Friday, November 30, 2012

Konflik Perspektif Kanak-Kanak Dan Orang Dewasa

Perbezaan perspektif belajar antara kanak-kanak dan orang dewasa menyebabkan berlaku kekeliruan. Orang dewasa yang tidak memahami konteks pembelajaran kanak-kanak hanya mengamalkan cara pengajaran mengikut pandangan dan citarasa sendiri. Maka berlaku pertembungan keupayaan kemahiran yang tidak sesuai dan tidak sepatutnya dilakukan oleh kanak-kanak. Contohnya 'main' yang sepatutnya diterapkan dalam pengajaran dan pembelajaran di taska untuk kanak-kanak di bawah 4 tahun telah menjadi pengajaran secara formal yang berbentuk abstrak. Kanak-kanak tidak diberi peluang bermain sambil belajar. Orang dewasa menganggap main itu membuang masa. Main bagi orang dewasa adalah riadah atau aktiviti kesihatan. Kanak-kanak pula mengganggap main adalah belajar untuk memahami sesuatu konsep. Kanak-kanak di peringkat praoperasi ini belajar menerusi sentuhan bahan konkrit yang boleh difahami menerusi deria sentuh, lihat, rasa, bau dan dengar yang menjadi asas kemahiran pembelajaran.

Thursday, November 29, 2012

Pencapaian Akademik Jangka Pendek

Ibu bapa dan masyarakat yang tidak memahami pendidikan di peringkat awal berbangga apabila anak kecilnya mencapai kejayaan akademik. Maksudnya apabila anaknya dihantar ke tadika keputusan jangka pendek atau secepat mungkin mahukan anaknya boleh membaca dan mengira. Tekanan ini menyebabkan guru-guru di kelas tadika mengamalkan pendekatan pengajaran bersandarkan teori behavioris atau teori tingkahlaku. Kaedah latih tubi atau mengulangi berkali-kali terhadap suatu perkara yang diajar, menghafal dab membuat latihan tugasan sehingga meletihkan kanak-kanak. Hal ini amat bertentangan dengan naluri semulajadi kanak-kanak yang masih dalam peringkat pemikiran praoperasi. Pendekatan bermain sambil belajar tidak mungkin dapat diterapkan. Kesan jangka panjang akan membosankan kanak-kanak dan kajian menunjukkan kanak-kanak tidak memahami apa yang dipelajari. Pengetahunan diterima bukan menerusi penemuan tetapi disogokan oleh guru tanpa kesedaran diri daripada kanak-kanak. Pembelajaran kanak-kanak tanpa memahami sesuatu perkara yang dipelajari. Kanak-kanak mendapat tekanan dan tidak merasa seronok untuk ke tadika.

Wednesday, November 28, 2012

Teori Dan Amalan Dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak

Teori mempengaruhi amalan pengajaran dan pembelajaran pendidikan awal kanak-kanak. Ini berlaku secara disedari atau tanpa disedari guru mengaplikasikan teori menerusi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Contohnya, sekiranya seorang guru menggunakan kad imbasan dengan melakukan berulangkali menunjukkan kepada kanak-kanak dan menyuruh kanak-kanak membaca berulangkali juga guru tersebut bersandarkan teori tingkahlaku (behaviorist). Sebaliknya jika guru memberi pengalaman kepada kanak-kanak melakukan sesuatu perkara menerusi aktiviti sebagai contoh; guru memberi peluang kanak-kanak menggunakan peralatan seperti batu, bola plastik dan kayu diletakkan dalam bekas air. Kanak-kanak diajak berbincang berat dan ringan, tenggelam dan timbul. Bermakna guru tersebut secara tidak langsung bersandarkan kepada teori konstruktivis atau kognitif.

Tuesday, November 27, 2012

Pengaruh Teori Tingkahlaku Dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak

Teori Tingkahlaku (Behaviorist) mempengaruhi pendidikan awal kanak-kanak selepas Perang Dunia I apabila idea tingkahlaku (behaviorist) yang dipelopori oleh Thorndike dan Watson dijadikan model dalam kurikulum. Penekanan terhadap pengukuhan pembelajaran menerusi ganjaran dan hukuman menjadi teras dalam sistem pendidikan. Aktiviti latihan seperti latihtubi, pengulangan, membuat latihan dengan tujuan mendapat keputusan yang cemerlang dalam akademik disusuli dengan ganjaran apabila mendapat kejayaan merupakan ciri tingkahlaku (Behaviorist). Pembelajaran lebih berpusatkan kepada guru yang menyediakan dan mengarah kanak-kanak semasa aktiviti pembelajaran. Kanak-kanak hanya menghafal tanpa memahami. Apa yang dipentingkan adalah kejayaan akademik dalam jangka masa yang singkat tetapi bukan kesan jangka panjang.

Monday, November 26, 2012

Pendidikan Perkembangan Kognitif

Fahaman pendidikan awal kanak-kanak menerusi teori perkembangan kognitif telah diperkenalkan oleh Jean Piaget.Teori kognitif ini merupakan teori yang memberi penekanan pembelajaran berpusatkan kanak-kanak (child center). Antara pandangannya terhadap kanak-kanak:
  • kanak-kanak memainkan peranan yang aktif dalam perkembangan kognitifnya.
  • mental dan fizikal aktiviti adalah penting untuk perkembangan kognitif kanak-kanak.
  • pengalaman berbentuk peralatan yang digunakan oleh kanak-kanak digunakan untuk membina struktur mental.
  • perkembangan adalah proses yang berterusan.
  • perkembangan adalah hasil daripada kematangan dan hubungan atau saling bertindak antara kanak-kanak dan fizikal dan persekitaran sosial.

Sunday, November 25, 2012

Casa dei Bambini

Maria Montessori dari Rome Italy merupakan doktor perubatan. Bermula dengan kajiannya tentang penyakit kanak-kanak beralih ke pendidikan. Beliau dipengaruhi kerja-kerja yang dilakukan oleh Edouard Seguin tentang sistem mental terencat akal dan Jean Itrad tentang sistem pendidikan untuk individu yang pekak dan bisu. Pada tahun 1906 Montessori diundang oleh Pertubuhan Gereja Roman untuk menubuhkan sekolah yang dikenali Casa dei Bambini (Children House). Setiap hasil kerja mencerminkan agama anutanya. Malah Montessori mengakui dan kerap menggunakan petikan daripada kitab Bible untuk menyokong pandangannya. Sebagai contoh semasa hari pertama melancarkan Casa dei Bambini, Montessori membaca petikan Isaiah 60:1-5 daripada kitab Bilble.

Saturday, November 24, 2012

Asal Usul Nama 'Kindergarten'

Kita selalu menyebut perkataan 'kindergarten' yang kadangkala tersalah sebutan kepada 'kindergarden' disebabkan ejaan yang hampir serupa menyebabkan kekeliruan menyebut perkataan dengan betul. Orang yang mula menggunakan nama 'kindergarten' ialah Friedrich Wilhelm Froebel (1782-1852) berasal dari Jerman. Froebel mengabdikan hidupnya dengan dunia pendidikan untuk kanak-kanak. Froebel berpendapat kanak-kanak sebagai benih yang ditanam, tumbuh, tunas baru, membesar dari muda hingga besar, dan menghasilkan buah. Dia menghubungkan peranan pendidik sebagai tukang kebun yang dinamakan dalam bahasa Jerman 'kindergarten' bermaksud taman untuk kanak-kanak. Froebel digelar sebagai bapa kindergarten.

Friday, November 23, 2012

Peranan Guru Di Tadika Froebelian

Tadika traditional Froebel diperkenalkan tahun 1880an dan 1890an, peranan guru membuat pemerhatian dan membimbing dengan mesra tetapi tidak mencampuri proses kreativiti kanak-kanak. Prinsip pengajaran Froebel telah mempengaruhi pendidik seperti Montessori dan  Susan Blow yang telah menambahbaikan pendekatan pengajaran berasaskan Froebel. Contohnya jika pendekatan traditional Froebel membenarkan kanak-kanak mencipta alatan yang terdapat di dalam 'kotak hadiah' mengikut caranya sendiri, tetapi cara tersebut telah dilakukan pengubahsuaian oleh Susan Blow dan Montessori menerusi manual guru mengikut urutan diperkenalkan penggunaan 'kotak hadiah' untuk aktiviti pengajaran.

Thursday, November 22, 2012

Bermulanya Sejarah Aktiviti Main Sambil Belajar

Berdasarkan catatan sejarah pendidikan awal kanak-kanak Froebel telah mengemukakan pendekatan bermain sambil belajar dengan menggunakan alat bantu yang sesuai dengan minat kanak-kanak. Ciri-ciri tadika dapat dilihat menerusi permainan bebas, menyanyi mengikut arahan dan main mengikut pergerakan dan menggunakan alat yang dikenali sebagai 'hadiah' dan 'tugasan' untuk membantu dan menstuktur permainan. Froebel menyediakan sebuah kotak berisi 6 buah bola benang yang dianyam berwarna merah, hijau, kuning, ungu dan oren. Bola ini digunakan semasa menyanyi dan pergerakan permainan. Diperkenalkan dengan kayu berbentuk kiub, silinder, tiga segi dan empat segi. Kesemua hadiah berbentuk geometri yang dapat membina pengetahuan kanak-kanak dalam bentuk imaginasi dan latihan imaginasi semasa membina bongkah.

Wednesday, November 21, 2012

Peranan Wanita Sebagai Pendidik Terawal Kanak-Kanak

Mendidik kanak-kanak sebaik-baik secara fitrah atau semulajadi paling sesuai adalah wanita. Imam Ghazali menyarankan wanita yang mendidik anak adalah terdiri dari mereka yang baik dari segi tingkahlaku dan pegangan agamanya. Pendidik German yang dikenali sebagai Friedrich Froebel di abad ke 19 turut memberi pandangan yang sama menyatakan wanita secara semulajadi sesuai sebagai guru pertama kanak-kanak dan perlu berpendidikan dan memahami falsafah agama.

Tuesday, November 20, 2012

Aktiviti Harian 30 : Apa Itu Segi Empat?

Guru boleh meletakkan gambar-gambar berbentuk bulat, tiga segi, segi empat atau dengan menggunakan 'musking tate' atau tali supaya kanak-kanak mudah melihatnya. Bercakap dengan kanak-kanak tetang garisan lurus dan bengkok yang membentuk pada setiap bentuk geometri. Minta kanak-kanak membuat bentuk geometri dengan menggunakan anggota secara individu atau kumpulan. Minta kanak-kanak menunjukkan bentuk-bentuk geomeri yang dan berbincang tentang bentuk geometri.

Monday, November 19, 2012

Aktiviti Harian 29 : Tanda Yang Betul

Mengenalpasti kedudukan tanda yang betul tentang bentuk boleh diperkenalkan di dalam kelas. Guru menunjukkan kanak-kanak contoh berbagai tanda yang terdapat di dalam kelas, contohnya hujung pensil, sudut papan tulis, hujung penunjuk jarum jam dan sudut buku. Minta kanak-kanak menunjukkan bentuk dengan jari. Selanjutnya membentuk penunjuk dengan tangan dan lengan, kaki dan keseluruhan anggota. Guru hendaklah bercakap menggunakan istilah bentuk penunjuk supaya kanak-kanak jelas. Jika perlu guru sendiri tunjukkan bentuk kepada kanak-kanak supaya jelas difahami.

Sunday, November 18, 2012

Aktiviti Harian 28 : Di Laluan Yang Betul

Aktiviti kanak-kanak boleh memperkenalkan asas geometri tentang garisan menerusi latihan kemahiran 'locomotor'. Menggunakan 'musking tape', kapur atau sesuatu yang sama untuk membina laluan di atas lantai atau menggunakan tali. Minta kanak-kanak berjalan di dalam kelas dan mula-mula di atas garisan lurus. Setelah kanak-kanak berjaya berjalan di garisan lurus, minta mereka berjalan di garisan bengkok kemudian garisan 'zigzag'. Ikuti corak yang sama dengan kemahiran motor yang lain seperti berlari, melompat dan sebagainya.

Saturday, November 17, 2012

Aktiviti Harian 27 : Garisan

Memperkenalkan asas geometri kepada kanak-kanak hendaklah dilakukan secara mudah difahami. Aktiviti boleh menggunakan 'tape' di atas lantai dengan membuat garisan lurus, melintang, membengkok, bengkang-bengkok dan sebagainya. Biarkan kanak-kanak memerhati garisan di lantai kemudian berbincang tentang garisan yang dilihat secara berkumpulan. Minta kanak-kanak meniru garisan menggunakan anggota badan sendirian atau berkumpulan. Semasa berbincang tentang garisan gunakan rangkai kata yang kanak-kanak boleh memahami. Contohnya garisan menegak dengan berkata,"berdiri tegak," manakala garisan melintang,"baring di lantai." Gunakan sudut bilik untuk menyatakan garisan yang mempunyai sudut seperti segi empat. Mula dengan garisan yang mudah kepada garisan yang sukar.

Friday, November 16, 2012

Aktiviti Harian 26 : Oh, Berkemungkinan

Minta kanak-kanak meneroka seberapa banyak cara untuk membuat pergerakkan, contohnya tangan. Beri mereka masa untuk meneroka dan mengulangi beberapa bahagian anggota badan. Sebaik-baiknya termasuk kaki, kepala, tangan dan bahu. Sekiranya kanak-kanak meminta bantuan, guru boleh mencadangkan untuk mereka mencuba bahagian anggota mengikut arah dan tahap yang berbeza. Jika boleh minta kanak-kanak meneroka, membuat penemuan pergerakan dan membilang pergerakan. Mula dengan pergerakan tangan kerana mudah. MInta kanak-kanak membilang berapa langkah menggunakan pergerakan kaki untuk sampai ke dinding bilik. "Adakah jumlahnya berbeza jika melangkah dari penjuru ke penjuru?" Guru boleh membuat pelbagai aktiviti membilang dengan pergerakan anggota tubuh.

Thursday, November 15, 2012

Aktiviti Harian 25 : Bahagian Anggota

Memberi cabaran kepada kanak-kanak dengan meletakkan sejumlah bahagian anggota di atas lantai. Ulang beberapa kali dengan mempelbagai jumlah anggota tubuh. Kadangkala beri cabaran kepada kanak-kanak menggunakan jumlah yang sama tetapi berlainan bahagian anggota. Sebagai contoh cabaran untuk menyentuh lantai dengan menggunakan tiga bahagian anggota yang boleh menghasilkan dua tapak kaki dan tangan, dua tangan dan dua kaki, dua lutut dan tangai. Aktiviti ini sesuai untuk kanak-kanak di taska yang baru belajar mengenal anggota badan dan belajar membilang. Secara tidak langsung kanak-kanak belajar membilang dan peka dengan anggota badan.

Wednesday, November 14, 2012

Aktiviti Harian 24 : Terbang!!!

Aktiviti roket terbang dapat menarik minat kanak-kanak taska dan tadika. Suruh kanak-kanak mencangkung seolah-olah seperti roket yang akan meluncur terbang. Menyebut nombor seperti berdrama dengan bilangan mengundur iaitu 10 ke 1. Apabila guru memberitahu 'Terbang!!!" kanak-kanak dengan sendirinya melompat ke depan meluncur terbang ke ruang udara. Ulang beberapa kali. Apabila kanak-kanak memahami suruh mereka sendiri yang membilang untuk terbang atau bergilir antara kanak-kanak.

Tuesday, November 13, 2012

Aktiviti Harian 23: Nombor Bayangan

Kanak-kanak diberi persediaan sebelum menulis nombor dengan aktiviti imaginasi. Minta kanak-kanak membayangkan di depan mereka ada papan tulis yang besar dan mereka diberi alat tulis yang besar. Minta kanak-kanak memilih nombor dan tulis di papan tulis. Teruskan dengan nombor lain dan minta kanak-kanak membezakan saiz nombor. Galakkan kanak-kamak menulis nombor mula-mula sebesar mungkin kemudian kecil dan lebih kecil. Tujuan aktiviti membayangkan nombor untuk memberi kesedaran tentang nombor dan mengenalpasti bentuk nombor sebagai persediaan untuk menulis nombor.

Monday, November 12, 2012

Aktiviti Harian 22 : Bentuk Nombor I

Aktiviti mengenalpasti nombor ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan keupayaan secara fizikal meniru apa yang dilihat. Di samping itu dapat memberi pengalaman tetang bentuk nombor. Guru menyediakan nobor 0 hingga 9 yang telah digunting untuk dilekatkan. Berbual dengan kanak-kanak tentang garisan lurus, membengkok dan sudut yang membezakan nombor. Pilih nombor dan tunjukkan kepada kanak-kanak kemudian minta kanak-kanak membuat nombor dengan menggunakan anggota tubuh mereka. Ulang beberapa nombor. Mulakan nombor yang mudah untuk ditiru menggunakan anggota contohnya nombor 0, 1 dan 7.

Sunday, November 11, 2012

Aktiviti Harian 21 : Melalui Sungai Menerusi Hutan

Susun peralatan untuk membuat rintangan dengan menggunakan perabot, kotak, tali, gelung dan sebagainya. Letakkan kad dengan tulisan atau lakar yang menunjukkan arah untuk kanak-kanak melakukan seperti melompat, bawah, atas, keliling atau melalui rintangan atau halangan yang disediakan. Apabila kanak-kanak telah melalui laluan beberapa kali, hendaklah diubah sedikit kedudukan halangan. Contohnya menyusun semula urutan halangan gelung rotan dari terletak di lantai kepada didirikan supaya kanak-kanak boleh melalui menerusi gelung rotan. Aktiviti ini dapat meningkatkan kefahaman kanak-kanak kepada konsep kedudukan, kesedaran tentang ruang dan jarak.

Saturday, November 10, 2012

Aktiviti Harian 20 : Sekali Lagi...

Minta kanak-kanak memilih bukan kemahiran locomotor, contohnya membengkok, bergoyang, menghayun, memutar, yang kanak-kanak ingin membuat latihan. Suruh mereka mengulangi latihan yang sama sekali lagi. Cabar kanak-kanak melakukan sekali lagi. Berapa kali mereka telah melakukan kemahiran? Cabar kanak-kanak melakukan dua kali lagi. Adakah mereka tahu selarang sudah berapa kali melakukannya? Cabar kanak-kanak untuk mencari cara seberapa banyak mereka boleh membengkok, duduk, memusing dan suruh mereka membilang semasa mencubanya. Berapa bahagian anggpta tubuh yang boleh dihayun? Aktiviti ini sesuai untuk memperkenalkan konsep kuantitatif, asas membilang, penyelesaian masalah dan latihan dengan menggunakan kemahiran bukan locomotor.

Friday, November 9, 2012

Altiviti Harian 19:Saya Dan Bayangan Saya

Kanak-kanak secara berpasangan, seorang berdiri di depan seorang lagi kedudukannya berdiri di belakang. Kedua-duanyarngadap arah yang sama. Kanak-kanak di depan akan mengetuai pasangannya dan kanak-kanak di belakang menurut seperti bayang-bayang meniru setiap pergerakan. Beberapa ketika lakukan pertukaran peranan memimpin. Guru pastikan menekankan perkataan depan belakang, di tengah-tengah, antara, pertama di garisan menjadi terakhir di garisan semasa berbincang atau memberi arahan. Aktiviti ini sesuai untuk memperkenalkan konsep kedudukan, dan ruang.

Thursday, November 8, 2012

Aktiviti Harian 18: Ringan Dan Berat

Aktiviti ringan dan berat ini sesuai untuk memperkenalkan kepada kanak-kanak di taska dan juga tadika. Kanak-kanak diminta duduk dan meletakan jari perlahan-lahan di lantai depan mereka. Kemudian suruh menekan tapak tangan di lantai. Berterusan berselang menekan tapak tangan di lantai dan meletakkan hujung jari ke lantai. Memberi cabaran kanak-kanak mengerakkan tangan seboleh-bolehnya perlahan-lahan seolah-olah seperti kepak kupu-kupu. Suruh kanak-kanak seolah-olah tangan mereka seperti kipas helikopter. Ulang beberapa kali. Imajinasi sebegini kanak-kanak dapat memahami konsep berat dan ringan. Anda boleh membuat aktiviti yang lain lebih menarik dan tidak membosankan kanak-kanak untuk belajar memahami konsep matematik.

Wednesday, November 7, 2012

Aktiviti Harian 17: Panjang Dan Pendek

Aktiviti panjang dan pendek ini dapat meningkatkan pengetahuan kanak-kanak kepada konsep kuantiti, membanding beza dan bertentangan (berlawanan). Contohnya kanak-kanak diminta untuk memberitahu tentang tubuh badan: besar, kecil, tinggi, rendah, panjang, pendek. Seterusnya aktiviti lain seperti meminta secara berpasangan untuk menyatakan yang bertentangan: tinggi/rendah, panjang/pendek, besar/kecil. Selanjutnya guru boleh meminta kanak-kanak secara berpasangan menyatakan konsep: panjang daripada, panjang daripada, pendek daripada, tinggi daripada, besar daripada.

Tuesday, November 6, 2012

Aktiviti Harian 16: Membilang Masa

Permainan ini sesuai untuk kanak-kanak di taska yang baru belajar membilang. Seorang kanak-kanak menjadi 'harimau' di depan kumpulan. Kanak-kanak lain berjalan perlahan di belakang 'harimau' sambil bertanya beramai-ramai,"Pukul berapa Pak Belang?" Harimau akan menjawab,"Pukul satu.." Ditanya lagi dengan soalan yang sama dan harimau menjawab mengikut urutan nombor. Harimau akan berpaling semula jika tiba masa kumpulan belakang leka dengan berkata,"Saya mahu makan kamu!" Sambil mengejar dan menangkap rakan untuk ganti jadi harimau.

Monday, November 5, 2012

Aktiviti Harian 15: Permainan Lima Kad

Permain lima kad melibatkan set yang mempunyai pembahagian 5. Setiap kad mempunyai angka 1 hingga 4 digunakan (8 x 4=32 kad). Guru boleh membuat sendiri untuk permainan 5 kad. Semua kad boleh dimainkan oleh dua, tiga atau empat pemain. Setiap pemain hendaklah meletakkan muka kad ke bawah (muka yang mempunyai angka). Apabila tiba giliran pemain akan membalikkan kad dan cuba menjadikan jumlah 5 dengan kad lain. Contohnya jika pemain pertama tidak dapat memadankan pada kad angka 2, pemain giliran ke dua membalikkan kad angka 3, huruf angka 2 boleh dipadankan dengan angka 3 dan pemain menyimpannya (ditempat yang lain). Pemain yang menyimpan dianggap pemenang.

Sunday, November 4, 2012

Aktiviti Harian 14: Permainan Kad

Terdapat banyak permainan kad yang dapat membina perkembangan logikal dan pemikiran nombor. Sebagai contoh permainan kad penumpuan (concentration), perang (war) dan lima (fives). Permainan penumpuan paling mudah dan boleh dimainkan oleh kanak-kanak berusia tiga tahun. Peperangan adalah lebih suka dan 'lima' paling sukar kerana melibatkan pengiraan. Permainan penumpuan menyusun kad yang ditelangkupkan sebaris. Pemain cuba mendapatkan pasangan yang sama dengan membalikan dua kad. Jika dapat sama kad pemain boleh meneruskan permainan. Jika tidak giliran pemain lain melakukan seperti sebelumnya.

Saturday, November 3, 2012

Aktiviti Harian 13: Mainan Papan

Mainan papan seperti tangga dan ular menggunakan dadu untuk menuju penamat merupakan aktiviti membilang. Kanak-kanak bergilir dengan menggunakan dadu untuk membilang pergerakan di atas papan. Berbagai jenis permainan ini boleh didapati di kedai atau guru boleh mencipta sendiri. Contoh permainan papan tangga dan ular  menggalakkan kanak-kanak membilang dan berinteraksi.

Friday, November 2, 2012

Aktiviti Harian 12: Permainan Meneka

Permainan ini menggunakan kad yang ditulis angka pada setiap kad dari 1 hingga 10. Kanak-kanak cuba meneka kad yang dipilih. Kanak-kanak menyebut setiap tekaan dengan mengatakan,"Ya," "Tidak," atau "Tidak, ia kurang." Sebagai contoh, jika nombor yang dipilih ialah 5, dan tekaan pertama 10, tindakbalas yang sepatutnya,"Tidak, ia kurang." Kanak-kanak yang ingin merekodkan nombor yang diteka boleh menggunakan kertas atau papan tulis. Kanak-kanak yang telah cekap akan menulis 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 dan menggunakan proses memadamkan nombor. Terdapat juga kanak-kanak akan menulis 1 2 3 ...untuk menyimpan rekod nombor yang diteka sebagai prosesnya.

Thursday, November 1, 2012

Aktiviti Harian 11: Membilang Buaya

Guru boleh menggunakan cerita Sang Kancil membilang buaya di sungai. Kumpulan kecil seramai lima atau enam orang kanak-kanak dalam bulatan. Seorang kanak-kanak memulakan dengan berlari di luar bulatan sambil berkata,"Satu, dua, tiga, lekok, jantan, betina, kena ketuk!" berhenti lalu menyentuh kanak-kanak yang terakhir. Kanak-kanak yang disentuh bangun mengejar kanak-kanak mengikut pusingan bulatan. Kanak-kanak yang dikejar membuat pusing dan duduk ditempat kanak-kanak yang mengejar. Kanak-kanak yang mengambilalih akan meneruskan kiraan,"Empat, lima, enam, lekok, jantan betina kena ketuk!" Lakukan sebagaimana yang mula-mula. Secara tidak langsung aktiviti ini membolehkan kanak-kanak belajar untuk mengingatkan urutan nombor. Sekiranya kanak-kanak lupa, guru minta kanak-kanak lain mengingatkan rakannya.