Friday, May 28, 2010

Warna



Bagaimana anda memilih warna untuk menghiasi taska atau tadika? Mungkin panduan memilih warna yang sesuai untuk kanak-kanak dapat membantu keceriaan taska dan tadika anda. Warna boleh mendebarkan dan menenangkan jika warna itu dipilih mengikut impak psikologi. Warna merah cerah didapati boleh membangkitkan suasana kemeriahan. Warna ungu gelap dan hijau menenangkan dan mententeramkan. Warna kuning pula mengujudkan suasana santai dan merehatkan. Kuning juga merupakan warna pertama yang diterima oleh bayi dan tatih. Tidak ada sebarang sekatan menggunakan tiga warna asas (merah, biru dan kuning) sahaja. Warna etnik boleh menjadi warna kebanggaan dan menghubungkan susana di rumah. Pemilihan warna mengikut kesesuaian dan menghubungkan keceriaan kanak-kanak.

Wednesday, May 26, 2010

Antara Bidang Kanak-Kanak

Masyarakat umumnya tidak begitu jelas dengan profesional yang terlibat dengan profesion kanak-kanak. Kekeliruan timbul kerana tidak mendapat penjelasan. Pertama doktor perubatan yang pakar untuk kanak-kanak. Bidang ini menguasai ilmu kesihatan kanak-kanak. Itu bidang perubatan. Kedua, bagaimana dengan bidang sosial sains? Terdapat tiga profesional yang melibatkan kanak-kanak iaitu Psikologi Kanak-Kanak, Perkembangan Kanak-Kanak dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak. Psikologi Kanak-Kanak tugasnya melihat kejiwaan kanak-kanak, Perkembangan Kanak-Kanak tugasnya melihat perkembangan dan pertumbuhan kanak-kanak, manakala Pendidikan Awal Kanak-Kanak lebih kepada pedagogi atau berkaitan dengan mendidik kanak-kanak.

Jika anda meminta pandangan tentang mendidik kanak-kanak kepada tiga aliran (psikologi, perkembangan dan pendidikan) anda akan mendapat pandangan yang berbeza. Oleh itu sebelum anda bertanya fikirkan tujuan maklumat yang anda perlu perolehi.

Tuesday, May 25, 2010

Memperluaskan Kefahaman Industri Kanak-Kanak


Rata-rata kefahaman khalayak terhadap pendidikan awal kanak-kanak hanyalah berkisar untuk industri taska dan tadika. Kefahaman ini disempitkan lagi hanya untuk menjadi pengasuh, guru dan perkhidmatan kanak-kanak di taska dan tadika. Kefahaman yang sempit perlu diubah. Fikirkan bahawa lingkungan kanak-kanak di bawah usia 8 tahun merupakan suatu ruang industri yang luas. Industri yang melangkaui semua bidang bukan sahaja pendidikan tetapi juga hal-hal berkaitan dengan pemakanan, pakaian, alat mainan, seni persembahan, media cetak dan berbagai lagi. Terlalu luas untuk diteroka. Maka apabila orang bertanya kepada saya bidang kursus yang ditawarkan di Unirazak khususnya program sarjana muda pendidikan awal kanak-kanak, jawapannya adalah seperti di atas. Saya tidak mendidik pelajar untuk memikirkan ruang yang jumud. Dunia kanak-kanak terlalu luas untuk diteroka. Fikirkan di luar kotak pemikiran yang biasa. Kita perlu melihat secara lebih kreatif dan memikirkan secara inovatif akan keperluan kanak-kanak di bawah 8 tahun.

Budaya kita apabila menghantar anak mendapatkan tempat pengajian tidak melihat kurikulum program yang ditawarkan, siapa tenaga pengajar dan matlamat untuk mendapatkan ijazah. Kita terlalu percayakan sesebuah institusi sehingga tidak memikirkan matlamat mendapatkan ilmu itu sendiri. Kesannya akan melahirkan siswazah yang jumud kerana sebagaimana pantun Melayu;
Berburu ke padang datar;
Dapat rusa berbelang kaki.
Berguru kepalang ajar;
Bagai bunga kembang tak jadi.

Sunday, May 23, 2010

Sosialisasi Kanak-Kanak Di Tadika

Pada hari Sabtu 22 Mei 2010 jam 3.45-5.00 petang di Grand Ballroom MITC Ayer Keroh Melaka sempena Simposium Rukun Tetangga danTabika Perpaduan saya telah diundang untuk menyampaikan ceramah Sosialisasi Kanak-Kanak Di Tadika. Sebenarnya saya tidak begitu selesa dengan peserta yang seramai 300 orang memenuhi dewan. Terasa begitu jauh dengan khalayak yang hanya duduk mendengar sahaja. Sepanjang ceramah saya cuba libatkan khalayak dan harapan saya mereka berpuas hati. Rasanya mereka menunggu giliran saya menyampaikan ceramah kerana telah lama saya tidak berdepan dengan guru-guru tabika perpaduan. Sebagai orang lama dengan jabatan mungkin mereka yang baru tidak mengenali saya. Apabila habis ceramah tiada soalan sebaliknya tahun depan mahukan saya memenuhi undangan. Mereka yang tidak begitu jelas boleh menghubungi saya menerusi laman blog ini.

Turut hadir dalam ceramah tersebut ialah Ketua Pengarah Datuk Azman, Timbalan Pengarah Hjh Azizah serta mantan Ketua Bahagian En James Wong Kah Min. Mereka adalah rakan lama saya kerana saya bersama dewasa dengan program tabika perpaduan. Sezaman dengan Cikgu Hasan Samad dan Cikgu Narindar Singh yang juga telah bersara.

Sosialisasi kanak-kanak di tadika khususnya program yang dianjurkan oleh Jabatan Perpaduan Negara sebenarnya telah mendahului zaman sebelum diperkenalkan 1 Malaysia. Kanak-kanak di tadika perpaduan terdiri daripada berbilang kaum iaitu Melayu, Cina, India dan etnik-etnik lain. Guru memainkan peranan penting untuk mensosialisasikan kanak-kanak menerusi pelbagai aktiviti pembelajaran dan pengajaran. Perancangan pengajaran yang dirancang menerusi aktiviti kumpulan kecil dan besar boleh mendorong sosialisasi kanak-kanak. Ruang sudut pembelajaran memainkan peranan dalam membentuk sosialisasi kanak-kanak. Perkongsian alat pembelajaran dan kerjasama di kalangan kanak-kanak dapat menyuburkan sosialisasi kanak-kanak.

Tuesday, May 11, 2010

Bengkel Di Port Dickson

Pada hari Isnin 10 Mei 2010 saya diundang untuk memberi ceramah di suatu bengkel pendidikan awal kanak-kanak. Peserta tentunya dari kalangan guru tadika. Jadualnya jam 8.30 malam hingga 10.30 malam. Namun masa yang diperuntukan tidak dapat memenuhi kehendak khalayak. Tanpa disedari ceramah tamat jam 11.00 malam. Mungkin desiran angin di Permaisuri Resort Port Dickson membuat peserta kursus terus segar biarpun seorang dua layu matanya...

Tajuk yang diperuntukan ialah Pendekatan Kaedah Projek dalam Pengajaran dan Pembelajaran bagi Kanak-Kanak 4-6 tahun. Matlamat bengkel tersebut adalah untuk membina bahan pengajaran dan pembelajaran. Penyampaian secara umum dalam pendidikan awal kanak-kanak dengan pendedahan pendekatan pengajaran dan pembelajaran sebagai asas kepada guru-guru yang belum mendapat pendedahan sebenar tentang perkaedahan pengajaran dan pembelajaran. Mungkin terdapat di kalangan guru yang pernah mendapat pendedahan secara umum. Walau bagaimana pun perlu diulangi untuk menyuburkan ingatan yang lampau tentang perkaedahan pengajaran.

Wednesday, May 5, 2010

Bagaimanakah kurikulum pendidikan awal kanak-kanak?

Apabila orang bertanya kepada saya,"Bagaimanakah kurikulum yang sesuai?" Jawapannya ialah terpulang kepada pandangan dan pengangan falsafah seseorang atau sesebuah institusi itu. Ini adalah pandangan yang saya beri sewaktu ditanya oleh wartawan tentang pendidikan prasekolah di Malaysia. Pandangan ini tidak semestinya diikuti tetapi anggaplah sebagai percambahan fikiran untuk menuju kepada satu pencapaian yang diingini.

Apa yang jelas pengetahuan perkembangan kanak-kanak sahaja tidak akan membantu memberikan jawapan kepada pengamal pendidikan awal kanak-kanak untuk merancang program dan kurikulum pendidikan awal kanak-kanak. Saya tertarik dengan pandangan Spodek & Brown (1993) Bredekamp & Rosegrant (1992) mengatakan bahawa program pendidikan adalah hasil keputusan kandungan kurikulum (apa yang kanak-kanak akan belajar), proses pembelajaran (bagaimana kanak-kanak akan belajar), strategi dan pendekatan pengajaran (bagaimana guru akan mengajar), dan kaedah penilaian (bagaimana cara untuk mengetahui apa yang kanak-kanak telah belajar dan bagaimana cara untuk merancang pada masa akan datang).

Program Sarjana Pendidikan Awal Kanak-Kanak

Program ini baru mendapat kelulusan MQA. Saya bersama Dr Puteri Zabariah mengendalikan proram ini bersama dengan rakan pensyarah yang mempunyai kelayakan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Kami ingin mencurah keilmuan dalam bidang yang telah lama kami ceburi. Sekurang-kurangnya akan dapat menyediakan pelapis cendikiawan yang benar-benar memahami dan komited dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.