Monday, December 31, 2012

Merancang Program Pendidikan Kanak-Kanak

Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan 'Selamat Tinggal Tahun 2012'. Banyak perkara yang telah dilakukan pada tahun 2012 dalam program pendidikan awal kanak-kanak. Mungkin tanpa disedari perjuangan untuk meningkatkan kualiti akademik dalam program pendidikan awal kanak-kanak telah berkembang dengan pesat di negara kita. Buktinya banyak pusat pengajian sama ada di IPTA dan IPTS telah membangunkan program dari peringkat sijil, diploma, sarjana muda, sarjana dan kedoktoran. Perkembangan ini dilihat amat positif apabila masyarakat telah mula sedar akan kepentingan pendidik yang perlu mendapat kelayakan akademik dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Penubuhan sebuah 'Faculty of Early Childhood Studies'  UNITAR International University merupakan sejarah pengiktirafan kepada pendidikan awal kanak-kanak yang mengangkat bidang ini untuk berkembang dengan lebih jauh. Saya sebagai dekan pertama fakulti tersebut cuba membawa bidang kanak-kanak meliputi semua kepenggunaan yang diperlukan dalam dunia kanak-kanak. Perubahan dan transformasi bidang kanak-kanak amat perlu untuk meluaskan skop bidang kanak-kanak yang tidak lagi tertumpu kepada pendidikan sahaja.

Sunday, December 30, 2012

Kesan Peranti Gajet Berskrin Kepada Kanak-Kanak

Mungkin keratan akhbar dari UTUSAN Malaysia Sabtu 29 Disember 2012 halaman 15 boleh dijadikan renungan kepada mereka yang tegar menggunakan gajet untuk anak-anak yang masih kecil.

Saturday, December 29, 2012

Kekeliruan Konsep Main Dalam Pendekatan Pengajaran

Main merupakan konsep keseluruhan dalam pengajaran di taska dan tadika. Pengajaran disampaikan secara informal. Tenknik pengajaran yang diaplikasikan perlu ada unsur main dalam pengajaran. Umpamanya guru menggunakan pendekatan pengajaran satu konsep untuk mengajar pranombor. Teknik yang digunakan dalam pendekatan tersebut contohnya nyanyian. Kanak-kanak belajar menyebut nombor sambil menyanyi. Menyanyi lagu nombor pembelajaran secara tidak formal tanpa disedari kanak-kanak cuba mengingati urutan nombor.

Friday, December 28, 2012

Unsur Main Dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak

Naluri kanak-kanak sememangnya suka bermain. Main meruakan teras aktiviti pembelajaran pada kanak-lanak. Menerusi main kanak-kanak mempelajari kehidupan seharian. Contohnya main pondok-pondok mereka main-mainkan peranan yang berlaku dalam kehidupan seharian seperti meniru memasak makanan, peranan dalam keluarga dan sebagainya.

Thursday, December 27, 2012

Aplikasi Teknik Dalam Aktiviti Bahasa

Aktiviti bahasa melibatkan lisan atau bertutur, mendengar, membaca dan menulis. Guru perlu menyampaikan pengajaran dengan berkesan dan dapat menarik minat kanak-kanak untuk mempelajari bahasa dengan cara yang menyeronokkan. Antara teknik yang sesuai digunakan ialah teknik bercerita, nyanyian, lakonanan, main peranan dan sebagainya.

Wednesday, December 26, 2012

Aplikasi Teknik Dalam Aktiviti Bulatan

Aktiviti bulatan (circle time) atau lebih difahami oleh pendidik kanak-kanak di negara kita sebagai perbualan pagi. Istilah perbualan pagi terhad untuk waktu pagi sahaja sedangkan aktiviti bulatan boleh berlaku sebagai transisi antara setiap aktiviti ke aktiviti lain. Kanak-kanak duduk di sekeliling guru untuk menyatakan pengalaman, pendapat atau guru ingin menyampaikan sesuatu perkara secara informal. Teknik perbincangan, penyoalan, perbincangan, bercerita dan sebagainya boleh digunakan.

Tuesday, December 25, 2012

Selamat Menyambut Hari Natal

Saya mengucapkan 'Selamat Menyambut Hari Natal' kepada pembaca yang beragama Kristian.

Monday, December 24, 2012

Mengaplikasi Teknik Dalam Pengajaran

Teknik pengajaran berfungsi untuk memberi kesan terhadap kandungan pelajaran dan kemahiran yang ingin dicapai. Contohnya kandungan (isi) pelajaran haiwan. Kemahiran ingin dicapai ialah lisan. Maka guru boleh menggunakan teknik bercerita atau teknik nyanyian. Kanak-kanak dapat menyebut dengan betul menerusi myanyian. Jika bercerita kanak-kanak dapat menceritakan semula cerita yang didengar.

Sunday, December 23, 2012

Pengajaran Dan Pembelajaran Sebagai Proses Jangka Panjang

Ramai yang tidak sedar pengajaran dan pembelajaran yang berkesan adalah menerusi proses yang panjang tetapi berkekalan. Pemahaman bermula dari mudah ke sukar. Guru atau orang dewasa perlu memperkenalkan pengetahuan mudah beransur-ansur ke peringkat yang lebih komplek. Mengharapkan hasil untuk jangka masa yang singkat berlaku tekanan mental menerusi hafalan, latih tubi, latihan pengulangan. Natijahnya kanak-kanak dapat menyatakan tetapi tidak memahami apa yang disebut. Pembelajaran jangka panjang dapat memupuk minat belajar dan asas konsep dapat difahami dan diaplikasikan secara berpeingkat-peringkat. Orang dewasa perlu bersabar dan terus membimbing kanak-kanak dalam memperkenalkan sesuatu konsep dari mudah ke sukar.

Saturday, December 22, 2012

Matlamat Penghasilan Pembelajaran

Pendidik yang menekankan penghasilan pembelajaran matlamat yang ingin dicapai dalam jangka pendek. Pendekatan pengajaran jangka pendek menggunakan pendekatan satu konsep, gabungjalin, unit dan bertema. Semua pengajaran berpusatkan kepada guru yang memberi arahan, latih tubi, mengulang berkali-kali, malah membuat tugasan semata-mata bertujuan mendapatkan hasil dalam masa yang singkat. Apabila keadaan ini berlaku kesan jangka pendek kanak-kanak dapat mempelajari dengan cepat tetapi dalam keadaan yang sama kanak-kanak akan merasa bosan untuk jangka masa panjang. Kanak-kanak mudah merasa bosan dan mengganggap dunia persekolahan adalah membosankan.

Friday, December 21, 2012

Pendekatan Pengajaran Membina Kemahiran Berfikir

Pendekatan pengajaran yang menekankan kemahiran asas berteraskan teori behavioris atau tingkahlaku. Pendekatan tersebut seperti pendekatan satu konsep, bersepadu (gabungjalin), unit dan bertema. Manakala pendekatan pengajaran yang membina kemahiran berfikir berteraskan kepada teori konstruktivis. Pendekatan inkuari arahan guru dan projek merupakan pendekatan pengajaran membina kemahiran kanak-kanak ke arah belajar meneroka, menyelidik dan menyelesaikan masalah menggunakan kemahiran minda dan keupayaan kemahiran asas seperti membaca, menulis, lisan, mengira, mengukur dan lain-lain gabungan kemahiran asas.

Thursday, December 20, 2012

Pendekatan Pengajaran Menguasai Kemahiran Asas

Pengajaran guru memberi kesan positif kepada kanak-kanak jika pendekatan yang digunakan bersesuaian dengan keperluan kanak-kanak. Perancangan bermula dari awal tahun sehingga ke akhir kalender persekolahan. Di awal kalender persekolahan kanak-kanak baru melangkah masuk ke taska dan tadika. Pendekatan paling asas yang sesuai dilaksanakan adalah pendekatan satu konsep (rujuk perbincangan pendekatan satu konsep). Satu kemahiran asas perlu didedahkan dan dikuasai oleh kanak-kanak. Apabila kanak-kanak telah bersedia dengan kemahiran asas, pendekatan seterusnya diaplikasikan iaitu pendekatan bersepadu atau gabungjalin. Pendekatan ini mengabungkan sekurang-kurangnya dua kemahiran asas. Guru tidak perlu tergesa-gesa memaksa kanak-kanak menguasai kemahiran asas kerana keupayaan kanak-kanak berbeza di kalangan mereka. Minat, usia dan latabelakang kanak-kanak perlu diambilkira bukan memberi tekanan kepada kanak-kanak.

Wednesday, December 19, 2012

Pengajaran Informal Di Taska Dan Tadika

Setiap pendidik atau guru yang terlibat mendidik kanak-kanak perlu mendapat keilmuan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Pendidikan dalam bidang ini semakin mendapat tempat dan menjadi keutamaan dalam melaksanakan program pendidikan awal kanak-kanak. Mereka yang mendapat pendidikan akan memahami perkembangan kanak-kanak dan dapat menyampaikan pengajaran mengikut keperluan kanak-kanak. Pembuat dasar yang mempunyai latar pendidikan awal kanak-kanak juga dapat memahami tanpa memberi tekanan kepada guru dan pencapaian kanak-kanak. Apabila mereka yang di luar kepakaran turut mencampuri urusan pendidikan awal kanak-kanak menjadikan keadaannya menjadi celaru dan kesan negatif berlaku dalam sistem pendidikan awal kanak-kanak.

Tuesday, December 18, 2012

Pengajaran Guru Membosankan

Ramai kanak-kanak menjadi bosan belajar kerana guru tidak dapat melaksanakan pengajran dengan menarik minat dan keupayaan kanak-kanak. Apabila guru meletakkan perspektif orang dewasa untuk diaplikasikan kepada kanak-kanak keadaan akan menjadi lebih kesan negatif kepada pemerhatian kanak-kanak terhadap pengajaran yang disampaikan oleh guru. Guru perlu merancang setiap pendekatan pengajaran yang akan digunakan dari awal tahun sehingga akhir tahun. Pendekatan pengajaran yang mudah kepada lebih sukar. Pengajaran bermula dengan memberi kemahiran asas kepada gabungan kemahiran dalam menyelesaikan masalah. Aktiviti dan teknik pengajaran perlu diselaraskan supaya pengajaran dapat dihayati oleh kanak-kanak dengan lebih berkesan untuk jangka masa panjang.

Monday, December 17, 2012

Memperbetulkan Landasan Pendidikan Awal Kanak-Kanak

Keseronokkan kanak-kanak belajar sama ada di taska dan tadika kerana pengalaman pembelajaran dilalui berlandaskan perkembangan kanak-kanak. Pengajaran guru disampaikan mengikut keperluan dan keupayaan peringkat usia, kebolehan dan minat kanak-kanak. Kriteria belajar sambil bermain menjadi teras kepada penhayatan pembelajaran kanak-kanak. Tiada unsur paksaan untuk mencapai kepentingan orang dewasa. Kanak-kanak didedahkan hal-hal akademik secara informal dan mereka belajar berdikari menghadapi situasi pembelajaran yang menyeronokan. Guru dan mereka yang terlibat perlu mendapat pendidikan dalam bidang kanak-kanak bukan sebarangan orang yang boleh mengajar sebagaimana berlaku di sesetengah taska dan tadika. Mereka yang melatih atau pengajar di institusi pendidikan perlu daripada yang mempunyai latar bidang pendidikan awal kanak-kanak supaya dapat mendidik pelajar yang terlibat dalam pendidikan awal kanak-kanak di landasan yang betul.

Sunday, December 16, 2012

Bahan Dan Peralatan Mengajar Di Taska Dan Tadika

Apakah yang menyebabkan kanak-kanak seronok untuk ke taska dan tadika? Salah satunya bahan dan peralatan di taska dan tadika serba melengkapi dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran. Pengajaran yang hendak disampaikan perlu disusuli dengan peralatan dan bahan pengukuhan pembelajaran. Aspirasi 'belajar sambil bermain' perlu dilaksanakan terutama di taska. Fitrah kanak-kanak pada peringkat usia 'praoperasi' sememangnya perlukan sentuhan deria menerusi 'belajar sambil bermain'. Kadangkala orang dewasa tidak menyedari akan keperluan sebegini dengan memberi penekanan terhadap pencapaian akademik jangka pendek menyebabkan kanak-kanak merasa tertekan dengan tugasan seperti 'buku kerja' untuk kanak-kanak di tadika. Amat malang pada kanak-kanak di Malaysia sejak dari mula melangkah kaki ke alam pendidikan terus tertekan oleh mereka yang dangkal dengan ilmu pendidikan awal kanak-kanak.

Saturday, December 15, 2012

Kekeliruan Teknik Dan Pendekatan Pengajaran

Ramai dikalangan guru tidak sedar akan hubungkait antara teknik dan pendekatan pengajaran. Kecelaruan dan kekeliruan kerana guru sendiri tidak melengkapkan diri dengan keilmuan dalam pendidikan awal kanak-kanak. Mereka mengajar berdasarkan perspektif orang dewasa dengan mengharapkan hasil jangka pendek. Pembuat dasar pendidik, masarakat dan ibu bapa sering memberi tekanan kepada pendidik awal kanak-kanak untuk menghasilkan dengan cepat menyebabkan kanak-kanak menjadi mangsa. Malahan guru yang mendapat pendidikan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak turut mendapat tekanan kerana kedangkalan ilmu mereka yang tidak memahami aspirasi pendidikan awal kanak-kanak. Campur tangan mereka yang tidak memahami pendidikan awal kanak-kanak ini menyebabkan sistem pendidikan yang asas semakin bercelaru. Mereka yang terdidik sering terpinggir biarpun pandangan dan pendapat dihulurkan namun bagaikan mencurah air di daun keladi.

Friday, December 14, 2012

Teknik Dalam Pengajaran Di Tadika

Teknik bermaksud cara kaedah dalam pengajaran untuk melaksanakan sesuatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Contohnya teknik bersoal jawab, perbincangan, bercerita, drama, teka teki, nyanyian dan sebagainya. Teknik digunakan untuk mengukuhkan kefahaman pengajaran dan dapat mendorong minat pembelajaran. Contohnya apabila guru memperkenalkan abjad A, B, C...diikuti dengan nyanyian lagu A, B,C. Semasa guru mengajar abjad disusuli dengan nyanyi menerusi aktiviti kumpulan (menyanyi beramai-ramai) penglibatan kanak-kanak belaku secara keseluruhan. Suasana keceriaan dapat dilihat apabila kanak-kanak menyanyi abjad. Kanak-kanak yang pendiam akan turut serta menyanyi. Keyakinan diri untuk menyebut dengan jelas dapat didengar oleh guru. Kanak-kanak turut membantu rakan untuk mengingati huruf abjad semasa menyanyi.

Thursday, December 13, 2012

Aktiviti Di Taska Dan Tadika

Perkataan 'aktiviti' bermaksud kegiatan (mengikut kamus dewan). Oleh itu kegiatan atau aktiviti yang hendak dijalankan oleh guru perlu melihat matlamat pengajaran tersebut. Terdapat aktiviti yang memerlukan secara kumpulan besar seperti bermain di luar kelas secara beramai-ramai dan ada pula aktiviti yang hanya memerlukan kumpulan kecil. Tujuan aktiviti salah satunya adalah untuk mendedahkan sosialisasi kanak-kanak dikalangan rakan sebaya. Mereka belajar bertolak ansur dan bekerjasama ketika melakukan aktiviti seperti bermain bola atau melakukan projek membina bangunan daripada bongkah atau pun 'lego'. Aktiviti yang dilakukan secara sendirian atau individu pula bertujuan untuk memberi penumpuan tanpa sebarang gangguan. Aktiviti individu mendidik kanak-kanak belajar berdikari dan mencuba melakukan sendiri untuk menghasilkan apa yang diinginkan. Biarpun kelihatan mudah aktiviti seperti kumpulan besar, kumpulan kecil dan individu tetapi secara tidak langsung memberi kesan jangka panjang terhadap perkembangan kanak-kanak.

Wednesday, December 12, 2012

Perspektif Kanak-Kanak Dalam Pengajaran

Guru-guru hendaklah melihat perspektif kanak-kanak dalam pengajaran di tadika atau di taska. Keupayaan kanak-kanak adalah berbeza dengan keupayaan orang dewasa. Mereka yang tidak memahami konsep pengajaran yang sepatutnya diajar kepada kanak-kanak akan mengajar di tadika mengikut citarasa  dan perspektif orang dewasa. Perlu disedari keupayaan kanak-kanak adalah berbeza mengikut usia, minat dan latarbelakang keluarga. Guru perlu peka dengan kebolehan kanak-kanak di dalam kelasnya. Pendekatan pengajaran hendaklah disesuaikan dengan kebolehan, keupayaan dan minat kanak-kanak. Guru lebih arif dengan keadaan kanak-kanak di kelasnya. Oleh mengajar dengan menggunakan satu pendekatan sahaja sememangnya tidak wajar diamalkan. Contohnya di awal tahun sepatutnya pendekatan yang sesuai adalah untuk memastikan penguasaan kemahiran asas seperti pendekatan satu konsep diikuti dengan bersepadu.Jika terlalu gairah dengan menggunakan satu pendekatan yang dianggap idea matlamat pendidikan awal kanak-kanak tidak akan tercapai. Kesannya kanak-kanak merasa bosan dan tertekan kerana menjadi mangsa oleh perspektif orang dewasa yang tidak memahami pendidikan awal kanak-kanak.

Tuesday, December 11, 2012

Isu-Isu Perkaedahan Pengajaran Di Tadika

Guru-guru yang mengajar di tadika sebaik-baiknya perlu memahami pendekatan pengajaran yang hendak digunapakai dan mengetahui di sebalik tujuan menggunakan pendekatan pengajaran. Tingkahlaku dan tatacara penyampaian pengajaran sebenarnya mencerminkan sesuatu kaedah yang akan menghasilkan matlamat pengajaran. Hasil pengajaran daripada pendekatan yang digunakan akan menghasilkan pencapaian sama ada jangka pendek dan jangka panjang melalui proses yang berterusan. Kecelaruan pendekatan pengajaran sememangnya berlaku kerana guru tidak jelas dan tidak memahaminya. Malah sehingga kini ada guru-guru tadika yang diarahkan untuk menggunakan satu pendekatan sahaja. Sebenarnya, guru lebih arif dengan keupayaan kanak-kanak di kelasnya dan sepatutnya pengajaran bermula dari mudah ke komplek untuk mendapatkan hasil pengajaran yang berkesan. Tidak salah mempelbagaikan pendekatan pengajaran mengikut keupayaan kanak-kanak dalam memperkenalkan sesuatu perkara yang baru kepada kanak-kanak.

Sunday, December 9, 2012

Pendekatan Projek

Pendekatan projek merupakan penyelidikan yang mendalam dilakukan sama ada datangnya dari dorongan kanak-kanak atau guru. Penyelidikan berfokuskan kepada dapatan jawapan terhadap soalan kanak-kanak atau mengarah kepada minat kanak-kanak. Biasanya pendekatan projek terdapat dalam program Reggio Emillia dari Italy. Pendekatan projek berpusatkan kanak-kanak dan berteraskan teori konstruktivis. Pendekatan ini lebih mengutamakan proses pembelajaran yang berterusan bukan hasil pembelajaran dalam masa yang singkat. Penglibatan ibu bapa, masyarakat dan profesional dapat diaplikasikan dalam pendekatan ini. Walau bagaimana pun jika program yang dilaksanakan oleh sistem berorientasikan hasil pembelajaran (learning outcome) atau hasil keputusan yang cepat seperti yang diharapkan oleh ibu bapa dan masyarakat kita, tidak memungkinkan boleh berlaku menggunakan pendekatan projek yang betul-betul tulen.

Saturday, December 8, 2012

Pendekatan Inkuari Arahan Guru

Pendekatan inkuari arahan guru (teacher directed- inquiry) merupakan pendekatan bertema yang dirancangkan oleh guru dan dirancang dengan mendalam terhadap penyelidikan dan penerokaan oleh kanak-kanak. Maksudnya pendekatan ini berasaskan pendekatan bertema yang dirancang oleh guru untuk kanak-kanak menjalankan penyelidikan dan penerokaan. Semua aktiviti dirancang oleh guru dan kanak-kanak melaksanakannya. Pendekatan ini dianggap pendekatan yang berpusatkan kepada kanak-kanak (child center) dan guru berperanan sebagai pembimbing dan pemudahcara. Pendekatan ini berteraskan kepada teori konstruktivis.

Friday, December 7, 2012

Pendekatan Bertema Di Tadika

Pendekatan bertema merupakan pengajaran yang berasaskan tema umum untuk mengajar setiap bidang komponen seperti bahasa, kognitif, fizikal dan estetika. Pendekatan ini berpusatkan guru yang memilih tema dan merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Contoh tema seperti haiwan, makanan, dan kenderaan.

Thursday, December 6, 2012

Pendekatan Unit Di Tadika

Pendekatan unit adalah pengajaran sub-topik atau sebahagian topik utama. Contohnya jika topik utama makanan, mungkin sub-topik yang boleh disampaikan biskut. Aktiviti susulan menulis perkataan biskut dan berbual tentang biskut kegemaran kanak-kanak. Pendekatan ini berpusatkan guru dan berasaskan teori behavioris. Pada peringkat ini kanak-kanak sudah menguasai asas kemahiran pembelajaran yang telah diperkenalkan menerusi pendekatan satu konsep dan bersepadu.

Wednesday, December 5, 2012

Pendekatan Bersepadu

Pendekatan bersepadu bermaksud menggabungkan sekurang-kurangnya dua kemahiran dalam satu pengajaran. Contohnya jika dalam pengajaran bahasa, kemahiran membaca dan menulis. Pendekatan ini berpusatkan kepada guru. Aktiviti pengajaran lebih kepada arahan guru dan kanak-kanak mengikut arahan daripada guru. Pendekatan ini bersandarkan teori behavioris.

Tuesday, December 4, 2012

Pendekatan Satu Konsep

Pendekatan satu konsep bermaksud kanak-kanak diajar satu kemahiran sahaja. Contohnya dalam pengajaran bahasa, guru hendaklah memilih satu kemahiran yang terdapat dalam pengajaran bahasa. Contohnya jika guru memilih kemahiran membaca maka tidak boleh mencampurkan dengan kemahiran lain seperti kemahiran menulis. Pendekatan ini bersandarkan kepada teori behavioris dan berpusatkan kepada guru.

Monday, December 3, 2012

Pengajaran Berpusatkan Kanak-Kanak Di Tadika

Pengajaran berpusatkan kanak-kanak di tadika lebih kepada inisiatif daripada kanak-kanak itu sendiri. Kanak-kanak berminat untuk mempelajari sesuatu menerusi penerokaan yang kemudiannya mendapat pengetahuan menerusi pengalaman baru yang diperolehi. Aktiviti menyelesaikan masalah seperti bermain 'puzzle' dapat mencabar minda kanak-kanak. Peranan guru sebagai pembimbing menerusi soalan yang terbuka yang mengajak kanak-kanak berfikir. Contohnya; "Cuba kita fikir cara lain untuk mencantumkan mainan ini." Mereka yang berpegang kepada pengajaran berpusatkan kanak-kanak berpegang kepada teori kognitif atau konstruktivis. Pembelajaran adalah proses yang berterusan. Hasil pembelajaran memberi kesan jangka panjang dan kanak-kanak belajar menerusi kefahaman daripada pengalaman penerokaan. Tiada tugasan atau latihtubi (drill) di kelas tadika. Kanak-kanak merasa seronok belajar kerana tiada tekanan. Pembelajaran berteraskan minat dan pilihan aktiviti yang berbagai di kelas tadika. Guru kreatif menyediakan bahan pengajaran dan kreatif menyoal untuk memberi dorongan dan meningkatkan kemahiran berfikir menerusi soalan terbuka.

Sunday, December 2, 2012

Pengajaran Berpusatkan Guru Di Tadika

Jika kita melihat cara guru mengajar di kelas tadika sama ada disedari atau tanpa disedari mereka telah mengamalkan cara pengajaran untuk menyampaikan kandungan pelajaran kepada kanak-kanak. Pengajaran berpusatkan guru bermaksud semua kandungan pelajaran yang disampaikan termasuk kandungan pelajaran, aktiviti yang hendak disampaikan, persediaan bahan dan peralatan pembelajaran datangnya daripada guru. Pengajaran lebih berbentuk arahan guru, manakala kanak-kanak menerima arahan sahaja. Pengajaran lebih kepada satu hala. Contohnya guru lebih banyak menyoal dan memberi arahan, pengajaran lebih berbentuk hafalan, latihtubi, membuat latihan tugasan. Guru yang menggunakan cara ini berpaksikan kepada teori behavioris.

Saturday, December 1, 2012

Belajar Sambil Bermain

Belajar sambil bermain (learning through play) menjadi asas kepada keseluruhan aktiviti pembelajaran kanak-kanak di taska dan tadika. Naluri semulajadi kanak-kanak yang suka bermain tetapi dalam waktu yang sama mereka belajar memahami sesuatu konsep di persekitarannya. Contohnya main pondok-pondok atau masak-masak dilakukan secara bermain meniru keadaan kehidupan sebenar. Secara tidak langsung kanak-kanak belajar peranan sosial dalam masyarakat. Belajar membilang atau membaca abjad diterapkan menerusi nyanyian atau aktiviti yang menyeronokkan lebih berkesan kepada kanak-kanak. Konsep belajar sambil bermain akan mendorong kanak-kanak berminat untuk belajar dan merasa seronok. Secara tidak langsung mereka akan mengganggap pembelajaran itu sesuatu yang menyeronokkan. Jika di peringkat awal kanak-kanak sudah diberi tekanan  dengan alam pembelajaran formal kesan jangka panjang kanak-kanak akan merasa bosan di masa akan datang.