Friday, April 23, 2010

Bagaimana membacakan buku kepada kanak-kanak?

Kanak-kanak suka orang dewasa membacakan buku dan mendengarnya. Bagaimanakah cara yang berkesan aktiviti membaca itu? Kanak-kanak di taska penumpuannya adalah singkat. Pilih buku yang kurang teks dan banyak ilustrasi. Penglibatan kanak-kanak semasa membacakan adalah digalakkan.

Bagaimana mendorong kreativiti dan inovasi?


Saya bersama Dr Puteri Zabariah pernah menjalankan kajian terhadap penglibatan ibu bapa dan keluarga untuk mendorong kreativiti dan inovasi kanak-kanak. Bagaimanakah caranya?

Bagaimanakah bermulanya program pendidikan awal kanak-kanak di Kolej Yayasan Melaka?



Majlis menanda tangani perjanjian (MOU) kerjasama antara Unirazak dengan KYM telah disaksikan oleh Ketua Menteri Melaka. Secara tidak langsung program pendididkan awal kanak-kanak daripada Unirazak dapat ditawarkan dengan mengikuti kursus-kursus seperti di kampus induk Unirazak.

Thursday, April 22, 2010

Apakah konstruktivism dalam pendidikan awal kanak-kanak?
















Saya berpeluang mendapat pendedahan dalam teori konstruktivism daripada beberapa orang tokoh pendidikan awal kanak-kanak .Salah seorangnya ialah Profesor Dr George Forman. Beliau terkenal dengan teori konstruktivism dalam mainan. Selain itu beliau membuat kajian tentang Reggio Emilia dengan merintis makmal program tersebut di University of Massachusetts dengan menghasilkan buku 'The Hundred Languages of Children'. Saya juga berkesempatan bekerja dengan Professor George Forman sebagai graduate assistant. Tugas saya mengambil video tingkahlaku kanak-kanak terhadap aktiviti yang dilakukan di preschool dan nursery. Hasilnya dijadikan videactives untuk perbincangan dalam konstruktivism. Apa yang menarik pengalaman sebenar kanak-kanak dirakam dan dibicarakan dengan aplikasi teori yang berkaitan.

Selain daripada itu program Reggio Emillia yang dibawa dari Italy ke makmal University of Massachusetts memberi peluang kepada untuk mendapatkan pendedahan secara langsung. Asas program ini pengalaman konstruktivism menggunakan media lukisan untuk membina pengalaman baru yang didokumentasikan.

Pendidikan Awal Kanak-Kanak Di Cairo University?
















Semasa lawatan ke Cairo University membincangkan program bahasa Arab, Cairo University berminat mendapatkan program Pendidikan Awal Kanak-Kanak daripada Unirazak dan khidmat nasihat kepakaran. Biasalah orang kita selalunya merenung bulan di langit sehingga lupa rumput di bumi.

Bagaimana menubuhkan taska dan tadika?


Mereka yang ingin menceburi bidang perkhidmatan pendidikan awal kanak-kanak digalakkan membaca buku-buku yang berkaitan dengan bidang. Pelajar-pelajar yang mengambil mata pelajaran ini merupakan asas kepada kerjaya di masa akan datang. Buku ini merupakan buku teks untuk mereka yang mengambil mata pelajaran perkhidmatan pendidikan awal kanak-kanak. Diharapkan buku ini menjadi panduan kepada mereka yang ingin menceburi dalam bidang perkhidmatan awal kanak-kanak.

Peluang anda untuk mendalami bidang ini terbuka luas. Terdapat institusi pengajian tinggi yang menawarkan program pendidikan awal kanak-kanak di peringkat sijil, diploma, sarjana muda, sarjana dan kedoktoran.

Sejauhmana tadika itu berkualiti?



Pengusaha tadika tidak sepatutnya menumpukan kepada pembangunan fizikal. Bangunan kelihatan cantik tetapi kurikulum dan guru yang mendidik kanak-kanak perlu diberi perhatian. Sebelum menceburkan diri dalam perkhidmatan pendidikan awal kanak-kanak persediaan melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan sangat diperlukan. Tidak memadai hanya dengan menghadiri kursus sedangkan tanggungjawab sebenar adalah memikul kepercayaan yang diberi oleh ibu bapa untuk mendidik anak-anak mereka sama ada di taska ataupun di tadika.

Keutamaan terhadap kualiti sesebuah tadika salah satunya bergantung kepada kualiti guru. Persediaan sebagai guru tadika adalah melengkapkan diri dengan pendidikan dalam bidang yang diceburi. Di negara maju kelayakan guru tadika telah jauh meninggalkan kita. Ada di kalangan guru di negara maju pemegang ijazah kedoktoran dan ramai yang pemegang ijazah sarjana. Seharusnya pendidik di negara kita tidak selesa dengan keadaan pengalaman sahaja. Tidak salah untuk meningkatkan keilmuan dan sekurang-kurangnya jurang pemisah akademik dapat dikurangkan supaya kita tidak ketinggalan jauh ke belakang.

Boleh Berbahasa dan Berkomunikasi

Bagaimanakah aktiviti yang interaktif, kreatif dan berinovasi untuk kanak-kanak di tadika? Salah satu yang telah saya fikirkan dengan menulis buku khusus untuk aktiviti berbahasa dan berkomunikasi. Buku ini memberi panduan kaedah membaca dan menulis secara kreatif. Mendidik kanak-kanak mencintai alam dan negara ke arah industri yang pelbagai.

Buku ini mendidik kanak-kanak menghayati keindahan bahasa menerusi puisi dan pendekatan unsur drama yang menceritakan suasana persekitaran yang dialami oleh masyarakat di Malaysia. Aktiviti berbahasa untuk penyelesaian masalah dan pemikiran kreatif turut disertakan.

ECE Club Unirazak


Apakah kepentingan menubuhkan kelab ECE (Early Childhood Education)? Pelajar-pelajar di Unirazak dengan rasminya telah menubuhkan kelab ECE. Tujuannya murni. Salah satunya untuk menyedarkan dikalangan pelajar bahawa bidang pendidikan awal kanak-kanak merupakan satu industri yang tersendiri.Khalayak perlu melihat bidang ini dari sudut yang lebih kreatif dan berinovasi. Menerusi kelab ECE ahli-ahli diharapkan mendapat pendedahan yang berkaitan dengan bidang pendidikan awal kanak-kanak dan industri yang berkaitan dengan kanak-kanak. Diharapkan ahli kelab ECE dapat menjalankan aktiviti yang bermanfaat untuk ahli dan warga Unirazak. Selamat maju jaya.

Wednesday, April 21, 2010

Siapakah Watak Kerengge

Adakah anda pernah bersama membesar dengan program kanak-kanak di RTM suatu masa dahulu? Siapakah pemain boneka watak 'Kerengge' yang pernah disiarkan dalam rancangan kanak-kanak di RTM? Saya memegang watak Kerengge dan Yusof sebagai Pak Usof yang menunjukajar kanak-kanak dalam bidang kreativiti. Saya meninggalkan program itu kerana melanjutkan pengajian ke luar negara. Sejak itu watak Kerengge tidak wujud lagi di RTM. Kerengge telah dibawa bersama ke luar negara.

Penglibatan saya dengan teater boneka pada penghujung tahun 1970an adalah secara suka-suka untuk mengisi masa lapang. Pada awal tahun 1980an saya secara kebetulan berjumpa Alimah Salam Ketua Pustaka Bimbingan Kanak-Kanak yang menguruskan perpustakaan kanak-kanak di bawah pengurusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Saya menawarkan diri untuk membantu kegiatan kanak-kanak di perpustakaan. Difahamkan aktiviti sebelum ini telah dijalankan oleh Mohd Yusof. Oleh kerana Mohd Yusof berkerja di Sabah maka tiada sukarelawan yang menjalankan aktiviti tersebut.

Terdapat dua Pustaka Bimbingan Kanak-Kanak iaitu di Jalan Tun Abdul Razak (sekarang bangunannya di robohkan berdepan dengan Institut Jantung Negara) dan sebuah lagi di Taman Tun Dr Ismail. Saya terlibat aktiviti bercerita, melukis untuk kanak-kanak dan menghidupkan teater boneka. Tidak lama kemudian bersama dengan Yusof Gajah(pelukis), Sudiro (Arwah), dan Rahim Taman telah mengasaskan Teater ABROS. Mungkin inilah kumpulan teater boneka yang pertama di Malaysia bergerak secara profesional ketika itu. Kami bergantung kepada persembahan di TV, Undangan badan swata dan kerajaan, majlis hari jadi dan di tadika-tadika. Ahli kami juga bergerak di Perpustakaan Negara (waktu itu di Jalan Raja Laut). Kumpulan kami juga berpeluang mengadakan persembahan Khyusu Island Jepun (kumpulan teater dari Malaysia pertama). Saya berkeyakinan bidang kanak-kanak mempunyai potensi di masa hadapan biarpun kumpulan teater ABROS ketika itu di pandang sepi.

Contoh Panduan Plan Tadika


Bagaimana anda hendak membina sebuah tadika yang mengikut syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh Majlis Tempatan?
Anda hendaklah ke Majlis Tempatan yang terdekat untuk mendapatkan contoh dan garis panduan sebagaimana yang tertera dalam gambarajah. Contoh yang saya berikan mungkin tidak sama dengan tempat tinggal anda.

Salah satu syarat yang perlu dipenuhi tentang keselamatan kanak-kanak. Premis yang hendak digunakan perlu mendapat kelulusan pihak Bomba.

Tuesday, April 20, 2010

Akta dan Peraturan Kanak-Kanak


Apakah yang kita faham tentang Akta 308 dan Akta 550? Kedua-dua akta ini adalah berkaitan dengan kanak-kanak. Mengapa akta tersebut penting diketahui umum? Akta 308 adalah untuk Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA). Tujuan akta 308 adalah untuk menjaga kepentingan kanak-kanak dan juga meningkatkan kualiti perkhidmatan pengasuhan kanak-kanak. Akta ini juga memberi perlindungan kepada kanak-kanak dan juga menjaga kepentingan mereka yang terlibat dalam bidang perkhidmatan kanak-kanak.

Pengalaman pembaca terlibat dalam pendidikan awal kanak-kanak perlu dikongsikan bersama. Mungkin anda mempunyai masalah sila berbincang dengan saya.

Cereka dan Fakta

Buku kanak-kanak tentang fakta dan cerita buaya. Sesuai untuk kanak-kanak di peringkat umur antara 7 tahun hingga 9 tahun. Ibu bapa juga boleh merujuk fakta-fakta berkaitan dengan buaya. Penulisan buku ini dipermudahkan dan sampaikan dalam gaya bahasa bersantai. Saya terpaksa mendapatkan maklumat menerusi temu bual dan melawat ke tempat memelihara buaya. Rujukan menerusi buku dan semua maklumat diolah supaya pembaca kanak-kanak mudah memahaminya.

Selain buku Buaya terdapat juga karya penulisan saya yang lain diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Antaranya sumbangan penulisan dalam Siri Tidurlah Intan. Dalam buku ini lebih banyak sumbangan dalam bentuk lirik (senikata) untuk lagu kanak-kanak. Lirik yang ditulis berkisar tentang suasana kehidupan kanak-kanak dan berdasarkan cerita kanak-kanak.

Cerpen dalam buku Anak Seorang Jeneral merupakan antologi cerpen kanak-kanak terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Tajuk cerpen 'Buang Yang Keruh' rakaman pengalaman saya sewaktu menjadi guru di Sentul Kuala Lumpur. Kisah berkisar tentang murid sekolah di kawasan rumah pangsa di Jalan Sentul, Kuala Lumpur.

Pada suatu hari... tentang cerita-cerita binatang dan pada masa ini tidak lagi diulang cetak. Buku ini merupakan cubaan saya untuk menulis buku cerita kanak-kanak. Mungkin ada kekurangannya dikerana masih mencari keserasian dalam bidang penulisan karya kreatif kanak-kanak mengikut tahap usia.

Pengalaman kehidupan



Kejayaan perlu menempuh cabaran, kesabaran dan kreativiti. Ada baiknya dikongsikan bersama biarpun tidak sehebat mana. Jika sesuai boleh dijadikan teladan. Jika anda merintih dengan kegagalan pertama bermakna anda merosakkan kehidupan masa depan anda. Kita tidak tahu bahawa kegagalan itu satu anugerah untuk menguji ketabahan dan kecekalan diri.

Diharap pembaca dapat membaca liku hidup yang pernah saya lalui. Seandainya saya tidak pernah gagal semasa di zaman persekolahan dan tidak gigih untuk berhijrah, saya tetap kekal begitu sahaja terus merintih kegagalan.

Saya percaya setiap manusia dijadikan Allah mempunyai kelebihan. Saya terus mencari dan berdoa untuk mencari kekuatan diri. Mencari kelebihan dan kekuatan yang ada pada diri untuk terus meneroka dan mencuba. Saya telah cuba merintis bidang pendidikan awal kanak-kanak untuk dijadikan titik permulaan generasi muda akan datang. Sememangnya banyak rintangan dan cabaran jika kita sebagai perintis yang cuba mendahului zaman. Orang sekeliling tidak memahami dan memandang pelik dan suatu keanehan di waktu itu. Biarpun bagai 'wira yang tidak didendang.' Perjuangan tetap diteruskan.

Monday, April 19, 2010

Selamat Membaca


Selamat Datang!
Sila berbicara dengan saya mengenai Pendidikan Awal Kanak-Kanak. Blog ini adalah wadah untuk perkongsian pengalaman dan pandangan. Konsep penulisan blog ini lebih kepada santai akademia dan maklumat pendidikan awal kanak-kanak. Saya hanya ingin berkongsi pengetahuan dan pengalaman bersama pendidik kanak-kanak, ibu bapa dan mereka yang berminat dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.Saya amat mengalu-alukan setiap perkongsian pengalaman dan pandangan. Semua pendapat, pandangan dan perkongsian pengalaman amat dihargai. Terima kasih kerana anda sudi bersama saya.