Tuesday, June 29, 2010

Penghalang Kreativiti

Sama ada kita sedar atau tidak orang dewasa boleh menjadi penghalang kepada kreativiti kanak-kanak. Menurut Goleman, Kaufman & Ray (1993) menyatakan beberapa perkara cara orang dewasa tidak menggalakkan kreativiti kanak-kanak:

Pengawasan:
Terlalu mengawasi kanak-kanak membuat mereka merasa dirinya selalu diperhatikan semasa melakukan kerja. Di bawah pengawasan yang kerap, tidak membenarkan mengambil risiko perlahan-perlahan akan menengelamkan kreativiti kanak-kanak.

Penilaian: Apabila kita sentiasa membuat penilaian maka kanak-kanak berasa bimbang tentang apa yang dilakukannya dan mereka tidak hirau kepada kepuasan yang telah mereka capai.

Ganjaran: Terlalu mewah dengan hadiah akan melenyapkan keseronokan aktiviti kreatif.

Pertandingan: Meletakkan kanak-kanak dalam keadaan menang-kalah dan hanya seorang sahaja berada di atas serta menidakkan kepada proses bahawa kanak-kanak meningkat mengikut tahapnya sendiri.

Kawalan keterlaluan: Sentiasa memberitahu kanak-kanak bagaimana membuat sesuatu perkara menjadikan kanak-kanak merasakan bahawa keaslian (origanlity) yang difikirkannya adalah salah dan sebarang penerokaan adalah membuang masa.

Pilihan terhad: Memberitahu kanak-kanak aktiviti yang mereka sepatutnya lakukan di mana sepatutnya membiarkan mereka memilih sendiri berdasarkan minat dan keinginannya. Kesannya akan menghadkan penerokaan aktif dan bereksperimen yang membawa kepada penemuan kreatif dan penghasilan.

Tekanan: Terlalu meletakkan harapan yang tinggi kepada prestasi kanak-kanak selalunya di akhiri dengan memberikan subjek dan aktiviti yang tidak digemari kanak-kanak. Meletakkan harapan tinggi yang tidak munasabah seperti memberi tekanan dan melakukan aktiviti yang telah diletakkan garis panduan kepada kanak-kanak untuk menghasilkan prestasi yang baik akan mengenepikan eksperimentasi, penerokaan dan inovasi. Meletakkan harapan yang tinggi adalah di luar keupayaan perkembangan kanak-kanak.

Apakah pandangan anda?

Sunday, June 27, 2010

Prasekolah Di Malaysia

Perkembangan pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia semakin diterima ramai. Penglibatan agensi kerajaan dan swasta adalah positif. Di Malaysia kanak-kanak berusia 6 tahun memasuki kelas prasekolah(isitilah yang digunapakai dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550). Jumlah kanak-kanak di kelas prasekolah mengikut laporan akhbar 26 Jun 2010 (Utusan Malaysia) Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) 7,511 kelas, KEMAS 8,525 kelas, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) 1,643 kelas dan swasta berdaftar 6,412 kelas.

Apakah yang menarik tentang fakta tersebut?
1. Jumlah guru yang berkelayakan dalam bidang.
2. Jumlah prasekolah swasta yang tidak berdaftar.
3. Pelaksanaan keseragaman kurikulum, jika menggunakan kurikulum berpusat.

Bagaimana pandangan anda? Mohon berkongsi pandangan dan pendapat anda.

Saturday, June 26, 2010

Keperluan Asas: Tidur dan Ketenangan Lawan Main

Pengalaman sebenar sewaktu di US, saya telah di tempatkan di sebuah nursery untuk menjaga kanak-kanak 1 tahun hingga 2 tahun. Peraturannya ibu bapa yang menghantar anaknya hendaklah disambut di depan pagar (rujuk gambar). Tujuannya berbual secara informal untuk mengetahui keadaan anaknya waktu itu. Apa yang hendak saya bincangkan di sini ialah keperluan tidur dan ketenangan sewaktu di pusat penjagaan kanak-kanak (nursery).

Semua kanak-kanak memerlukan masa untuk berehat. Guru atau profesional kanak-kanak perlu mengadakan suasana tenang, persekitaran yang santai semasa lelap (nap) atau berehat. Menurunkan bidai atau menutup langsir di tingkap, menggunakan lampu tidur, memainkan muzik instrumental, menyediakan peralatan yang selesa untuk setiap kanak-kanak. Contohnya bantal dan anak patung kegemaran kanak-kanak. Diharapkan dapat membantu peralihan situasi dari bermain kepada tidur.

Guru atau profesional kanak-kanak perlu memberi perhatian kepada kanak-kanak yang tidak boleh tidur atau melelapkan mata. Sediakan bakul berisi buku untuk dibaca semasa baring atau memberi kertas dan pensil untuk ditulis atas meja. Aktiviti ini dilakukan secara individu dan melakukannya dengan senyap.

Keperluan Asas: Makan Lawan Tandas

Bagaimanakah merancang persekitaran yang memenuhi keperluan asas kanak-kanak? Perkara ini hendaklah diambil perhatian kepada pengusaha taska terutama mereka yang mengendalikan perkhidmatan kanak-kanak di peringkat bayi dan tatih. Jika premis yang dibina khusus untuk bayi dan tatih tidak menjadi masalah kerana reka bentuk ruang telah dibina untuk memisahkan tempat makan dan meja menukar lampin. Itu pun jika pengusaha berkenaan peka dan merujuk kepada pakar reka bentuk taska dan mereka yang berpengetahuan dalam bidang ini.

Sebenarnya untuk tujuan kebersihan dan kesihatan sebaik-baiknya tempat makan dan tandas hendaklah diasingkan. Di premis taska untuk kanak-kanak 3 tahun hingga 4 tahun tidak menjadi masalah tetapi untuk perkhidmatan kanak-kanak peringkat bayi dan tatih menimbulkan masalah. Bilik air (tandas) yang kecil tentunya tidak boleh dimuatkan dengan meja lampin, tandas dan sinki. Selalunya pengasuh akan menukar lampin di dalam kelas kerana dalam waktu yang sama pengasuh akan memerhati dan menyelia kanak-kanak. Di mana sepatutnya meletakkan meja lampin? Letakkan meja lampin berdekatan dengan paip air untuk memudahkan membasuh tangan. Kedudukan semasa menyalin lampin jangan membelakangkan kanak-kanak di dalam kelas. Kedudukan hendaklah membelakangkan dinding semasa menyalin lampin kerana anda akan mengawasi kanak-kanak lain dalam masa yang sama menyalin lampin.

Ruang makan sebaik-baiknya dilengkapi dengan peti sejuk kecil dan microwave, ruang kabinet berdekatan dengan plug eletrik. Kanak-kanak tatih dan tadika ruang makan boleh dikongsikan dengan ruang lain. Misalnya meja yang digunakan untuk aktiviti melukis dibersihkan dan dilap kering apabila hendak digunakan untuk makan.

Friday, June 25, 2010

Perpustakaan Kanak-Kanak Di Pulau Kyushu Jepun

Sekembalinya dari Jepun saya terus menulis untuk majalah Dewan Pelajar terbitan DBP dengan tujuan berkongsi pengalaman sewaktu kumpulan Teater ABROS ke Jepun. Kumpulan Teater ABROS mendapat undangan untuk mengambil bahagian dalam Storytelling Festival 1986. Pada masa itu saya sempat melawat sebuah perpustakaan kanak-kanak yang dikendalikan oleh komuniti di sebuah daerah pulau Kyushu. Walau pun penduduknya bertani menanam padi tetapi mereka amat mementingkan ilmu dan menggalakkan kanak-kanak membaca dengan menyediakan buku di perpustakaan awam.

Aktiviti di perpustakaan adalah dikendalikan oleh tenaga sukarelawan yang terdiri daripada penduduk kampung. Ibu bapa menemani anak-anak ke perpustakaan dan membacakan buku untuk anak-anak yang belum pandai membaca. Saya sempat mengadakan aktiviti membaca buku cerita bergambar karya Yusof (ahli Kumpulan Teater ABROS) bertajuk Kawan Baharu. Walau pun kanak-kanak itu tidak mengerti tetapi ilustrasi yang di dalam buku itu dapat difahami. Apa yang mengagumkan saya, kanak-kanak itu sedia mendengar sehingga tamat bercerita.

Apa yang menarik di perpustakaan itu terdapat ruang yang dinamakan muzium tempatan. Semua dokumen di pamerkan untuk dilihat oleh kanak-kanak. Seorang petugas sukarelawan menerangkan dokumen yang berbentuk gambar dan teks. Mereka berbangga dengan tokoh tempatan dan kemajuan di daerahnya. Generasi kanak-kanak telah disemai untuk memajukan dan berbangga dengan persekitarannya sendiri. Semangat patriotik ini sepatutnya menjadi teladan.

Saya juga sempat melihat perayaan Pesta Musim Panas. Penduduk keluar memakai pakaian kebangsaan iaitu kimono. Meriah sungguh sambutan Pesta Musim Panas. Saya sempat bergambar kenangan dengan kanak-kanak Jepun yang memakai kimono (rujuk gambar). Sementara itu kumpulan Teater ABROS mengadakan pementasan boneka di dewan orang ramai. Ramai penonton yang hadir khususnya kanak-kanak. Kumpulan Teater ABROS mengadakan persembahan dalam bahasa Melayu. Ini yang banggakan sebagai rakyat Malaysia memperkenalkan bahasa Melayu di peringkat antara bangsa.

Thursday, June 24, 2010

Persekitaran: Laluan Lawan Sempadan

Semasa anda merancang perlu diberi perhatian kedudukan ruang pembelajaran. Menggunakan sempadan yang jelas dapat memberitahu kanak-kanak penggunaan peralatan di ruang tertentu. Anda boleh menggunakan berbagai sempadan seperti rak, tempat letak buku, dan fabrik lutsinar. Peralatan sempadan ruang aktiviti hendaklah rendah untuk membolehkan pengasuh atau guru dapat melihat pergerakan kanak-kanak di antara sempadan ruang aktiviti yang berbeza peralatan. Walau pun setiap ruang aktiviti mempunyai peralatan yang berbeza penggunaannya hendaklah fleksible. Kanak-kanak boleh membawa peralatan yang sesuai untuk ke ruang aktiviti lain.

Semasa merancang sempadan untuk ruang pembelajaran perlu diambil perhatian peruntukan ruang aktiviti. Setiap ruang mempunyai keluasan yang berbeza. Contohnya ruang bising memerlukan ruang yang luas berbanding ruang senyap. Memandangkan ruang bising memerlukan aktiviti kerjasama sekurang-kurangnya dua orang kanak-kanak.

Laluan keluar masuk kelas atau bilik antara ruang aktiviti perlu dipertimbangkan dalam perancangan anda. Apablia kanak-kanak tiba mereka boleh masuk tanpa gangguan yang menghalangnya. Laluan ke tempat meletakkan barang kepunyaannya di tempat yang disediakan. Laluan antara ruang aktiviti hindarkan daripada kanak-kanak merentasi ruang aktiviti lain. Laluan hendaklah berada di luar ruang aktiviti seolah-olah sebagai sempadan.

Bagaimana dengan pengalaman anda? Harap dapat dikongsikan bersama.

Wednesday, June 23, 2010

Persekitaran: Pelik Lawan Biasa

Persekitaran adalah penting untuk menggalakkan pengalaman pembelajaran. Guru dan kanak-kanak wajar dikelilingi dengan objek dan peralatan yang menarik dipamerkan dengan gaya susunan yang menyenangkan pandangan. Sesetengah objek hendaklah dijadikan sebahagian asas persekitaran. Manakala objek yang lain boleh diselang selikan untuk menarik perhatian dan minat. Contohnya gambar lukisan di letakkan berhampiran ruang aktiviti seni lukis akan mencipta persekitaran yang cantik dan dapat menarik perhatian kanak-kanak.

Ruang pembelajaran hendaklah pelbagai supaya kanak-kanak berpeluang untuk meneroka berbagai perspektif. Contohnya meletakan objek yang boleh diterokai oleh kanak-kanak untuk berbincang. Selain itu guru boleh membina ruang yang selari dengan persekitaran yang terdapat di rumah kanak-kanak. Umpamanya meletakan sofa atau meja dengan lampu meja seperti yang terdapat di rumah kanak-kanak. Peralatan yang sama dapat menggalakkan pembelajaran di ruang aktiviti khususnya kanak-kanak di taska. Keselesaan sudut bukan sahaja menambahkan kemesraan dan ketenteraman untuk persekitaran pembelajaran tetapi juga dapat membantu membina rasa selamat ketika di taska atau tadika.

Bagaimana untuk mengujudkan persekitaran pembelajaran yang tenang dan selamat?

Selepas membicarakan ruang aktiviti dan cara susun atur kedudukan ruang aktiviti satu lagi perkara yang perlu difikirkan ialah mengujudkan suasana pembelajaran yang tenang dan selamat di dalam premis. Tumpuan perbincangan di sini berfokuskan kepada 'menggalakkan pengalaman pembelajaran.'

Bagaimana anda hendak mengujudkan suasana dan persekitaran yang dapat menggalakkan pengalaman pembelajaran setelah ruang aktiviti disusun atur? Suasana pembelajaran yang tenang persekitarannya tidak dapat dilaksanakan sekiranya masih terdapat gangguan terhadap penyusunan ruang dan peralatan yang disediakan tidak dirancang dengan betul. Secara tidak langsung tidak 'menggalakkan pengalaman pembelajaran' kepada kanak-kanak.

Tuesday, June 22, 2010

Ruang: Bising Lawan Senyap

Kanak-kanak berinteraksi dan berbincang menyelesaikan masalah boleh menimbulkan suasana riuh rendah. Hal ini tidak boleh dilarang ketika kanak-kanak berbincang dan berkomunikasi. Guru boleh menguruskan keadaan ini dengan meletakkan ruang bising berdekatan antara satu dengan lain. Ruang bising seperti bongkah dan binaan, permainan dramatika, muzik dan pergerakkan sesuai digabungkan. Menghubungkan ruang bising berhampiran dapat memberi peluang kanak-kanak di ruang senyap menumpukan perhatian tanpa banyak gangguan. Meletakkan ruang bising berdekatan memudahkan guru untuk menyelia dan membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak tanpa berjalan antara ruang lain.

Ruang senyap merangkumi ruang perpustakaan, ruang membaca dan mendengar, dan ruang sendirian. Ruang senyap memberi peluang kanak-kanak untuk menenangkan minda dan bersantai tanpa gangguan. Kanak-kanak hendaklah diberi kebebasan untuk memilih ruang senyap bukan menyuruh kanak-kanak yang bermasalah tingkahlaku duduk sendirian di ruang senyap. Jika keadaan ini berlaku tujuan ruang senyap disalahgunakan daripada tujuan asalnya.

Main seperti manupulatif atau sains/penerokaan kedudukannya antara ruang senyap dan bising. Keadaan ini bergantung kepada penyediaan peralatan dan tahap kanak-kanak untuk memberi tumpuan. Ruang ini boleh digunakan sebagai transisi atau peralihan antara ruang bising dan senyap.

Ruang: Bersepah Lawan Kering

Mereka bentuk ruang aktiviti kegunaan harian untuk meneroka peralatan atau bahan yang bersepah adalah satu kemestian. Kanak-kanak di taska (bawah 4 tahun) perlukan pengalaman harian bermain air dan pasir disebabkan nilai pendidikan yang terdapat pada bahan tersebut. Pengalaman bersepah memberi peluang kanak-kanak membina sturktur kognitif atau skema yang mana kanak-kanak dapat menyusun idea tentang objek khusus atau situasi menerusi deria motor dan pengalaman terus.

Aktiviti yang bersepah seperti main air, melukis dan mewarna. Main air dan main pasir memberi peluang kanak-kanak untuk belajar tentang kuantiti, membina perbendaharaan kata dan berunding untuk berkongsi peralatan. Begitu juga dengan aktiviti mewarna kanak-kanak dapat meluahkan perasaan dan imaginasinya.

Apakah yang diperlukan untuk menguruskan keadaan yang bersepah dan berselerak? Pertama meletakkan ruang bersepah di kawasan lantai yang mudah dibersihkan apabila berlaku air atau warna tertumpah. Kedua letakkan ruang bersepah berdekatan dengan paip air sebagai sumber untuk membersihkan lantai, mengisi bekas main air dan sebagainya. Ketiga meletakkan mop lantai dan penyapu dan tong sampah berdekatan dengan ruang bersepah untuk memudahkan kanak-kanak membersihkan sendiri ruang yang bersepah.

Bagaimana sekiranya di taska atau tadika anda tidak mempunyai lantai yang mudah dibersihkan? Guru boleh meletakkan alas plastik atau suratkhabar di meja atau easel melukis. Selain daripada itu rancang aktiviti bersepah di luar kelas.

Sunday, June 20, 2010

Peralatan yang sesuai perkembangan bayi

Peringkat bayi boleh diperkenalkan dengan peralatan untuk perkembangan motor halus dan motor kasar. Peralatan yang digunakan bayi perlu mencabar dan selamat digunakan. Setiap objek boleh digengam dan diambil untuk dimasukkan ke dalam mulut. Sebelum anda membenarkan bayi menyentuh alat permainan pastikan peralatan itu dalam keadaan selamat. Setiap mainan mesti memenuhi kriteria berikut:
1. Peralatan yang besar dan sukar dimasukkan ke dalam mulut.
2. Tidak berbentuk tajam hujungnya atau penjuru/bucu yang boleh melukakan kulit dan mata.
3. Boleh dibasuh dan dibersihkan.
4. Tidak ada bahagian yang boleh dipisahkan dan mudah dikeluarkan.
5. Permukaan yang diwarna tidak mengandungi toksid.
6. Kukuh dan tahan jika digigit, dihempas dan dilontar.

Adakah Anak Anda Selamat Di Taska?

Setiap hujung tahun biasanya institusi penjagaan kanak-kanak atau taska akan mengiklankan keunikan. Ibu bapa mula memikirkan untuk memilih taska yang dianggap menarik. Lantas mereka menghantar anaknya kerana tertarik dengan gimik iklan yang dibaca. Apakah benar institusi berkenaan menawarkan perkhidmatan seperti yang diiklankan? Sekiranya anda mementingkan fokus penjagaan anak dan mengutamakan keselamatan anak-anak anda berikut beberapa panduan pemilihan taska diharapkan dapat memberi tumpuan penjagaan kepada anak anda.

Ibu bapa perlu mempunyai kesedaran untuk memastikan kesahihan setiap iklan yang disiarkan menerusi kertas edaran atau akhbar. Demi keselamatan dan kesempurnaan penjagaan anak ibu bapa perlu membuat lawatan ke institusi penjagaan kanak-kanak. Ibu bapa perlu memastikan dengan lebih dekat lagi tentang program dan operasi yang dijalankan oleh sesebuah institusi tersebut sebelum membuat keputusan mendaftar. Lawatan dua atau tiga buah pusat penjagaan kanak-kanak adalah penting untuk membuat perbandingan.


Dimaklumkan mengikut akta, taska ialah pusat penjagaan kanak-kanak di bawah umur 4 tahun. Walau bagaimana ibu bapa perlu sedar bahawa perkembangan kanak-kanak di tahap 4 tahap ke bawah iaitu lahir hingga empat tahap mempunyai dua tahap perkembangan iaitu lahir hingga 1 tahun dan 2 tahun hingga awal 4 tahun. Sebaik-baiknya ibu bapa perlu melihat program yang dijalankan oleh institusi berkenaan.Sebaik-baiknya program yang dijalankan mengasingkan dua tahap perbezaan usia iaitu antara kanak-kanak lahir hingga 2 tahun dan 3 hingga 4 tahun. Perbezaan ini boleh dilihat dengan jelas dari aspek fizikal, kognitif, dan emosi.

Pastikan pengusaha taska mendapat lesen dan biasanya akan dipamerkan. Taska yang beroperasi tanpa lesen dianggap tidak bertanggungjawab sekiranya berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini kepada kanak-kanak. Jangan ambil mudah meletakkan anak-anak anda dipremis yang tidak dilesenkan. Lesen kebenaran untuk beroperasi secara tidak langsung menggambarkan taska berkenaan telah mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan untuk membuka premis taska. Biasanya mereka perlu mematuhi peraturan-peraturan seperti ciri keselamatan, keselesaan ruang dalam dan luar serta serta syarat usia pengasuh. Lesen ini juga memberi gambaran yang pengusaha mematuhi peraturan yang terkandung dalam dalam Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 (Akta 308) yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat. Akta ini memberi kepentingan kepada dua pihak dan perlindungan kepada kanak-kanak.

Semasa membuat lawatan ibu bapa hendaklah bertanyakan program yang terdapat di institusi taska berkenaan. Biasanya mereka akan memberi risalah yang menyatakan aktiviti harian. Kalau ibu memperolehi risalah yang diiklan atau diedarkan ke rumah perlu diteliti dan pastikan perkara tersebut benar-benar dilakukan di premis berkenaan. Ibu bapa boleh bertanya untuk mendapatkan penjelasan jenis perkhidmatan yang disediakan sama ada sepanjang hari dan penjagaan mengikut kadar jam. Bertanyakan jenis aktiviti yang disediakan dan minta jadual aktiviti. Kadangkala program yang dicanangkan dalam risalah sememangnya hebat sebaliknya apabila ditinjau perlaksanaannya tidak seperti yang diiklankan. Oleh itu ibu bapa perlu berhati-hati dengan gimik iklan.

Jangan mudah terpengaruh dengan pandangan pertama terhadap premis yang gah dengan peralatan canggih dan dekorasi yang mengagumkan. Ibu bapa perlu bertanya latar belakan pengasuh yang akan menjaga kanak-kanak. Pengasuh yang menjaga anak-anak perlu mempunyai kelayakan sekurang-kurangnya sijil dalam bidang pengasuhan kanak-kanak. Pengasuh-pengasuh yang berkelayakan biasanya telah mengikuti program pendidikan awal kanak-kanak di institusi yang diiktiraf oleh badan pengiktirafan seperti Agensi Kelayakan Malaysia yang dikenali sebagai MQA (Malaysian Qualification Agency). Pada masa ini terdapat banyak institusi yang menawarkan program ini. Salah satunya Universiti Tun Abdul Razak yang menawarkan program daripada peringkat diploma sehingga ke peringkat kedoktoran. Di negara maju seperti di Amerika Syarikat pengasuh disyaratkan mempunyai sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Di Malaysia pengasuh digalakkan mempunyai diploma atau sekurang-kurangnya sijil dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.

Apakah perbezaannya antara pengasuh terlatih, pengasuh berkelayakan dan pengasuh tanpa sebarang latihan dan kelayakan? Pengasuh terlatih hanya mendapat kursus jangka pendek oleh badan-badan tertentu yang mengajurkan latihan. Mereka melatih berdasarkan pengalaman yang pernah dilalui. Perkongsian pengalaman daripada ahli badan pertubuhan pengasuhan kanak-kanak. Kelemahannya mereka tidak menekankan berbagai aspek keilmuan tentang kanak-kanak secara mendalam. Penekanan ditumpukan kepada penjagaan kanak-kanak dan pengurusan taska. Pengasuh yang berkelayakan mempunyai sijil atau diploma dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Mereka mendapat latihan dan pendedahan keilmuan dalam bidang kanak-kanak. Pendekatan yang digunakan sewaktu mengasuh kanak-kanak jelas menunjukkan perbezaan yang ketara. Mereka mengamalkan segala ilmu yang dipelajari. Disamping itu mereka memahami tahap perkembangan kanak-kanak dan melaksanakan aktiviti mengikut tahap usia kanak-kanak. Manakala pengasuh yang tidak terlatih melaksanakan penjagaan mengikut apa yang difikirkan manusabah dan pengalaman yang dilalui tanpa merujuk bidang keilmuan.

Saturday, June 19, 2010

Tahukah Anda Denda Kesalahan Taska?

Terdapat empat kategori taman asuhan kanak-kanak (taska) berdasarkan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak (Pindaan) 2007 iaitu;
(a) taman asuhan kanak-kanak di rumah iaitu suatu taman asuhan kanak-kanak yang menerima masuk kurang daripada sepuluh orang kanak-kanak dalam rumah orang yang didaftarkan di bawah seksyen 7;
(b) taman asuhan kanak-kanak di tempat kerja iaitu suatu taman asuhan kanak-kanak di tempat kerja yang menerima masuk sepuluh orang atau lebih kanak-kanak.
(c) taman asuhan kanak-kanak komuniti iaitu suatu taman asuhan kanak-kanak yang menerima masuk sepuluh orang atau lebih kanak-kanak di suatu kawasan tertentu dan yang menerima bantuan daripada kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri; dan
(d) taman asuhan kanak-kanak di institusi iaitu suatu taman asuhan kanak-kanak di bawah perenggan (a), (b) dan (c) yang menerima masuk sepuluh orang atau lebih kanak-kanak.

Setiap taska hendaklah didaftarkan untuk tujuan menjaga kepentingan ibu bapa, anak-anak dan juga pengusaha perkhidmatan pendidikan awal kanak-kanak. Sekiranya pihak pengusaha gagal mendaftarkan taska mengikut peruntukan seksyen 6;
(1) Tiada seorang pun boleh menjalankan atau mengambil bahagian dalam pengurusan suatu taman asuhan kanak-kanak yang tidak didaftarkan di bawah peruntukan-peruntukan Akta ini.
(2) Mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1) adalah bersalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan dendan tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kali kedua atau kali kemudian denda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Sunday, June 13, 2010

Adakah sama ruang pembelajaran taska dan tadika?



Tentu anda tertanya-tanya susun atur ruang pembelajaran di taska dan tadika. Umumnya semua setuju terdapat perbezaan ruang pembelajaran di taska dan tadika. Apakah yang membezakannya? Sebenarnya ruang taska dan tadika mempunyai asas yang sama dari segi pembahagian ruang. Perbezaannya adalah keperluan mengikut tahap umur dan aktiviti yang dilaksanakan di dalam premis. Pembahagian ruang yang dimaksudkan adalah ruang aktif, ruang bising, ruang senyap, ruang kering, dan ruang basah. Perlu juga difikirkan ruang untuk aktiviti kumpulan kecil dan kumpulan besar. Ruang-ruang ini mempengaruhi susun atur aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Sebelum menyusun atur ruang perlu difikirkan keluasan ruang. Keluasan ruang mempengaruhi susun atur ruang pembelajaran kanak-kanak.

Bentuk keluasan ruang juga mempengaruhi guru atau pengasuh yang mengajar. Contohnya, keluasan ruang berbentuk empat segi sama menyukarkan untuk guru atau pengasuh menyusun atur alat dan bahan pengajaran. Laluan terafik antara ruang terhad jika keluasan ruang empat segi sama itu kecil. Berlaku kesesakan pergerakan antara ruang aktiviti pembelajaran. Peralatan dan bahan pengajaran dan pembelajaran perlu di tempatkan mengikut kesesuaian ruang aktiviti pembelajaran. Tidak semua bahan dan peralatan boleh dimuatkan di ruang aktiviti pembelajaran jika keluasannya sempit. Aktiviti pengajaran dan pembelajaran disesuaikan mengikut pembahagian ruang aktiviti pembelajaran. Jika terlalu sempit guru terpaksa membuat giliran untuk menjalankan aktiviti. Walau bagaimana pun guru atau pengasuh mudah membuat pemerhatian dan pengawalan tingkahlaku kanak-kanak di ruang berbentuk keluasan empat segi sama.

Mohon berkongsi pendapat dan pandangan sebelum saya membicarakan lebih lanjut. Pandangan dan pendapat anda amat dihargai.

Saturday, June 12, 2010

Mengapa main itu penting?


Main amat penting kepada kanak-kanak tetapi kepentingannya tidak difahami secara mendalam. Ibu bapa perlu mendapat penerangan daripada guru yang mendapat kepercayaan anaknya. Contohnya memaklumkan kepada ibu bapa bermain bongkah dengan menyusun dan membina adalah pengalaman pembelajaran yang berguna. Jika tidak diberi penerangan yang menyakinkan, ibu bapa akan bergantung kepada lembaran kerja rumah sebagai penanda aras pembelajaran anaknya.

Kanak-kanak belajar melalui penglibatan yang aktif seperti meneroka, bereksperimen dan bertanya. Vygotsky percaya bahawa semasa bermain, kanak-kanak bebas untuk bereksperimen, mencuba dan mencuba kemungkinan, membolehkan mereka mencapai diluar aras keupayaannya. Main memberi peluang kanak-kanak untuk menguasai persekitarannya. Apabila kanak-kanak bermain, mereka menguasai, mengunakan imaginasi dan kuasa memilih untuk memastikan keadaan permainan. Kanak-kanak yang diberi pilihan untuk meneroka secara bebas, mengikut tahap dan keunikan sendiri akan menjadikannya lebih bersemangat untuk belajar dan menjadi pembelajar yang tinggi rasa ingin tahu.

Tanggapan orang dewasa terhadap main adalah berbeza dengan kanak-kanak. Main bagi orang dewasa merujuk kepada riadah dan profesion. Contohnya bermain bola untuk mengeluarkan peluh dilakukan secara suka-suka di samping bersosial. Main juga bagi orang dewasa boleh dijadikan kerjaya iaitu sebagai pemain profesional yang mendapat gaji. Sebaliknya kanak-kanak bermain adalah belajar untuk menguasai kemahiran motor kasar dan motor halus. Pengalaman belajar menerusi main dapat meningkatkan domain kognitif, fizikal, bahasa, emosi dan sosialisasi.

Friday, June 11, 2010

Sejauhmana keganasan dalam program televisyen untuk kanak-kanak?

Apakah kesan kandungan televisyen khususnya keganasan yang disiarkan menerusi kartun kanak-kanak yang berusia tiga hingga lima tahun? Menurut kajian Huston dan Wright (1998) kanak-kanak berusia empat tahun menonton televisyen selama 30 jam seminggu. Purata kanak-kanak empat tahun menonton televisyen 50-70 minit sehari dan kebanyakan menonton kartun. Kajian ini juga menunjukkan watak-watak kartun yang ditontonkan mengandungi tahap paling tinggi unsur keganasan dan kekasaran. Kajian yang dijalankan selama 10 tahun mulai tahun 1973 hingga 1993 oleh Gerbner, Morgan dan Signorielli (1993) mendapati 92% kanak-kanak menonton pada hari Sabtu pagi yang mengandungi program berbentuk keganasan. Purata jumlah tayangan keganasan ialah 23.0 per jam. Kajian ini telah dijalankan 18 tahun yang lalu di Amerika Syarikat. Bagaimana agaknya jumlah program yang mengandungi unsur keganasan yang disiarkan menerusi televesiyen negara kita? Sekurang-kurang kita perlu mengambil iktibar kesan keganasan di media siaran terhadap penonton kanak-kanak di negara kita.

Thursday, June 10, 2010

Teater ABROS

Tahukah anda Teater ABROS merupakan kumpulan teater kanak-kanak pertama yang bergerak secara profesional di sekitar Kuala Lumpur. Saya masih ingat tarikh penubuhannya bertempat di rumah sewa saya iaitu pada 20 November 1985 beralamat di No. 8A, Jalan Dewan Sultan Sulaiman, 50300 Kg. Baharu, Kuala Lumpur. Itulah tarikh kami empat sekawan bersetuju mengerakkan sebuah kumpulan teater kanak-kanak yang menumpukan pada seni boneka. Sebelum ini kami hanya membuat pementasan tanpa nama rasmi.

Saya bersama Mohd Yusof Ismail, Abd Rahim Taman dan Sudiro Sukirman (arwah) adalah pengasas kumpulan Teater ABROS. Masing-masing mempunyai latar yang berbeza. Saya sebagai pendidik, Mohd Yusof Ismail pelukis dan ilustrator buku kanak-kanak, Abd Rahim Taman pemuzik dan Sudiro Sukirman aktif dalam teater. Pada masa itu tidak dikenali dan kami menjadikan teater kanak-kanak sebagai profesion. Kami mengadakan aktiviti di tadika dengan mengenakan bayaran. Setiap minggu sekurang-kurangnya 2 buah tadika kami mengadakan pementasan. Biasanya aktiviti yang dijalankan seperti menyanyi, bercerita, melukis dan berlakon.

Kumpulan Teater ABROS bukan sahaja mengadakan persembahan di tadika malaha
n di pusat membeli belah, pasar seni, majlis hari jadi, di zoo negara dan di televisyen. Dewan Bahasa dan Pustaka mula tertarik dengan kegiatan kanak-kanak yang kami jalankan. Kami sering dijemput mengadakan persembahan kempen galakkan membaca dan kami juga membantu penubuhan kumpulan bercerita Si Nuri bersama Sabri Yusus dan Abon. Masa itu DBP mempunyai seorang editor bernama Mahani yang komited untuk mengerakkan kegiatan kanak-kanak selain Norliyah yang juga editor bahagian kanak-kanak. Selalunya kumpulan Teater ABROS akan diundang dan sama-sama menjayakan program Minggu Kawanku Buku di DBP. Amat membanggakan seorang ahli kumpulan Teater Abros iaitu Yusof telah melahirkan beberapa buah buku ilustrasi kanak-kanak dan memenangi beberapa hadiah anjuran 'Norma Conquer' iaitu pertandingan buku ilustrasi kanak-kanak di Jepun. Saya rasa kegemilangan penerbitan buku kanak-kanak DBP yang bermutu pada waktu itu amat dibanggakan. Saya juga turut menyumbangkan karya penulisan buku kanak-kanak.

Di Pesta Buku Malaysia kumpulan kami sentiasa diundang malah kami pernah diberi tugas untuk mengendalikan program kanak-kanak di pesta buku tersebut. Saya masih ingat Da
tin Shahnim (mantan Pengarah Perpustakaan Selangor) selaku Presiden Perpustakaan Malaysia meminta saya menguruskan aktiviti kanak-kanak.Di Pesta Buku biasanya saya diberi tugas untuk menjadi pengaca aktiviti kanak-kanak (lihat gambar). Persatuan Perpustakaan Malaysia (PNM) juga memberi ruang untuk kami menjelajah dan mengadakan bengkel. PNM pegawai yang aktif pada masa itu ialah Zahariah Adam dan Shukri. Manakala Pustaka Bimbingan Kanak-Kanak pada waktu itu di Jalan Tun Razak (tempat itu sekarang Institut Jantung Negara) memberi ruang kepada kami menjalankan kegiatan bercerita, pementasan boneka dan aktiviti melukis pada hari Sabtu dan Ahad khusus untuk kanak-kanak. Perpustakawannya waktu itu Alimah Salam. Jabatan Perpaduan Negara pada waktu itu sering mengundang saya dan Mohd Yusof untuk menjalankan bengkel boneka kepada guru-guru tabika.

Kumpulan Teater ABROS sering diundang untuk pengisian program kanak-kanak di RTM dan TV3. Penerbit rancangan TV selalunya meminta kami memainkan watak-watak boneka dalam segmen selama 5 minit. Itu pun sudah memadai bagi kami kerana pengalaman yang penting untuk kami belajar tentang penyiaran program di televisyen. Pengalaman manis sewaktu bersama kumpulan TeaterABROS watak boneka seperti Kerengge di RTM untuk rancangan kanak-kanak dan Mat Zimbo dalam Selamat Pagi Malaysiavdi TV3 sering disiarkan.

Paling membanggakan kumpulan Teater ABROS merupakan kumpulan teater boneka pertama dari Malaysia yang mengadakan persembahan di Oita Perfecture Khyusu Island Jepun pada tahun 1986 dalam Storytelling Festival. Kami berpeluang menjelajah negeri matahari terbit (Jepun) bersama kumpulan Teater Ohanashi Caraven. Saya bersama Yusof mewakili Teater ABROS dapat mempelajari pementasan teater boneka untuk kanak-kanak selama bersama dengan kumpulan Teater Ohanashi Caraven. Sebenarnya kumpulan Tetaer Ohanashi Caraven mendapat dana daripada agensi swasta untuk menaja kumpulan ini mengadakan persembahan di sekolah dan masyarakat umum secara percuma. Penajaannya bukan sahaja di Jepun malah di negara Asia Tenggara menerusi Asian Children Theater Conference setiap dua tahun sekali. Kumpulan Teater ABROS turut sama ditaja untuk menyertai program tersebut.

Kebelakangan ini saya tidak dapat bergiat lagi kerana kekangan tugas. Rakan yang lain seperti Abd Rahim dan Mohd Yusof masih bergiat dengan kumpulan generasi baru. Abd Rahim sekarang berkhidmat sebagai pemuzik (violin) di Okestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan bergiat dengan kumpulannya sendiri secara sambilan. Manakala Mohd Yusof sebagai pelukis yang mempunyai galeri dinamakan Gaja Gaja Galeri. Beliau sering mengadakan pameran lukisan dalam dan luar negara. Beliu juga turut membimbing mereka yang ingin mencebur diri dalam seni boneka. Kumpulan yang dibimbing oleh Mohd Yusof khabarnya dinamakan Kopi Kopi. Seorang rakan lagi Sudiro semasa hayatnya bergiat dalam lakonan dan salah satu lakonan dalam drama TV3 ialah memegang watak Tapah dalam siri Rumah Kedai sering waktu dahulu disiarkan dalam bulan puasa.

Diharapkan kumpulan generasi baru ini meneruskan perjuangan seni boneka yang telah kami lalui sebelum ini. Pesanan selain sebagai pemain boneka, peningkatan diri dalam bidang keilmuan adalah perlu untuk membawa seni boneka ke tahap yang dihargai masyarakat. Biarpun saya tidak bergiat menerusi pementasan namun sebagai ahli akademik bidang ini telah dijadikan sebahagian kandungan kurikulum pendidikan awal kanak-kanak. Saya percaya apabila masyarakat telah terdidik secara tidak langsung akan menghayati dan menghargai seni teater kanak-kanak khususnya seni teater boneka.


Tuesday, June 1, 2010

Terminologi Pendidikan Awal Kanak-Kanak

Mereka yang terlibat dengan bidang pendidikan awal kanak-kanak perlu jelas dan memahami istilah dan definisi pendidikan awal kanak-kanak. Mereka perlu mempunyai pengetahuan dan sekata dalam menggunakan teminologi. Mengikut definisi yang digunakan oleh National Association for the Education of Young Children (NAEYC) dan bagi kebanyakan profesional pendidik kanak-kanak bersependapat bahawa awal kanak-kanak merujuk kepada kanak-kanak dari lahir sehingga 8 tahun.

Pendidikan awal kanak merangkumi perkhidmatan yang disediakan dalam latar tempat pendidikan kanak-kanak atau premis. Lumrahnya pendidik kanak-kanak menggunakan istilah awal kanak-kanak (early childhood) dan pendidikan awal kanak-kanak (early childhood education). Pada kebiasaannya istilah pendidikan awal kanak-kanak lebih kerap digunakan dan difahami.

Begitu juga dengan istilah taman asuhan (Nursery) dan prasekolah (preschool). Taman asuhan adalah program pendidikan untuk kanak-kanak berusia 2, 3 dan 4 tahun. Manakala presekolah umumnya program pendidikan untuk kanak-kanak sebelum memasuki kindergarten. Biasanya kanak-kanak di preschool lingkungan umur 4 dan 5 tahun. Pada umur 5 dan 6 tahun kanak-kanak berada di Kindergarten. Di Malaysia prasekolah merujuk untuk kanak-kanak berusia 6 tahun.

Berlaku kecelaruan istilah dalam pendidikan awal kanak-kanak dari segi institusi kanak-kanak jika dibandingkan luar negara dengan Malaysia. Kecelaruan peristilahan ini timbul mungkin di peringkat awal mereka yang terlibat untuk membina istilah bukan terdiri daripada pakar bidang. Masalah yang serupa timbul dalam mencari istilah untuk menamakan peringkat kanak-kanak. Contohnya infant (bayi), toddler (tatih), preschooler ( ?), kindergartner (?). Bagi istilah preschooler dan kindergartner masih belum dapat dicari istilah yang tepat. Biasanya akan dirujuk kepada akta yang akan dibincang selanjutnya. Begitu juga dengan masalah peristilahan institusi kanak-kanak seperti yang diberikan di bawah ini.

USA
Nursery School (4 tahun ke bawah)
Preschool (4 dan 5 tahun persediaan ke Kindergarten)
Kindergarten (6 tahun)

Malaysia
Taska (4 tahun ke bawah)
Tadika ( 4 tahun ke atas)

Jika dibuat perbandingan peristilahan di Malaysia berlaku kelompangan bagi kanak-kanak berumur antara 4 dan 5 tahun. Oleh kerana pembahagian dirujuk dengan akta iaitu kanak-kanak di bawah 4 tahun tertakluk Akta Taman Asuhan 1984 (308) dan kanak-kanak di bawah 6 tahun tertakluk Akta Pendidikan 1996 (550). Biar apa jenama taska dan tadika adalah tertakluk mengikut akta dan peraturan.