Saturday, June 30, 2012

Kepercayaan Kepada Orang Dewasa

Apabila kanak-kanak dihantar ke taska tentunya mereka mengharapkan orang yang boleh dipercayaai sepertimana ketika di rumah. Kanak-kanak perlu belajar bahawa orang dewasa boleh mengajar, menyayangi dan membantu orang lain. Pendidik di taska hendaklah menunjukkan kepercayaan setiap hari menerusi tindakan, kemesraan dan gerak tubuh supaya tidak mengganggu perasaan. Tindakan yang ditunjukkan oleh orang dewasa akan membantu kanak-kanak untuk membesar sebagaimana orang dewasa yang mesra di sekeliling mereka.

Friday, June 29, 2012

Menggunakan Bahasa Menyatakan Dirinya

Kanak-kanak cuba menggunakan bahasa untuk meminta keperluannya. Bahasa juga digunakan untuk bersosialisasi antara kanak-kanak dengan orang dewasa dan rakan sebayanya. Komunikasi bahasa kanak-kanak di taska masih di aras di mana kanak-kanak menggunakan dialog yang tidak menyedari minat orang lain. Bagaimana pun perbualan di kalangan kanak-kanak masih memberi kepuasan kepada mereka. Kanak-kanak juga suka bermain dengan bahasa sebagai mana yang digunakan pada puisi dan pantun. Bahasanya ringkas dan kadangkala melucukan.

Thursday, June 28, 2012

Memberi Peluang Kanak-Kanak Melakukan Sendiri

Sejak dari peringkat tatih kanak-kanak menunjukkan kemahuannya untuk melakukan untuk diri sendiri dan umelakukannya sendiri. Kanak-kanak kebiasaannya meningkat kepuasan kendiri apabila mereka telah menyelesaikan tugasan asas yang baru. Jika orang dewasa telah mempelajari untuk memadankan keperluan dengan keupayaan, kanak-kanak akan dapat lebih pengalaman kejayaan berbanding kegagalan semasa dalam peningkatan pembelajaran. Seolah-olah kanak-kanak akan berkata," Saya boleh membuat benda itu" atau "Saya boleh baca buku itu." Sebenarnya kanak-kanak teruja untuk membuktikan kecekapan dan kemahirannya yang kadangkala bukan keupayaannya untuk melakukan kemahiran itu. Kanak-kanak akan meningkat kecekapannya jika orang dewasa menyusun aktiviti pembelajaran, berinteraksi dan memupuknya serta menggalakkan mereka mencuba sedaya mungkin terhadap tugasan yang sukar sedikit.

Wednesday, June 27, 2012

Hubungan Mesra Kanak-Kanak Dan Orang Dewasa

Kanak-kanak merasa bebas untuk belajar dan mencuba aktiviti yang berlainan jika mereka merasakan disayangi atau diberi perhatian oleh orang dewasa. Apabila orang dewasa memberi keselesaan dan menghargai biar pun kecil aktiviti yang telah dapat dilakukan, kanak-kanak mula membina kepercayaan untuk mencuba mempelajari lagi perkara telah berjaya dilakukan. Membina hubungan mesra adalah mudah jika orang dewasa bersedia untuk mendengar dan berkongsi apabila kanak-kanak memerlukannya.

Tuesday, June 26, 2012

Kanak-Kanak Diberi Pilihan

Orang dewasa mendidik kanak-kanak dengan memberi peluang untuk membuat pilihan. Kanak-kanak perlu belajar bertanggungjawab terhadap tindakannya menerusi mengambil inisiatif. Kanak-kanak juga perlu merasakan selesa membuat andaian yang salah. Orang dewasa boleh memberi kanak-kanak pilihan dibatas sempadan peraturan semasa di taska. Contohnya,"Di ruang mana kamu hendak bermain pagi ini?" Membantu kanak-kanak bertanggungjawab tidak bermakna orang dewasa menurunkan peranan membimbing. Fungsi tanggungjawab bermaksud kanak-kanak belajar cara untuk membantu semasa berkemas selepas bermain alat permainan dan sebagainya.

Monday, June 25, 2012

Apakah Yang Diharapkan Kanak-Kanak Semasa Di TASKA?

Kanak-kanak mempelajari rutin, peraturan dan rentak setiap hari yang dilalui. Semasa mereka bermain, mereka mempelajari tetang sesuatu aktiviti harian yang berlaku dan meningkatkan rutin secara tidak langsung pada dirinya. Kanak-kanak menyedari cara orang dewasa mengendalikan aktiviti. Mereka juga menyedari bila untuk merasakan untuk bergegas dan selesa, kepenatan dan bosan atau melibatkan dan menggunakan tenaga.

Sunday, June 24, 2012

Kanak-Kanak Dan Orang Dewasa Sama-Sama Belajar Mempelajari

Apakah yang boleh orang dewasa belajar daripada bekerja dengan kanak-kanak? Apakah yang kanak-kanak belajar daripada interaksi dengan orang dewasa? Hubungan yang istimewa daripada guru, pengasuh kanak-kanak atau ibu bapa dengan kanak-kanak dapat membantu orang dewasa sebanyak mungkin sebagaimana membantu pertumbuhan kanak-kanak. Orang dewasa dan kanak-kanak mendapat kebaikan daripada pemerhatian dunianya dan diri sendiri daripada sudut pandangan orang lain.

Friday, June 22, 2012

Peranti Eletronik Dan Gadget Memberi Kesan Obesiti Kepada Kanak-Kanak

Kajian yang dijalankan oleh Edinburgh Sleep Centre mendapati peranti eletronik memberi kesan negatif kepada kualiti tidur. Selanjutnya gangguan masa tidur yang sedikit atau mengganggu waktu tidur yang biasa boleh menyebabkan obesiti atau kegemukan. Hal ini disebabkan tabiaat buruk tidur boleh mengganggu hormon yang mengawal kelaparan dan perkembangan tenaga serta keinginan makanan yang kaya dengan kalori. Pakar penyelidik percaya masalah obesiti boleh di atasi dengan mengalihkan penggunaan peranti eletronik dan gadget daripada kanak-kanak (jika terdapat di bilik tidur) dan melaksanakan rutin masa tidur dan peraturan yang ketat terhadap penggunaan peranti eletronik dan gadget.

Thursday, June 21, 2012

Kesesuaian Perisian Peranti Eletronik Dan Gadget Untuk Kanak-Kanak

Kemajuan teknologi pada masa kini tidak terhenti dan sentiasa berterusan. Saban hari ada sahaja baru yang canggih. Anak-anak anda sentiasa mahukan gadget baru dan kebanyakan kanak-kanak mahukan yang terbaru. Apakah yang harus ibu bapa perlu menanganinya? Mungkin idea ini boleh dipertimbangkan kepada ibu bapa yang mempunyai anak yang baru lahir hingga lima tahun. Berdasarkan pandangan American Academy of Pediatricss kebanyakan kanak-kanak kecil tidak perlu untuk mengekses teknologi sehingga usia mereka sekurang-kurangnya dua atau tiga tahun. Cuba jauhkan teknologi daripada kanak-kanak seboleh mungkin. Kanak-kanak ini lebih baik perkembangannya jika mereka mempunyai lebih masa untuk bermain, bersama-sama dengan orang dewasa dan rakan sebaya serta orang dewasa membacakan buku untuk kanak-kanak. 

Kebanyakan ibu bapa memperkenalkan TV kepada anak kecil sebagai satu cara untuk membantu kerja harian mereka supaya tidak terganggu. Dicadangkan pilih rancangan yang sesuai dengan usia kanak-kanak, program pendidikan. Ibu bapa perlu memantau kanak-kanak semasa menonton TV dan hadkan masa menonton TV.

Wednesday, June 20, 2012

Impak Kesan Peranti Eletronik Dan Gadget

Menurut sumber kajian yang dibuat oleh 'Kaiser Family Foundation' di Amerika Syarikat 
menunjukkan kanak-kanak menghabiskan masa selama lebih daripada 7 jam sehari terdedah dengan peranti eletronik termasuklah television, permainan eletronik, internet dan peranti mobil. Data menunjukkan lebih daripada 50 jam seminggu memberi makna masa yang digunakan lebih kepada waktu bekerja orang dewasa jika dipuratakan 8 jam sehari untuk 6 hari bekerja. Kajian ini juga menunjukkan kanak-kanak ini tahu bermain dengan telefon pintar (smart-phone), membuat panggilan telefon mobil dan menggunakan dan melayari internet sendiri tanpa dibantu. Walau bagaimana pun kajian mendapati kanak-kanak yang seusia ini semakin kurang mengetahui cara untuk mengikat tali kasut sendiri tanpa dibantu dan berenang tanpa bantuan. Kanak-kanak ini lebih cekap dalam penggunaan teknikal berbanding dengan kemahiran praktikal kehidupan sebenar (real life practical skills). Peranti dan permainan eletronik seolah-olah menjauhkan kanak-kanak untuk menghadapi kehidupan realiti. Itu yang berlaku di negara maju. Adakah kesan yang serupa akan berlaku di negara kita?

Tuesday, June 19, 2012

Kesan Negatif Pendedahan Peranti Eletronik Dan Gadget Kepada Kanak-Kanak

Pendedahan yang berlebihan penggunaan peranti eletronik dan gadget kepada kanak-kanak lebih mendatang kesan negatif. Lebih banyak keburukan daripada kebaikan kepada kanak-kanak apabila penggunaan peranti eletronik dan gadget tidak dikawal oleh orang dewasa. Memang tidak dapat dielakkan dengan persekitaran eletronik dalam kehidupan hari ini. Produk eletronik yang dikomersialkan yang memberi tumpuan kepada kanak-kanak telah mengubah trend kanak-kanak moden daripada pengguna pasif kepada pengguna aktif. Walau bagaimana pun tidak semua produk eletronik itu memberi kesan positif kepada kanak-kanak. Penyelidikan yang dilakukan oleh Barbara J. Wilson dari University of Illinois Urbana-Champaign mendapati pendedahan media kepada kanak-kanak boleh menyumbang ketakutan dan kecemasan, keganasan dan aggresif. Berdasarkan kajian itu dinasihatkan orang dewasa mengawal program yang patut didedahkan kepada kanak-kanak. Kandungan gadget hendaklah disesuaikan dengan usia kanak-kanak dan unsur nilai yang sepatutnya dipelajari oleh kanak-kanak.

Monday, June 18, 2012

Kesan Positif Pendedahan Peranti Eletronik Dan Gadget Kepada Kanak-Kanak

Semua menjadi kesan positif dan negatif jika pendedahan yang keterlaluan apabila peranti (devices) eletronik dan gadget kepada kanak-kanak. Mari kita melihat terlebih dahulu kesan positif penggunaan peranti eletronik kepada kanak-kanak. Jika peranti eletronik dan gadget didedahkan kepada kanak-kanak taska yang berumur 4 tahun ke bawah dapat membantu mereka untuk deria dan imaginasi. Ada juga yang dapat membantu keupayaan mendengar, mempelajari bunyi dan keupayaan bertutur. Walau bagaimana pun pemilihan kandungan yang akan digunakan atau untuk didedahkan kepada kanak-kanak hendaklah diberi perhatian supaya bersesuaian dengan peringkat usia kanak-kanak. Ibu bapa dan orang dewasa hendaklah meneliti dan memberi penilaian terhadap kandungan yang mempunyai nilai positif kepada kanak-kanak. Tidak semua kandungan peranti eletronik dan gadget memenuhi keperluan kanak-kanak.

Sunday, June 17, 2012

Selamat Hari Bapa!

Bapa merupakan tunggak keluarga yang sama-sama berperanan mendidik anak-anak. Cara ibu dan bapa mendidik agak berbeza. Kajian menunjukkan bapa berpengaruh membezakan gender (jantina) semasa mendidik anak-anaknya. Ada juga bapa yang mendidik tanpa membezakan jantina. Kebanyak bapa bertindak membentuk secara arahan kepada anak lelakinya dan menyatakan khusus kepada anak perempuannya. Arahan tingkahlaku adalah tertumpu kepada kemahiran dan orientasi pencapaian kepada anak lelaki; dan tingkahlaku khusus menggalakkan dan memupuk serta tingkahlaku mengambilberat terhadap anak perempuan. Walaupun bapa menggalakkan kognitif kepada kedua-dua anak lelaki dan perempuan tetapi fokus mendidik secara mengarah kepada anak lelaki berbanding dengan anak perempuan. Ada kajian menunjukkan bapa telah menetapkan piawaian yang tinggi terhadap anak lelaki berbanding anak perempuan untuk penekanan pencapaian. Pertimbangkan cara bapa mendidik anak.  SELAMAT HARI BAPA.

Saturday, June 16, 2012

Apakah Itu Sains Pada Kanak-Kanak?

Sains boleh didefinisikan sebagai pengetahuan yang sistematik. Pada orang dewasa, pengetahuan adalah dikelompukkan kepada fizikal, semulajadi, biologikal, sains sosial, sastera, muzik, matematik dan seni. Kesemua ini sistem yang dihasilkan oleh manusia. Semuanya mempunyai konsep yang penting untuk kanak-kanak. Pertanyaan sering dikemukakan oleh kanak-kanak yang mana guru perlu menjawabnya dengan berkata,"Mari kita mencari jawapan," atau "Mari kita tengok benda itu." Mendapatkan jawapan menggunakan kaedah saintifik memerlukan pemerhatian, membuat pertanyaan, mencari alasan dan membuktikan menerusi eksperimen. Jawpan pada hari ini mungkin tidak bersesuaian di masa akan datang. Proses kaedah saintifik adalah penting terutama dalam pendidikan awal kanak-kanak. Kesungguhan guru untuk menggalakkan kanak-kanak sentiasa rasa ingin tahu berterusan bukan mengajar fakta khusus.

Friday, June 15, 2012

Kesan Peranti Eletronik Dan 'Gadget' Kepada Kanak-Kanak

Kemajuan teknologi masa kini banyak memberi kesan positif dan negatif kepada pengguna terutama kanak-kanak. Kita lihat kanak-kanak seusia dua tahun telah bermain dengan peranti eletronik dan gadget. Ini tidak termasuk permainan video yang membuat kanak-kanak tertumpu, selain itu termasuk televisyen dan penggunaan telefon pintar, komputer, komputer tablet, permainan PSP dan sebagainya. Kanak-kanak hari ini seolah-olah sebagi pengguna yang aktif sehingga banyak produk eletronik dan gadget secara komersial memberi tumpuan kepada pasaran kanak-kanak. Ibu bapa mungkin mudah untuk menjadikan anaknya duduk diam dan tidak mengganggu dengan memberikan mereka gadget untuk bermain.

Thursday, June 14, 2012

Memupuk Perkembangan Sosio Emosi Menerusi Seni dan Kraf

Keperibadian kanak-kanak biasanya terpancar dengan jelas apabila mereka melukis atau mewarna. Lukisan kanak-kanak kebiasaannya egosentrik. Ada pendapat mengatakan bahawa aktiviti melukis bukan sahaja refleksi dalaman kanak-kanak tetapi aktiviti tersebut dapat membantu meluahkannya. Ahli keluarga selalu dipamerkan dalam lukisan kanak-kanak. Perasaan terhadap orang lain akan terpancar dalam lukisan atau menerusi perbualan semasa melukis.

Wednesday, June 13, 2012

Awal Tulisan Dan Bacaan Menerusi Aktiviti Seni Dan Kraf

Menggunakan meja seni dan kraf sesuai untuk kanak-kanak membuat percubaan pertama kali belajar menulis namanya yang mesti bermula dari kiri ke kanak dalam penulisan Roman. Guru mengajar kanak-kanak menggunakan tulisan manuskrip dan memulakan dari sudut kiri halaman untuk mengelakkan tulis berkumpul apabila memulakan menulis terlalu jauh di bahagian kanan halaman kertas. Membentuk penulisan adalah jelas sebagai pengalaman membaca disamping pengalaman menulis.

Konsep bentuk adalah diperlukan dalam membaca dan perkara biasa dalam peralatan seni dan kraf. Bentuk di gunting, dilukis, dibanding bezakan dan dinamakan. Kesamaan dan kelainan pada bentuk selalunya dibincangkan. Bentuk-bentuk tulisan pada kotak makanan boleh ditambah pada bahan kolaj. Ini dapat menggalakkan kanak-kanak membentuk nama mereka dan perkataan lain. Aktiviti yang berkisar dengan nama kanak-kanak dapat mengukuhkan kefahaman mengenalpasti simbol (huruf).

Tuesday, June 12, 2012

Memupuk Perkembangan Kognitif Menerusi Seni Dan Kraf

Hasil kerja seni kanak-kanak adalah salah satu cara untuk kanak-kanak taska dan tadika memahami, menyusun dan mendalami konsep. Apabila orang dewasa menyediakan peralatan seni lukis dan kertas, kanak-kanak akan melukis dan mewarna. Kanak-kanak cuba membuat gambaran yang terperinci pada lukisannya. Kanak-kanak berterusan menterjemahkan idea dalam berbagai media yang menunjukkan bahawa mereka peka terhadap alam persekitarannya. Pengalaman dengan warna, lakaran dan coretan tersedia pada aktiviti seni dan kraf. Kanak-kanak dengan mudah mempelajari nama dan penemuan campuran warna asas untuk dijadikan warna sekundar dan seterusnya. Contohnya apabila seorang kanak-kanak berjaya mencampurkan warna kuning dan merah, "Tengok saya buat warna oren!" kanak-kanak gembira dengan penemuannya.

Monday, June 11, 2012

Memupuk Kemahiran Persepsi Motor Menerusi Seni Dan Kraf

Kreativiti mempunyai alasan yang kukuh dapat memberi kanak-kanak ruang yang luas kepada kanak-kanak terhadap media seni dan dapat membantu mereka mencari sesuatu terutama untuk meluahkan perasaan, mod, dan idea. Walau bagaimana pun terdapat kepentingan yang lain selain yang disebutkan sebelum ini. Kemahiran yang dapat dibina menerusi kerja seni menerusi peralatan seni iaitu kemahiran pratulis dan prabaca. Jelas, kemahiran motor adalah dibina menerusi aktiviti seni dan kraf. Kanak-kanak melakar, menggunting dan menampal dengan latihan koordinasi tangan dan mata. Menerusi aktiviti senin dan kraf kanak-kanak belajar memberi penumpuan pada bentuk atau rekaan untuk diletakkan pada halaman bahagian depan atau latar belakang, membantu kanak-kanak membina bentuk dan konsep latar. Kemudian dalam penulisan kanak-kanak perlu menumpukan pada bentuk-bentuk tulisan di atas kertas putih.

Sunday, June 10, 2012

Jika Tidak Yakin Dengan Kreativiti Kanak-Kanak

Selalunya orang dewasa berbangga dengan hasil kerja yang dihasilkan oleh anak mereka di taska atau tadika. Hasil kerja kanak-kanak dipamerkan di dinding dengan begitu kemas dan menarik perhatian orang dewasa yang kadangkala diluar keupayaan kanak-kanak itu sendiri. Malah hasil kerja kanak-kanak itu kelihatan sama di antara satu sama lain. Ada sesuatu yang berlaku disebalik penghasilan kerja kanak-kanak itu. Jika guru hilang kepercayaan terhadap keupayaan kreativiti kanak-kanak atau menjadikan kanak-kanak mangsa untuk memberi tekanan kepada penghasilan, ia akan membantutkan kanak-kanak terhadap masa depan kreativitinya. Setiap masa kanak-kanak akan menunggu idea daripada guru atau "betul salah" sebelum memulakan tugasan. Kanak-kanak tidak merasa seronok dengan hasil atau proses.

Saturday, June 9, 2012

Proses Kreatif Bukan Hasil

Hasil daripada proses kreatif kanak-kanak seperti lukisan, kolaj atau hasil kerja seni yang lain tidak mempunyai nilai di pasaran. Walau bagaimana pun penglibatan proses kreatif adalah amat berharga untuk perkembangan kanak-kanak.Corak tidak digunakan untuk mendapatkan hasil yang kelihatan sahaja. Begitu juga jenis buku mewarna dengan garisan untuk dipenuhkan oleh kanak-kanak tidak disediakan. Guru hendaklah mempunyai atau menaruh kepercayaan kepada kanak-kanak dan kerap memberitahu kepada kanak-kanak yang mereka boleh melakukannya. Guru perlu cuba mengelakkan diri daripada membantu kebolehan kanak-kanak. Guru juga hendaklah memberi keyakinan kepada kanak-kanak dari masa ke semasa. Guru meningkatkan keyakinan diri kanak-kanak dengan menggalakkan bereksperimen agar kanak-kanak dapat menyelesaikan masalah dengan cara yang unik.

Friday, June 8, 2012

Program Kreativiti Di Taska Dan Tadika

Program pendidikan kanak-kanak yang berkualiti memberi peluang kepada kanak-kanak untuk berkreatif atau menggalakkan berfikir secara bercapah (divergent)untuk mencari ekspresi. Kurikulumnya pula pada setiapbahagian terdapat ruang untuk kanak-kanak mengabungkan mengikut cara baru. Gurunya pula menilai keunikan secara spontan, ikhlas dengan pandangan terbuka dan imaginatif serta memberi cabaran kepada pembelajaran kanak-kanak. Guru membenarkan kanak-kanak menggunakan peralatan secara berterisan sebagai sebahagian daripada programnya.

Thursday, June 7, 2012

Keraguan Terhadap Kreativiti

Orang dewasa sering keliru tentang kreativiti.Sikap terlalu tegar dengan peraturan,keadaan yang melemaskan atau tidak mendapat sokongan di peringkat awal percubaan menjadikan kanak-kanak merasa ragu dengan atau sangsi dengan kreativinya sendiri. Peralatan seni lukis dapat membantu kanak-kanak melibatkan diri dengan aktiviti kreatif. Matlamat pendidikan seni adalah untuk digunakan proses kreatif menjadikan seseorang itu lebih kreatif tanpa menetapkan di mana kreativiti mereka digunakan. Memetik penulisan Lowenfield dan Brittain,"Seni lukis kanak-kanak membezakan individu. Tiada persamaan menyatakan luahan perasaan antara dua orang kanak-kanak."

Wednesday, June 6, 2012

Kajian Tentang Kreativiti

Penyelidikan mendapati bahawa bahagian otak kiri hemispera mengawal fungsi motor di bahagian kanan anggota tubuh. Manakala bahagian otak kanan hemispera mengawal bahagian kiri anggota. Hemispera kanan dikatakan berfungsi untuk holistik dan hemispera kiri pula berfungsi untuk analitik, logikal. Berdasarkan hasil kajian dirumuskan jika kita ingin memupuk kreativiti hendaklah membina keupayaan setiap bahagian analitik dan holistik.Kita hendaklah membina keupayaan yang tidak menjadi kebiasaan di salah satu bahagian apabila didapati tidak bersesuaian dengan tugasan dan akhirnya kita mesti boleh melakukan di kedua-dua keadaan dengan selesa.

Tuesday, June 5, 2012

Ciri-Ciri Kreativiti

Merujuk kepada pandangan Lowenfield dan Brittain antara ciri-ciri kreativiti, mereka sentiasa bermotivasi, ingin tahu dan berimaginasi untuk;
  1. mencari dan menemui jawapan,
  2. menyoal penyelesaian sedia ada kepada permasalahan,
  3. memikirkan semula, menstruktur dan mencari perkaitan baru,
  4. terbuka kepada yang tidak diketahui dan baru,
  5. sentiasa bersikap anjal, tidak mengikut keadaan (kelainan) dan tidak angkuh,
  6. pernyataan sendiri dan tulen,
  7. menggunakan pemikiran bercapah (divergent).
Kreativiti adalah pernyataan fikiran yang dibawa oleh semua tingkahlaku. Semua manusia kreatif dengan menggunakan bahasa sebab untuk bercakap seseorang mesti setiap kali mencipta ayat baru untuk menjadikannya kebiasaan. Kreativiti adalah diperlukan dalam aktiviti kognitif sosial. Semua kanak-kanak dilahirkan dengan kreativiti.

Monday, June 4, 2012

Apakah itu kreativiti?

Terdapat berbagai pandangan tentang kreativiti. Di antara pandangan kreativiti seperti Eliot W. Eisner dalam penulisannya "Research in Creativity" menyatakan kreativiti adalah keupayaan proses pada sesuatu keadaan oleh semua manusia. Kreativiti adalah sebahagian intelek manusia yang telah dibezakan oleh Erhard Hofstadter daripada inteligen. Berdasarkan penulisan Hofstadter "Anti-intellectualism in American Life" bahawa intelek adalah kritikal, kreatif dan bahagian pemikiran yang mendalam. Intelegen adalah kecemerlangan pemikiran yang melibatkan agak menjurus, segera dan dijangkakan. Manakala Lowenfeld dan Britain pakar kreativiti dan seni lukis kanak-kanak mengatakan bahawa kreativiti mengambarkan orang yang mempunyai motivasi, ingin tahu dan berimaginasi. Kesemua pandangan ini hanyalah untuk pengetahuan sahaja dan mungkin terdapat pandangan lain untuk dibicarakan kreativiti dalam kehidupan kanak-kanak.

Sunday, June 3, 2012

Aktiviti Fizikal Mengurangkan Obesiti

Koordinasi perkembangan motor kasar dan motor halus semasa bermain dapat dipertingkatkan. Koordinasi motor halus adalah diperlukan semasa untuk menulis, melukis, mengunting, mengikat atau manipulasi seperti 'puzzle' dan peralatannya. Permainan imaginasi dan dramatika semasa kanak-kanak bermain aktiviti luar akan mencabar kreativiti, konsep dan daya ingatan. Semua bahagian mental kanak-kanak berkembang. Aktiviti lasak meransang proses seperti kitaran, pernafasan dan tabiaat makan meningkat dan berehat. Dr. Jean Mayer, profesor nutrisi di Havard School of Public Health menyatakan pendapatnya bahawa aktiviti fizikal adalah variasi persekitaran yang sangat penting memberi kesan kepada obesiti kanak-kanak. Kanak-kanak obesiti kurang melakukan senaman berbanding dengan kanak-kanak yang tidak obes melakukan senaman walaupun kadar makanan yang sama. Dalam diet terapi senaman jangka panjang perlu ditingkatkan.

Saturday, June 2, 2012

Aktiviti Luar Memberi Ketenangan Kepada Kanak-Kanak

Aktiviti luar bangunan dapat menghapuskan perasaan negatif  menerusi aktiviti seperti membaling bola, pundi kacang, atau memaku paku pada papan antara contoh untuk menghapuskan perasaan negatif. Berlari dan menunggung juga menyalurkan keluar perasaan yang terbuku. Kadangkala hal ini selalunya orang dewasa terlepas pandang. Perkembangan minda juga berkembang semasa aktiviti luar. Persekitaran luar akan meransang kanak-kanak rasa ingin tahu dan meneroka. Kanak-kanak boleh membuat banyak pemerhatian sendiri. Mereka boleh mencuba ideanya dan mendapat banyak kesimpulan daripada pemerhatian dan percubaannya.

Friday, June 1, 2012

Kemahiran Motor Individu

Kemahiran motor individu seperti menarik, menolak, mengangkat, mengimbang, berlari, memanjat, mengayuh, menunggang, melompat, membaling dan bergayut adalah diperolehi menerusi latihan. Kemahiran motor ini memberikan keyakinan diri kepada kanak-kanak. Kemhiran motor yang dapat dikuasai akan menjadikan dirinya lebih yakin apabila berdepan dengan pengalaman baru. Misalnya kanak-kanak lima tahun telah dapat menguasai mengayuh basikal beroda dua bukan sahaja merasakan dirinya seolah-olah juara pada dirinya sendiri tetapi juga boleh diterima oleh kanak-kanak yang sudah bersekolah dan bersedia untuk berkayuh dengan keluarganya jika keluarganya berminat mengayuh basikal. Pada masa kini menunggung basikal sekeluarga bukan lagi suatu kebiasaan di negara kita kerana keadaan berubah. Aspek keselamatan dan persekitaran serta kemudahan kenderaan.