, 2012

Aktiviti Harian 29 : Tanda Yang Betul

Mengenalpasti kedudukan tanda yang betul tentang bentuk boleh diperkenalkan di dalam kelas. Guru menunjukkan kanak-kanak contoh berbagai tanda yang terdapat di dalam kelas, contohnya hujung pensil, sudut papan tulis, hujung penunjuk jarum jam dan sudut buku. Minta kanak-kanak menunjukkan bentuk dengan jari. Selanjutnya membentuk penunjuk dengan tangan dan lengan, kaki dan keseluruhan anggota. Guru hendaklah bercakap menggunakan istilah bentuk penunjuk supaya kanak-kanak jelas. Jika perlu guru sendiri tunjukkan bentuk kepada kanak-kanak supaya jelas difahami.

Sunday, November 18, 2012

Aktiviti Harian 28 : Di Laluan Yang Betul

Aktiviti kanak-kanak boleh memperkenalkan asas geometri tentang garisan menerusi latihan kemahiran 'locomotor'. Menggunakan 'musking tape', kapur atau sesuatu yang sama untuk membina laluan di atas lantai atau menggunakan tali. Minta kanak-kanak berjalan di dalam kelas dan mula-mula di atas garisan lurus. Setelah kanak-kanak berjaya berjalan di garisan lurus, minta mereka berjalan di garisan bengkok kemudian garisan 'zigzag'. Ikuti corak yang sama dengan kemahiran motor yang lain seperti berlari, melompat dan sebagainya.

Saturday, November 17, 2012

Aktiviti Harian 27 : Garisan

Memperkenalkan asas geometri kepada kanak-kanak hendaklah dilakukan secara mudah difahami. Aktiviti boleh menggunakan 'tape' di atas lantai dengan membuat garisan lurus, melintang, membengkok, bengkang-bengkok dan sebagainya. Biarkan kanak-kanak memerhati garisan di lantai kemudian berbincang tentang garisan yang dilihat secara berkumpulan. Minta kanak-kanak meniru garisan menggunakan anggota badan sendirian atau berkumpulan. Semasa berbincang tentang garisan gunakan rangkai kata yang kanak-kanak boleh memahami. Contohnya garisan menegak dengan berkata,"berdiri tegak," manakala garisan melintang,"baring di lantai." Gunakan sudut bilik untuk menyatakan garisan yang mempunyai sudut seperti segi empat. Mula dengan garisan yang mudah kepada garisan yang sukar.

Friday, November 16, 2012

Aktiviti Harian 26 : Oh, Berkemungkinan

Minta kanak-kanak meneroka seberapa banyak cara untuk membuat pergerakkan, contohnya tangan. Beri mereka masa untuk meneroka dan mengulangi beberapa bahagian anggota badan. Sebaik-baiknya termasuk kaki, kepala, tangan dan bahu. Sekiranya kanak-kanak meminta bantuan, guru boleh mencadangkan untuk mereka mencuba bahagian anggota mengikut arah dan tahap yang berbeza. Jika boleh minta kanak-kanak meneroka, membuat penemuan pergerakan dan membilang pergerakan. Mula dengan pergerakan tangan kerana mudah. MInta kanak-kanak membilang berapa langkah menggunakan pergerakan kaki untuk sampai ke dinding bilik. "Adakah jumlahnya berbeza jika melangkah dari penjuru ke penjuru?" Guru boleh membuat pelbagai aktiviti membilang dengan pergerakan anggota tubuh.

Thursday, November 15, 2012

Aktiviti Harian 25 : Bahagian Anggota

Memberi cabaran kepada kanak-kanak dengan meletakkan sejumlah bahagian anggota di atas lantai. Ulang beberapa kali dengan mempelbagai jumlah anggota tubuh. Kadangkala beri cabaran kepada kanak-kanak menggunakan jumlah yang sama tetapi berlainan bahagian anggota. Sebagai contoh cabaran untuk menyentuh lantai dengan menggunakan tiga bahagian anggota yang boleh menghasilkan dua tapak kaki dan tangan, dua tangan dan dua kaki, dua lutut dan tangai. Aktiviti ini sesuai untuk kanak-kanak di taska yang baru belajar mengenal anggota badan dan belajar membilang. Secara tidak langsung kanak-kanak belajar membilang dan peka dengan anggota badan.

Wednesday, November 14, 2012

Aktiviti Harian 24 : Terbang!!!

Aktiviti roket terbang dapat menarik minat kanak-kanak taska dan tadika. Suruh kanak-kanak mencangkung seolah-olah seperti roket yang akan meluncur terbang. Menyebut nombor seperti berdrama dengan bilangan mengundur iaitu 10 ke 1. Apabila guru memberitahu 'Terbang!!!" kanak-kanak dengan sendirinya melompat ke depan meluncur terbang ke ruang udara. Ulang beberapa kali. Apabila kanak-kanak memahami suruh mereka sendiri yang membilang untuk terbang atau bergilir antara kanak-kanak.

Tuesday, November 13, 2012

Aktiviti Harian 23: Nombor Bayangan

Kanak-kanak diberi persediaan sebelum menulis nombor dengan aktiviti imaginasi. Minta kanak-kanak membayangkan di depan mereka ada papan tulis yang besar dan mereka diberi alat tulis yang besar. Minta kanak-kanak memilih nombor dan tulis di papan tulis. Teruskan dengan nombor lain dan minta kanak-kanak membezakan saiz nombor. Galakkan kanak-kamak menulis nombor mula-mula sebesar mungkin kemudian kecil dan lebih kecil. Tujuan aktiviti membayangkan nombor untuk memberi kesedaran tentang nombor dan mengenalpasti bentuk nombor sebagai persediaan untuk menulis nombor.

Monday, November 12, 2012

Aktiviti Harian 22 : Bentuk Nombor I

Aktiviti mengenalpasti nombor ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan keupayaan secara fizikal meniru apa yang dilihat. Di samping itu dapat memberi pengalaman tetang bentuk nombor. Guru menyediakan nobor 0 hingga 9 yang telah digunting untuk dilekatkan. Berbual dengan kanak-kanak tentang garisan lurus, membengkok dan sudut yang membezakan nombor. Pilih nombor dan tunjukkan kepada kanak-kanak kemudian minta kanak-kanak membuat nombor dengan menggunakan anggota tubuh mereka. Ulang beberapa nombor. Mulakan nombor yang mudah untuk ditiru menggunakan anggota contohnya nombor 0, 1 dan 7.

Sunday, November 11, 2012

Aktiviti Harian 21 : Melalui Sungai Menerusi Hutan

Susun peralatan untuk membuat rintangan dengan menggunakan perabot, kotak, tali, gelung dan sebagainya. Letakkan kad dengan tulisan atau lakar yang menunjukkan arah untuk kanak-kanak melakukan seperti melompat, bawah, atas, keliling atau melalui rintangan atau halangan yang disediakan. Apabila kanak-kanak telah melalui laluan beberapa kali, hendaklah diubah sedikit kedudukan halangan. Contohnya menyusun semula urutan halangan gelung rotan dari terletak di lantai kepada didirikan supaya kanak-kanak boleh melalui menerusi gelung rotan. Aktiviti ini dapat meningkatkan kefahaman kanak-kanak kepada konsep kedudukan, kesedaran tentang ruang dan jarak.

Saturday, November 10, 2012

Aktiviti Harian 20 : Sekali Lagi...

Minta kanak-kanak memilih bukan kemahiran locomotor, contohnya membengkok, bergoyang, menghayun, memutar, yang kanak-kanak ingin membuat latihan. Suruh mereka mengulangi latihan yang sama sekali lagi. Cabar kanak-kanak melakukan sekali lagi. Berapa kali mereka telah melakukan kemahiran? Cabar kanak-kanak melakukan dua kali lagi. Adakah mereka tahu selarang sudah berapa kali melakukannya? Cabar kanak-kanak untuk mencari cara seberapa banyak mereka boleh membengkok, duduk, memusing dan suruh mereka membilang semasa mencubanya. Berapa bahagian anggpta tubuh yang boleh dihayun? Aktiviti ini sesuai untuk memperkenalkan konsep kuantitatif, asas membilang, penyelesaian masalah dan latihan dengan menggunakan kemahiran bukan locomotor.

Friday, November 9, 2012

Altiviti Harian 19:Saya Dan Bayangan Saya

Kanak-kanak secara berpasangan, seorang berdiri di depan seorang lagi kedudukannya berdiri di belakang. Kedua-duanyarngadap arah yang sama. Kanak-kanak di depan akan mengetuai pasangannya dan kanak-kanak di belakang menurut seperti bayang-bayang meniru setiap pergerakan. Beberapa ketika lakukan pertukaran peranan memimpin. Guru pastikan menekankan perkataan depan belakang, di tengah-tengah, antara, pertama di garisan menjadi terakhir di garisan semasa berbincang atau memberi arahan. Aktiviti ini sesuai untuk memperkenalkan konsep kedudukan, dan ruang.

Thursday, November 8, 2012

Aktiviti Harian 18: Ringan Dan Berat

Aktiviti ringan dan berat ini sesuai untuk memperkenalkan kepada kanak-kanak di taska dan juga tadika. Kanak-kanak diminta duduk dan meletakan jari perlahan-lahan di lantai depan mereka. Kemudian suruh menekan tapak tangan di lantai. Berterusan berselang menekan tapak tangan di lantai dan meletakkan hujung jari ke lantai. Memberi cabaran kanak-kanak mengerakkan tangan seboleh-bolehnya perlahan-lahan seolah-olah seperti kepak kupu-kupu. Suruh kanak-kanak seolah-olah tangan mereka seperti kipas helikopter. Ulang beberapa kali. Imajinasi sebegini kanak-kanak dapat memahami konsep berat dan ringan. Anda boleh membuat aktiviti yang lain lebih menarik dan tidak membosankan kanak-kanak untuk belajar memahami konsep matematik.

Wednesday, November 7, 2012

Aktiviti Harian 17: Panjang Dan Pendek

Aktiviti panjang dan pendek ini dapat meningkatkan pengetahuan kanak-kanak kepada konsep kuantiti, membanding beza dan bertentangan (berlawanan). Contohnya kanak-kanak diminta untuk memberitahu tentang tubuh badan: besar, kecil, tinggi, rendah, panjang, pendek. Seterusnya aktiviti lain seperti meminta secara berpasangan untuk menyatakan yang bertentangan: tinggi/rendah, panjang/pendek, besar/kecil. Selanjutnya guru boleh meminta kanak-kanak secara berpasangan menyatakan konsep: panjang daripada, panjang daripada, pendek daripada, tinggi daripada, besar daripada.

Tuesday, November 6, 2012

Aktiviti Harian 16: Membilang Masa

Permainan ini sesuai untuk kanak-kanak di taska yang baru belajar membilang. Seorang kanak-kanak menjadi 'harimau' di depan kumpulan. Kanak-kanak lain berjalan perlahan di belakang 'harimau' sambil bertanya beramai-ramai,"Pukul berapa Pak Belang?" Harimau akan menjawab,"Pukul satu.." Ditanya lagi dengan soalan yang sama dan harimau menjawab mengikut urutan nombor. Harimau akan berpaling semula jika tiba masa kumpulan belakang leka dengan berkata,"Saya mahu makan kamu!" Sambil mengejar dan menangkap rakan untuk ganti jadi harimau.

Monday, November 5, 2012

Aktiviti Harian 15: Permainan Lima Kad

Permain lima kad melibatkan set yang mempunyai pembahagian 5. Setiap kad mempunyai angka 1 hingga 4 digunakan (8 x 4=32 kad). Guru boleh membuat sendiri untuk permainan 5 kad. Semua kad boleh dimainkan oleh dua, tiga atau empat pemain. Setiap pemain hendaklah meletakkan muka kad ke bawah (muka yang mempunyai angka). Apabila tiba giliran pemain akan membalikkan kad dan cuba menjadikan jumlah 5 dengan kad lain. Contohnya jika pemain pertama tidak dapat memadankan pada kad angka 2, pemain giliran ke dua membalikkan kad angka 3, huruf angka 2 boleh dipadankan dengan angka 3 dan pemain menyimpannya (ditempat yang lain). Pemain yang menyimpan dianggap pemenang.

Sunday, November 4, 2012

Aktiviti Harian 14: Permainan Kad

Terdapat banyak permainan kad yang dapat membina perkembangan logikal dan pemikiran nombor. Sebagai contoh permainan kad penumpuan (concentration), perang (war) dan lima (fives). Permainan penumpuan paling mudah dan boleh dimainkan oleh kanak-kanak berusia tiga tahun. Peperangan adalah lebih suka dan 'lima' paling sukar kerana melibatkan pengiraan. Permainan penumpuan menyusun kad yang ditelangkupkan sebaris. Pemain cuba mendapatkan pasangan yang sama dengan membalikan dua kad. Jika dapat sama kad pemain boleh meneruskan permainan. Jika tidak giliran pemain lain melakukan seperti sebelumnya.

Saturday, November 3, 2012

Aktiviti Harian 13: Mainan Papan

Mainan papan seperti tangga dan ular menggunakan dadu untuk menuju penamat merupakan aktiviti membilang. Kanak-kanak bergilir dengan menggunakan dadu untuk membilang pergerakan di atas papan. Berbagai jenis permainan ini boleh didapati di kedai atau guru boleh mencipta sendiri. Contoh permainan papan tangga dan ular  menggalakkan kanak-kanak membilang dan berinteraksi.

Friday, November 2, 2012

Aktiviti Harian 12: Permainan Meneka

Permainan ini menggunakan kad yang ditulis angka pada setiap kad dari 1 hingga 10. Kanak-kanak cuba meneka kad yang dipilih. Kanak-kanak menyebut setiap tekaan dengan mengatakan,"Ya," "Tidak," atau "Tidak, ia kurang." Sebagai contoh, jika nombor yang dipilih ialah 5, dan tekaan pertama 10, tindakbalas yang sepatutnya,"Tidak, ia kurang." Kanak-kanak yang ingin merekodkan nombor yang diteka boleh menggunakan kertas atau papan tulis. Kanak-kanak yang telah cekap akan menulis 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 dan menggunakan proses memadamkan nombor. Terdapat juga kanak-kanak akan menulis 1 2 3 ...untuk menyimpan rekod nombor yang diteka sebagai prosesnya.

Thursday, November 1, 2012

Aktiviti Harian 11: Membilang Buaya

Guru boleh menggunakan cerita Sang Kancil membilang buaya di sungai. Kumpulan kecil seramai lima atau enam orang kanak-kanak dalam bulatan. Seorang kanak-kanak memulakan dengan berlari di luar bulatan sambil berkata,"Satu, dua, tiga, lekok, jantan, betina, kena ketuk!" berhenti lalu menyentuh kanak-kanak yang terakhir. Kanak-kanak yang disentuh bangun mengejar kanak-kanak mengikut pusingan bulatan. Kanak-kanak yang dikejar membuat pusing dan duduk ditempat kanak-kanak yang mengejar. Kanak-kanak yang mengambilalih akan meneruskan kiraan,"Empat, lima, enam, lekok, jantan betina kena ketuk!" Lakukan sebagaimana yang mula-mula. Secara tidak langsung aktiviti ini membolehkan kanak-kanak belajar untuk mengingatkan urutan nombor. Sekiranya kanak-kanak lupa, guru minta kanak-kanak lain mengingatkan rakannya.

Wednesday, October 31, 2012

Aktiviti Harian 10: Permainan Kerusi Muzikal

Permainan kerusi muzik (musical chair) boleh menggalakkan kanak-kanak mengandaikan jumlah kerusi yang diperlukan. Permainan ini tidak semestinya dilakukan semua kanak-kanak di dalam kelas. Jika kanak-kanak digalakkan bermain dengan permainannya sendiri, jumlahnya adalah kecil. Guru boleh mengadakan permainan ini dalam kumpulan kecil. Kanak-kanak kecil pula, permainan ini hendaklah diubahsuai supaya tidak seorang pun terkeluar daripada permainan ini. Menariknya, kanak-kanak berusia empat hingga lima tahun selalunya suka bermain kerusi muzik dengan kerusi yang banyak berbanding dengan jumlah kanak-kanak. Guru hendaklah menggalakkan mereka bertukar pendapat untuk menentukan cara untuk bermain sama ada sama jumlah kerusi dengan kanak-kanak atau, satu atau dua kerusi kurang daripada kanak-kanak (tanpa mengeluarkan kanak-kanak yang tidak dapat duduk di kerusi). Kesemua kepelbagaian adalah baik untuk menjumlahkan objek.

Tuesday, October 30, 2012

Aktiviti Harian 9: Permainan Sembunyi

Guru di tadika boleh memperkenalkan permainan yang menyembunyikan lima biji buah limau. Kumpulan dibahagikan kepada dua untuk permainan ini. Sebahagian kanak-kanak boleh menyembunyikan objek dan yang lainnya akan mencari objek yang disembunyikan. Apabila telah ditemui tiga biji buah limau, sebagai contoh, mereka perlu mengetahui berapa banyak lagi mereka perlu mendapatkannya. Parmainan ini melibatkan 'tambah' dan 'tolak'. Begitu juga dengan main sembunyi juga kanak-kanak boleh menjangkakan berapa banyak pemain yang tinggal untuk dicari.

Monday, October 29, 2012

Aktiviti Harian 8: Permainan Mengacu (Bowling)

Sambungan aktiviti harian 8 permainan mengacu salah satu contoh ialah bowling. Kanak-kanak akan mengacu untuk menjatuhkan pin bowling. Permainan bowling ini boleh direkodkan dengan menulis jumlah pin yang jatuh secara tidak langsung menggalakkan kanak-kanak menulis dan mencatatkan jumlah  pin yang jatuh setiap kali gilirannya. Permainan mengacj guli adalah berbeza dengan bowling. Guli kanak-kanak boleh menyimpannya, manakala bowling kanak-kanak menggunakan pin yang sama jumlahnya dan mengacu mengikut giliran dan boleh dicatat setiap kejatuhan pin. Guru oleh mengubah suai alatan bowling seperti menggunakan buah kelapa jika di kawasan terdapat kebun buah kelapa. Selain daripada itu pin boleh menggunakan kayu sebagai alternatif pin bowling sebenar. Kanak-kanak tidak mementingkan rupa bentuk pin bowling kerana mereka lebih mementingkan permainan itu dapat dijalankan.

Sunday, October 28, 2012

Renungan Sejenak: Memperluas Perspektif Pengajian Awal Kanak-Kanak

Saya cuma ingin memperluaskan perspektif khalayak bahawa program bidang awal kanak-kanak tidak hanya tertumpu kepada melahirkan graduan yang akan menjadi pendidik, pengasuh dan pengusaha perkhidmatan di taska ataupun di tadika. Seharusnya perlu dilihat lebih meluas lagi ke arah pengguna kanak-kanak (Young Consumers). Langkah UNITAR International University yang merupakan universiti pertama di Malaysia menubuhkan Faculty Early Childhood Studies mengorak langkah sebagai peneraju transformasi bidang awal kanak-kanak selaras dengan perkembangan industri tanah air kita yang memerlukan mereka yang berijazah dalam memberi perkhidmatan dalam pelbagai sektor perkhidmatan pendidikan, perindustrian dan pelancongan yang memberi tumpuan kepada kanak-kanak sewajarnya perlu diberi perhatian. Secara tidak langsung akan memperluaskan lagi skop kerjaya kepada graduan bidang awal kanak-kanak yang tidak hanya tertumpu kepada perkhidmatan pendidikan sahaja. Sebagai Dekan pertama menerajui Faculty Early Childhood Studies adalah dipertanggungjawabkan untuk merancang masa depan fakulti dan kerjaya pelajar supaya menjadi graduan berdaya saing di pasaran kerja (marketable graduate).

Aktiviti Harian 8: Permainan Mengacu

Permainan mengacu (aiming games) sewaktu ketika kanak-kanak zaman dahulu menggunakan buah saga atau batu kecil. Masa kini boleh disesuaikan dengan menggunakan guli. Permainan ini sebenarnya baik untuk belajar membilang atau mengira dan membandingkan kuantiti. Dalam situasi permainan ini mendorong kanak-kanak untuk mengetahui berapa banyak guli yang dilanggar terkeluar daripada garisan atau bulatan. Bagaimana pun guru berhati-hati supaya tidak membandingkan atau mengarahkan kanak-kanak membandingkan keupayaan antara mereka. Pada usia empat tahun kanak-kanak lebih berminat hanya pada apa yang dilakukan sahaja. Kanak-kanak yang sudah berusia lima tahun sahaja yang berminat untuk bertanding. Perhatian: Apabila kanak-kanak berusia empat atau lima tahun berkata,"Saya ada lima dan Adam ada tujuh," dia tidak semestinya membandingkan dua set. Kenyataan selalu tentang memberitahu secara mudah keputusan yang dibilang atau dikira. Bersambung...

Saturday, October 27, 2012

Aktiviti Harian 7: Mainan Berkumpulan

Kebanyakan main secara berkumpulan memberi pendedahan yang at baik untuk berfikir secara umum dan membanding kuantiti atau jumlah. Antara main secara berkumpulan untuk kana-kanak di tadika seperti main kejar mengejar, permainaneneka dan perlumbaan.

Friday, October 26, 2012

Aktiviti Harian 6: Mengundi

Guru boleh mencadangkan kumpulan kanak-kanak membuat keputusan menerusi undian. Membuat keputusan menerusi undian adalah penting apabila kumpulan tidak bersetuju seperti memilih biskut atau kuih pau untuk minuman pagi untuk hari esok. Sementara itu mengundi mengajar membandingkan kuantiti. Selain daripada itu yang lebih penting berfungsi meletakkan kuasa membuat keputusan di tangan kanak-kanak serta menggalakkan keyakinan diri dengan membuat keputusan dan menerima keputusan yang telah dipersetujui. Sempena menyambut Hari Raya Aidil Adha saya mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA SELURUH UMAT ISLAM.

Thursday, October 25, 2012

Aktiviti Harian 5: Mengemas

Terdapat berbagai peluang untuk belajar membilang atau mengira jumlah kuantiti menerusi aktiviti mengemas. Contohnya guru tadika boleh melabel kotak seperti gambar rajah supaya kanak-kanak tahu jumlah objek yang perlu dilihat sebelum meletakkan alat mainan ke dalam kotak. Kadangkala apabila meminta kanak-kanak mengemas, guru boleh memberi cadangan setiap kanak-kanak meletakkan tiga alat. Berbagai cara aktiviti mengemas yang melibatkan menjumlahkan kuantiti boleh difikirkan membilang secara semulajadi.

Wednesday, October 24, 2012

Aktiviti Harian 4: Menyimpan Rekod

Kanak-kanak di tadika boleh mengendalikan rekod kedatangan seperti yang tertera di carta. Jika jumlah yang kecil kanak-kanak boleh menandakan kehadiran mereka, jumlah yang hadir dan jumlah yang tidak hadir. Carta jenis ini boleh menggalakkan minat kanak-kanak untuk membaca nama rakan mereka.


Tuesday, October 23, 2012

Aktiviti Harian 3: Memungut Benda (Sambungan...)

Apabila guru membahagikan borang kepada kanak-kanak untuk dibawa pulang, guru boleh berkata,"Saya akan tulis di papan tulis berapa borang yang telah saya berikan supaya saya tahu pada hari esok berapa borang yang akan dipungut." Kanak-kanak yang tidak hadir boleh ditulis namanya di papan tulis. Cara ini sebagai salah satu contoh secara semulajadi mendedahkan kepada kanak-kanak membaca dan menulis selain belajar membilang.

Monday, October 22, 2012

Aktiviti Harian 3: Memunggut Benda

Memunggut benda seperti borang kebenaran atau keizinan daripada ibu bapa untuk lawatan atau aktiviti luar memberi peluang secara semulajadi untuk mengajar membilang nombor. Semasa aktiviti kumpulan guru boleh mengemukakan soalan sama ada untuk memberitahu syarikat bas atau tidak bagi tujuan membawa kanak-kanak pergi lawatan. Soalan seperti berikut boleh dibincangkan:
  • Adakah boleh kita dapat semula borang?
  • Berapa banyak lagi yang kita perlukan?
  • Berapa orang yang memulangkan borang semalam?
  • Berapa orang yang membawa borang hari ini?
  • Siapakah yang tidak hadir hari ini?
Bersambung...

Sunday, October 21, 2012

Aktiviti Harian 2: Membahagi Objek Sama Rata

Sambungan Aktiviti Harian 2, tugasan membahagi objek menjadi terlalu sukar jika seorang kanak-kanak membahagikan sesuatu benda di kalangan kanak-kanak dalam kelas. Walau bagaimana pun guru boleh membahagikan jumlah kanak-kanak kepada kumpulan yang sesuai (atau tiga, empat orang setiap kumpulan dan sebagainya) untuk menjadikan pembahagian objek yang adil. Jika ada kanak-kanak yang membantah bahawa ada orang lain yang mendapat lebih, guru boleh gunakan Prinsip 3(a) dan 3(b) dan galakkan kanak-kanak untuk bertukar idea menyelesaikan konflik. Apabila kanak-kanak mencadangkan penyelesaian, idea mereka berkemungkinan sesuai/adil atau tidak sesuai/adil daripada sudut pandangan guru. Contohnya, seorang kanak-kanak akan berkata,"Saya beri kamu sedikit lagi," menawarkan kepada orang lain kerana bahagian objeknya kelihatan seperti banyak kerana susunan ruang. Dalam situasi sebegini, adalah tidak sesuai untuk memberi pandangan orang dewasa jika semua kanak-kanak berpuas hati. Memberikan jawapan yang betul tidak sesuai padangan kanak-kanak yang hanya mengajar mereka mengikut secara senyap dipengaruhi kuasa orang dewasa.

Saturday, October 20, 2012

Aktiviti Harian 2: Membahagi Objek

Di taska untuk kanak-kanak yang sudah besar atau di tadika, guru boleh meminta kanak-kanak membantu membahagikan makanan seperti biskut kepada rakan-rakannya sebagai tugasan waktu makan. Apabila kanak-kanak mengagihkan biskut untuk jumlah yang tertentu, dia mengetahui berapa banyak yang perlu dibahagikan. Bagaimana pun dia tidak tahu jumlah bilangan (mengikut angka) yang perlu diagihkan kepada setiap orang. Kanak-kanak perlu membahagikan set besar kepada banyak set kecil sama rata apabila dia membahagikan kumpulan objek daripada mengambil subset daripada set besar. Bersambung...

Friday, October 19, 2012

Aktiviti Harian 1 (Sambungan): Terlepas Pandang Membilang

Sambungan Aktiviti Harian 1, kanak-kanak apabila dalam satu situasi diminta mengagihkan peralatan kepada rakan-rakannya biasanya tidak memasukkan diri sebagai orang yang termasuk dalam jumlahnya. Sebagai contoh apabila kanak-kanak diminta mengagihkan cawan minuman di atas meja untuk kumpulannya, kanak-kanak yang tidak jelas membilang didapati tidak akan cukup jumlah cawan minuman yang diletakkannya. Tugas orang dewasa apabila melihat perkara ini berlaku secara bersahaja dan positif galakkan kanak-kanak lain berbincang dan bertukar idea dengan rakan-rakan lain. "Cuba kamu lihat adakah cukup cawan ini untuk semua?" mungkin soalan sebegini dapat mendorong kanak-kanak bertukar pendapat untuk menjumlahkan jumlah cawan dan jumlah orang yang memerlukan cawan.

Thursday, October 18, 2012

Aktiviti Harian 1: Mengagihkan Peralatan

Aktiviti harian di tadika atau taska boleh dilakukan seperti meminta kanak-kanak mengagihkan peralatan kepada rakan-rakan. Contohnya, membahagikan kertas untuk semua rakan-rakan di kelas. Sekiranya kanak-kanak tidak boleh mengatasi jumlah kanak-kanak yang ramai, guru boleh membahagikan kumpulan besar kepada kumpulan kecil supaya jumlah bilangan kecil dan kanak-kanak boleh mengatasi pembahagian kertas. Permintaan untuk memberikan"cukup untuk setiap orang di meja" sebenarnya memberi makna apabila jumlah angka sama bilangannya antara peralatan dan kanak-kanak di dalam kelas. Bersambung...

Wednesday, October 17, 2012

Kehidupan Seharian Dengan Matematik

Penjumlahan berlaku sebahagian dalam kehidupan seharian. Sebagai contoh, membahagikan cawan minuman dan kertas tisu, benda yang perlu diagihkan sama rata di kalangan kanak-kanak, bahagian mainan yang perlu dijaga supaya tidak hilang (apabila hilang menjadi tidak lengkap untuk digunakan). Tanggungjawab ini selalunya diletak pada guru yang mengandaikan kanak-kanak kecil masih belum berupaya membilang pada peringkat usia empat ke enam tahun. Menguruskan sedikit tanggungjawab dengan memberi tugasan kepada kanak-kanak, sekurang-kurangnya sebahagian boleh menggerakkan pembinaan pengiraan secara semulajadi dan memberi makna. Bersambung...

Tuesday, October 16, 2012

Pemerhatian Cara Kanak-Kanak Membilang

Apabila melihat kanak-kanak bermain membahagikan kad secara intituitif (global) untuk bermain, kanak-kanak membahagikan sebahagian kepada rakannya dan sebahagian lagi untuknya mengikut. Kemudian mereka susunan ketinggian kad untuk memastikan dapat sama banyak. Pada masa ini guru tidak perlu membetulkan cara membilang kerana akan menghapuskan cara intituitif kanak-kanak. Kefahaman kanak-kanak untuk membilang akan meningkat. Biasanya kanak kecil tidak berminat untuk mengetahui jumlah sebenar sebaliknya mereka lebih memberi perhatian untuk memulakan permainan sahaja.

Monday, October 15, 2012

Membimbing Proses Berfikir Dalam Mengajar Matematik

Melihat tingkahlaku kanak-kanak orang dewasa boleh mengetahui sama ada kanak-kanak menghadapi masalah dengan menggunakan pendekatan intuitif (global), ruang atau logikal. Berasaskan pemerhatian yang berterusan, orang dewasa/guru boleh mengambil langkah untuk mempengaruhi proses pemikiran daripada bertindakbalas memberi jawapan. Bersambung...

Sunday, October 14, 2012

Membilang Secara Pendekatan Logikal

Sambungan Prinsip Ke Tiga (b) (3) pendekatan logikal, kanak-kanak diberi satu atau lebih pilihan pada setiap orang sehingga semua 18 bilangan itu diselesaikan.Susunan ruang sudah tidak lagi sesuai digunakan apabila kanak-kanak telah mahir membina logik. Apabila peraturan logik digunakan, kanak-kanak boleh membuat apa sahaja tugasan dengan mata tertutup atau tanpa melihatnya. Contoh, apabila kanak-kanak membahagikan 40 keping kad kepada dua orang pemain, kanak-kanak ini amat yakin dengan peraturannya. Mereka tidak perlu membilang kad untuk mengetahui jumlahnya sebaliknya berkeyakinan bahawa dua orang mendapat jumlah yang sama.

Saturday, October 13, 2012

Membilang Secara Pendekatan Ruang

Sambungan Prinsip Ke Tiga (b) (2), pendekatan ruang apabila kanak-kanak membahagikan bilangan satu-ke-satu bersebelahan. Selepas membilang benda yang dibahagikan kanak-kanak akan memberitahu terdapat lebih banyak pada satu set jika salah satu kedudukan set diubah susunannya. Bersambung...

Friday, October 12, 2012

Membilang Secara Global

Sambungan Prinsip Ke Tiga (b) (1) pendekatan intitutif (global), kanak-kanak membahagikan bahan membilang secara kasar atau menyeluruh. Cara global dan mungkin secara kebetulan memberikan sembilan setiap orang (18 bahan membilang dibahagi dua orang). Ini adalah contoh mendapatkan jawapan secara kebetulan. Selepas membahagikan bilangan, kanak-kanak akan mengatakan terdapat lebih banyak dalam satu kumpulan terutama jika ruang kelompok diubah. Bersambung...

Thursday, October 11, 2012

Proses Mendapatkan Jawapan Dalam Matematik

Sambungan Prinsip Ke Tiga (b), terdapat banyak cara mendapat jawapan yang salah, dan terdapat berbagai cara mendapat jawapan yang betul. Salah satu contoh kajian yang dijalankan (Piaget & Szeminzska,1941) bagaimana kanak-kanak membahagikan bilangan 18 antara dua orang. Hasil kajian mendapati tiga cara (tahap) mendapatkan jawapan. Salah satu caranya berasaskan pada alasan logik (3). Pendekatan tersebut adalah seperti berikut:
  1. Pendekatan intuitif (global)
  2. Pendekatan ruang
  3. Pendekatan logikal
Bersambung...

Wednesday, October 10, 2012

Menyesuaikan Cara Kanak-Kanak Berfikir Tentang Matematik

Prinsip Ke Tiga (b), menyesuaikan cara kanak-kanak berfikir dan membantu mengikut apa yang sedang difikirkan dalam kepalanya. Contoh, jika kanak-kanak membuat kesilapan, perkara ini adalah biasa sebab mereka menggunakan kebijaksanaan mengikut caranya sendiri. Oleh kerana setiap kesilapan merupakan pembalikan (reflection) pemikiran kanak-kanak, tugas guru bukan untuk membetulkan jawapan tetapi menyesuaikan cara bagaimana kanak-kanak membuat kesilapan. Berdasarkan kefahaman ini, guru boleh membuat sesuatu pembetulan menerusi proses alasan (reasoning) yang ternyata lebih baik daripada membetulkan jawapan. Misalnya, jika kanak-kanak membawa kurang satu cawan daripada secukupnya, alasan kemungkinan kanak-kanak tidak mengira dirinya sekali. Kanak-kanak peringkat praoperasi selalu menghadapi kesukaran mengambilkira dirinya sebagai yang dibilang dan membilang. Apabila kanak-kanak membilang orang lain, selalunya dia tidak membilang dirinya. Oleh itu semasa kanak-kanak mengagihkan cawan didapati kurang satu cawan. Soalan yang santai seperti, "Adakah kamu bilang diri sendiri semasa kamu membilang kawan-kawan?" mungkin boleh membantu. Bersambung...

Tuesday, October 9, 2012

Permainan Berkumpulan Meningkatkan Kefahaman Matematik

Sambungan Prinsip Ke Tiga (a), permainan berkumpulan adalah situasi ideal untuk bertukar pendapat di kalangan kanak-kanak (Kamii & DeVries 1980). Dalam permainan kumpulan menggalakkan kanak-kanak untuk memeriksa setiap orang membilang dan menambah. Kanak-kanak juga boleh membetulkan dan berhadapan dengan mereka yang cuba membuat helah atau membuat kesalahan. Membetulkan dan diperbetulkan oleh rakan sebaya dalam permainan kumpulan adalah jauh lebih baik daripada apa yang boleh dipelajari menerusi lembaran kerja (worksheets). Alasannya, apabila kanak-kanak menanda lembaran kerja, mereka bukan sahaja bekerja sendiri tetapi tidak disemak oleh pemikiran atau pandangan/pendapat orang lain. Apabila selesai tugasan lembaran, kanak-kanak akan berjumpa guru untuk membetulkan setiap jawapan. Kebergantungan kepada orang dewasa yang berwibawa (authority) adalah tidak baik untuk perkembangan autonomi atau penguasaan kanak-kanak dan logik. Di dalam permainan kumpulan kanak-kanak secara mental lebih aktif dan kritikal. Mereka belajar bergantung pada diri sendiri untuk mengetahui sama ada betul salah alasannya.

Monday, October 8, 2012

Meningkatkan Kefahaman Pengetahuan Logico-Matematik Kanak-Kanak

Sambungan Prinsip Ke Tiga (a), interaksi sosial di kalangan kanak-kanak atau rakan sebaya adalah penting untuk meningkatkan kefahaman logico-matematik. Kajian oleh Perret-Clermont (1980) membuktikan bahawa perbezaan pendapat dan usaha untuk menyelesaikan persetujuan dalam masa sepuluh minit boleh meransang tahap praoperasi kanak-kanak membuat hubungan baru dan sebab munasabah di tahap tinggi, berbeza dengan kanak-kanak yang sentiasa dikawal mengikut arahan orang dewasa yang tidak berpeluang untuk mengadakan perbincangan. Adalah tidak benar bahawa kanak-kanak yang sentiasa mendapat arahan dan tunjukajar atau dibetulkan oleh seseorang boleh mengetahui lebih daripada apa yang mereka lakukan. Dalam dunia pengetahuan logico-matematik, pertentangan daripada dua idea boleh meningkatkan idea bahawa lebih logik berbanding salah satunya. Contoh, jika kanak-kanak berfikir bahawa 2+4=5 dan satu lagi bahawa 2+4=4, kedua-dua membetulkan alasan semasa mencuba mempengaruhi yang lain bahawa ideanya betul.Bersambung...

Sunday, October 7, 2012

Membetulkan Kefahaman Matematik Menerusi Perbincangan

Sambungan Prinsip Ke Tiga (a), sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini bahawa sumber maklumbalas dalam pengetahuan logico-matematik adalah hubungan rapat dalaman yang dibina oleh kanak-kanak terhadap sistem logikal. Walau pun sumber utama maklumbalas datangnya dari dalaman kanak-kanak, percaggahan pendapat atau tidak ada persetujuan dengan kanak-kanak lain boleh mendorong kanak-kanak untuk menilai semula ideanya. Apabila kanak-kanak itu berbalah pendapat, sebagai contoh 2+2 = 5, kanak-kanak mendapat peluang untuk berfikir tentang kebenaran pemikirannya jika kanak-kanak itu ingin mempengaruhi orang lain. Oleh  sebab itu pertentangan sosial dikalangan rakan sebaya adalah perlu wujud untuk perkembangan pengetahuan logico-matematik. Bersambung...

Saturday, October 6, 2012

Mengajar Nombor Dan Matematik Yang Tidak Digalakkan

Sambungan Prinsip Ke Tiga (a), apabila kita mengajar nombor dan matematik yang hanya merujuk kepada sumber orang dewasa untuk mendapatkan maklumbalas walau pun bukan niat untuk mengajar bahawa kebenaran datangnya dari orang dewasa. Kanak-kanak akan belajar membaca rupa wajah guru yang memberi gambaran menyatakan betul atau salah, membenarkan atau tidak. Arahan pengukuhan sebegitu kanak-kanak belajar menerusi mendapat restu daripada orang dewasa yang berautoriti. Ini bukan caranya untuk kanak-kanak membina pengetahuan nombor atau keyakinan diri terhadap keupayaan matematiknya. Apabila berlaku halangan emotional kebanyakan kanak-kanak cuba menghidarkan minat terhadap pembinaan matematik. Bersambung...

Friday, October 5, 2012

Hindarkan Memberi Pengukuhan Jawapan Betul Salah Dalam Logico-Matematik

Sambungan Prinsip Ke Tiga (a), asas prinsip mengajar dalam dunia logico-maematik adalah mengelakkan dua pengukuhan (reinforcement) jawapan betul dan membetulkan jawapan salah. Sebaliknya menggalakkan bertukar idea di kalangan kanak-kanak. Jika kanak-kanak berkata bahawa 2 + 4 = 5 tindakbalas yang terbaik dengan berkata,"Adakah semua setuju?" Jika tiada seorang pun mempunyai idea, adalah terbaik soalan tersebut diabaikan. Situasi senyap biasanya bermaksud soalan tersebut terlalu sukar untuk semua. Apabila kanak-kanak mengemukakan,"Sudu cukup..." sama juga cara yang terbaik guru lakukan adalah menjauhkan diri daripada memberi maklumbalas untuk memberi jawapan. Setelah kanak-kanak membahagikan sudu, kanak-kanak akan melihat hasilnya. Apabila kanak-kanak berbalah dengan idea kanak-kanak lain bahawa ideanya konflik dengan idea rakannya, kanak-kanak tersebut biasanya terdorong untuk berfikir tentang permasalahan sama ada membalikkan ideanya atau mempertahankan ideanya. Bersambung...

Thursday, October 4, 2012

Membina Kefahaman Matematik Menerusi Perbincangan

Prinsip Ke Tiga (a), sebagaimana yang telah dibincangkan sebelum ini bahawa matematik tidak boleh di perturunkan dari satu generasi ke generasi seperti pengetahuan sosial (konvensional). Ini disebabkan pengetahuan logico-matematik, kanak-kanak membina koordinasi hubungan dan bukan sembarangan pembinaan hubungan. Dalam pengetahuan logico-matematik, jika kanak-kanak berbalah berpanjangan, lambat laun atau kemudiannya kebenaran tanpa diajar atau pembetulan oleh guru. Contohnya, dalam permainan membahagi butang atau manik, jika kanak-kanak berkata bahawa 2 + 4 = 5, kanak-kanak dengan sendiri akan mendapat kebenaran jika mereka berbincang/berbalah dengan panjang dengan rakan sepermainan yang tidak sependapat dengannya. Bersambung...

Wednesday, October 3, 2012

Sistem Pengetahuan Logico-Matematik Dibina Oleh Kanak-Kanak Sendiri

Sambungan Prinsip Ke Dua (c), bahan kayu yang berukuran tidak sama sering digunakan oleh kaedah Montessori (1912) dan lain-lain kaedah yang menyamai prinsip batang kayu oleh kaedah Cuisenaire yang dibincangkan sebelum ini (rujuk 2 September 2012). Prinsipnya menjadikan batang kayu ke dua adalah dua kali lebih panjang daripada batang kayu yang pertama, batang kayu ketiga, tiga kali ganda panjang daripada batang kayu pertama dan seterusnya. Pengajaran nombor dengan menggunakan batang kayu ini dipercayai bahawa dengan menyusun batang kayu dan membilang segmen, kanak-kanak belajar siri nombor termasuk idea bahawa 1 termasuk dalam 2, 2 termasuk dalam 3 dan setrusnya. Piaget dan Inhelder (1959) dalam kajiannya mendapati bahawa realitinya (keadaan sebenar) apabila kanak-kanak belajar menyusun batang kayu dari panjang ke pendek atau sebaliknya, semua yang dipelajari adalah pengalaman silap mata (empirical trick) menggunakan bentuk anak tangga untuk menilai sama ada susunannya betul atau salah. Bentuk adalah ruang/jarak susunan yang boleh diperhatikan bahawa kanak-kanak menggunakan sumber maklumbalas luaran. Dalam pengetahuan logico-matematik bagaimana pun maklumbalas sistem logik yang dibina oleh kanak-kanak hanya datang dari dalaman secara berterusan. Sistem ini tidak boleh berlaku secara pengamatan atau pemerhatian. Sistem pengetahuan logico-matematik dibina oleh kanak-kanak menerusi koordinasi perbezaan yang tidak boleh diperhatikan. Keupayaan untuk menyusun objek menerusi cuba jaya berasaskan maklumbalas daripada susunan adalah berlainan daripada keupayaan untuk berfikir secara logik menerusi koordinasi perbezaan di kalangan objek.

Tuesday, October 2, 2012

Menggunakan Bahan Pengajaran Matematik Padanan Yang Tidak Sesuai

Sambungan Prinsip Ke Dua (c), satu lagi contoh menggunakan bahan memadan matematik yang tidak sesuai di tadika ialah pendekatan/kaedah Cuisenaire menggunakan batang kayu untuk dibuat perbandingan. Penggunaan batang kayu untuk mengajar asas nombor memberi gambaran kegagalan untuk mengasingkan perbezaan dan kuantiti yang berterusan. Batang kayu yang digunakan sebagai contoh 1 cm untuk 1, 5 cm untuk 5 dan 10 cm untuk 10. Bagi kanak-kanak setiap batang kayu dianggap sebagi 1 kerana hanya sebatang, objek yang terasing. Nombor melibatkan kuantifikasi daripada objek yang terasing. Oleh sebab itu nombor tidak boleh diajar menerusi ukuran panjang batang kayu yang kuantitinya berterusan. Memberi kanak-kanak bahan yang tersedia 2, 3, 4, dan sebagainya adalah lebih kepada keburukan daripada memberikan mereka contoh set gambar yang tersedia yang sekurang-kurangnya ada dua gambar perbandingan objek. Bersambung...

Monday, October 1, 2012

Membina Asas Kefahaman Matematik Menerusi Pembalikan Minda

Sambungan Prinsip Ke Dua (c), Kanak-kanak tidak belajar konsep nombor dengan menggunakan gambar. Mereka tidak belajar nombor dengan memanipulasi objek. Kanak-kanak membina konsep dengan pembalikan abstrak semasa dia bertindak secara mental pada objek. Contohnya, kanak-kanak menyediakan pinggan makan di atas meja untuk rakan-rakannya, perkara yang penting bukan manipulasi objek tetapi pemikiran yang berlaku semasa kanak-kanak membuat keputusan perkara yang perlu dilakukan dengan pinggan dan orang yang terlibat. Apabila kanak-kanak telah berupaya untuk membina logik hubungan satu-ke-satu menerusi pembalikan abstrak penggunaan gambar untuk mempelajari konsep nombor sudah tidak perlu digunakan lagi. Bersambung...

Sunday, September 30, 2012

Bahan Yang Tidak Sesuai Aktiviti Memadan Dalam Matematik

Sambungan Prinsip Ke Dua (c), kebiasaannya bergantung kepada buku kerja atau lembaran kerja yang disediakan tidak ada nilai untuk menggalakkan kanak-kanak mengaplikasikan pembinaan set membanding beza. Malahan penggunaan bahan tersebut tidak sesuai untuk pengajaran asas memahami nombor. Buku kerja atau lembaran kerja contohnya memberi tugasan untuk memadan menerusi gambar secara mengariskan adalah satu contoh bahan yang tidak sesuai. Latihan sebegini tidak memberi galakkan kerana mencegah atau menghalang kemungkinan kanak-kanak akan menggerakkan objek untuk membina set. Di samping itu latihan sedemikian tidak menghasilkan jawapan yang betul atas sebab yang salah. Contohnya, apabila disuruh menerangkan cara mereka mendapatkan jawapan pada latihan, kebanyakan kanak-kanak akan menerangkan," Lukis garisan macam ini, dan letakkan tanda X pada benda yang tidak ada garisan." Kanak-kanak seperti ini tidak mempunyai sedikit idea pun tentang set yang mempunyai lebih. Jika mereka tahu, selalunya disebabkan mereka telah sedia mengetahui cara untuk memberitahu set yang mempunyai lebih. Jika mereka tidak tahu menyatakan perbezaan, latihan yang diberikan adalah tidak berguna kerana kanak-kanak tidak belajar untuk membina penilaian kuantitatif (jumlah) dengan melukis garisan di atas kertas. Bersambung...

Saturday, September 29, 2012

Menggalakkan Kanak-Kanak Membina Set Membandingkan Sendiri

Sambungan Prinsip Ke dua (c), apabila kanak-kanak membina set, sebagai contoh, semasa disuruh membawa cawan diletakkan di atas meja secukupnya untuk semua orang. Kanak-kanak akan bermula dari sifar (kosong), mengambil satu, satu lagi, satu lagi dan seterusnya sehingga dia membuat keputusan untuk berhenti. Keputusan sebegini mempunyai nilai pendidikan sebab kanak-kanak mesti bermula dari sifar dan membuat keputusan yang bertepatan bila bertindak untuk berhenti menambah satu lagi.Bersambung...

Friday, September 28, 2012

Menggalakkan Kanak-Kanak Membanding Dua Set

Sambungan Prinsip Ke Dua (c). Terdapat dua cara menyuruh kanak-kanak membanding dua set: meminta kanak-kanak (i) membuat penilaian tentang persamaan dan perbezaan pada set yang telah sedia ad, dan meminta kanak-kanak (ii) membina set. Pendekatan ke dua adalah lebih baik atas dua alasan. Pertama, apabila kita meminta kanak-kanak untuk membuat penilaian tetang set yang sedia ada, alasan yang diberi oleh kanak-kanak untuk membandingkannya menerusi set yang tersedia adalah aktiviti pasif di mana kanak-kanak terhad kepada kemungkinan tindakbalas: Dua set adalah sama, satu mempunyai lebih, atau yang lagi satu mempunyai lebih. Bersambung...

Thursday, September 27, 2012

Menggalakkan Kanak-Kanak Membuat Dua Set Objek Mudahalih

Prinsip Ke Dua (c) menggalakkan kanak-kanak membina set dengan menggunakan objek yang mudahalih. Apabila kita bertanya kanak-kanak supaya memberi tumpuan kepada pada satu set objek bermakna kita menghadkan penyoalan seperti, "Berapa jumlahnya?" dan "Boleh kamu beri kepada saya lapan?" Menyuruh kanak-kanak membilang bukan cara yang baik untuk membantu kanak-kanak menjumlahkan objek. Cara pendekatan yang lebih baik ialah menyuruh kanak-kanak membandingkan dua set. Bersambung....

Wednesday, September 26, 2012

Menggalakkan Kanak-Kanak Membuat Perbandingan

Sambungan Prinsip Ke Dua (b) Guru boleh membina persekitaran di mana kanak-kanak memainkan peranan penting dan membuat keputusan sendiri bagaimana cara untuk bertanggungjawab dan menerimanya. Contohnya,"Adakah kita mempunyai terlalu banyak cawan?", "Adakah kita bermain 'kerusi bulatan' menggunakan banyak kerusi, sedikit atau jumlah yang sama? atau "Siapa yang dapat paling banyak?"

Tuesday, September 25, 2012

Menggalakkan Menjumlah Objek Dengan Logik Dan Membanding Set

Prinsip pengajaran ke dua (b) adalah menggalakkan kanak-kanak menjumlahkan objek secara logik dan membuat perbandingan set daripada menggalakkan mereka hanya mengira sahaja. Contohnya apabila guru meminta kanak-kanak mengambil pinggan untuk semua rakannya, guru boleh berkata,"Bolehkah awak tolong ambilkan lima pinggan" atau "Bolehkah awak bawa pinggan cukup untuk setiap orang." Ayat ke dua adalah contoh bahasa yang melibatkan membilang secara logik. Kanak-kanak boleh memilih cara terbaik untuk memenuhi tugasannya.Bersambung...

Monday, September 24, 2012

Objek Dan Nombor Yang Memberi Bermakna

Prinsip Ke Dua (a) pengajaran matematik adalah menggalakkan kanak-kanak untuk berfikir tentang nombor dan kuantiti objek apabila memberi makna kepada mereka. Jika autonomi menjadi matlamat pendidikan maka kanak-kanak mesti digalakkan membuat pilihan sendiri dan berkeyakinan daripada menjadi penurut atau mengikut sahaja.Oleh itu jangan sekali-kali menetapkan ruang waktu belajar kuantiti objek. Kanak-kanak perlu digalakkan untuk berfikir tentang kuantiti apabila mereka mula memerlukan dan berminat bukan melakukan matematik kerana guru mengatakan masa belajar matematik atau membilang. Boleh dikatakan kebanyakan kanak-kanak berusia empat dan enam tahun dilihat berminat dalam membilang objek dan membezakan kuantiti. Mereka selalunya berbalah tentang siapa yang lebih banyak dapat bongkah. Apabila mereka melihat guli semasa bermain, mereka memerlukan 'membilang' atau 'menambah'. Keadaan ini menyakinkan bahawa pemikiran nombor boleh dibina secara semulajadi tanpa pembelajaran yang direka-reka.

Sunday, September 23, 2012

Membina Hubungan Matematik Menerusi Situasi Konflik

Sambungan Prinsip Pertama: Situasi konflik boleh menggalakkan kanak-kanak meletakan sesuatu perkara perhubungan. Kanak-kanak di taska merasa tidak puas hati kerana pendidik taska tidak memenuhi janji untuk keluar bermain waktu petang setelah aktiviti lelap (nap). Keadaan itu berlaku kerana semasa kanak-kanak lelap atau tidur tanpa disangka hari hujan dan mereka tahu apabila hari hujan mereka tidak boleh keluar. Kanak-kanak bertanya-tanya kerana pendidik meletakkan hanya dua aktiviti yang berkaitan iaitu janji yang mula-mula dan tidak membenarkan di mana tidak seimbang. Janji kadangkala boleh tidak ditunaikan di atas sebab-sebab tertentu kerana perubahan keadaan. Kanak-kanak perlu berbincang perkara yang akan dihadapi dalam kehidupan seharian. Pengadilan moral dan pemikiran logik dibina bersama apabila kanak-kanak digalakkan untuk berbincang tetang keputusan yang akan diambil.

Saturday, September 22, 2012

Mencipta Semua Jenis Hubungan Dalam Matematik

Prinsip Pertama dalam pengajaran matematik adalah menggalakkan kanak-kanak peka dan meletakkan semua objek, peristiwa dan tindakan ke dalam semua jenis hubungan. Contohnya apabila dua orang kanak-kanak berebut mainan, guru boleh mencampuri dengan cara menyokong atau menghindarkan pemikiran kanak-kanak. Jika guru berkata,"Saya terpaksa ambil main ini daripada kamu sebab kamu berkelahi." Masalah tersebut selesai dengan cepat tetapi tidak menggalakkan kanak-kanak berfikir. Sebaliknya jika guru berkata," Saya ada idea. Apa kata jika saya letakkan mainan di rak almari sehingga kamu membuat keputusan apa yang hendak dibuat? Bila kamu telah membuat keputusan, beritahu saya dan saya akan berikan mainan kepada kamu." Kanak-kanak digalakkan membuat keputusan dan berfikir. Kanak-kanak mungkin membuat keputusan untuk mendapatkan mainan, di mana kes penyelesaian adalah sama dengan keputusan guru yang mula-mula diperkenalkan. Walau bagaimana pun terdapat perbezaan dari sudut autononmi perkembangan kanak-kanak jika mereka digalakkan membuat keputusan sendiri. Autonomi ini adalah menggalakkan sosial, moral dan intelektual. Pilihan penyelesaian mungkin seorang kanak-kanak bermain terlebih dahulu dan seorang lagi kemudian. "Konsep matematik" traditional seperti pertama-kedua, sebelum-selepas, dan hubungan satu-ke-satu adalah sebahagian perhubungan yang kanak-kanak mencipta setiap hari apabila mereka digalakkan untuk berfikir. Bersambung...

Friday, September 21, 2012

Prinsip Pengajaran Matematik Kanak-Kanak Di Tadika

Dicadangkan prinsip pengajaran matematik kanak-kanak di tadika:

1. Mencipta semua jenis hubungan
Menggalakkan kanak-kanak peka untuk meletakkan semua jenis objek,peristiwa dan tindakan ke dalam semua jenis hubungan.

2. Menyatakan kuantiti objek
a. Menggalakkan kanak-kanak berfikir tentang nombor dan kuantiti objek apabila memberi   makna kepada kanak-kanak.
b. Menggalakkan kanak-kanak menjumlahkan objek secara logik dan membandingkan set  (daripada menggalakkan kanak-kanak membilang).
c. Menggalakkan kanak-kanak membuat set dengan objek mudah ubah.

3. Interaksi sosial dengan rakan sebaya dan pendidik
 a. Menggalakkan kanak-kanak bertukar idea dengan rakan sebaya.
 b. Membantu cara kanak-kanak berfikir dan membimbing mengikut cara semasa mereka berfikir.

Thursday, September 20, 2012

Objektif Mengajar Nombor

Objektif mengajar nombor kepada kanak-kanak adalah menstrukturkan mental kanak-kanak terhadap nombor. Oleh kerana struktur tidak boleh diajar secara berterusan, pendidik mesti memberi tumpuan kepada menggalakkan kanak-kanak berfikir secara aktif dan berupaya berfikir sendiri dalam semua keadaan. Kanak-kanak yang berfikir secara aktif mengikut caranya sendiri tentang semua jenis objek dan peristiwa termasuk kuantiti akan berupaya menbina nombor. Tugas pendidik adalah untuk menggalakkan kanak-kanak berfikir mengikut caranya sendiri merupakan suatu yang sukar sebab kebanyakan kita dilatih supaya kanak-kanak dapat menghasilkan jawapan yang "betul."

Wednesday, September 19, 2012

Membilang Nombor Yang Bermakna

Penekanan kepada pengajaran tanda (sign) adalah baik sekiranya kanak-kanak benar-benar berminat mempelajarinya.  membaca pula, perlu ada sesuatu di persekitaran kanak-kanak yang menjadikannya berminat untuk membaca. Apabila kanak-kanak berminat membaca pada mana-mana peringkat umur, perkara yang terbaik adalah memenuhi rasa ingin tahu dan kemahiran pengetahuan baru. Membilang adalah menyeronokan kanak-kanak di taska dan tadika. Jika kanak-kanak berkeinginan mempelajari membilang tiada sebab untuk menolak pengetahuan tersebut. Pendidik mesti perlu mengetahui perbezaan membilang secara hafalan dan membilang dengan nombor yang bermakna. Nombor yang bermakna datangnya daripada struktur logico-matematik yang dibina oleh kanak-kanak di dalam kepalannya. Semua pertuturan dan tanda tulisan dalam dunia hanya pengetahuan permukaan. Sementara itu perlu ada pertuturan dan penulisan nombor/angka di persekitaran untuk menjadikan kanak-kanak berminat, memahami dan hanya datangnya dari struktur mental yang dibina oleh kanak-kanak itu sendiri.

Tuesday, September 18, 2012

Membina Struktur Mental Dalam Matematik

Perlambangan dengan tanda (sign) terlalu diberi penekanan semasa di peringkat pendidikan awal kanak-kanak. Guru selalunya memberi penekanan mengajar membilang, membaca dan menulis angka. Mereka percaya dan beranggapan telah mengajar konsep nombor. Sememangnya baik kanak-kanak mempelajari membilang, membaca dan menulis angka tetapi lebih penting objektifnya adalah untuk mengajar kanak-kanak membina struktur mental terhadap nombor itu sendiri. Jika kanak-kanak dapat membina struktur mereka akan berupaya menyesuaikan tanda (sign) ke dalam pembelajaran perlambangan nombor dengan mudahnya. Jika kanak-kanak tidak dapat membina struktur mental, semua pengiraan, pembacaan dan penulisan adalah penghafalan sahaja.

Monday, September 17, 2012

Perlambangan Konsep Nombor

Apabila kanak-kanak dapat membina pengetahuan logico-matematik enam atau sembilan, berkemungkinan kanak-kanak boleh melambangkan idea sama ada dalam bentuk simbol atau tanda (sign). Simbol adalah berbeza dengan tanda. Menurut Piaget simbol merupakan himpunan figuratif kepada objek yang diperlambangkan dan dicipta oleh kanak-kanak. contohnya simbol "o o o o o o o o" atau "I I I I I I I I." Contoh tanda (sign)  adalah perkataan yang dituturkan seperti "lapan" dan ditulis angka 8. Berbeza dengan simbol, tanda (sign) dicipta oleh lambang dan tidak menyatakan sebarang objek yang dilambangkan. Pembaca mengenali tanda sebagai milik pengetahuan sosial.

Sunday, September 16, 2012

Pengetahuan Logico-Matematik Asas Kefahaman Matematik

Mereka yang percaya kepada konsep nombor perlu diajar menerusi penyampaian sosial gagal membina asas perbezaan antara pengetahuan logico-matematik dan sosial. Dalam pengetahuan logico-matematik, sumber utama pengetahuan adalah kanak-kanak itu sendiri dan tiada perkara sembarangan yang mendominasi kanak-kanak. Contohnya, 3 + 4 mendapat sama keputusan di mana-mana budaya. Malahan, setiap budaya yang membina matematik akan berakhir dengan jawapan yang sama dalam matematik. Inilah yang dinamakan sistem hubungan dalam matematik yang tiada berkaitan dengan sembarangan sahaja. Perkataan satu, dua, tiga, empat adalah contoh pengetahuan sosial. Setiap bahasa mempunyai set perkataan yang berbeza untuk membilang. Walau bagaimana pun di sebalik idea nombor dimiliki oleh pengetahuan logico-matematik yang universal.

Saturday, September 15, 2012

Kepentingan Pengetahuan Logico-Matametik Dalam Pengaetahuan Sosial

Pengetahuan sosial sebagaimana pengetahuan fizikal adalah keperluan pegetahuan kandungan dan memerlukan kerangka logico-matemamtik untuk menyesuaikan dan mengorganisasikan. Sama seperti kanak-kanak memerlukan kerangka logico-matematik untuk mengenalpasti ikan berwarna merah (pengetahuan fizikal), kanak-kanak juga perlu kerangka yang sama logico-matematik untuk mengenal perkataan yang tidak benar, kanak-kanak perlu membuat pembahagian antara "perkataan yang tidak benar" dan "perkataan yang benar" dan antara "perkataan" dan "perkara lain."  Kerangka logico-matematik yang sama digunakan oleh kanak-kanak untuk membina pengetahuan fizikal dan sosial.

Friday, September 14, 2012

Pemikiran Pembalikan Kanak-Kanak Dalam Matematik

Pada usia tujuh ke lapan tahun kebanyakan pemikiran kanak-kanak bergerak kepada pembalikan. Pembalikan merujuk kepada keupayaan mental untuk memikirkan tidakan bertentangan atau berlawanan secara spontan. Misalnya, kanak-kanak dapat memisahkan keseluruhan kepada dua bahagian dan mencantumkan bahagian kepada keseluruhan. Secara fizikal, tindakbalas bahan tidak mungkin boleh melakukan dua perkara bertentangan secara spontan. Di dalam kepala kita, perkara ini berkemungkinan apabila pemikiran menjadi mudah gerak untuk pembalikan. Bukan sahaja kanak-kanak boleh menjadikan sebahagian dicantumkan dalam pemikiran, kanak-kanak juga boleh melihat terdapat lebih banyak ayam daripada itik (rujuk contoh tarikh 13/9/12).