Monday, October 31, 2011

Perkataan Yang Rasional

Walau pun kanak-kanak taska sudah berusia 4 tahun, perkataan-perkataan perbandingan, membeza dan konsep agak menyukarkan mereka untuk memahaminya. Oleh kerana orang dewasa menekankan tentang buruk dan baik, kanak-kanak mula mempelajari dan cuba memahami secara dalaman membina tentang 'apa itu' dan 'apa yang tidak betul.' Walau pun penggunaan perkataan 'besar' dan 'sedikit' biasa digunakan oleh kanak-kanak taska tetapi mereka menggunakannya berlebihan. Banyak perkataan perbandingan menjadikan kanak-kanak bermasalah menggunakannya. Kadangkala kedengaran "banyak." "banyak lagi" untuk menyatakan kuantiti atau "besar" "besaaar lagi" untuk menyatakan saiz.

Sunday, October 30, 2011

Unsur Jenaka Kanak-Kanak Taska

Selari dengan perkembangan mengikut usia 4 tahun, kanak-kanak taska membina unsur humor atau jenaka dan menjadi sebahagian daripada keriuhan semasa bermain. Selalu berlaku tingkahlaku yang kelihatan kebodohan (silliness). Contohnya kanak-kanak taska menyangka perkara yang dilakukannya itu akan menyeronokkan dengan datang menghampiri guru bernama Sarah dan berkata,"Siapa nama awak, Sarah?" kemudian berlari sambil ketawa.

Kanak-kanak taska mungkin ada yang mengajuk atau meniru dengan mengulangi cara pengasuh atau guru bercakap, menukar suara dan menyanyi beramai-ramai dengan mengubah maksudnya. Guru yang berminat memupuk keupayaan kanak-kanak untuk memahami dan menghargai jenaka dicadangkan cuba merancang aktiviti dan sediakan peralatan yang mencabar keupayaan kanak-kanak untuk menjadikan jenaka.

Saturday, October 29, 2011

Konflik Dan Penyelesaian Kanak-Kanak Taska

Kanak-kanak berusia lingkungan 3-5 tahun walapun seronok bersama rakan sebaya tetapi mereka mudah bertelagah dan mengejek nama. Kadangkala berlaku pertengkaran mulut. Kebiasaannya juga kanak-kanak ini tidak bersetuju terhadap hak memiliki sesuatu objek atau kawasan. Mereka akan menggunakan alasan secara pertuturan untuk memenangi pertelagahan, Kebanyakkan konflik diselesaikan dan mereka meneruskan bermain bersama. Pertuturan membantu kanak-kanak ini untuk menyelesaikan masalah mereka tanpa bantuan orang dewasa.

Friday, October 28, 2011

Kanak-kanak Taska Menunjukkan Keupayaan

Kanak-kanak yang di taska yang berumur 4 tahun didapati suka berbangga dan membuat bising. Mereka akan menggatakan seperti, "Tengok, apa yang saya buat!" cuba menunjukkan keupayaannya dan ingin berkongsi apa yang telah dibuatnya. Orang dewasa hendaklah memberi perhatian dan menghargai hasil usaha yang dilakukannya dengan memberi pujian atau ransangan.

Wednesday, October 26, 2011

Pengaruh Televisyen Dalam Pertuturan Kanak-Kanak

Jangan terkejut jika terdapat pertuturan kenyataan yang ganas pada kanak-kanak taska seperti " Saya tembak kau!" atau "Saya tumbuk kau!" yang kadangkala kedengaran semasa mereka bermain. Perkara ini berlaku kerana kesan menonton televisyen atau drama. Fantasi realiti yang membahagikan dua garisan (antara watak putih/hitam) menjadi keadaan kabur sementara di dalam situasi permainan.

Kanak-kanak tadika yang lebih berusia bercakap mengikut "perwatakan" semasa mengabungkan permainan dramatika. Jika senario bermain pondodk-pondok memegang watak ibu bercakap dengan anak atau watak bayi mereka cuba mengikut pertuturan watak tersebut. Peniruan watak penyanyi atau watak kartun adalah perkara biasa. Mengambil peranan adalah kemahiran penting mematangkan komunikasi seperti dalam main dramatika, main dan improvisasi. Selaini itu memberi kesan memperkembangkan kemahiran berkomunikasi.

Tuesday, October 25, 2011

Bermain Secara Berkumpulan Meningkatkan Kemahiran Bahasa

Kanak-kanak di taska suka bermain secara kumpulan. Main olok-olok menjadi keutamaan. Permainan yang berbentuk membuat sesuatu yang dipercayai merupakan teras aktiviti permainan dalam kumpulan. Contohnya main masak-masak. Kebanyakkan kanak-kanak membesar berkeupayaan untuk;
  1. secara lisan mencadangkan arah baru dan ruang fantasi
  2. terikat dalam rundingan secara lisan
  3. berkompromi
  4. berdebat/berbincang
  5. menjadi ketua kumpulan dengan menggunakan perkataan yang betul.
Kanak-kanak yang popular adalah mereka yang menggunakan pertuturan kreatif dan menjadi teman yang menyeronokan di kalangan kanak-kanak lain.

Monday, October 24, 2011

Pertuturan Sosial Kanak-Kanak Taska

Jika diperhatikan kanak-kanak berusia 4-5 tahun sudah mula menggunakan pertuturan sebagai interaksi sosial dan perbualan boleh didengari dan diterjemahkan lebih luas lagi oleh kanak-kanak lain yang sebaya. Kanak-kanak belajar dan berlatih perbualan yang lebih kompleks termasuk;
  1. mendapatkan perhatian dengan menggunakan hubungan mata, menyentuh atau menggunakan perkataan atau frasa yang mendapat perhatian seperti "Tahu tak?"
  2. terhenti sejenak dan mendengar
  3. memperbetulkan sendiri
  4. menggekalkan tumpuan tanpa berhenti sejenak supaya orang lain tidak masuk campur
  5. mengambil giliran dalam perbualan dengan membina kesbaran dan cuba untuk mendengar sementara dalam pemikirannya 'apa yang dia hendak cakap.'

Sunday, October 23, 2011

Buku Untuk Kanak-Kanak Taska

Kanak-kanak di taska yang usianya meningkat ke 4-5 tahun orang dewasa boleh menjangkakan buku seperti berikut:
  • ayat panjang dengan perkataan yang lebih pada setiap ayat
  • lebih khusus
  • banyak kata kerja
  • meningkatkan pembetulan dalam bentuk kata kerja "akan datang"
  • penggunaan lebih kepada kata kerja sokongan
  • lebih kemahiran kepada kata kerja pasif termasuk " akan buat" dan "telah"
  • perubahan dalam ayat negatif dari "Tidak mahu" kepada "Saya tidak mahu."
  • perubahan dalam bentuk soalan dari "Kereta pergi?" kepada "Ke mana kereta itu pergi?"
  • berubah dari segi kategori mental

Saturday, October 22, 2011

Buku Untuk Kanak-Kanak Awal Taska

Memilih buku untuk kanak-kanak sebenarnya perlu diberi perhatian dari aspek usia kanak-kanak. Di sini saya cuba membahagikan peringkat usia kanak-kanak di taska iaitu kanak-kanak awal taska berusia antara 2 hingga 3 tahun dan kanak-kanak taska berusia 4 hingga 5 tahun (Di Malaysia 5 tahun sudah berada di tadika). Buku-buku bergambar adalah sesuai untuk kanak-kanak awal taska. Pakar-pakar mencadangkan buku untuk kumpulan usia ini perlu mempunyi ciri berikut:
  • tema, objek, haiwan atau orang yang biasa berada dalam lingkungan kehidupannya.
  • kejelasan kandungan dan jalan cerita.
  • jelas, ilustrasi mudah atau gambar foto dengan latar belakang yang tidak menganggu tumpuan.
  • tema yang menumpukan kepada tugas harian dan keperluan asas manusia.

Friday, October 21, 2011

Kejelasan Dalam Pertuturan Kanak-Kanak

Kanak-kanak berusia 3 tahun biasanya pertuturannya tidak jelas. Satu daripada setiap empat perkataan kanak-kanak taska tidak difahami sepenuhnya. Tidak kejelasan ini sebahagiannya disebabkan ketidakupayaan untuk mengawal mulut, lidah, pernafasan dan mendengar sebutan yang berbeza dan perbezaan dalam percakapan. Sebutan konsonan dengan betul akan jelas apabila kanak-kanak ini berusia 7 tahun atau 8 tahun. Kanak-kanak taska hanya boleh menyebut dengan sebutan betul lebih kurang 40 hingga 80 peratus. Ini disebabkan kekurangan untuk menguasai bunyi bahasa.

Thursday, October 20, 2011

Pengulangan Dalam Pertuturan Kanak-Kanak

Pengulangan dalam pertuturan kanak-kanak adalah perkara biasa. Kadangkala berlaku di tempat permainan dan pada suatu ketika pengulangan digunakan untuk tujuan tertentu. Kanak-kanak kecil akan mengulang pada semua perkara yang dikatakan kepadanya. Kanak-kanak taska biasanya akan mengulang perkataan atau sebahagian ayat. Kanak-kanak yang sedang memperkembangkan kemahiran berbahasa cuba mencipta pengulangan yang berirama seperti "pok, pok amai, amai mari tepuk ramai, ramai" membuatkan mereka rasa seronok. Pengulangan perkataan yang berirama membantu kanak-kanak mengingati sesuatu perkara. Contohnya, "Bangun pagi-pagi terus gosok gigi."

Wednesday, October 19, 2011

Memahami Kanak-Kanak Bercakap Sendirian

Kadangkala ibu bapa dan guru di taska atau tadika akan melihat kanak-kanak bercakap sendirian semasa bermain. Perlakuan ini dianggap sebagai proses pemikiran verbal iaitu secara mental bercakap pada diri sendiri. Perlakuan ini akan meningkat apabila kanak-kanak cuba menyelesaikan masalah dan bercakap mengenainya. Pengkaji mendapati beberapa sebab kanak-kanak bercakap sendirian:
  1. bercakap sendiri adalah cara memberi arahan pada diri untuk menentukan tindakan
  2. kanak-kanak memerlukan aktiviti deria motor sebagai pengukuhan disebabkan skema kognitif belum terbina sepenuhnya
  3. lebih berkesan untuk kanak-kanak bercakap tentang ideanya menerusi perkataan daripada berdiam diri atau senyap
Bercakap sendiri boleh membantu kanak-kanak membuat tidakan secara berurutan, mengawal tingkahlaku sendiri, menggunakan mode pemikiran yang fleksible dan matlamat manipulatif yang ingin dicapai oleh kanak-kanak semasa bermain.

Tuesday, October 18, 2011

Memahami Pemikiran Kanak-Kanak Taska

Kanak-kanak taska terbahagi kepada dua iaitu yang berusia antara 2 hingga 3 tahun dan usia 4 tahun. Kanak-kanak yang berusia 3 tahun ke bawah adalah menjadi kebiasaan akan mengatakan kucing kepada semua haiwan yang mempunyai 4 kaki dan binatang yang lebih besar dipanggil lembu. Semua bergantung kepada persekitaran haiwan yang dilihat lebih awal. Jika dia melihat anjing terlebih dahulu makan haiwan yang selepas itu dikategorikan sama kumpulannya. Manakala jika melihat kerbau terlebih dahulu maka haiwan lain yang sama besar dipanggil kerbau juga. Kanak-kanak taska ini menghubungkan semua perkara itu mengikut kesimpulan logikal sebab semua haiwan ini mempunyai rupa bentuk yang sama, saiz yang sama dan disesuaikan dengan perkataan yang sedia diketahui.

Monday, October 17, 2011

Sabar Ketika Mendengar Kanak-Kanak Bercakap

Ibu bapa kadangkala merasa sangat risau apabila anaknya bercakap terhenti-henti atau tergagap-gagap. Menyuruh anak memberi perhatian semasa bercakap dan menaruh harapan yang tinggi untuk membetulkan percakapannya menjadikan rasa tegang dan memburukan keadaan. Semulajadi kelakuan kanak-kanak semasa mula bercakap akan terhenti sebentar, menarik nafas dan mengulangi. Mereka cuba mencari perkataan yang betul akan mengambil masa. Pemikirannya lebih pantas daripada perkataan. Orang dewasa perlu bertenang dan menunggu dengan sabar. Pertuturan adalah proses yang komplek tentang menyampai dan menerima. Mendengar dengan sabar dan bersikap "Saya mendengar" adalah suatu tindakan yang terbaik pada orang dewasa.

Sunday, October 16, 2011

Pertimbangkan Kebenarannya Apabila Kanak-Kanak Menceritakan Sesuatu Perkara

Kanak-kanak berusia 3 tahun hingga 4 tahun sudah mempunyai perbendaharaan kata sebanyak 800 perkataan. Kanak-kanak ini mula menggunakan perkataan "tidak" atau "tidak boleh". Begitu juga kata arah atau kedudukan sesuatu benda seperti "atas" ataupun "dalam". Menjelaskan tentang masa seperti "siang" dan "malam." Apabila berusia 4 tahun hingga 5 tahun kanak-kanak dianggarkan sudah mempunyai lebih 1,500 perkataan. Pada masa ini kanak-kanak sudah boleh bercakap dengan jelas. Membina ayat menggunakan lima dan enam perkataan. Malahan mereka boleh membuat cerita. Pada masa ini orang dewasa hendaklah berhati-hati tentang kesahihan cerita yang direka oleh kanak-kanak ini. Terus galakkan kanak-kanak ini berkomunikasi dan membetulkan cerita jika tidak sesuai. Semasa kanak-kanak berumur 5 tahun hingga 7 tahun telah mengguasai lebih kurang 11,000 perkataan. Kanak-kanak pada usia ini sudah boleh menceritakan semula dan berbincang cerita yang didengar, Mereka mempunyai banyak perkataan dan terus meningkat sehingga boleh mengetahui lebih daripada 50,000 perkataan seperti orang dewasa.

Saturday, October 15, 2011

Jangan Bosan Melayani Pertanyaan Kanak-Kanak

Semasa kanak-kanak tatih berusia antara 10 hingga 14 bulan perkataan pertama biasa disebut ialah kata nama. Kanak-kanak peringkat ini tidak menyebut kata kerja. Antara 12 bulan hingga 18 bulan kanak-kanak tatih ini suka melihat sesuatu (atau orang), menunjuk dan kemudian menyebut satu atau dua perkataan. Kesalahan sebutan merupakan suatu kebiasaan. Dianggarkan kanak-kanak di peringkat ini menyebut dua perkataan seminggu. Perbendaharaan kata kanak-kanak tatih semakin meningkat apabila berusia 18 bulan hingga 24 bulan sebanyak 200 perkataan. Terdapat kanak-kanak tatih pada peringkat usia 18 bulan-24 bulan yang berterusan bertanya "Apa itu?" atau cuma menyebut "Tu?" Kanak-kanak ini mahukan nama objek. Terdapat orang dewasa atau ibu bapa yang merasa bosan untuk menjawab pertanyaan yang sama berkali-kali.

Pada peringkat usia 2 tahun hingga 3 tahun kanak-kanak sudah menguasai lebh kurang
500 perkataan. Ibu bapa dan orang dewasa dinasihatkan jangan bosan kerana kanak-kanak di peringat ini sepanjang masa suka menyoal,"Kenapa?" Layanilah persoalan yang ingin diketahui dengan memberi penerangan mudah untuk memuaskan perasaan ingin tahu kanak-kanak ini.

Friday, October 14, 2011

Ciri Buku Kanak-Kanak Tatih

Tidak semua buku yang terdapat di pasaran sesuai untuk kanak-kanak tatih. Mungkin panduan ini dapat membantu untuk membeli buku yang sesuai untuk kanak-kanak tatih. Buku kanak-kanak tatih hendaklah:
  • terdapat pengulangan dan boleh dijangka/diramal
  • berirama
  • ilustrasi mudah, perkara kebiasaan, mudah dikenalpasti objek berwarna, haiwan, mainan dan sebagainya
  • dipenuhi dengan rasa, sentuhan dan peluang untuk menghidu
  • kukuh dan mudah diselak halamannya
  • set perkataan sedikit pada setiap halaman
  • cerita yang pendek, ringkas serta mudah jalan ceritanya tentang perkara yang biasa, kehidupan harian dan pengalaman persekitaran
  • ilustrasi terancang yang dipadankan pada teks di setiap halaman

Thursday, October 13, 2011

Peranan Keluarga Membina Perkembangan Komunikasi Kanak-Kanak

Sikap keluarga terhadap keupayaan komunikasi bayi akan mempengaruhi kemajuan perkembangan bayi. Sikap ini merupakan asas awal perkongsian yang paling kritikal antara orang dewasa dan kanak-kanak merasakan kasih sayang yang erat. Keluarga yang stress dengan kerjaya, kesibukan seharian dan kurang menekankan kualiti berinteraksi akan menghilangkan perkembangan bahasa kanak-kanak.

Nasihat terbaik untuk keluarga, tidak perlu risaukan tentang pengajaran sebaliknya beri ruang dan sokongan emosi persekitaran di rumah. Persekitaran yang terbaik adalah salah satu perkara yang dapat memberi peluang dan merapatkan hubungan berbanding dengan persekitaran dan alatan yang mahal. Kajian terkini menunjukkan keluarga mula sentiasa bercakap tentang apa yang diminati oleh kanak-kanak dari segi luaran dan dalaman. Keluarga juga perlu mengetahui kanak-kanak yang bercakap lambat atau cepat menunjukkan tidak ada perbezaan keupayaan bercakap apabila kanak-kanak telah berusia 3 tahun,

Wednesday, October 12, 2011

Memilih Buku Kanak-Kanak Tatih

Orang dewasa dan ibu bapa boleh membacakan buku kepada kanak-kanak seawal usia 12 bulan. Kajian mendapati kanak-kanak peringkat ini belajar tentang corak bunyi dalam perkataan dan bagaimana bunyi itu terbentuk. Teknik membaca buku termasuklah membaca sesuatu yang menyeronokkan apabila orang dewasa menggunakan nada suara yang sederhana dan penuh ekspressi, menggunakan geraktubuh atau menunjukkan sesuatu apabila menyebutnya, menggalakkan kanak-kanak memberi perhatian, membiarkan kanak-kanak meyelak halaman buku, membuat suara haiwan atau sesuatu bunyi. Peraturannya aktiviti membaca bersama berhenti melakukan aktiviti sebelum minat kanak-kanak pudar.

Orang dewasa atau ibu bapa mendapati kanak-kanak seronok mengulangi buku yang sama semasa membaca bersama. Ada ibu bapa yang gemar berkongsi membaca buku bergambar. Ibu bapa akan mencari petunjuk (cues) dalam buku seperti objek yang biasa dikenali, peristiwa yang dialami, bunyi, warna dan sebagainya untuk memberi keseronokan kanak-kanak. Contohnya,"Ini macam kucing kita, Si Hitam!" Pendidik awal kanak-kanak menyedari ilustrasi berwarna dapat menarik perhatian kanak-kanak untuk aktiviti menamakan dan menunjukkan pada rupa bentuk dalam buku. Pendidik awal kanak-kanak berusaha untuk menggunakan ilustrasi yang sesuai untuk disesuaikan dengan pengalaman lalu kanak-kanak.

Tuesday, October 11, 2011

Menggalakkan Membaca Kanak-Kanak Tatih

Mengalakkan membaca bermula daripada rumah bukan di sekolah. Seawal usia bayi dan tatih lagi. Kajian menunjukkkan keluarga dan pengasuh yang mempunyai pandangan bahawa membaca adalah sumber keseronokan dan hiburan memberi kesan kepada anak yang mempunyai sikap positif tentang buku dan pengalaman membaca. Orang dewasa hendaklah memberi perhatian dan menjadikan "masa membaca buku kanak-kanak tatih" sebagai masa untuk bersantai dan berseronok bukan dijadikan masa sebagai menyampaikan maklumat yang terdapat di dalam buku. Semakin kerap keluarga bercakap dengan kanak-kanak tatih, melagukan, membaca buku bergambar bersama, menunjuk dan menamakan objek, semakin mengukuhkan daya ingatan minda dan kurang melenyapkannya.

Kanak-kanak tatih menunjukkan minat pada yang mudah, buku berwarna, bergambar dan merasakan keseronokan apabila orang dewasa bersama dan memberi perhatian. Menunjuk dan menamakan boleh menjadikan pemainan yang menyeronokkan. Buku tebal halamannya yang mudah di selak membantu kanak-kanak tatih.

Monday, October 10, 2011

Membacakan Buku Kepada Bayi

Kajian oleh Zambo & Hansen (2007) mencadangkan dari lahir hingga 3 bulan membaca dengan jelas (read-alouds) adalah semata-mata hubungan emosi antara bayi dengan ibu/pengasuh. Memberi perhatian, suara yang menenangkan adalah lebih penting daripada jenis buku atau kandungan cerita. Mendodoi dan cerita nyanyian dan jenis pengulangan, berirama memberi penglaman yang menyeronokkan dan keselesaan kepada bayi serta menyelesakan bayi. Aktiviti ini juga dapat membina masa bersama yang istimewa untuk bayi dan ibu/pengasuh.

Usia antara 6 bulan dan 12 bulan terdapat bayi yang akan duduk dan melihat buku bergambar dengan orang dewasa. Suara pembaca yang menyebabkan kanak-kanak ini memberi perhatian. Kemesraan, keadaan yang selesa dan suara pembaca membuatkan kombinasi yang menyeronokkan kanak-kanak.

Sunday, October 9, 2011

Amalan Yang Bersesuaian Semasa Berkomunikasi Dengan Kanak-Kanak Tatih

Tingkahlaku orang dewasa sangat penting semasa berkomunikasi dengan kanak-kanak tatih untuk memperkembangkan bahasanya. Berdasarkan panduan yang dikenalpasti oleh National Assosiation for the Young Children (NAEYC) dinyatakan bahawa 'orang dewasa perlu kerap bertutur dengan berdepan satu-ke-satu, memandang wajah-ke-wajah, Orang dewasa membenarkan kanak-kanak tatih memulakan berbahasa dan menunggu untuk bertindakbalas biarpun daripada kanak-kanak yang menggunakan bahasa terhad. Orang dewasa boleh menamakan objek, menerangkan peristiwa dan menggalakkan menimbulkan perasaan seronok mempelajari perkataan baru. Orang dewasa juga boleh mempermudahkan bahasa untuk kanak-kanak tatih semasa memulakan perbualan (Contohnya yang tidak sesuai diamalkan; "Masa untuk membasuh tangan sebelum makan." Sebaliknya amalan bersesuaian; "Mari cuci tangan untuk makan").

Saturday, October 8, 2011

Persekitaran Meransang Kanak-Kanak Tatih Berbahasa

Kanak-kanak tatih perlu disediakan secara optimal persekitaran untuk meransang berbahasa. Berikut antara panduan yang mungkin boleh pertimbangkan ibu bapa atau pengasuh di taska;
  • mendedahkan kepada kanak-kanak dengan pertuturan sama ada mudah atau tidak terlalu komplek tetapi sedikit tinggi dari aras yang biasa.
  • sentiasa berada di aras keupayaan kanak-kanak
  • membuang pertuturan yang tidak bersesuaian tetapi terus menggalakkan percubaan
  • peneguhan positif adalah alat yang berkesan berbanding maklumbalas negatif
  • menerima formula kanak-kanak tentang konsep bahasa
  • menyediakan model yang betul
  • sentiasa bertindakbalas positif
  • mengikuti minat kanak-kanak dengan menamakan dan perbincangan mudah.

Friday, October 7, 2011

Bahasa Kanak-Kanak Tatih

Kanak-kanak tatih menggunakan bahasa yang ringkas dengan menggunakan dua perkataan dikenali sebagai bahasa telegram dan prosodi. Bahasa telegrafic sebab menghilangkan banyak perkataan kerana kanak-kanak keupayaannya terhad untuk meluahkan (express) dan mengingati maklumat yang banyak; bahagian paling penting dalam ayat dikekalkan. Prosodi merujuk kepada penggunaan suara kanak-kanak dan perkataan yang ditekankan untuk memberi makna. Contohnya "Bola adik" bermaksud "Bola itu miliknya;" Maksud selalunya bergantung kepada kontek dan nada sebutan.

Thursday, October 6, 2011

Pertuturan Antara Tatih-Orang Dewasa

Apabila berusia setahun kanak-kanak tatih telah memahami banyak perkataan. Mereka mula menunjukkan secara giliran dalam perbualan menerusi tingkahlaku "anda bercakap, saya jawab." Tumpuan bersama bermula semasa umur 10 bulan. Masa ini bayi membina komunikasi dalaman dan bersedia untuk berkongsi perasaan, hasrat, minat. Keadaan ini boleh boleh berlaku hendaklah sama-sama iaitu bayi dan orang dewasa menumpukan kepada perkara yang sama. Komunikasi biasanya mengandungi satu atau lebih seperti melihat, menunjuk, geraktubuh, memberi, membuat bunyi dan menukar ekspresi wajah.

Wednesday, October 5, 2011

Permulaan Ayat Pertama Kanak-Kanak Tatih

Bermula satu perkataan kanak-kanak tatih seusia 18 bulan mula menggunakan dua perkataan sebagai ayat. Dianggarkan kanak-kanak pada usia ini telah mempunyai 50 perkataan sebagai perbendaharaan kata. Pada usia 36 bulan dijangka telah mempunyai 1,000 perkataan. Kanak-kanak ini menggunakan dua patah perkataan sebagai ayat dengan memberi penekanan kepada perkataan yang ingin ditumpukan. Contoh "Nak lagi", "Saya punya".

Tuesday, October 4, 2011

Perkataan Pertama Bayi

Pengulangan pada sukukata seperti ma, pa, dan ba semasa bayi meronyeh/merepek (babbling) berlaku sehingga penghujung usia setahun. Jika mama atau baba atau perkataan yang ditiru itu bunyi yang terdekat ibu bapa dan pengasuh akan memberi perhatian dan seronok. Perkembangan bahasa melalui proses dua hala iaitu reaksi dan maklumbalas kepada pelakuan.

Monday, October 3, 2011

Pembelajaran Bahasa Menerusi Pembinaan Pengalaman

Kanak-kanak membina kecekapan berbahasa menerusi interaksi dengan persekitaran. Dipercayai kanak-kanak membina teori tentang pengalaman dan kemudian menghubungkaitkan sesuatu yang telah berlaku. Selanjutnya menerusi pertambahan pengalaman kehidupannya berlaku ulangkaji dan pertambahan penyelesaian penerangan. Maksudnya kanak-kanak semakin meningkat usianya akan membetulkan penguasaan bahasa dengan mengaitkan sesuatu yang pernah dialaminya. Guru dan ibu bapa dilihat melibatkan diri bersama kanak-kanak untuk mendedahkan pengalaman menerusi kepelbagaian aktiviti yang menarik seperti aktiviti penyelesaian masalah.

Sunday, October 2, 2011

Pembelajaran Bahasa Menerusi Saling Hubungan Persekitaran

Kecekapan berbahasa dibina daripada asas sosial dan keinginan emotional. Kanak-kanak secara semulajadi aktif, ingin tahu dan menerima/menyesuaikan dan terbentuk dari hubungan dengan manusia dan persekitaran. Bahasa dipelajari untuk tujuan perhubungan dengan orang lain. Peranan orang dewasa adalah bersedia, mencipta dan menyediakan persekitaran dan peristiwa untuk kanak-kanak meneroka dan menjelajah tentang pengetahuan bahasa secara semulajadi. Teori ini juga sebagai teori kognitif saling berhubungan diperkenalkan oleh L. S. Vygotsky dan kebanyakan hasil penulisannya dalam buku Thought and Language.

Saturday, October 1, 2011

Pembelajaran Bahasa Secara Lahiriah

Terdapat teori pembelajaran bahasa secara lahiriah atau semulajadi. Teori ini menyatakan bahawa setiap manusia mempunyai keupayaan mental yang dapat menguasai sebarang bahasa yang didedahkan kepadanya sejak lahir lagi. Menurut teori ini alat kemahiran bahasa individu mempunyai pelbagai set peraturan (tata bahasa)sistem bahasa. Semasa kanak-kanak bersama dengan keluarga, tanggapan terbit secara semulajadi dan tanpa disedari alat bahasa digunakan dan kanak-kanak belajar bahasa ibundanya.