Thursday, December 30, 2010

Prinsip Pengajaran Bahasa Kanak-Kanak Tatih - Prinsip 7

Prinsip 7:Guru Bahasa Menggalakkan Pertuturan
Sebaik sahaja kanak-kanak tatih berupaya untuk menghubungkan bunyi dan perkataan, pendidik hendaklah menggalakkan kanak-kanak tatih cuba bercakap. Pendidik boleh melakukan ini dengan tidak bertindakbalas (responding) secara serta merta kepada keperluan yang difahami sebelum kanak-kanak tatih mengucapkan perkataan tersebut. Pendidik juga boleh mengalakkan pertuturan dengan bertanya soalan yang boleh dijawab oleh kanak-kanak tatih dengan sepatah atau dua perkataan. Pendidik cuba jangan mengecewakan kanak-kanak tatih. Walau bagaimana pun pendidik boleh meminta kanak-kanak tatih menyebut perkataan sebelum memberi sesuatu objek kepada kanak-kanak jika kanak-kanak tidak bercakap.

Kadangkala pendidik boleh menggalakkan pertuturan dengan menggunakan peralatan di persekitaran taska seperti alat permainan, boneka, gambar dan objek yang menarik boleh digunakan.

Wednesday, December 29, 2010

Prinsip Pegajaran Bahasa Kanak-Kanak Tatih - Prinsip 6

Prinsip 6: Guru Bahasa Membetulkan Secara Tidak Langsung
Kanak-kanak tatih terlalu banyak untuk menyerapkan ke dalam mindanya bahasa yang betul dan penggunaan perkataan. Dalam proses pembelajaran bahasa, kebiasaanya berlaku kesilapan kerana kanak-kanak membuat tanggapan yang semua perkara itu sama. Pendidik hendaklah mengulang semula idea kanak-kanak dan membetulkan pengucapannya bukan terus mengatakan kesalahan perkataan atau ungkapannya. Kanak-kanak tatih cepat membetulkannya sendiri tanpa merasa kecewa. Menurut kajian Brazelton (1974) mendapati terlalu memberi penekanan secara berterusan membetulkan sebutan pertuturan menjadi salah satu punca kelewatan berbahasa.

Tuesday, December 28, 2010

Prinsip Pegajaran Bahasa Kanak-Kanak Tatih - Prinsip 5

Prinsip 5:Guru Bahasa Menghubungkan Perkataan Dengan Tindakan Dan Pengalaman
Kanak-kanak tatih mempelajari perbendaharaan kata menerusi sesuatu perkaitan hubungan. Umpamanya gerak tubuh, menunjukkan sesuatu dan menggunakan sesuatu isyarat tanpa berbahasa. Kesemuanya ini dapat membantu perkembangan bahasa. Guru bahasa pula menggunakan perkataan untuk menerangkan sesuatu perkara dan setiap perkataan yang digunakan mengandungi makna.

Apabila pendidik menyatakan tindakannya dan aktiviti kanak-kanak tatih, perkaitan hubungan membantu kanak-kanak tatih mengenalpasti makna atau maksudnya. Pendidik hendaklah menyediakan sesuatu yang menarik seperti berbagai objek, gambar dan pengalaman di persekitaran kanak-kanak tatih yang dapat mendorong komunikasi.

Monday, December 27, 2010

Pegajaran Bahasa Kanak-Kanak Tatih - Prinsip 4

Prinsip 4: Guru Bahasa Memperkembangkan
Salah satu strategi yang berkesan mengajar bahasa kanak-kanak tatih adalah mengembangkan pada pengucapan (utterances) asal, menambah perbendaharaan kata (vocabulary) dan idea. Memperkembangkan (expensions) dengan memasukkan perkataan yang tertinggal atau memberikan perkataan yang lebih tepat dan mengembangkan idea yang telah dimulakan oleh kanak-kanak. Perkembangan ini adalah penting untuk perkembangan kognitif dan bahasa kanak-kanak.

Sunday, December 26, 2010

Pegajaran Bahasa Kanak-Kanak Tatih - Prinsip 3

Prinsip 3: Guru Bahasa Menggunakan Bahasa Mudah
Orang dewasa mempermudahkan pertuturannya hanya lebih komplek daripada tahap kanak-kanak. Contohnya apabila kanak-kanak bercakap dua perkataan dalam satu ayat, orang dewasa menggunakan tiga atau empat perkataan. Penggunaan ayat yang panjang dan komplek dikurangkan tetapi jangan tidak digunakan langsung. Kadangkala terdapat penggunaan ayat komplek membantu pembinaan struktur tatabahasa.

Saturday, December 25, 2010

Prinsip Pengajaran Bahasa Kanak-Kanak Tatih - Prinsip 2

Prinsip 2: Guru Bahasa Sebagai Model
Kanak-kanak tatih bergantung kepada pertuturan orang dewasa sebagai contoh perbendaharaan kata (vocabulary). Menerusi pertuturan orang dewasa kanak-kanak tatih memerlukan bantuan orang dewasa untuk mendapatkan sari pati (extracting) kefahamannya tentang penggunaan penggunaan bahasa dengan betul. Kanak-kanak tatih mengharapkan orang dewasa selalu bercakap dengan jelas dan nyata, pengucapan (enunciating) yang lebih jelas daripada pertuturan biasa orang dewasa dan memberi penekanan terhadap kata kunci (key words). Semua itu dilakukan dalam bentuk peneguhan positif (positive reinforcement) bukan pembetulan secara negatif.

Sebagai model bukan sahaja untuk pertuturan mekanis tetapi juga perbualan secara logistik untuk membuatkannya jelas apabila bercakap kepada seseorang kanak-kanak tatih, menunggu pada tindakbalas kanak-kanak tatih sebelum bertutur lebih jauh lagi.

Friday, December 24, 2010

Prinsip Pegajaran Bahasa Kanak-Kanak Tatih - Prinsip 1

Prinsip 1: Guru Bahasa Bertindakbalas
Jika kanak-kanak tatih ingin meneruskan perkembangan bahasanya, kanak-kanak itu sendiri perlu mengerti bahawa usahanya bertutur adalah penting. Jika pertuturannya tidak mendapat perhatian dan layanan orang dewasa, kanak-kanak tatih segera mempelajari bahawa bahasa itu tidak bernilai atau tidak diperlukan. Biarpun perkataan pertama yang dituturkan oleh kanak-kanak tatih tidak difahami, orang dewasa boleh menggunakan kontek dan bahasa isyarat (non-verbal cue) sebagai usaha untuk memahami dan bertindakbalas.

Thursday, December 23, 2010

Peralatan Dan Aktiviti Pembelajaran Deria Motor Halus

Perhatian perlu diberi dalam perancangan untuk menekankan peralatan yang dapat membantu kanak-kanak tatih kepada melakukan penerokaan (exploration) deria motor halus ( sensorimotor learning), termasuk menguji semua ciri objek dan menemui cara baru menggunakan sesuatu peralatan yang biasa digunakannya. Ini bermakna majoriti peralatan perlu peralatan jenis terbuka (open-ended) iaitu peralatan terbuka yang boleh digunakan berbagai cara dan berupaya digunakan apabila permainan semakin komplek.

Wednesday, December 22, 2010

Perancangan Mengajar Di Taska

Ramai yang beranggapan pendidik kanak-kanak tatih di taska tidak perlu membuat merancang pengajaran. Begitu juga mereka yang beranggapan inisiatif pembelajaran datangnya daripada kanak-kanak tatih maka rancangan pengajaran tidak perlu disediakan. Pendidik kanak-kanak tatih yang berkesan pastinya merancang pengajaran. Perancangan pengajaran untuk kanak-kanak tatih dirancang berdasarkan perkara berikut:
  • Merancang berdasarkan kepada pemerhatian tahap perkembangan.
  • Perancangan mengambilkira sesuatu gaya pembelajaran (learning style) kanak-kanak tatih, corak interaksi dengan bahan, pergerakan kepada aktiviti lain, berbalik kepada pengulangan pengalaman.
  • Merancang berdasarkan kepada minat.
  • Merancang kurikulum pendekatan projek untuk membolehkan kanak-kanak tatih membuat hubungan antara pengalaman yang berlainan.
  • Membuat catatan pada helaian kertas panduan rancangan mengajar untuk kelas.

Tuesday, December 21, 2010

Nama Taska

Menamakan taska hendaklah mengikut garis panduan yang telah ditetapkan mengikut Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 (Akta 308);
BAHAGIAN I
PERMULAAN
12. Di tempat masuk ke premis tiap-tiap taman atau berhampiran dengannya hendaklah ditunjukkan suatu papan atau lain-lain bentuk pemberitahu yang menunjukkan nama dengan mana taman itu didaftarkan dengan huruf-huruf yang terang dalam Bahasa Kebangsaan.

13. Perakuan pendaftaran hendaklah ditunjukkan di tempat yang jelas di taman yang berhubung dengannya perakuan itu dikeluarkan.

Monday, December 20, 2010

Renungan

Merujuk Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak;

BAHAGIAN II
PERLANTIKAN DAN TUGAS-TUGAS PEKERJA
6.(2) Seorang penjaga kanak-kanak yang diambil bekerja di suatu taman hendaklah dilatih dalam penjagaan kanak-kanak atau ada mempunyai pengalaman yang cukup dalam jagaan kanak-kanak.

Merujuk kepada borang permohonan yang perlu dinyatakan;

Borang II

AKTA TAMAN ASUHAN KANAK-KANAK 1984
(Seksyen 7)
PERMOHONAN UNTUK PENDAFTARAN TAMAN ASUHAN KANAK-KANAK

6.(e) Latihan releven

(i) Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak yang diiktiraf oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.
(ii) Kursus lain mengenai asuhan kanak-kanak

Sunday, December 19, 2010

Menggalakkan Menyelaras Sendiri

Memberi ruang kepada kanak-kanak untuk menyelaras sendiri (self-regulation). Orang dewasa hendaklah memberi galakkan kanak-kanak mengatur aktivitinya seberapa banyak yang boleh apabila mereka telah menguasai sesuatu aktiviti secara sendirian. Bermakna orang dewasa juga membenarkan kanak-kanak ini bergelut (grapple) dengan soalan dan masalah. Orang dewasa hanya campurtangan apabila kanak-kanak benar-benar terdesak atau menghadapi kesukaran yang benar-benar memerlukan pertolongan. Semasa orang dewasa campurtangan kedudukan kanak-kanak masih lagi bertanggungjawab membuat keputusan menerusi dorongan orang dewasa.

Saturday, December 18, 2010

Meletakkan Kanak-Kanak Di lingkungan ZPD

ZPD akronim kepada 'zone of proximal development' adalah ruang dinamik yang dijangka pembelajaran dan perkembangan berlaku. ZPD juga boleh didefinisikan sebagai jarak antara apa yang kanak-kanak boleh capai semasa menyelesaikan masalah secara sendirian dan apa yang mereka boleh capai dengan bantuan orang dewasa atau dengan bantuan daripada ahli masyarakat dalam sesuatu budaya.

Terdapat dua cara ZPD boleh dicapai:
(1) menstrukturkan tugasan dan persekitaran supaya keperluan kanak-kanak pada bila-bila masa diberi mengikut tahap cabaran yang sesuai.
(2)
menyesuaikan secara berterusan kadar campur tangan orang dewasa kepada keperluan semasa kanak-kanak dan keupayaannya.

Friday, December 17, 2010

Mesra dan Bertindakbalas

Salah satu komponen penting 'sokongan orang dewasa' menerusi interaksi nada yang beremosi. Maksudnya apabila kesediaan kanak-kanak menghadapi tugasan dapat dipertingkatkan apabila kolabrasi orang dewasa yang menyenangkan, mesra, bertindakbalas dan memberi pujian secara lisan (verbal) dan menghargai kebolehan kanak-kanak dengan cara yang betul. Contohnya,"Ya, bagus, awak boleh buat!."

Thursday, December 16, 2010

Intersubjektiviti

Intersubektiviti merujuk kepada proses di mana dua orang yang mengambil bahagian memulakan tugasan dengan kefahaman yang berbeza membawa kefahaman yang sama. Keberkesanan gabungan aktiviti ini apabila orang yang mengambil bahagian mempunyai matlamat yang sama. Secara tidak langsung gabungan atau kolabrasi dan komunikasi yang berkesan dapat dicapai untuk menghasilkan matlamatnya. Jika salah seorang cara berfikir berbeza dengan seorang lagi, maka orang pertama tidak dapat membimbing orang yang kedua secara berkesan.

Tajuk perbincangan ini masih berdasarkan sokongan orang dewasa (rujuk sokongan orang dewasa 13/12/10)

Wednesday, December 15, 2010

Menghadapi Masalah Bersama

Keberkesanan sokongan apabila orang dewasa menggalakkan kanak-kanak lain turut sama berinteraksi untuk menyelesaikan masalah secara kolabratif dan mencuba bersama-sama mencapai matlamatnya. (Rujuk sokongan orang dewasa 13/12/2010). Menghadapi masalah bersama boleh terdiri daripada 'orang dewasa'-'kanak-kanak' atau kumpulan 'kanak-kanak'-'kanak-kanak'. Apa yang penting kanak-kanak berinteraksi dengan seseorang manakala yang lain bersama cuba mencapai matlamat.

Tuesday, December 14, 2010

Bengkel Menu Makanan Kanak-Kanak Taska

Pada Sabtu 11 Disember dan Ahad 12 Disember 2010 Demonstrasi Penyediaan Menu dan Masakan di Universiti Tun Abdul Razak khusus untuk kanak-kanak taska. Pakar pemakanan diketuai oleh Assoc. Prof. Dr. Naim Kamari dan dibantu oleh Chef Nik Malawati yang berkelayakan dalam bidang pemakanan. Turut serta pengusaha taska dan pelajar. Terima kasih kepada En. Mohd Yusof (Yusof Gajah) bersama En. Nazmi (jurugambar) yang merakamkan aktiviti dan jawatkuasa bengkel tersebut. Sekiranya ada yang berminat kami sedia memberi khidmat mengadakan kursus dengan bilangan peserta yang terhad.

Monday, December 13, 2010

Sokongan Orang Dewasa

Merujuk kepada prinsip pengajaran taska iaitu Prinsip 5 Sokongan Orang Dewasa yang dibincangkan sebelum ini (Saturday December 12, 2010) ada beberapa komponen orang dewasa saling menyokong pembelajaran kanak-kanak peringkat bayi dan tatih. Komponen-komponen tersebut adalah seperti berikut;
  • turut sama menyelesaikan masalah
  • intersubjektiviti
  • mesra dan bertindakbalas dengan nada emosi
  • meletakkan kanak-kanak dalam ZPD
  • menggalakkan menyelaras sendiri
...bersambung.

Sunday, December 12, 2010

Prinsip Pengajaran Taska: Prinsip 6

Prinsip 6: Peranan orang dewasa sebagai rakan kongsi - Apabila kanak-kanak tatih mendatangi orang dewasa, interaksi orang dewasa dengan kanak-kanak tatih sebagai rakan kongsi bukan sebagai pemimpin yang dominan. Rakan kongsi menggunakan kemahiran pemerhatian dan sokongan. Pendidik sepenuh hati menunjukkan minat menyokong dan menghargai pembelajaran yang serious menerusi main. Pendidik melakukannya dengan tumpuan yang positif dan membenarkan penemuan positif. Memberikan kerjasama sebagai rakan kongsi dengan hentian sejenak (tidak terus melakukan mengikut cara orang dewasa), mengikut giliran dan memerhati sesuatu mengikut perpektif kanak-kanak tatih.

Saturday, December 11, 2010

Prinsip Pengajaran Taska: Prinsip 5

Prinsip 5:Sokongan orang dewasa - Bermaksud orang dewasa menyokong kepada langkah seterusnya dalam belajar dan bermain sebagaimana yang dibincangkan dalam teori Vygotsky. Semasa dalam sokongan, orang dewasa hendaklah melihat apa yang kanak-kanak tatih telah dicapai kemudian pertimbangkan beberapa kemungkinan pembelajaran yang boleh dibina daripada situ.

Friday, December 10, 2010

Prinsip Pengajaran Taska: Prinsip 4

Prinsip 4: Pemerhatian orang dewasa - Maksud pemerhatian orang dewasa adalah mempelajari tahap keupayaan dan minat sebelum membuat keputusan awal tentang bahan; kemudian bagaimana kanak-kanak tatih menggunakan bahan dan cara terbaik untuk bertindakbalas terhadap inisiatif tatih; menggunakan hasil pemerhatian untuk keputusan seterusnya tentang bahan yang akan dikembangkan dan diperkukuhkan pada pembelajaran semasa; dan meneruskan pemerhatian pada setiap langkah kitaran pembelajaran.

Di kawasan permainan pendidik hendaklah menempatkan dirinya didudukan strategi untuk memerhati secara maksimum. Pendidik membuat pemerhatian semasa berinteraksi, membimbing, memberi ketenteraman dan mengemas.

Thursday, December 9, 2010

Prinsip Pengajaran Taska: Prinsip 3

Prinsip 3: Inisiatif Kanak-Kanak - Pendidik kanak-kanak taska yang merasakan bahawa mengajar bermaksud memberitahu sesuatu atau "masa untuk belajar", mereka ini perlu memberi pertimbangan untuk menambahbaikan gaya mengajarnya. Pendidik hendaklah berperanan sebagai pemerhati dan sentiasa sedia ada jika diperlukan oleh bayi atau kanak-kanak tatih apabila kanak-kanak ini bersedia bertindakbalas untuk berbual, bimbingan atau mendapatkan idea daripada orang dewasa. Bertindakbalas terhadap inisiatif tatih, pendidik dapat memberi pengukuhan dalam strategi "pembelajaran untuk belajar" yang dianggap lebih penting dalam pembelajaran yang diajar.

Wednesday, December 8, 2010

Prinsip Pengajaran Taska: Prinsip 2

Prinsip 2: Bahan adalah kurikulum - Pemilihan bahan hendaklah yang menarik, jujur dan mencabar merupakan kunci untuk lanjutan kepada deria motor tatih meneroka. Pendidik mempunyai peranan utama memilih jenis bahan untuk kanak-kanak sama ada terlalu mudah sehingga cepat menghilangkan minat, atau terlalu sukar sehingga mengecewakan untuk mencuba menggunakannya. Oleh itu untuk menyelesaikan masalah tersebut, penggunaan bahan terbuka (open ended) kanak-kanak boleh menggunakannya dalam berbagai cara bergantung kepada keupayaan dan tahap minat mereka.

Tuesday, December 7, 2010

Prinsip Pengajaran Taska: Prinsip 1

Prinsip 1: Persekitaran adalah segala-galanya - Pendidik perlu menyedari tentang membuat keputusan berhubung dengan susun atur bilik. Secara fizikal susunan ruang main membolehkan orang dewasa dapat diperlukan pada bila-bila masa oleh kanak-kanak semasa membenarkan kanak-kanak bebas melakukan tugasannya sendiri. Penekanan terhadap kepentingan persekitaran membantu pendidik untuk bergerak dari jangkaan peranan pengajaran secara dominan kepada fokus pada tatih sebagai dominan dalam mengarah (memilih sendiri) pembelajarannya.

Monday, December 6, 2010

Prinsip Pengajaran Kanak-Kanak Tatih

Mengajar dan mendidik kanak-kanak tatih (2-3 tahun) tidak semudah mengajar kanak-kanak tadika. Tidak boleh menggunakan pengajaran orang dewasa kepada kanak-kanak tatih. Tidak ada kebaikannya memberi kawalan untuk membuat kanak-kanak tatih mengikut arahan formal. Kanak-kanak tatih menetapkan kadar kelajuan dan gaya pembelajaran.Berdasarkan ciri-ciri bimbingan kanak-kanak tatih pihak penyelidik seperti Dr. Burton White menerusi Harvard Preschool Project, The Brookline Early Education Project dan New parents as Teacher Program telah menggariskan prinsip pengajaran kanak-kanak tatih seperti berikut;
  • Prinsip 1 - Persekitaran adalah segala-galanya
  • Prinsip 2 - Bahan adalah kurikulum
  • Prinsip 3 - Inisiatif tatih
  • Prinsip 4 - Pemerhatian orang dewasa
  • Prinsip 5 - Sokongan orang dewasa
  • Prinsip 6 - Peranan orang dewasa sebagai rakan kongsi

Sunday, December 5, 2010

Mendisiplin Atau Peraturan Sendiri?

Kanak-kanak di taska adalah di bawah jagaan pengasuh. Tugas pengasuh selain mendidik secara tidak formal adalah menjaga keselamatan kanak-kanak. Keselesaan kanak-kanak sementara ketiadaan ibu bapa di taska adalah tanggungjawab pengasuh. Apakah masalahnya kepada pengasuh yang bertindak di luar jangkaan? Mungkin pembaca dapat memberi pandangan dan pendapat untuk meningkatkan mutu perkhidmatan pengasuhan kanak-kanak di Malaysia. Pandangan dan pendapat anda amat dihargai. Terima kasih.

Saturday, December 4, 2010

Kecuaian Atau Kemalangan?

Bayi mati tersedak susu seolah-olah menjadi perkara biasa apabila dipaparkan di akhbar. Mungkin ada berlaku di tempat lain yang tidak dapat dilaporkan. Siapakah yang harus dipertanggungjawabkan dalam hal begini? Apakah langkah pihak berwajib, ibu bapa dan pihak taska? Harapan saya mohon para pembaca memberi pandangan dan pendapat untuk penambahbaikan perkhidmatan di taska dan profesion (kerjaya) pendidikan awal kanak-kanak di taska.

Friday, December 3, 2010

Pemikiran Kanak-Kanak Taska: Simbolik

Berfikiran simbolik merupakan ciri kanak-kanak praoperasi. Kanak-kanak di taska berupaya memikirkan secara mental menggambarkan simbolik objek, peristiwa dan tindakan. Keupayaan pemikiran simbolik apabila meningkat apabila bahasa digunakan membolehkan kanak-kanak taska berfikir ke hadapan, menyelesaikan masalah, menjangka akibat tanpa melakukan aktiviti untuk tindakan.

Thursday, December 2, 2010

Pemikiran Kanak-Kanak Taska: Pertimbangan

Pertimbangan (reasoning) sesuatu perkara oleh kanak-kanak taska kelihatan hanya dipermukaan sahaja apabila dibandingkan dengan kanak-kanak yang lebih berumur daripadanya. Keadaan ini berlaku dipengaruhi kepada memberi sebab 'sesuatu perkara kepada sesuatu perkara.' Contoh,' Anjing sebelah rumah menyalak, kejar saya, semua anjing menyalak kejar saya.'

Kanak-kanak taska mengandaikan sebab dan kesan antara satu peristiwa rapat pada satu masa atau menghubungkan antara perkara dengan sebenar hanya di permukaan sahaja. Contoh, 'Saya sakit sebab pergi ke rumah nenek.'

Wednesday, December 1, 2010

Pemikiran Kanak-Kanak Taska: Maujud

Pemikiran kanak-kanak taska di peringkat praoperasi cirinya adalah maujud atau konkrit. Kanak-kanak taska berupaya memahami objek sebenar, situasi sebenar dan sesuatu yang berlaku dialami sendiri atau pengalaman pertama. Mereka menghadapi kesukaran dengan idea yang abstrak, sesuatu di luar pengetahuannya, sesuatu yang didengar dinyatakan dengan menggunakan perkataan sahaja.

Tuesday, November 30, 2010

Pemikiran Kanak-Kanak Taska: Lurus

Kanak-kanak peringkat praoperasi tidak boleh membalikkan pemikiran secara mental sesuatu tindakan yang membawa kepada penghujung atau penamat. Mereka hanya memberi tumpuan kepada penamat atau permulaan sesuatu perkara tanpa memahami apa yang berlaku di pertengahannya.

Monday, November 29, 2010

Pemikiran Kanak-Kanak Taska: Egosentrik

Kanak-kanak di taska peringkat praoperasi masih berfikiran egosentrik. Fikiran egosentrik bermaksud kanak-kanak berfikir berdasarkan pandangan dirinya dan tidak berupaya melihat pandangan orang lain. Pandangan terhadap dunia persekitarannya adalah satu-satunya pandangan yang diterima dan hanya pandanganya itu sahaja yang diambil perhatian. Kanak-kanak peringkat praoperasi tidak mempunyai keupayaan kognitif untuk memahami apa yang orang lain lihat daripada perspektif lain selain pandangan dirinya.

Sunday, November 28, 2010

Pemikiran Praoperasi Kanak-Kanak Taska

Operasi adalah pembalikan pemikiran mental di mana objek atau pengalaman yang diubah boleh kembalikan kepada asal. Contoh operasi mental adalah 1 + 2 = 3, dan 3 - 2 = 1. Proses tambah adalah pembalikan pengurangan (tolak atau 'minus'). Kanak-kanak taska di peringkat praoperasi tidak dapat mengekalkan (conserve) secara mental kerana mereka tidak memahami jumlah, kuantiti, isi padu (volume) walau pun rupa dari segi bentuk, saiz dan dimensi berubah. Contoh segumpal tanah liat yang sama berat tidak dapat dibezakan isi padu apabila digentel memanjang seperti ular.

Pemikiran kanak-kanak taska masih di peringkat praoperasi. Pada peringkat praoperasi kanak-kanak adalah sukar untuk memahami apabila diperkenalkan membaca dan matematik seperti yang dilakukan menerusi amalan traditional yang menekankan menerusi hafalan dan latih tubi (pengulangan) bukan pemahaman.

Saturday, November 27, 2010

Ciri Pemikiran Kanak-Kanak Taska

Terdapat perbezaan kognitif antara kanak-kanak berumur 2 tahun dan 5 tahun. Secara umum ciri perbezaan kognitif dapat dilihat:
2 tahun
Matlamat melampaui keinginannya; merasa kecewa jika percubaannya tidak mencapai matalamat yang diingini (contoh apabila cuba sesuatu peralatan mainan tidak berjaya akan mengecewakannya).

Tidak mempunyai pemikiran tentang urutan masa lalu, kini dan masa depan tetapi boleh menjangka urutan fizikal mengikut tindakannya sendiri

5 tahun
Menguasai sesuatu penyediaan bahan peralatan mudah.

Mula melihat urutan menerusi dirinya tentang masa lalu, kini dan masa depan tetapi sukar untuk menghubungkannya dengan orang lain.

Friday, November 26, 2010

Pemikiran Kanak-Kanak Taska: Pemusatan

Kanak-kanak taska lebih menumpukan kepada satu aspek pada sesuatu situasi dan melupakan perkara yang lain. Konsep pemikiran kanak-kanak taska terhad hanya memahami satu perkara yang dilihat. Kefahaman sebenar berasaskan kepada keseluruhan gambaran. Mereka keliru dengan gambaran sebenar. Contohnya kanak-kanak akan mengatakan besi yang seberat 1 kg lebih berat berbanding kapas yang sama beratnya.

Thursday, November 25, 2010

Perbezaan Pemikiran Kanak-Kanak Di Taska Dan Tadika

Pandangan ahli psikologi Piaget boleh dijadikan panduan untuk memahami cara pemikiran kanak-kanak di taska dan tadika. Piaget menyatakan bahawa kanak-kanak berfungsi pemikiran kognitifnya bermula dari usia dua tahun hingga tujuh tahun dikenali sebagai peringkat praoperasi. Pada peringkat praoperasi terbahagi kepada dua;
  • 2-4 tahun apabila kanak-kanak mula menggunakan corak tindakan yang sama kepada sesuatu diluar dirinya
  • 4-7 tahun apabila kongitif menjadi semakin canggih membolehkan kanak-kanak memahami sesuatu kemungkinan dan hubungkait sesuatu perkara.
Walau bagaimana pun pemikiran peringkat praoperasi kanak-kanak taska terhad pada perkara tertentu sahaja.

Wednesday, November 24, 2010

Daya Pemikiran Kanak-Kanak

Kanak-kanak di taska berfikir tidak sama seperti kanak-kanak yang berada di sekolah rendah. Merujuk kepada pandangan Piaget bahawa pemikiran dan fungsi kognitif kanak-kanak berusia dua hingga tujuh tahun masih di tahap praoperasi. Maksudnya pada peringkat ini kanak-kanak masih belum berupaya untuk menyatakan hubungan logikal yang sebenar dalam pemikirannya. Kanak-kanak pada peringkat ini hanya menyatakan sebab dari suatu perkara kepada suatu perkara bukan memahami sesuatu kes mempunyai perkaitan dengan keseluruhan set yang memungkinkan sesuatu kes itu.

Tuesday, November 23, 2010

Penyeliaan Kanak-Kanak Di Taska

Penyeliaan kanak-kanak di taska hendaklah mengikut nisbah yang sesuai. Mengikut piawaian (standard) National Association for Education of Young Children (NAEYC) nisbah dewasa dan kanak-kanak adalah seperti berikut:
Bayi (lahir - 12 bulan)
6 orang bayi nisbahnya 1 dewasa: 3 orang bayi
8 orang bayi nisbahnya 1 orang dewasa: 4 orang bayi
Tatih (12-24 bulan)
6 orang tatih nisbahnya 1 orang dewasa: 3 orang tatih
8 orang tatih nisbahnya 1 orang dewasa: 4 orang tatih
10 orang tatih nisbahnya 1 orang dewasa 5 orang tatih
12 orang tatih nisbahnya 1 orang dewasa 4 orang tatih
2 (24-30 bulan)
8 orang kanak-kanak nisbahnya 1 orang dewasa 4 orang kanak-kanak
10 orang kanak-kanak nisbahnya 1 orang dewasa 5 orang kanak-kanak
12 orang kanak-kanak nisbahnya 1 orang dewasa 6 orang kanak-kanak
2 1/2 (30-36 bulan)
10 orang kanak-kanak nisbahnya 1 orang dewasa 5 orang kanak-kanak
12 orang kanak-kanak nisbahnya 1 orang dewasa 6 orang kanak-kanak
14 orang kanak-kanak nisbahnya 1 orang dewasa 7 orang kanak-kanak
3 tahun
14 orang kanak-kanak nisbahnya 1 orang dewasa 7 orang kanak-kanak
16 orang kanak-kanak nisbahnya 1 orang dewasa 8 orang kanak-kanak
18 orang kanak-kanak nisbahnya 1 orang dewasa 9 orang kanak-kanak
20 orang kanak-kanak nisbahnya 1 orang dewasa 10 orang kanak-kanak
4 tahun
16 orang kanak-kanak nisbahnya 1 orang dewasa 8 orang kanak-kanak
18 orang kanak-kanak nisbahnya 1 orang dewasa 9 orang kanak-kanak
20 orang kanak-kanak nisbahnya 1 orang dewasa 10 orang kanak-kanak

Monday, November 22, 2010

Keselamatan Kanak-Kanak Di Taman Permainan

Peranan guru dan pengasuh kanak-kanak menyelia sewaktu kanak-kanak bermain adalah menjadi keutamaan semasa aktiviti luar dijalankan. Antara perkara yang perlu diberi perhatian:
  • nisbah orang dewasa dan kanak-kanak
  • peralatan yang digunakan semasa aktiviti dijalankan
  • kawasan yang dianggap mudah membahayakan perlu diberi perhatian

Sunday, November 21, 2010

Keselamatan Permainan Kanak-Kanak: Jambatan

Kanak-kanak suka bermain di jambatan sama ada di taman permainan awam atau di institusi taska/tadika. Membina jambatan mainan kanak-kanak di taska atau tadika perlu spesifikasi keselamatan yang sesuai untuk setiap peringkat umur kanak-kanak. Berikut dicadangkan spesifikasi jambatan yang mempunyai ciri keselamatan untuk kanak-kanak:
  • jambatan mempunyai 72 inci (1800mm) zon tanpa gangguan.
  • pelantar mainan untuk kanak-kanak 2-5 tahun adalah lebih dari 20 inci (510mm) di tutup dengan kawalan penghadang ketinggian maksimum 23 inci (580mm) di bahagian bawah (penghujung) dan 29 inci (740mm) tinggi di bahagian atas.
  • pelantar mainan untuk kanak-kanak 5-12 tahun adalah lebih dari 30 inci (710mm) tinggi ditutup dengan kawalan penghadang 28 inci (710mm)di bahagian bawah penghujung dan 38 inci (970mm) tinggi di bahagian atas.

Saturday, November 20, 2010

Keselamatan Permainan Kanak-Kanak: Kayu Pengimbang

Kayu pengimbang (balance beam) selalunya dijadikan mainan kanak-kanak untuk meniti batang kayu sambil mengimbang badan. Jika ingin meletakkan peralatan kayu pengimbang ciri keselamatan berikut perlu diberi perhatian:
  • kayu pengimbang perlu zone tanpa gangguan 75 inci (1800 mm) keluasannya
  • kayu pengimbang untuk kanak-kanak 2-5 tahun ketinggiannya 12 inci (300mm)
  • kayu pengimbang untuk kanak-kanak 5-12 tahun ketinggiannya 16 inci (410mm)

Friday, November 19, 2010

Keselamatan Permainan Kanak-Kanak: Gelongsor

Gelongsor merupakan salah satu alat permain yang menjadi kegemaran kanak-kanak bermain. Bagaimanakah spesifikasi keselamatan gelongsor yang selamat digunakan oleh kanak-kanak? Antara yang dicadangkan adalah seperti berikut:
  • kecerunan (slope) tidak lebih dari 30 darjah
  • ketinggian minimum 2.5 kaki, aras selamat setinggi 7.5 kaki
  • dek lantai 10 inci lebar
  • bahagian keluar 16 inci panjang selari pada tanah dan keinggiannya 8 inici - 12 inci serta 24 inci bahan lembut di bawahnya seperti tanah atau pasir.

Thursday, November 18, 2010

Keselamatan Permainan Kanak-Kanak: Buaian

Adakah anak anda atau kanak-kanak di taska atau tadika selamat menggunakan buaian? Sejauhmana ciri-ciri keselamatan buaian diambil berat oleh pengusaha taska, tadika dan pengeluar produk? Persoalan ini perlu ditangani oleh mereka yang terlibat. Berikut adalah cadangan untuk keselamatan buaian:
  • jarak antara buaian antara 24 inici.
  • jarak antara buaian dengan tiang 36 inci.
  • jarak lebih luas jika menggunakan buaian tayar.
  • buaian mempunyai tempat duduk yang padan dan sesuai dengan beratnya.
  • buaian bayi mempunyai tali pinggang keselamatan dan tempat duduk yang dikhaskan
  • buaian jenis haiwan tidak dibenarkan
  • penyangkok S perlu ditutup.
  • ketingggian dari tanah 8 inci ke 10 inci.

Wednesday, November 17, 2010

Peralatan Dan Bahan Permainan Kawasan Luar

Peralatan dan bahan permainan kawasan luar kanak-kanak di taska hendaklah dipilih mengikut kesesuaian kanak-kanak. Berikut adalah cadangan senarai peralatan dan bahan yang boleh digunakan sewaktu merancang permainan kawasan luar di taska:
  1. peralatan seni lukis
  2. mainan yang sesuai untuk permainan kawasan terbuka seperti bola dan gelung rotan/plastik
  3. bahan binaan seperti bongkah
  4. props dramatika
  5. bahan semulajadi seperti haiwan, sangkar/kandang haiwan, benih dan peralatan, alatan bercucuk tanam
  6. mainan pasir/air
  7. mainan beroda

Tuesday, November 16, 2010

Zon Permainan Luar Kanak-Kanak Taska

Zon permainan luar adalah kawasan atau ruang aktiviti yang disediakan untuk kanak-kanak taska bermain dan mendapatkan pengalaman. Jumlah zon permainan bergantung kepada keluasan kawasan. Berikut adalah beberapa cadangan zon permainan yang boleh digunakan untuk aktiviti kanak-kanak:
  1. main pasir
  2. main air
  3. main dramatika
  4. memanjat
  5. menolak/menarik atau menunggang
  6. membina
  7. larian terbuka
  8. bercucuk tanam
  9. rehat/ketenangan

Monday, November 15, 2010

Jenis Permainan Kanak-Kanak Taska

Kawasan permainan luar hendaklah menyediakan pengalaman kepada kanak-kanak semasa bermain. J.Johnson, Christie & Yawkey (1987) memberikan empat jenis permainan pengalaman:
  1. permainan berfungsi atau pergerakan yang melibatkan latihan atau pengulangan aktiviti motor kasar.
  2. permainan konstruktif yang melibatkan penggunaan bahan seperti warna atau pasir untuk direkacipta.
  3. permainan dramatik atau permainan olok-olok yang selalunya dilakukan di tempat tertutup.
  4. permainan berkumpulan atau permainan yang melibatkan lebih daripada seorang kanak-kanak.

Sunday, November 14, 2010

Kawasan Permainan Luar Kanak-Kanak Taska

Kanak-kanak taska yang berusia antara 3 hingga 4 tahun adalah berbeza dari kanak-kanak tatih. Kawasan permainan luar hendaklah memenuhi keperluan kemahiran perkembangan motor, peningkatan kemahiran kognitif dan memupuk perkembangan interaksi dengan rakan sebaya. Kanak-kanak taska masih memerlukan struktur yang menggabungkan deria, penerokaan, aktiviti pergerakan yang lebih mencabar daripada kanak-kanak tatih.

Saturday, November 13, 2010

Kawasan Permainan Luar Kanak-Kanak Tatih Di Taska

Kanak-kanak tatih memerlukan kawasan yang berpagar mempunyai permukaan untuk menggalakkan memaut, memegang, dan menendang. Kanak-kanak tatih seronok menggunakan buaian khusus untuk peringkat tatih. Kawasan permainan untuk kanak-kanak tatih hendaklah yang boleh mendorong deria (sense) lihat kanak-kanak seperti membayangkan atau menggambarkan (visual) dan deria pendengaran. Contoh deria penglihatan adalah mengadakan arus laluan berwarna, cermin dan prisma. Contoh deria pendengaran pula seperti loceng angin yang digantung dan kesan bunyi-bunyian semulajadi (deruan angin dari pokok, nyanyian burung). Laluan berjalan juga sesuai diadakan untuk kanak-kanak tatih.

Friday, November 12, 2010

Kemalangan Di Taska


Kemalangan bayi di taska masih lagi berlaku hingga kini. Apakah langkah untuk mengelakkan kemalangan yang meragut nyawa bayi di taska? Jika keadaan ini berterusan ibu bapa tidak akan merasa tenang dan sentiasa merasa bimbang akan keselamatan anak-anak mereka di taska.

Kepada pembaca diharap dapat memberi pandangan dan cadangan cara untuk mengatasi masalah kemalangan bayi di taska. Pandangan dan cadangan anda amat saya hargai.

Thursday, November 11, 2010

Kawasan Luar Untuk Bayi Dan Tatih

Bayi dan tatih memerlukan udara segar dan cahaya matahari. Mereka suka untuk meneroka di persekitaran luar. Bagaimanakah reka bentuk kawasan luar untuk bayi dan tatih? Kawasan untuk bayi dan tatih hendaklah diukur dengan saiz keselamatan kanak-kanak kecil, keselesaan dan kaya dengan aktiviti penerokaan. Terdapat tiga kriteria penting merancang kawasan luar untuk bayi dan tatih:
  1. mengikut ukuran saiz kanak-kanak yang selamat, selesa dan kaya dengan penerokaan.
  2. mesti selamat untuk pelbagai aktiviti
  3. memenuhi keperluan penerokaan deria motor kanak-kanak kecil.

Wednesday, November 10, 2010

Meningkatkan Kualiti Pengasuhan Di Taska

Kanak-kanak perlu pengasuhan, pemupukan dan tindakbalas persekitarannya. Kanak-kanak memerlukan rasa selamat, dihargai, keperluan fizikal dipenuhi, psikologiakalnya selamat apabila berada bersama dalam sesuatu komuniti. Keadaan ini akan membentuk rasa selamat, mengetahui mereka dijaga dan diasuh. Kanak-kanak yang merasakan dirinya selamat, didorong dan dijaga akan berusaha untuk meneroka, mencuba dan menguasai persekitarannya.

Ciri-ciri taska yang mempunyai komuniti berkualiti:
  • rutin harian dan perancangan yang anjal (flexible) dan mudah disesuaikan dengan keperluan dan minat kanak-kanak secara perseorangan atau kumpulan.
  • pengasuh atau profesional mendengar dan bertindakbalas kepada keperluan kanak-kanak, penemuan, minat dan memberi dorongan apabila kanak-kanak merasa hampa.
  • pengasuh atau profesional membuat pemerhatian secara sistematik kepada setiap kanak-kanak untuk melihat kemahiran dan pendekatan pembelajaran dan penerokaan, gaya interaksinya.

Tuesday, November 9, 2010

Pengesan Kebakaran Di Taska

Langkah mengawal kebakaran di taska adalah dengan meletakkan alat pengesan asap (smoke detectors). Alat pengesan ini akan memberi amaran untuk menyelamatkan diri daripada kebakaran di bangunan. Minta nasihat pegawai bomba untuk meletakkan di tempat yang sesuai. Jika pengasuhan di rumah, alat pengesan asap kebakaran hendaklah diletakkan pada seling di luar tempat tidur. Anda juga perlu minta nasihat daripada pegawai bomba kesesuaian meletakkan pengesan asap kebakaran.

Monday, November 8, 2010

Langkah Menggelakkan Kemalangan Mainan Kanak-Kanak

Sebelum menggunakan mainan kanak-kanak anda perlu memeriksa dan mengambil langkah berjaga-jaga untuk keselamatan kanak-kanak di taska. Berikut langkah untuk memeriksa mainan kanak-kanak untuk mengelakkan bahaya:
  • Hujung tajam, bergergaji di tepi dan permukaan yang kasar
  • Terlalu kecil bentuknya dan mudah dicabut bahagiannya. Kanak-kanak akan memasukkan ke mulut tercekik di rongga, hidung atau telinga
  • Mainan bertali untuk tidak melebihi 12 inci panjangnya
  • Skrew, bolt dan pengunci yang longar
  • Mainan yang terlalu kuat bunyinya akan merosakkan pendengaran
  • Bahagian mainan yang boleh melantun(terbang dan membalik) dan membahayakan mata atau bahagian lain

Sunday, November 7, 2010

Mainan Kanak-Kanak Yang Membahayakan

Alat permainan kanak-kanak adalah untuk menyeronokkan dan sepatutnya dapat membantu pembelajaran. Walau bagaimana pun terdapat permainan kanak-kanak yang membahayakan contohnya kelemahan pada reka bentuknya, mainan yang tidak sesuai mengikut umur, mainan yang tidak betul cara penggunaannya. mainan yang terpecah atau patah.

Saturday, November 6, 2010

Tumbuhan Beracun

Berhati-hati dengan tumbuh-tumbuhan di sekitar taska. Jika terdapat tumbuhan yang membahayakan perlu dijauhkan daripada kanak-kanak.Ajar kanak-kanak tidak membenar memakan tumbuhan yang tidak diketahui. Jika kanak-kanak keracunan memakan tumbuhan segera hubungi Jabatan Kesihatan dan ikut arahan yang diberikan. Tumbuhan yang bergetah dan berduri perlu dijauhkan daripada kanak-kanak. Anda boleh merujuk Jabatan Pertanian untuk mendapatkan keterangan lanjut tentang tumbuhan yang mengandungi racun dan membahayakan kanak-kanak.

Friday, November 5, 2010

Bahan Seni Lukis Yang Membahayakan

Tanpa disedari kanak-kanak di taska terdedah dengan bahan seni lukis yang membahayakan. Contohnya lahan tanah liat kering jenis serbuk (sebelum diadun menjadi tanah liat) yang mengandungi bahan silika atau 'asbestos'. Pastikan semasa membeli bahan tanah liat kandungnya tidak mengandungi bahan merbahaya. Lap permukaan tempat aktiviti menggunakan tanah liat dengan span basah sehingga bersih. Elakkan menggunakan warna pastel, kapur atau dry marker' yang menghasilkan debu atau habuk. Dicadangkan menggunakan kryon, pastel minyak dan warna air. Orang dewasa hendaklah mencampurkan warna terlebih dahulu sebelum kanak-kanak menggunakannya.

Thursday, November 4, 2010

Nombor Telefon Panggilan Kecemasan

Siapakah yang perlu dihubungi sekiranya berlaku kecemasan kepada kanak-kanak di taska? Nombor telefon panggilan kecemasan untuk menghubungi sentiasa di lekatkan berhampiran telefon:
  • Penggilan kecemasan hospital atau klinik
  • Pejabat Bomba
  • Pejabat Polis
  • Pejabat Kesihatan
Sentiasa kemaskinikan nombor telefon yang perlu dihubungi pada setiap kanak:
  • Nombor telefon ibu bapa atau penjaga yang boleh dihubungi semasa waktu bekerja ketika kanak-kanak di bawah jagaan anda
  • Panel doktor atau klinik kanak-kanak sekiranya ada
  • Jiran terdekat kanak-kanak

Wednesday, November 3, 2010

Mengatasi Keracunan Di Taska

Apakah langkah yang perlu diambil jika sekiranya terdapat kanak-kanak keracunan di taska? Tindakan segera perlu dilakukan dengan memanggil pegawai perubatan ke taska anda. Sebenarnya kanak-kanak boleh mendapat keracunan menerusi banyak cara seperti ubatan, alat pembersihan (sabun, spray serangga) dan tumbuh-tumbuhan. Simpan semua bahan beracun di dalam stor yang berkunci dan tidak boleh didekati oleh kanak-kanak. Jika anda fikir kanak-kanak telah keracunan terus memanggil pegawai perubatan dengan segera. Ikut arahan mereka.

Tuesday, November 2, 2010

Peralatan Membahayakan Perlu Disimpan

Dilarang mendedahkan peralatan tajam seperti pisau, parang, pisau cukur, garpu tajam, dan peralatan dapur yang membahayakan perlu disimpan atau diletakkan tempat yang tidak dapat diambil oleh kanak-kanak peringkat bayi dan tatih di taska. Pengasuh perlu mengawasi pergerakan bayi dan tatih daripada memasuki tempat menyimpan peralatan yang membahayakan. Kealpaan mengawasi kanak-kanak ini akan mengundang bahaya.

Pastikan peralatan permainan di taman seperti cangkul, penyeduk dan pengorek tanah tidak diperbuat daripada besi. Peralatan yang hendak digunakan hendaklah diperbuat daripada plastik untuk kanak-kanak bermain pasir di taman permainan. Sentiasa mengawasi kanak-kanak semasa bermain pasir.

Monday, November 1, 2010

Menyimpan Objek Berbahaya

Langkah awal untuk keselamatan kanak-kanak di taska dinasihatkan semua objek yang dianggap berbahaya seperti beg plastik, tali dan objek kecil hendaklah disimpan. Kanak-kanak taska mudah tercekik pada objek yang kecil apabila memasukkannya ke dalam mulut. Makanan yang kecil seperti kacang, sayuran belum dimasak, gula-gula, popcorn dan buah anggur boleh menyebabkan tercekik. Alat mainan yang boleh dicabut-cabut peralatannya menjadi bahagian kecil hendaklah disimpan. Belon dan tali langsir yang tergantung atau tali bidai juga boleh mendatangkan bahaya kepada kanak-kanak kecil.

Sunday, October 31, 2010

Memartabatkan Pengasuhan Kanak-Kanak

Bajet 2011 memperuntukkan RM121 juta memberi fokus kepada perkhidmatan kanak-kanak yang berkualiti. Bujet ini diberikan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di bawah program bantuan kanak-kanak dengan harapan 97,000 kanak-kanak akan dapat memanfaatkannya. Secara tidak langsung bujet ini menumpukan kepada perkhidmatan di taska iaitu kanak-kanak di bawah umur 4 tahun. Jabatan Kebajikan Masyarakat yang mengelolakan program perkhidmatan kanak-kanak sewajarnya dipertanggungjawabkan oleh pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk memikirkan peningkatan kualiti perkhidmatan pendidikan kanak-kanak di taska.

Memberi perkhidmatan berkualiti bukan sahaja melibatkan kualiti pasarana di taska tetapi juga latihan pengasuhan yang berkualiti perlu diberi perhatian. Program latihan pengasuh hendaklah diberi keutamaan memandangkan peranan pengasuh dan pendidik awal kanak-kanak ini sebagai asas perkembangan pendidikan awal kanak-kanak yang perlu diterima oleh kanak-kanak sebelum melangkah pendidikan selanjutnya. Mereka yang terlibat dalam bidang ini perlu jelas tanggungjawabnya dan kualiti perkhidmatan yang perlu dilaksanakan di taska.

Saturday, October 30, 2010

Tahniah Graduan Universiti Tun Abdul Razak

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua graduan Universiti Tun Abdul Razak yang telah berjaya dan menerima ijazah pada Majlis Konvokesyen hari ini Sabtu 30 Oktober 2010.


Bintang tujuh sinar berseri,
Bulan purnama datang menerpa;
Ajaran guru hendak dicari,
Mana yang dapat janganlah lupa.


Cantik berseri bunga melati,
Mekar indah di dalam taman;
Cendikiawan berilmu sedia berbakti,
Kelak dikenang zaman berzaman.

Friday, October 29, 2010

Melarang Kanak-Kanak Menyeberang Sendiri Di Jalanraya

Ajar kanak-kanak supaya mereka sentiasa memegang tangan orang dewasa semasa menyeberang jalan. Ingatkan kanak-kanak menyeberang jalan hanya bersama orang dewasa sahaja. Sebaik-baiknya gunakan lampu isyarat dan tempat menyeberang jalan. Ajar kanak-kanak tidak menerpa atau berlari di kawasan letak kereta. Mulakan melatih kanak-kanak memerhati kiri-kanan-kiri sebelum menyeberang jalanraya.

Thursday, October 28, 2010

Pakai Tali Pinggang Keselamatan

Bayi dan kanak-kanak mesti memakai tali pinggang apabila menaiki kenderaan seperti kereta, bas atau van. Pilih kerusi kanak-kanak yang diluluskan oleh pihak berkuasa. Terdapat banyak jenis kerusi untuk kanak-kanak. Ikut arahan semasa memasang kerusi kanak-kanak mengikut yang dibekalkan oleh kilang. Perlu mengetahui cara memasang tali pinggang kerusi kanak-kanak di kereta dan memasang tali pinggang kanak-kanak di kerusinya. Patuhi undang-undang menggunakan kerusi kanak-kanak dan menggunakan tali pinggang keselamatan.

Jadikan amalan meletakkan anak di kerusi kenderaan bukan meriba anak di bahagian kerusi depan kenderaan. Utamakan keselamatan bukan ambil jalan mudah dan mengganggapnya menyusahkan.

Wednesday, October 27, 2010

Pengawasan Bahaya Kebakaran Dan Api

Kulit bayi dan kanak-kanak lebih nipis daripada kulit orang dewasa menyebabkan mudah melecur jika terkena sesuatu yang panas. Elakkan daripada kecederaan air panas dengan mengawal kepanasan air antara 120 Fahrenheit atau 130 Fahrenheit atau lebih rendah lagi. Semakin rendah suhu air semakin selamat untuk kanak-kanak.

Latihan kebakaran dan meletakkan alat pemadam api di taska. Sentiasa menyemak label pemadam api untuk memastikan masih berfungsi. Begitu juga dapur memasak sentiasa pastikan ditutup selepas digunakan.

Tuesday, October 26, 2010

Sentiasa Menyelia Kanak-Kanak Semasa Bermain Air

Kanak-kanak taska suka bermain air. Mereka boleh lemas walau pun dengan kuantiti air yang sedikit sedalam 2 inci atau 6 sentimeter. Bermakna kanak-kanak boleh lemas di tempat-tempat yang anda tidak menjangka. Oleh itu jangan biarkan kanak-kanak bermain air sendirian. Orang dewasa perlu menyelia kanak-kanak kecil semasa bermain di dalam air seperti di kolah mandi, di bilik air, di dalam besen, di kolam renang, berada di tandas, di sinki, baldi, parit kecil dan lopak berair .

Setelah menggunakan besen dan baldi pastikan dibuang airnya. Tutup bilik air dan sinki tandas untuk mengelakkan bayi dan kanak-kanak tatih memasuki bilik air. Pengawasan sekitar taska seperti parit dan lopak perlu dialirkan airnya supaya tidak bertakung. Selepas aktiviti main air, tempat menampung air hendaklah ditutup atau dibuang airnya hingga kering.

Sunday, October 24, 2010

Pagar Keselamatan Kanak-Kanak

Kanak-kanak di taska bergerak aktif untuk meneroka di persekitarannya. Peringkat kanak-kanak tatih mereka merangkak, memanjat dan berdiri sambil meneroka persekitaran tempat di dalam ruang bilik. Sekiranya di taska terdapat tangga sememangnya menjadi kegemaran kanak-kanak untuk bermain di tangga. Perkara ini diberi perhatian dan langkah untuk meletakkan pagar penghadang di bahagian bawah dan atas tangga. Sentiasa menutup pagar tangga untuk menghalang kecederaan daripada jatuh tangga. Pastikan lubang di panghalang itu kecil supaya tidak melepasi kepala kanak-kanak. Jangan menggunakan pagar jenis 'accordian'.

Kawasan lain yang dianggap merbahayakan kanak-kanak seperti ruang ke dapur boleh diletakkan pagar penghadang kanak-kanak. Meletakkan pagar penghadang adalah sebagai langkah untuk menghalang berlakunya kecederaan di taska.

Saturday, October 23, 2010

Keselamatan Taman Permainan

Keselamatan taman permainan di taska dan tadika perlu diberi keutamaan. Kebanyakan kemalangan dan kecederaan berlaku di taman permainan apabila kanak-kanak terjatuh dari peralatan mainan. Kemalangan ini boleh dikawal dengan meletakkan bahan yang lembut di permukaan peralatan permainan. Bahan lembut ini akan menjadi penahan apabila kanak-kanak jatuh daripada alatan permainan. Bahan penahan seperti pasir boleh digunakan untuk dijadikan permukaan pelapik menahan kanak-kanak jatuh daripada alatan mainan. Terdapat juga pelapik penahan kecederaan yang dibuat secara komersial.

Setiap permukaan pelapik penahan kecederaan hendaklah mengikut piawaian (standard) yang ditetapkan khusus untuk keperluan taman permainan kanak-kanak. Pastikan peralatan mainan di taman permainan mengikut kesesuaian umur dan berkeadaan baik. Ajar kanak-kanak cara menggunakan peralatan dengan selamat.

Friday, October 22, 2010

Taska 1 Malaysia

Bajet 2011 telah mengumumkan penjenamaan semula 40 buah Taska 1 Malaysia yang dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat. Taska ini bertujuan untuk membantu golongan wanita yang tidak berkemampuan mendapatkan perkhidmatan pengasuahan dan pendidikan awal yang berkualiti bagi anak-anak mereka. Perkhidmatan ini juga memberi peluang kepada wanita yang tidak berkemampuan meneruskan kerjaya sementara anak-anak mendapat jagaan yang berkualiti.

Apabila berlaku penjenamaan semula tentunya imej baru kepada taska berkenaan. Diharapkan Jabatan Kebabjikan Masyarakat akan membuat satu perubahan menyeluruh keseluruhan aspek menguruskan taska yang dapat memberi kualiti perkhidmatan sebagaimana yang telah dimandatkan. Menerusi bujet 2011 diharapkan kewujudan pengurusan taska yang terawal di bawah Akta 308 iaitu Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 lebih menyerlah penampilannya dengan idea-idea baru khususnya pandangan daripada generasi muda. Sewajarnya taska di bawah pentadbiran Jabatan Kebajikan Masyarakat diberi perhatian memandangkan dari segi sejarahnya adalah merupakan taska terawal dan merintis program perkhidmatan kanak-kanak di bawah 4 tahun. Makluman umum bahawa Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 (Akta 308) telah diwujudkan bertujuan untuk mengawasi pengurusan perkhidmatan taska dan melindungi kanak-kanak. Oleh itu semua taska tidak kira jenama apa sekali pun perlu mendaftar dan tertakluk di bawah akta tersebut.

Semoga arus perubahan yang berlaku masa kini diharapkan Jabatan Kebajikan Masyarakat dapat memberi penampilan baru selaras dengan penjenamaannya boleh diterima oleh ibu-ibu di kalangan wanita generasi muda yang mengharapkan bantuan perkhidmatan anak-anaknya.

Thursday, October 21, 2010

Peraturan Keselamatan Di Taska

Adakah taska anda mempunyai peraturan sebagai senarai semak yang perlu anda patuhi untuk menjaga keselamatan kanak-kanak? Jika anda tidak mempunyai sebarang peraturan keselamatan di taska berikut adalah cadangan senarai peraturan umum keselamatan di taska untuk menjaga keselamatan kanak-kanak di bawah pengawasan anda:

1. Menggunakan taman permainan yang selamat.
2. Menggunakan penghadang di tangga.
3. Sentiasa mengawasi dan menyelia semasa kanak-kanak bermain air atau berada dalam air.
4. Sentiasa mengawasi kawasan merbahaya dan tempat yang boleh menyebabkan kebakaran.
5. Memakai tali pinggang di kenderaan.
6. Melarang kanak-kanak Menyeberang Sendirian di jalanraya.
7. Menyimpan bag plastik, dawai dan objek kecil dari kanak-kanak.
8. Jangan meletakkan senjata atau benda tajam di taska.
9. Panggil pegawai perubatan jika anda fikir kanak-kanak mendapat keracunan.
10. Tampal atau letakkan nombor panggilan kecemasan berdekatan dengan telefon.

Wednesday, October 20, 2010

Kemalangan Kanak-Kanak Mengikut Umur

Kemalangan adalah pembunuh nombor satu kepada kanak-kanak berumur 9 bulan ke atas jika tidak diberi perhatian. Kemalangan ini disebabkan kecuaian orang dewasa yang tidak mengambil langkah untuk melindungi kanak-kanak. Bayi dan kanak-kanak kecil dalam keadaan tertentu memerlukan perlindungan yang khusus.

Umur kanak-kanak dapat memberitahu kita jenis kemalangan yang berlaku. Contohnya bayi 9 bulan mungkin meletakkan mainan kecil ke dalam mulut dan kemungkinan mainan itu menyebabkan bayi tercekik. Kanak-kanak berusia 2 tahun mungkin termakan daun beracun semasa bermain di luar rumah. Kanak-kanak 5 tahun mendapat cedera semasa bermain basikal.
Kemalangan yang tidak dijangka juga boleh berlaku menimpa kanak-kanak (rujuk keratan akhbar). Langkah berjaga perlu diambil untuk mengawasi keselamatan bangunan secara berkala.

Tuesday, October 19, 2010

Peranan Pengasuh Di Taska

Apakah peranan pengasuh di taska dari segi aspek keselamatan? Hal ini jarang diberi penekanan terhadap pengurusan di taska. Kesedaran tentang tanggungjawab keselamatan adalah penting untuk mengelakkan berlaku kemalangan di taska. Jika anda sebagai pengasuh di taska hendaklah berperanan sebagai 'role model', pelindung dan pendidik. Peranan tersebut adalah menjadi tanggungjawab anda perlu belajar untuk bertindak sebagai role model, pelindung dan pendidik.Cara ini membantu anda menjadikan taska dalam suasana selamat.

Sebagai role model anda meletakkan diri anda contoh yang baik kepada kanak-kanak dengan mengamalkan keselamatan.

Sebagai pelindung anda sentiasa mengamalkan untuk mengawasi keadaan kemungkinan merbahaya di persekitaran daripada berlaku kebakaran, berasap, keracunan dan lain-lain jenis kemalangan. Sebagai pelindung juga anda sentiasa meletakkan buku panduan telefon untuk kecemasan bersama telefon.

Sebagai pendidik atau guru anda mendidik ibu bapa, kanak-kanak dan pengasuh yang lain tentang amalan keselamatan.

Monday, October 18, 2010

Isu Keselamatan Kanak-Kanak Di Taska

Isu kematian bayi di taska nampaknya bagaikan tiada kesudahannya. Mungkin banyak lagi insiden yang berlaku tidak dipaparkan menerusi akhbar. Kecuaian pengasuh di taska menjadi punca kematian bayi. Isu kematian bayi di taska ini memberikan gambaran bahawa keperluan latihan pengasuhan perlu kepada pengasuh. Pihak pengusaha perkhidmatan taska memastikan setiap pekerjanya mendapat latihan secukupnya dan latihan keselamatan kanak-kanak di taska perlu diadakan secara berkala oleh setiap pengusaha atau individu yang terlibat dalam perkhidmatan ini. Perbincangan bersama pengasuh taska sepatutnya diadakan sebagai langkah berjaga-jaga tentang keselamatan persekitarannya.

Pihak berkuasa juga perlu melihat kembali sistem latihan yang dijalankan kepada pengasuh. Syarat kelulusan untuk menjalankan perkhidmatan pengasuhan juga perlu dilihat kepada individu yang ingin menawarkan perkhidmatan ini. Contohnya, dari segi kelayakan bidang pengasuhan perlu dijadikan syarat sebagaimana di negara maju seperti di Amerika. Kelulusan mendapatkan sijil pertolongan cemas khusus untuk kanak-kanak juga perlu diwajibkan kepada setiap individu yang mengendalikan perkhidmatan kanak-kanak. Memang peraturan yang dicadangkan ini nampaknya menyusahkan pihak tertentu tetapi soal nyawa kanak-kanak perlu difikirkan secara terbuka dan positif.

Sunday, October 17, 2010

Bujet 2011 dan Kanak-Kanak

Peruntukan untuk pendidikan sebanyak RM6.4 bilion tidak melupakan pembangunan modal insan di peringkat kanak-kanak khususnya program prasekolah. Hasrat kerajaan untuk meningkatkan kadar enrolmen prasekolah di Kementerian Pelajaran sebanyak 1,700 kelas menjelang akhir tahun 2011 amat dialu-alukan. Secara tidak langsung akan melibatkan sekolah-sekolah di luar bandar dan pendalaman. Kanak-kanak akan mendapat menikmati kemudahan pendidikan awal setara dengan kanak-kanak di bandar. Peningkatan enrolmen ini menunjukkan kesungguhan untuk menyelaraskan sistem pendidikan awal kanak-kanak (prasekolah) di seluruh negara dengan matlamat untuk melantik 800 guru prasekolah lepasan ijazah.

Peruntukan lain untuk kanak-kanak di bawah empat tahun juga mendapat bujet sendiri untuk meneruskan program yang bersesuaian dengan keperluan dan matlamatnya.

Selaras dengan perkembangan semasa pihak College for Open Learning Universiti Tun Abdul Razak menawarkan pengajian peringkat diploma dan sarjana muda dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Pengajian ini dijalankan pada hujung minggu (Sabtu dan Ahad) berselang untuk memudahkan pendidik bekerja sambil belajar. Tenaga pengajar adalah terdiri daripada mereka yang berpengalaman dan berkelayakan akademik dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.

Pada hari ini Ahad 17 Oktober 2010 College for Open Learning Universiti Tun Abdul Razak mengadakan Hari Terbuka kepada sesiapa yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut pembelajaran secara sambilan (bukan sepenuh masa). Salah satu program yang di tawarkan adalah Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Bacelor Pendidikan Awal Kanak-Kanak. Diharapkan menerusi program ini dapat membantu pendidik yang mengajar di tadika untuk melanjutkan pengajian supaya kelayakan akademik dapat disetarakan dengan guru-guru prasekolah di Kementerian Pelajaran Malaysia.

Saturday, October 16, 2010

Kesediaan Kesabaran dan Kejayaan

Kanak-kanak tatih belajar berjalan hanya selepas mencuba berkali-kali dan jatuh bangun. Kesungguhan untuk berjaya membantu kanak-kanak ini melupakan jatuh bangun dan akhir menemui kejayaan. Apabila kanak-kanak di taska bermain pasir dengan menggalinya, mereka belajar kesan dan akibat iaitu apa yang membolehkan dan perkara yang tidak boleh.

Kanak-kanak di tadika mempunyai pengalaman dengan penyelesaian masalah, berbincang mendapakan keputusan dan menilai keputusan. Mereka selalunya menggunakan kemahiran ini untuk menilai apa yang menyebabkan kegagalan projek yang sedang dilakukannya. Mereka mencari jalan dan berusaha mencuba lagi.

Friday, October 15, 2010

Kawalan Diri Kanak-Kanak

Kanak-kanak peringkat taska mempunyai sedikit kawalan diri. Setiap objek yang dilihat seperti kereta mainan mahu dimiliki. Walau bagaimana pun kanak-kanak di peringkat taska ini tidak mempunyai intelektual atau kemahiran sosial untuk memberi pertimbangan bahawa dia sudah bermain dengan kereta dan dia perlu menunggu gilirannya.

Kanak-kanak di peringkat tadika boleh memahami dan menerima keperluan peraturan untuk kebaikan dirinya dan komuniti lain. Mereka mempelajari seni untuk berkompromi dan perundingan. Mereka juga boleh melihat peristiwa daripada pandangan orang lain. Kanak-kanak peringkat tadika biasanya berupaya mengenalpasti barang miliknya dan menghormati milik orang lain atau rakan sebayanya. Mereka juga boleh mengambil tugasan tanggungjawab yang mudah, mempunyai kawalan diri untuk memberi tumpuan dan komitmen.

Thursday, October 14, 2010

Kesediaan Kreativiti Kanak-Kanak

Bayi dilahirkan mempunyai rasa ingin tahu. Mereka akan mencapai objek dan meneroka dengan menggunakan tangan dan mulut. Kanak-kanak tatih pula mendapatkan semua sekali dan menumpukan sesuatu yang diminatinya.

Apabila kanak-kanak di peringkat tadika, mereka bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan masalah tugasannya sendiri sama ada melukis, membina projek, membilang dan interaksi sosial. Mereka menggunakan idea dan tugasan dengan inisiatif, bermain-main dan berfikiran membina. Mereka terlalu banyak bertanya soalan.

Wednesday, October 13, 2010

Kesediaan Keyakinan dan Kepercayaan

Bayi dan tatih membina asas kepercayaan apabila memperolehi penjagaan dan kasih sayang yang berterusan. Mereka merasa dirinya dipentingkan oleh ahli keluarga atau kumpulan. Mereka akan bergantung kepada orang dewasa untuk mendapatkan bantuan dalam situasi yang tidak menjadi kebiasaannya. Keinginan untuk berdikari dengan kepercayaan mendapat sokongan daripada orang dewasa kanak-kanak berasa berkeyakinan diri untuk meneroka, membuat penemuan dan memahami keadaan persekitarannya.

Peringkat tadika,kanak-kanak sudah boleh memahami bertolak ansur (memberi dan menerima) untuk situasi sosial. Mereka selesa dengan peraturan atau cara sesuatu itu dilakukan untuk keselamatan dirinya. Kanak-kanak di peringkat tadika juga bergantung orang dewasa menerangkan secara berterusan keinginan untuk mengetahui sesuatu perkara dengan cara yang betul.

Tuesday, October 12, 2010

Memupuk Rasa Belas Kasihan

Kanak-kanak di peringkat bayi dan tatih menganggap keadaan yang di sekelilingnya adalah miliknya. Oleh sebab itu mereka tidak dapat memahami keperluan orang lain dan sentiasa menyatakan perasaan dirinya sahaja. Kanak-kanak di tadika sudah mula memahami rasa belas (empathize). Mereka boleh meletakkan dirinya ditempat orang lain. Kanak-kanak tadika ini berupaya untuk mengenalpasti kekuatan dan kelemahan orang lain dan untuk berkongsi kesedihan ,keriangan dan kebanggaan.

Monday, October 11, 2010

Kesediaan Kanak-Kanak Berdikari

Kanak-kanak belajar berdikari seawal usia tatih. Mereka cuba melakukan sesuatu beberapa minit dan merasa kecewa kemudian. Mereka berkata "jangan" dan "saya punya" dan cuba menggelakkan untuk lelap (tidur sebentar) apabila kanak-kanak ini boleh menahan membuka mata.

Kanak-kanak di peringkat tadika boleh menerima tanggungjawab untuk kejayaan dan kegagalannya. Mereka meneroka menerusi tindakan yang ada akibat dan mereka boleh mempengaruhi akibat itu dengan tindakannya. Kanak-kanak tadika belajar memahami motivasi dalaman dan tidak bergantung kepada ganjaran dan pujian untuk memperolehi kejayaan. Mereka mahukan latihan keupayaan diri dan menunjukkan tidak mahu dikawal atau dijaga juga dibantu oleh orang dewasa.

Sunday, October 10, 2010

Kemahiran Kesediaan Ke Sekolah Dan Kehidupan

Sikap dan tingkahlaku kanak-kanak untuk kesediaan ke sekolah adalah berdikari, belas kasihan, kepercayaan, kreativiti, mengawal diri, kesabaran dan keriangan. Tugas dan tanggungjawab sebagai pendidik ialah menyediakan persekitaran untuk kanak-kanak boleh membina tingkahlaku dan sikap tersebut. Ciri-ciri sikap dan tingkahlaku kanak-kanak untuk kesediaan ke sekolah ini berterusan sepanjang hayat.

Berdikari
Melakukan sendiri apabila dimaklumkan, kecekapan membuat keputusan berasaskan pengalaman, maklumat dan pertimbangan keputusan. Bersedia mengambil risiko dan melihat lebih jauh "bagaimana kita harus melakukannya" untuk memperbaiki masyarakat dan keadaan diri sendiri.

Belas Kasihan
Belas kasihan membolehkan untuk mengenalpasti kemanusiaan dan kehormatan semua orang. Sikap ini akan memupuk dermawan, sukarelawan, bertimbangrasa dan saling menghormati.

Kepercayaan
Kepercayaan membolehkan membantu keyakinan, perasaan selamat bersama rakan dan berpandangan positif dan terbuka. Percaya apabila mengetahui peraturan dan mahu mematuhi peraturan.

Kreativiti
Kreativiti membolehkan berfikir menerusi cabaran mental dan menggunakan teknik rundingan untuk menyelesaikan masalah konflik sosial. Kreativiti melibatkan keanjalan (flexibility) dan keinginan untuk meneroka untuk penyelesaian dan mendapatkan keputusan baru.

Kawalan Diri
Mengawal diri merujuk kepada keupayaan untuk berfikir tentang sikap dan keputusan sama ada melakukannya atau tidak. Kawalan diri membolehkan untuk menjadikan kesabaran terhadap diri dan orang lain.

Kesabaran dan Kejayaan
Bersabar didatangi halangan dan menyelesaikan masalah. Kualiti ini membantu untuk mengatasi masalah yang dihadapi.

Ini adalah suatu pandangan sahaja. Mungkin pembaca mempunyai pandangan dan pendapat untuk dikongsikan bersama. Semua pandangan dan pendapat amat dialau-alukan untuk dikongsikan bersama saya dan pembaca semua.

Saturday, October 9, 2010

Apakah Pendapat Anda?

Adakah masalah keselamatan kanak-kanak dapat diselesaikan? Apakah pendapat anda? Mohon beri pandangan dan pendapat terhadap kenyataan akhbar di atas untuk dikongsikan bersama pembaca.
Adakah anda sedar ada taska yang tidak berdaftar? Atau sengaja memilih sesebuah taska tanpa memikirkan soal pendaftaran taska untuk penjagaan anak? Apakah pendapat anda? Mohon beri pandangan dan pendapat terhadap kenyataan akhbar di atas untuk dikongsikan bersama pembaca.

Friday, October 8, 2010

Pemikiran Matematik Kanak-Kanak Berusia Tiga dan Empat Tahun

Pada peringkat umur tiga hingga empat tahun kanak-kanak adalah di peringkat praoperasi. Kanak-kanak sudah boleh berfikir sesuatu yang dilambangkan dan boleh memikirkan sesuatu yang abstrak. Berdasarkan keupayaan ini, kanak-kanak sudah boleh berfikir tentang objek yang tidak benar di depannya. Di peringkat ini juga kanak-kanak mula membuat perkaitan antara keadaan masa kini dan pengalaman lalu. Kanak-kanak di tahap umur tiga dan empat tahun boleh memahami perkaitan yang lebih komplek lagi. Hal ini penting untuk percambahan konsep matematik kerana pada masa ini struktur mental memberi ruang kanak-kanak untuk memahami pembinaan kuantiti.

Kefahaman terhadap seriasi, pengkelasan dan urutan dilihat menerusi dimensi baru apabila kanak-kanak boleh memahami perkaitan yang lebih komplek. Peringkat umur tiga dan empat tahun boleh membuat perbandingan objek tidak terdapat di depannya atau peristiwa yang berlaku di masa lalu. Hal ini dapat membantu kanak-kanak membina gabungan urutan, seriasi dan pengkelasan untuk membina struktur mental abstrak yang akan membantu kuantifikasi dan matematik formal.

Kanak-akan mula membina perkaitan mental matematik untuk menghalusi idea tentang banyak kepada satu lagi atau dua lagi. Penelitian ini secara tidak langsung membolehkan kanak-kanak memahami tiga adalah lebih daripada dua dan dua lebih daripada satu. Ini adalah idea asas di sebalik kuantifikasi.

Thursday, October 7, 2010

Percambahan Matematik Menerusi Objek Pelbagai Bentuk

Kanak-kanak dari lahir sehingga usia dua tahun yang di sekelilingi objek menarik akan dapat membantunya memahami hubungan antara objek. Secara tidak langsung kanak-kanak menentukan sama ada objek itu sama atau berlainan, sepadan dan mengkelaskan yang mana kesemua ini memerlukan perhatian kualiti sesuatu objek untuk dibuat perbandingan. Semakin kerap kanak-kanak membuat perbandingan akan menjadi semakin komplek cara membandingkannya. Contohnya apabila kanak-kanak menambahkan pelbagai bola berwarna atau bongkah yang dipilih oleh kanak-kanak itu sendiri boleh mendorong lebih banyak hubungan kepada matematik yang komplek. Aktiviti ini juga membantu kefahaman konsep seriasi dan pengkelasan.

Bentuk boleh digunakan untuk menunjukkan hubungan padanan. Bilik atau ruang untuk bayi dan tatih sediakan pelabagai bentuk bongkah dan objek untuk kanak-kanak memadan dan membanding. Ini disebabkan perkembangan matematik masih awal, di peringkat bayi dan tatih secara semulajadi melihat kepada padanan yang sebenar. Pada tahap ini aras pengkelasan yang boleh dikuasainya. Bayi dan tatih tidak dapat melihat sesuatu yang serupa dan berbeza pada waktu yang sama.

Wednesday, October 6, 2010

Aktiviti Harian dan Matematik

Kanak-kanak di bawah usia dua tahun boleh didedahkan dengan matematik menerusi aktiviti harian seperti masa makan dan aktiviti dalam bulatan. Konsep matematik yang dimaksudkan ialah menggunakan nombor, membilang dan kuantifikasi (jumlah). Setiap kali berpeluang untuk membilang perlu digunakan sepenuhnya untuk membantu kanak-kanak memahami hubungan kuantiti (jumlah) satu per satu. Pendidik perlu membilang dan menggunakan matematik jika mengikut kesesuaian keadaan biarpun menyoal kanak-kanak tentang hubungan matematik yang mudah. Cara berinteraksi ini membantu kanak-kanak mengenalpasti kepentingan nombor dan mendorong membina percambahan matematik. Kanak-kanak di peringkat usia dua tahun juga boleh memahami konsep banyak. Bertanyakan kepada kanak-kanak untuk membandingkan kumpulan objek atau kuantiti dapat menggalakkan pembinaan kefahaman konsep banyak, kurang dan sama.

Walau pun kanak-kanak di peringkat umur dua tahun belum lagi membina kefahaman tentang nombor, bukan sebagai alasan untuk tidak menggunakan nombor di persekitaran mereka. Sama seperti kita membaca kepada bayi dan tatih membantu mereka membina kemahiran literasi. Begitu juga menggunakan matematik di persekitaran kanak-kanak membantu mereka membina konsep nombor.

Tuesday, October 5, 2010

Ritma dan Muzik Menggalakkan Percambahan Matematik

Percambahan (emergent) matematik menerusi ritma dan muzik, dan peralatan boleh diperkenalkan di peringkat bayi dan tatih. Bayi dan tatih boleh mendapatkan pengalaman matematik dengan menggunakan drum bongo atau kompang.Pengasuh dan kanak-kanak boleh bergilir untuk mengulangi rentak paluan. Contohnya pengasuh membuat dua rentak (paluan) dan kanak-kanak juga dua rentak. Jika kanak-kanak memulakan dahulu, pengasuh mengikutinya rentak paluan kanak-kanak. Keadaan ini membantu kanak-kanak memahami hubunga satu per satu'. Di samping itu kanak-kanak dapat memahami hubungan padanan dan membantu keupayaan kanak-kanak untuk memahami pengkelasan.

Pengasuh juga boleh menjalankan aktiviti kumpulan perbarisan pancaragam dengan menggunakan peralatan muzik di dalam kelas. Kanak-kanak diberi peluang untuk mengadakan perbarisan dengan menyebut,"satu, dua, satu, dua," berjalan sambil berbaris di dalam kelas. Kanak-kanak akan cuba untuk menyamakan rentak dengan perkataan "satu, dua" sepanjang masa bersama dengan paluan alat muzik.

Monday, October 4, 2010

Asas Matematik Kanak-Kanak

Bayi dan tatih (lahir hingga 2 tahun) meneroka persekitarannya menggunakan deria. Menurut Piaget dan Inhelder (1964) dalam bukunya The early growth of logic in the child: Classification and seriation pada peringkat usia lahir hingga dua tahun adalah peringkat deria motor sebab kanak-kanak belajar tentang persekitaran menerusi aktiviti motor dan menggunakan cara menyentuh, melihat, merasa dan mendengar. Keadaan masa ini kelihatan seperti tidak ada berlaku pembinaan matematik. Walau bagaimana sebenarnya kanak-kanak mula memerhati hubungan antara objek apabila mereka mula membina cara untuk mengkelaskan, membuat urutan objek, seriasi dan membanding. Klasifikasi(pengkelasan) bermula apabila kanak-kanak berupaya untuk memadankan objek dan melibatkan kepadan penyusunan objek mengikut kumpulan berdasarkan ciri kesamaannya. Pengkelasan(klasifikasi) adalah sebagai asas penting di masa akan datang untuk konsep matematik seperti set membanding nombor dan kuantifikasi.

Sunday, October 3, 2010

Isu Keselamatan Kanak-Kanak

Kemalangan boleh berlaku di mana sahaja sekiranya sikap sambil lewa terhadap penjagaan kanak-kanak terutamanya kanak-kanak di peringkat bayi dan tatih. Kecuaian menjaga bayi tidak boleh diambil mudah oleh semua pihak sama ada ibu bapa atau pun pengasuh. Apabila berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini semua pihak akan merasa sesalan jika berlaku di pihak keluarga bayi iaitu ibu bapa. Sebaliknya jika berlaku di taska maka tanggangjawab itu akan terbeban kepada pihak pengurusan taska termasuklah pengasuh yang menjaga bayi. Langkah pencegahan perlu diambil dan semua pihak perlu bekerjasama. Contohnya jika pihak tertentu yang menjemput ibu bapa menghadiri sesuatu ceramah tentang penjagaan bayi atau kaedah menyusukan bayi diharap bukan sahaja kaum ibu perlu menghadirkan diri tetapi kaum bapa hendaklah turut sama mengikuti ceramah yang diberikan.

Jika pembaca mempunyai pandangan dan pengalaman untuk dikongsikan bersama adalah dialu-alukan dan amat dihargai. Semoga pandangan dan pengalaman yang dikongsikan dapat dimanfaatkan bersama pembaca.

Saturday, October 2, 2010

Menggalakkan Percambahan Minat Matematik

Asas konsep matematik tidak boleh diajar secara terus. Pendidik kanak-kanak perlu menekankan dan menggalakkan kanak-kanak berinteraksi dengan persekitarannya sebagai dorongan kepada percambahan minat konsep matematik. Logikal dan pemikiran matematik kanak-kanak terbina menerusi latihan dan dorongan. Apabila guru meletakkan berbagai objek yang mempunyai pelbagai perkaitan secara tidak langsung adalah menggalakkan percambahan minat kanak-kanak terhadap memahami matematik. Contohnya menyediakan objek untuk membanding, menggunakan aktiviti ritma dan muzik, menunjukkan model tingkahlaku matematik, mengaitkan matematik dengan aktiviti harian selari dengan aktiviti kanak-kanak.

Friday, October 1, 2010

Membina Konsep Matematik Kanak-Kanak

Konsep matematik sebenarnya boleh dibina menerusi idea yang mudah bahawa nombor boleh mewakili kuantiti yang khusus melibatkan hubungan yang komplek di mana kanak-kanak perlu membangunkannya. Kuantifikasi adalah asas untuk matematik formal merupakan gabungan urutan. Gabungan urutan adalah asas memahami bahawa objek dikira mengikut urutan khusus dan setiap objek adalah dikira sekali sahaja. Seriasi adalah keupayaan untuk menempatkan objek atau kumpulan mengikut objek dalam siri berasaskan objek atau mengikut sifat (ciri) objek. Klasifikasi adalah keupayaan untuk mengumpulkan seperti set objek mengikut sifat (ciri) khusus. Pengabungan ini berlaku apabila kanak-kanak berinteraksi dengan objek dan meletakkan objek mengikut jenis yang berbeza hubungannya.

Thursday, September 30, 2010

Membina Konsep Matematik Kanak-Kanak

Ramai mengakui bahawa kanak-kanak belajar bahasa menerusi mendengar dan diikuti membaca dan menulis. Pembelajaran bahasa dibantu dengan kemahiran bahasa sebagai asas berbahasa seperti mendengar, bertutur dan menulis. Membacakan buku kepada bayi, tatih dan kanak-kanak taska adalah dikenali sebagai langkah awal kepada kejayaan literasi kerana aktiviti tersebut sebagai menggalakkan dan membantu pembelajaran kepada membaca dan menulis.

Pembelajaran matematik boleh dilakukan sama sebagaimana mengajar bahasa kepada kanak-kanak. Kanak-kanak mula membina konsep asas matematik semasa bulan pertama dilahirkan. Sebelum kanak-kanak boleh mencampur (+) atau membilang, mereka perlu membina idea tentang matematik. Idea matematik tidak boleh diajar secara terus (directly taught). Idea yang dimaksudkan adalah sesuatu yang boleh membantu kepada matematik formal dalam kehidupan kanak-kanak iaitu urutan, seriasi dan klasifikasi.

Bersambung...

Wednesday, September 29, 2010

Berat Mata Memandang Berat Lagi Bahu Memikul

Adakah peristiwa bayi mati tercekik susu di taska akan berterusan lagi? Siapakah yang patut dipersalahkan dalam soal ini? Kita jangan menuding jari apabila telah berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini. Masing-masing mempunyai alasannya sendiri untuk menegakkan kebenaran. Pernahkah kita selalu meletakkan diri kita ditempat mereka yang menjadi mangsa kematian anak? Walau apa pun biarlah kita memulakan episod harapan ibu bapa meletakkan anak untuk mendapatkan khidmat penjagaan dan pengasuhan. Bermula dari situ maka isu tanggungjawab semua pihak untuk menjaga kepentingan nyawa yang tidak berdosa. Oleh sebab itu diadakan peraturan dan akta. Kesemuanya demi kebaikan untuk semua pihak. Semua pihak yang berkenaan terimalah dengan terbuka jika perlu penambahbaikan dari masa ke semasa. Kesedaran sebegini amat perlu kerana 'berat mata memandang berat lagi bahu memikul.'

Ini adalah pandangan dan saya amat menghargai jika terdapat pandangan dan pendapat ataupun pengalaman yang ingin dikongsikan bersama di blog ini.

Tuesday, September 28, 2010

Keselamatan Kanak-Kanak Di Taska

Ibu bapa yang menghantar anak-anak di taska mengharapkan penjagaan anak yang sempurna. Sebelum sesuatu perkara berlaku langkah berjaga-jaga dan berhati-hati perlu diberi perhatian. Apakah kelemahan di pihak pengusaha perkhidmatan taska perlu diberi perhatian. Kelemahan ini perlu diberi perhatian untuk penambahbaikan. Contohnya soal pendaftaran taska, kelayakan pengasuh sama ada sudah mendapat latihan kursus atau tidak, pendedahan kepada pertolongan cemas khusus untuk kanak-kanak dan sebagainya. Di pihak berkuasa pula mempertimbangkan dan memberi perhatian hal berkaitan dengan pemantauan dan penguatkuasaan, perundangan yang perlu diperketatkan, pertimbangan kelulusan permohonan pendaftaran daripada pihak majlis tempatan atau jabatan yang berkaitan. Di pihak ibu bapa perlu lebih peka dengan perkara yang berkaitan dengan perkhidmatan yang ditawarkan, pendaftaran dan kewibawaan pengasuh yang memberi khidmat jagaan bayi dan tatih sekiranya anak-anak masih kecil.

Ini adalah sebahagian pandangan langkah-langkah keselamatan dan penambahbaikan yang perlu sama-sama kita fikirkan. Diharap pembaca dapat memberi pandangan, pendapat dan pengalaman untuk penambahbaikan atau renungan yang perlu diambil iktibar supaya tidak lagi perkara yang tidak diingini berlaku.

Monday, September 27, 2010

Memberi Contoh Untuk Diteladani

Kanak-kanak belajar menerusi pemerhatiannya terhadap anda. Mereka memerhati anda berinteraksi dengan kanak-kanak dan orang dewasa lain. Segala tigkahlaku anda itu akan diteladani perlakuannya berdasarkan tingkahlaku anda. Contohnya, sekiranya anda berterusan bercakap bahasa yang kasar dengan nada suara yang lantang kepada kanak-kanak, bermakna anda mengajar kanak-kanak bahawa "beginilah cara untuk melayani orang lain". Jika anda memberitahu majikan anda telah kehabisan gam kemudian mendapatkannya di dalam almari tempat yang tersembunyi, anda akan mendapat kesukaran untuk menyakinkan kanak-kanak bahawa bercakap bohong adalah tidak baik.

Oleh yang demikian, tunjukkan perihatin kepada orang lain, berusaha untuk menyelesaikan konflok dan menghormati hak orang lain sama ada pada orang dewasa dan kanak-kanak. Cara begini anda menjadi model tingkahlaku kepada kanak-kanak yang ingin dipelajarinya untuk sosial dan emosi.

Peristiwa:
Masa makan.
Model negatif:
Anda memerhati kanak-kanak makanan mereka sementara itu anda makan biskut dan air berkabonat.
Model positif:
Anda duduk bersama kanak-kanak dan menunjukkan model makanan berkhasiat dan amalan sosial semasa makan.

Peristiwa:
Di taman permainan.
Model negatif:
Anda menjerit dihujung taman memberitahu Ramlah yang ibu bapanya sudah datang menjemput untuk membawa pulang.
Model posititf:
Anda melambai ibu bapa Ramlah, berjalan ke arah kanak-kanak untuk memberitahu Ramlah sudah sampai waktu untuk pulang dan membantu Ramlah untuk mengucapkan 'selamat tinggal' kepada kawan-kawannya.

Peristiwa:
Di sudut seni lukis.
Model negatif:
Abdullah terenjis (terpercik) warna di atas lantai dan di dinding. Anda memberitahu Abdullah perkara itu tidak menjadi masalah sebab pencuci dibayar untuk membersihkannya.
Model positif:
Anda menyuruh Abdullah mengambil span dan membantunya mengelap dinding dan lantai. Apabila selesai anda mengucapkan tahniah kepada Abdullah kerana membantu menjadikan kelas tempat yang menarik untuk berkerja dan bermain.

Sunday, September 26, 2010

Menggunakan Logikal Untuk Hasil Yang Berkesan

Bertindak balas kepada tingkahlaku yang tidak bersesuaian dengan hasil yang berkesan. Sebaik-baiknya hasil semulajadi terhadap sesuatu tingkahlaku. Hasil semula jadi bagi orang dewasa sebagai contoh, sakit perut apabila terlalu banyak makan sambal yang terlalu pedas. Manakala contoh bagai kanak-kanak pula, anggota basah dan merasa kesejukan apabila keluar waktu hujan tidak menggunakan payung.

Pembelajaran seperti ini berlaku sepanjang masa. Dalam keadaan tertentu kita boleh menyediakan logik untuk mendapatkan hasil yang berkesan sekiranya berlaku bukan secara semulajadi. Sebagai contoh kanak-kanak berusia 3 tahun menumpahkan susu. Salah satu hasil yang menggunakan logik ialah menyuruh kanak-kanak membantu mengelap atau membersihkannya. Hasilnya bukan dendaan dan peristiwa itu berkaitan dengan tingkahlaku asalnya. Sebaliknya tidak logik jika berlaku di sudut seni apabila kanak-kanak menumpahkan susu kerana dua perkara yang tidak berkaitan antara satu sama lain.

Menghasilkan sesuatu perkara yang berkesan mestilah yang munasabah. Jika tingkahlaku kanak-kanak bersikap membahayakan seperti mengutip kaca gelas yang pecah atau berlari di jalanraya, mesti diberhentikan segera. Elakkan sesuatu yang melampau (extreme). Jika kanak-kanak menendang bola ke dinding jangan berkata," Kamu tidak boleh bermain lagi." Tunjukkan kepada kanak-kanak anda memberi kepercayaan kepadanya untuk berubah dan belajar. " Ini bola dan mari kita belajar menangkap bola dahulu. Kamu boleh belajar menendang bola petang nanti."

Bagi menghasilkan logikal yang berkesan, anda mesti bertindakbalas dengan segera. Pastikan perkara itu jelas bahawa bukan kanak-kanak tetapi tingkahlaku kanak-kanak itulah yang sebenarnya.

Peristiwa:
Faruk berlari di taman permainan terlanggar Farah.
Dendaan yang tidak logik:
Menyuruh Faruk duduk di tempat kotak main pasir sepanjang masa aktiviti main luar. (tidak mempunyai perkaitan).
Hasil yang logikal:
Menyuruh Faruk membantu Farah bangun dan bersama dengan Farah membersihkan tangan dan kaki.

Peristiwa:
Kanak-kanak tatih bernama Aziat melakar di dinding dengan krayon.
Dendaan yang tidak logik:
Menyimpan krayon dari kelas selama enam minggu.
Hasil yang logik:
Membantu Aziat mengelap dinding dengan kain bersabun.

Peristiwa:
Hapidah menggunakan buku tidak betul dan mengoyak beberapa halaman buku.
Dendaan yang tidak logik:
Mengambil buku daripada Hapidah dan memberitahunya telah merosakkan buku itu. (Tidak mempunyai perkaitan).
Hasil yang logik:
Tunjukkan Hapidah cara menggunakan tape untuk membaiki buku.

Mungkin anda mempunyai pandangan, pendapat dan pengalaman untuk dikongsikan bersama saya dan pembaca di blog ini. Semua perkongsian pandangan, pendapat dan pengalaman amat dihargai dan dialu-alukan.

Saturday, September 25, 2010

Meletakkan Batasan Dan Keselamatan Kepada Kanak-Kanak

Setiap orang perlu mempunyai batasan atau had yang jelas dinyatakan. Sebagai contoh kita di jalanraya ada tanda had kelajuan, tanda harga dan garis panduan untuk menjalankan aktiviti. Kanak-kanak perlu tahu had dan lingkungan had yang ditentukan, keperluan kebebasan untuk mengamalkan membuat keputusan yang bersesuaian. Kanak-kanak juga memerlukan bantuan daripada orang dewasa membuat garis panduan antara tidak cukup dan berlebihan kebebasan membuat keputusan.

Kanak-kanak juga mesti mengetahui batasan tingkahlaku yang akan dipatuhi secara berterusan. Apa yang BOLEH hari ini dan BOLEH pada hari esok. Cuba anda perhatikan tingkahlaku anda sendiri berhubung dengan penyampaian yang bercampur aduk. Contohnya aktiviti bermain air di dalam kelas menggunakan bekas air pada hari semalam dan anda merasa kecewa pada hari ini apabila kanak-kanak bermain air yang berlumpur semasa aktiviti di luar bangunan.

Berikan had tingkahlaku yang mengambarkan keselamatan kanak-kanak, keselamatan orang lain dan menjaga peralatan (harta benda) milik komuniti. Peraturan sedikit, dilaksanakan dan bersesuaian dengan kanak-kanak untuk bebas dan bertanggungjawab membina tingkahlaku yang baik mengikut pilihannya. Berterusan menilai had dan peraturan. Bertanya:
"Adakah peraturan masih diperlukan atau adakah kanak-kanak telah menghayatinya?"
"Adakah peraturan itu hanya memberi kepentingan diri saya sendiri? "
"Adakah peraturan menyekat kanak-kanak bereksperiment atau membuat kanak-kanak tidak mencuba sesuatu yang baru?"
"Adakah peraturan boleh dikuatkuasakan?"
Pastikan anda memahami sebab musabab peraturan itu dan kanak-kanak pasti bertanyakannya.

Contoh:
Di taman permainan anda mengawasi kanak-kanak berusia 5 tahun memanjat pokok.
Mengundang konflik:
Jangan memanjat lebih tinggi daripada dahan itu.
Menawarkan keselamatan dan memberi keyakinan:
Saya tahu kamu mahu memanjat lebih tinggi lagi. Saya tunggu di sini jika kamu rasa ada masalah.

Contoh:
Di dalam kelas anda mengunakan jam untuk menentukan had masa kanak-kanak untuk beredar daripada tempat aktiviti yang menjadi kegemarannya.
Mengundang konflik:
Sebab ini arahan saya.
Menawarkan keselamatan dan memberi keyakinan:
Apabila kita ada peraturan, semua kanak-kanak ada peluang untuk bermain kereta api. Adakah kamu suka membaca buku kereta api sementara menunggu giliran?

Contoh:
Semasa masa lelap (naptime) di taska anda membantu kanak-kanak baring di atas tilam.
Mengundang konflik:
Semua tidur. Tutup mata kamu sekarang dan berhenti bergerak-gerak.
Menawarkan keselamatan dan memberi keyakinan:
Kadang-kadang susah hendak tidur. Adakah kamu suka memilih buku untuk dilihat semasa berehat?

Mungkin anda mempunyai pengalaman dan pandangan untuk dikongsikan bersama pembaca di blog ini. Perkongsian pandangan dan pengalaman anda amat dialu-alukan dan dihargai untuk dikongsikan bersama saya dan pembaca blog ini. Terima kasih.

Friday, September 24, 2010

Menggunakan Kesilapan Sebagai Alat Pengajaran

Anggaplah kesalahan, kesilapan dan kemalangan yang tidak diduga sebagai langkah untuk belajar. Setiap orang hendaklah menjadikannya untuk mencuba sesuatu perkara yang baru. Berkongsi kesilapan anda. Contohnya,"Oh saya sudah mencampurkan air terlalu banyak pada botol warna. Lain kali saya sukat dahulu betul-betul." Melakukan cara yang demikian, anda membantu kanak-kanak mengetahui bahawa orang dewasa juga melakukan kesilapan dan terus boleh belajar. Bina persekitaran pembelajaran yang tidak mendorong kepada kegagalan dan menggalakkan kejayaan.

Keadaan:
Selepas aktiviti bermain air di dalam kelas, keadaan lantai basah dan baju kanak-kanak juga basah.
Menggalakkan kegagalan:
Anda kecoh tentang keadaan yang basah dan kecuaian kanak-kanak tanpa menawarkan penyelesaiannya.
Mendorong kejayaan:
Anda menjangka keadaan basah dengan meletakkan alas di atas lantai bahagian bawah meja main air dengan kertas suratkhabar, menyediakan tuala berdekatan, mop lantai dan pakaian luar seperti apron plastik untuk menggelakkan baju basah.

Keadaan:
Seorang kanak-kanak menghadapi kesukaran untuk menyelesaikan permainan puzzle.
Menggalakkan kegagalan:
Menyuruh kanak-kanak duduk di suatu tempat,"Siapkan apa yang kamu buat dari mula hingga habis."
Mendorong kejayaan:
Memberi ruang dan keperluan untuk kanak-kanak menyiapkan aktivitinya menyelesaikan puzzle di atas lantai.

Keadaan:
Lantai dibilik tatih dipenuhi dengan alat permainan menyebabkan kanak-kanak tatih tidak mahu berlatih jalan.
Menggalakkan kegagalan:
Biarkan keadaan bersepah dan tidak tersusun sehingga masa lelap atau tidur "keadaan akan bersepah lagi" dan kanak-kanak tatih boleh merangkak mengikut apa yang mereka suka.
Mendorong kejayaan:
Susun perabot dan peralatan supaya sentiasa ada laluan yang tiada gangguan untuk kanak-kanak yang baru belajar berjalan.

Anda mungkin ingin berkongsi pandangan, pendapat dan pengalaman. Pihak saya amat mengalu-alukan dan menghargai sumbangan pandangan, pendapat dan pengalaman untuk dikongsikan bersama saya dan pembaca blog ini. Terima kasih.