Tuesday, April 30, 2013

Aktiviti Kreatif Memberi Kepuasan Kendiri Kanak-Kanak

Pengalaman yang melibatkan aktiviti kreativiti dapat memberi kepuasan kepada seseorang yang tidak ada pada keadaan lain dan keupayaan untuk berkreatif dilihat bukan sahaja terpancar tetapi dapat memupuk emosi yang sihat. Pertama, perlakuan merekacipta memupuk perasaan kendiri dan kepuasan diri kanak-kanak. Pembaca boleh menguji dengan bertanya seseorang untuk mengingat kembali perkara yang terakhir sekali mereka menghasilkan sesuatu yang asli. Mungkin sesuatu yang mudah contohnya menghasilkan hiasan kek harijadi temannya - kemudian tanya perasaannya apabila selesai menghasilkan hiasan kek harijadi temannya. Terdapat sesuatu tentang merekacipta hasil yang unik atau idea yang meninggalkan perasaan kepuasan seseorang tentang dirinya.

Monday, April 29, 2013

Meningkatkan Kreativiti Kanak-Kanak

Hasil kajian penyelidik (rujuk penulisan Ahad 28April 2013) boleh dilaksanakan bahawa kita tidak perlu menunggu kanak-kanak berkebolehan istimewa bersama untuk tingkahlaku kreatif di dalam kumpulan kanak-kanak. Keupayaan untuk menjana idea kreatif yang asli dan menghasilkan kepuasan, hasil yang segar terdapat pada semua kanak-kanak. Tingkahlaku kreatif boleh dipertingkatkan menerusi tindakbalas yang betul dan bersesuaian daripada guru.

Sunday, April 28, 2013

Kreativiti Tiada Kaitan Dengan Akademik.

Orang dewasa perlu memahami bahawa kreativiti tidak terhad kepada kebolehan luar biasa yang istemewa seseorang seperti Rembrandt dan Einsteins. Tidak juga semestinya dikaitkan dengan kecerdasan yang tinggi. Hasil kajian yang dilakukan oleh Getzel dan Jakson (1962), Wallach dan Kogan (1965), dan Ward (1968) telah menunjukkan bahawa skor yang tinggi pada ujian kreativiti tidak mempunyai korelasi yang kukuh dengan skor yang tinggi pada ujian akademik atau piawaian pengukuran kecerdasan.

Saturday, April 27, 2013

Pengalaman Lalu Sebagai Asas Kreativiti

Meletakkan pengalaman lalu kepada sesuatu yang baru adalah pernyataan yang baik  diharapkan kanak-kanak berupaya dapat melakukannya apabila mereka menggunakan bahan ekspresi sendiri, bermain secara imaginatif, menyelesaikan masalah atau melahirkan idea baru. Tumpuan atau penekanan kepada keaslian dan tidak menekankan kualiti evolusi yang tidak boleh diaplikasikan kepada kanak-kanak walau pun mereka melalui ujian realiti dan evolusi secara informal. Inilah yang dimaksudkan kreativiti mengikut keupayaan kanak-kanak.

Friday, April 26, 2013

Definisi Kreativiti

Mendefinikan kreativiti yang melibatkan kanak-kanak sememangnya sukar kerana definisi yang diterima secara umumnya bukan sahaja memenuhi keperluan idea atau penghasilan yang luhur tetapi berhubungkait dengan realiti dan diuji kesahihannya. Walau bagaimana pun definisi yang dikemukakan oleh Smith (1966) dalam bukunya Setting conditions for creative teaching in the elementry school adalah bersesuaian untuk keupayaan kreativiti kanak-kanak. Beliau menyatakan kreativiti adalah proses "mengalirkan pengalaman lalu dan mengumpulkan pengalaman yang dipilih kepada corak baru, idea baru atau hasil yang baru."

Thursday, April 25, 2013

Gandingkan kanak-kanak Berpasangan

Mengandingkan kanak-kanak secara berpasangan kadangkala dapat membantu mereka berkawan. Sama ada semasa datang ke tadika menaiki kereta secar berkumpulan atau balik ke rumah main bersama boleh mengukuhkan persahabatan, melakukan tugasan atau berkongsi minat yang sama. Pada jangka panjang terpulang pada kanak-kanak untuk membina persahabatan. Pihak guru hanya mencuba supaya menjadi kenyataan kepada mereka.

Wednesday, April 24, 2013

Meningkatkan Kemahiran Sosial Mengemari Rakan

Guru boleh membantu kanak-kanak kemahiran sosial menyukai semua kanak-kanak. Kanak-kanak perlu dipupuk dan dilatih kemahiran sosial menyukai dan menerima kanak-kanak lain secara terbuka. Contohnya, kanak-kanak yang mula belajar bertanya apa yang dia mahukan umumnya lebih diterima. Contohnya," Boleh saya ambil kereta in?" tanya Hafiza kepada Jufiza. Berbanding dengan kanak-kanak yang terus menerpa dan merampas apa yang disukainya daripada orang lain.

Tuesday, April 23, 2013

Membimbing Cara Berkawan

Membimbing kanak-kanak berkawan menerusi bimbingan dengan mengunakan peneguhan untuk mengurangkan tingkahlaku menyendiri. Sosial meningkat antara kanak-kanak dengan memberi pertimbangan menggunakan peneguhan. Teknik ini sesuai untuk kanak-kanak yang pemalu dan menyendiri. Guru menyediakan batasan sosial apabila kanak-kanak mendekati kumpulan atau berinteraksi dengan rakan mereka. Kanak-kanak yang cuba bersama dengan kumpulan rakan sebaya perlu diberi peneguhan dan ransangan supaya kanak-kanak yang suka menyendiri berkeyakinan dan merasa seronok berada dalam kelompok rakan sebaya.

Monday, April 22, 2013

Faktor Kanak-Kanak Berkawan

Kanak-kanak berkawan bergantung kepada berbagai unsur termasuklah persamaan umur, jantina dan mudah bergaul mesra. Bergitu juga pengaruh kepada kualiti individu yang menarik. Kadangkala terdapat kanak-kanak yang terlalu rapat berkawan sehingga sukar untuk berpisah semasa melakukan aktiviti di dalam kelas taska atau pun tadika. Guru di taska dan tadika perlu peka keadaan ini untuk melatih kanak-kanak menerima setiap kanak-kanak sebagai rakan dalam satu kumpulan.

Sunday, April 21, 2013

Membantu Kanak-Kanak Menyedari Keseronokan Berkawan

Kanak-kanak menjadi lebih berminat mempunyai kawan semasa meningkat usianya. Apabila meningkat usia 5 tahun mereka lebih gemar menghabiskan masa lebih daripada separuh masanya bermain dengan kawan. Keakraban berkawan di antara kalangan kanak-kanak umumnya lebih intim pada usia 5 tahun. Apabila kanak-kanak berada di darjah dua boleh dikatakan mereka mesti memerlukan kawan.

Saturday, April 20, 2013

Menggalakkan Kanak-Kanak Berfikir Situasi Menerusi Diri Sendiri

Apabila kanak-kanak semakin berpengalaman sosial, guru boleh menggalakkan kanak-kanak untuk berfikir tentang situasi menerusi diri sendiri. Guru tidak perlu campur tangan secara terus. Mungkin guru boleh menyelesaikan masalah dua orang kanak-kanak sedang berebut hengak memakai cermin mata di sudut dramatika dengan berkata,"Casidy, Yus memberitahu awak yang dia mahu mencuba memakai cermin mata hitam itu. Bolehkah kamu berdua memikirkan sesuatu terbaik perkara ini?" Jika kanak-kanak ini tidak boleh membuat keputusan barulah guru masuk campur untuk menyelesaikannya.

Friday, April 19, 2013

Selamat Hari Ulang Tahun

Hari ini genap 4 tahun saya menulis di blog ini. Saya mengucapkan terima kasih kepada pembaca setia yang sentiasa memberi sokongan mendaftar sebagai pengikut (follower) blog. Tanpa pembaca tidak akan terhasil penulisan secara santai. Kesempatan ini saya memohon pembaca yang belum mendaftar sebagai pengikut diharap dapat mendaftar tanda anda memberi sokongan terhadap penulisan santai yang serba ringkas dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Saya menulis hanya sekadar berkongsi maklumat apa yang saya tahu. Mungkin pengetahuan yang tidak seberapa ini dapat dimanfaatkan pembaca yang inginkan maklumat dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.

Mendidik Seni Bertolakansur

Berupaya untuk bertolakansur dan berkompromi adalah sebahagian asas belajar bekerjasama. Kanak-kanak berusia empat tahun suka menunjukkan sikap membuat tuntutan dan berupaya untuk menghargai bahawa setiap orang dapat sama seperti yang dikehendakinya apabila tuntutan itu adil atau persetujuan telah dicapai.Contohnya apabila seorang kanak-kanak sedang bermain bongkah kemudian berhenti bermain dan memberitahu guru,"Cikgu saya hendak main yang lain." Tiba-tiba datang kanak-kanak lain untuk menggunakan bongkah. Serta merta kanak-kanak yang bercakap dengan guru berkata,"Tidak boleh. Saya mahu main lagi." Guru perlu menyelesaikan,"Tadi kamu kata sudah habis main. Beginilah ya...kamu main bersama kawan kamu mainan yang kamu sudah gunakan." Kanak-kanak akan menerima dengan senang hati jika mereka mendapat perkara yang sama dan dirasakan adil.

Thursday, April 18, 2013

Model Kerjasama Kesedaran Diri

Satu cara yang berkesan guru boleh menggantikan kerjasama pertandingan kepada model yang dapat membantu kanak sendiri. Apabila tiba masa untuk mengemas bongkah guru boleh memberi isyarat awal dengan berkata," Sudah tiba masa menyimpan bongkah. Mari punggut bongkah dan simpan. Saya mulakan dengan memungut bongkah yang besar. Amri, boleh anda pandu lori ke sini supaya kita boleh isi bongkah?" Amri mungkin enggan, akan tetapi setelah menarik nafas panjang dia mungkin akan datang bersama jika guru berterusan berkerjasama dengan kumpulan kanak-kanak lain menyiapkan tugasan.

Wednesday, April 17, 2013

Perkhidmatan Industri Kanak-Kanak

Di UNITAR International University pelajar-pelajar dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak di bawah Faculty of Early Childhood Studies semasa menjalani latihan industri boleh memilih sama ada sektor pendidikan atau sektor industri. Di sektor pendidikan latihan industri di taska dan tadika. Manakala sektor industri seperti di KidZania dan Royale Bintang Hotel. Biasanya pelajar-pelajar yang memilih sektor industri akan mendapat elaun bulanan. Setelah tamat latihan industri, pelajar yang menunjukkan prestasi cemerlang terus diserapkan kerja.

Pelajar-pelajar di Faculty of Early Childhood Studies lebih awal didedahkan dengan kerja-kerja sambilan di industri yang berkaitan dengan perkhidmatan kanak-kanak. Contohnya pada hujung minggu Sabtu dan Ahad pelajar-pelajar boleh bekerja sambilan di KidZania untuk mempraktikan kursus yang di kuliahkan. Pelajar-pelajar ini mendapat bayaran sebagai kerja sambilan. Pendedahan ini penting sebelum pelajar menjalani latihan industri.

Nilai Berkerjasama Dan Bertolak Ansur

Penekanan kepada nilai kerjasama dan bertolak ansur amatlah digalakkan. Walau bagaimana pun terdapat nilai yang menekankan pertandingan dan kemenangan tidak sepatutnya berlaku.Guru secara tidak sengaja menggunakan cara pertandingan dengan menyatakan,"Oh, lihat baik sungguh Yus memunggut bongkah. Saya yakin Paradip boleh memungut bongkah sebanyak yang boleh," atau "Masa untuk makan murid-murid. Sesiapa yang pertama ke bilik air cuci tangan boleh duduk dekat saya. Ingat jangan berlari!" Teknik ganjaran seperti ini menyebabkan kanak-kanak akan melakukan tugasan dengan mengenepikan kanak-kanak lain dan mengabaikan keseronokan melaksanakan tugasan bersama dengan rakan lain.

Tuesday, April 16, 2013

Pengajian Awal Kanak-Kanak UNITAR International University

UNITAR International University merupa universiti printis dalam bidang awal kanak-kanak dengan memberi penghormatan mengujudkan sebuah fakulti yang mengembangkan bidang ini kepada skop yang lebih luas lagi. Faculty of Early Childhood Studies ditubuhkan untuk memberi pengiktirafan terhadap bidang kanak-kanak bukan sahaja tertumpu kepada pendidikan tetapi meluas ke bidang industri yang yang melibatkan kanak-kanak. Menerusi penubuhan fakulti ini diharapkan dapat mengembangkan bidang-bidang baru yang mengkhususkan kepada kanak-kanak. Masa depan fakulti ini amat cerah kerana setiap pelajar yang bergraduat menjanjikan pekerjaan dalam bidang kanak-kanak selain sebagai pendidik kanak-kanak.

Mendidik Menghormati Hak Orang Lain

Mendidik menghormati hak orang lain dengan menghargai milik persendirian. Kanak-kanak seronok membawa benda-benda dari rumah. Ia adalah penghubung yang menyeronokkan antara rumah dan tadika. Oleh kerana benda-benda itu adalah milik persendirian maka adalah pilihan mereka sendiri sama ada untuk dikongsikan atau tidak. Malahan guru perlu meminta izin," Bolehkah saya tengok benda itu?" sebelum guru mendapatkannya.

Monday, April 15, 2013

Mendidik Kanak-Kanak Tentang Peraturan

Kanak-kanak perlu dididik bahawa peraturan dilaksanakan kepada semua orang. Contoh yang terdekat di tadika atau taska ialah mengendalikan masalah perkongsian. Pada peringkat awal tahun selalunya terdapat seorang dua kanak-kanak yang berebut-rebut daripada menunggu giliran. Oleh itu guru perlu mengawal keadaan daripada berlaku perebutan sehingga mengabaikan mereka yang terdahulu menunggu giliran. Guru perlu memberi penekanan bahawa kanak-kanak perlu menghormati orang lain dan mengikut peraturan sama ada berbaris atau menunggu giliran. "Kamu tidak boleh melanggar peraturan atau mengambil hak orang lain." Apabila dilaksanakan peraturan kepada semua secara tidak langsung jika berterusan diamalkan kanak-kanak akan memahami peraturan yang dilaksanakan oleh guru.

Sunday, April 14, 2013

Membantu Kanak-Kanak Memahami Perasaan Orang Lain

Mengajar kanak-kanak memahami bagaimana perasaan orang lain bukan mudah tetapi tidak mustahil boleh diajar. Salah satu caranya ialah dengan menggalakkan kanak-kanak memberitahu atau menceritakan kepada rakan-rakan mereka apa yang mereka mahu atau apa yang mereka sedang rasai. Hal ini dapat memberitahu kanak-kanak lain tentang emosi seseorang dan keinginannya. Pihak guru perlu menerangkan bagaimana perasaan seseorang dengan tujuan untuk meningkatkan kefahaman rasa simpati dan belas kasihan terhadap orang lain.

Saturday, April 13, 2013

Mendidik Kanak-Kanak Belajar Membantu Orang Lain

Kanak-kanak perlu digalakkan untuk membantu orang lain bukan sahaja di dalam situasi memberi ketenangan ketika kanak-kanak lain dalam kesusahan tetapi juga membantu rakan yang memerlukan bantuan. Contohnya menghulurkan peralatan mainan ketika rakannya memerlukan alat untuk disiapkan. Keadaan ini perlu ditangani dengan betul supaya tidak ada kesan perbandingan antara kanak-kanak. Sebagai contoh daripada berkata,"Mengapa kamu tidak buat seperi Yus. Dia sudah besar," adalah lebih baik dengan mengatakan "Yus baru belajar cara memakai kasut, cuba kamu tanya Yus bagaimana memakai kasut dengan betul? Kanak-kanak selalunya bermurah hati untuk mengajar kemahiran sedemikian kepada rakannya asalkan tidak mengambil masa yang lama. Seandainya terlalu lama akan hilang kesabarannya untuk mengajar rakannya.

Friday, April 12, 2013

Memperhebat Pencapaian Kanak-Kanak

Perkembangan pendidikan awal kanak-kanak di negara kita semakin pesat sejak awal tahun 1970an secara serius telah diperkenalkan menerusi agensi kerajaan seperti KEMAS dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional selain badan bukan kerajaan. Apabila termaktubnya Akta Pendidikan 1996 yang mewajibkan kanak-kanak berusia 6 tahun ke tadika secara tidak langsung pendidikan awal kanak-kanak dilihat semakin penting. Kementerian Pelajaran Malaysia mengambil langkah menumbuhkan kelas prasekolah di sekolah-sekolah rendah. Manakala penubuhan kelas tadika oleh pengusaha persendirian terus digalakkan. Semoga dengan adanya bantuan dan sokongan pihak kerajaan dapat membantu pengusaha tadika persendirian yang turut merancakkan lagi senario pendidikan awal kanak-kanak di negara kita.

Thursday, April 11, 2013

Memahami Perasaan Menerusi Main Peranan

Menggalakkan kanak-kanak main peranan dapat meningkatkan kefahaman dan kepakaan kanak-kanak terhadap perasaan orang lain. Salah satu cara yang biasa digunakan dengan memberi peluang melibatkan diri dalam aktiviti dramatika dan main imginasi yang melibatkan  peranan tentang seseorang. Kanak-kanak disediakan dengan peralatan seperti pakaian bomba, doktor, jururawat, topi kontraktor dan sebagainya. Pengalaman memakai peralatan dan pakaian sesuatu kerjaya dapat memberi kefahaman kepada kanak-kanak terhadap peranan yang dialami oleh seseorang dalam bidang kerjayanya.

Wednesday, April 10, 2013

Membantu Kanak-Kanak Membina Perasaan Belas Kasihan

Salah satu kemahiran sosial yang penting ialah membantu kanak-kanak membina perasaan belas kasihan terhadap perasaan orang lain. Biar pun Piaget berpandangan bahawa kanak-kanak kecil adalah 'egocentric' dan tidak boleh meletakkan keadaan dirinya di tempat orang. Walau bagaimana pun kajian terkini mendapati pengalaman di taman asuhan yang alami oleh guru-guru tidak kesemuanya berlaku. Apbila kanak-kanak membesar dari usia 2 tahun ke 5 tahun andaian peranannya meningkat disertai dengan latihan menjadi lebih sensitif terhadap perasaan orang lain dan memberi kesan terhadap tindakan apabila memahami perasaan tersebut.

Tuesday, April 9, 2013

Membantu Kanak-Kanak Memahami Perkongsian Guru

Kanak-kanak bukan sahaja untuk belajar berkongsi peralatan, mereka juga perlu mempelajari cara untuk berkongsi guru dan perhatian terhadap kanak-kanak lain. Model yang terbaik ialah bermurah hati dan dermawan, di mana setiap orang akan mendapat apa yang diperlukan. Guru perlu mengagihkan kanak-kanak mengikut keperluannya supaya mereka mendapat perhatian dan selesa. Guru tidak perlu bimbang terhadap sikap tidak berlaku adil semasa memberi perhatian kepada kanak-kanak. Terangkan kepada kanak-kanak bahawa setiap orang dapat keistimewaan yang berlainan berdasarkan keperluannya. Serterusnya beritahu bahawa peraturan ini digunapakai untuk semua orang.

Monday, April 8, 2013

Mendidik Kanak-Kanak Belajar Berkongsi Peralatan

Salah satu kemahiran sosial yang perlu ditekankan ialah mendidik kanak-kanak belajar berkongsi peralatan yang juga merupakan aspek murah hati. Peraturan yang jelas perlu dilaksanakan kepada kanak-kanak dan guru hendaklah menyelia dengan betul. Sebagai contoh apabila peralatan tidak mencukupi seperti buaian, guru hendaklah menetapkan peraturan giliran dalam jangka masa tertentu. Maklumkan apabila tiba giliran seterusnya.

Sunday, April 7, 2013

Memupuk Sikap Murah Hati Dan Dermawan

Kajian mendapati kesan yang ditunjukkan daripada guru adalah menerusi gabungan pandangan secara lisan tentang perkara yang berlaku dan menunjukkan contoh kepada kanak-kanak. Oleh itu guru hendaklah meletakkan contoh yang baik dan pada masa yang sama menyatakan apa yang sedang berlaku dengan berbincang dengan kanak-kanak. Contohnya dua orang kanak-kanak sedang bermain bongkah didapati salah seorang ingin mendapatkan bongkah daripada rakannya tetapi tidak mahu berkongsi. Guru mendekati lalu berkata,"Marzuki, tentu awak boleh bantu Mornie bina kapal." Apabila kanak-kanak memberi bongkah kepada Mornie,"Bagus, awak dapat membantu Mornie membina kapal yang cantik."

Saturday, April 6, 2013

Amalan Diet Pemakanan

Amalan diet pemakanan biasanya diberi perhatian seawal bayi dilahirkan sehingga  usia kanak-kanak berusia 4 tahun. Apabila kanak-kanak sudah boleh membuat keputusan memilih dan berupaya kemahiran memasukkan makanan seperti mengunakan tangan atau sudu untuk menyuapkan makanan ke dalam mulut orang dewasa sudah mula terlepas pandang kepentingan makanan yang sesuai untuk kanak-kanak. Kanak mula mencuba apa sahaja makanan yang diberi termasuk makanan yang kurang berkhasiat. Orang dewasa kadangkala mula mengalah dengan permintaan kanak-kanak walau pun makanan tersebut tidak sesuai untuk dimakan. Sikap sambil lewa terhadap diet pemakanan mengakibatkan kesan pada kesihatan seperti obesiti kerana makan makanan yang tidak terhad serta tidak berkhasiat.

Friday, April 5, 2013

Amalan Penjagaan Kesihatan

Bermula bayi dilahirkan ibu bapa amat menitik beratkan penjagaan kesihatan bayi agar pertumbuhan bayi dalam keadaan sihat. Di peringkat kanak-kanak terus diberi perhatian oleh orang dewasa supaya kanak- kanak sentiasa sihat dan cergas. Amalan pemakanan yang sihat dititikberatkan agar pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak berada dalam keadaan yang sihat. Pemakanan yang sihat memberi kesan kepada kesihatan kanak-kanak secara tidak langsung mempengaruhi kesan pembelajaran yang meliputi keseluruhan domain iaitu bahasa, fizikal, kognitif, estetika dan sosio emosi.

Thursday, April 4, 2013

Cadangan Mendidik Kemahiran Sosial Yang Betul

Apabila kanak-kanak kecil mahukan sesuatu anda dinasihatkan untuk memberi perhatian dan membantu. Keperluan kanak-kanak adalah serta merta, mendesak dan personal. Reaksinya untuk menunggu atau memberi pertimbangan hak orang lain mungkin keterlaluan dan memakan masa untuk mengajar membina sikap menunggu sebentar, mengawal perasaannya ke tahap memberi pertimbangan orang lain jika perlu. Kesemua kemahiran ini merupakan keutamaan kepada proses untuk bersosial.

Wednesday, April 3, 2013

Bagaimanakah Kanak-Kanak Menjadi Bersosial?

Perkembangan sosial kanak-kanak bermula sejak lahir lagi. Bayi tersenyum menandakan ingin bersosial dengan orang di sekelilingnya. Ciri kanak-kanak ingin bersosial apabila kelihatan kanak-kanak belajar ingin menjadi seperti orang lain dan boleh bersama dengan mereka hasil daripada mengenalpasti dan peniruan orang yang disukainya dan ganjaran terhadap tingkahlaku sosial. Ada juga bukti menyatakan bahawa kanak-kanak belajar dengan memerhati orang yang lebih berusia darinya dan menjadikan seseorang yang diperhatikan sebagai model untuk ditiru tingkahlakunya.

Tuesday, April 2, 2013

Cara Positif Meningkatkan Keyakinan Diri (4)

Membantu kanak-kanak meningkatkan kemahiran dan kecekapan merupakan sumber luaran keyakinan diri. Walau pun pelbagai aktiviti yang diberikan seperti dapat membantu kemahiran dan kecekapan tetapi masih ada yang perlu dibantu untuk membina gambaran keyakinan diri untuk kanak-kanak. Guru boleh membantu membina sumber dalaman keyakinan diri dengan memupuk kecekapan. Apabila kanak-kanak boleh membuat sesuatu dengan baik sama ada berlatih di sudut permainan atau menyusun bongkah dengan betul sekurang-kurangnya kanak-kanak itu telah mendapat sedikit kemahiran menyakinkan dirinya. Aktiviti kreatif banyak memberikan peluang terbaik untuk memberi pengalaman kecekapan dan kepuasan kepada kanak-kanak.

Monday, April 1, 2013

Cara Positif Meningkatkan Keyakinan Diri (3)

Menghormati kanak-kanak merupakan salah satu cara untuk meningkatkan keyakinan diri kanak-kanak. Satu cara untuk menunjukkan rasa hormat kepada kanak-kanak ialah menghormati keputusan kanak-kanak apabila diberi pilihan. Apabila guru telah memberi peluang untuk kanak-kanak memilih seperti alat permainan,"Apa yang kamu kehendaki adalah sangat penting. Saya percaya kamu lebih tahu daripada saya. Saya beri peluang kamu pilih yang kamu paling minat." Selain daripada itu cara menghormati kanak-kanak jangan sesekali menegur atau mengkritik kanak-kanak di depan khalayak. Kanak-kanak mempunyai harga diri dan mendisiplinkan tingkahlaku depan khalayak akan memberi kesan negatif kepada kanak-kanak.