Wednesday, December 26, 2018

Lagu dan nyanyian kanak-kanak di taska dan tadika

Lagu dan nyanyian merupakan salah satu cara pengajaran di taska dan tadika yang menghiburkan kanak-kanak. Pembelajaran menerusi lagu dan nyanyian lebih berkesan jika disampaikan secara bersahaja. Umpamanya belajar sebutan sesuatu perkataan dapat dipraktiktkan menerusi lagu dan nyanyian. Perasaan malu dan tersalah sebutan tidak timbul kerana kanak-kanak menyanyi beramai-ramai. Mereka berkeyakinan apabila menyanyi bersama rakan sebaya. Nyanyian yang diulang-ulang dengan rasa seronok menjadikan pembelajaran lebih berkesan. Oleh itu guru juga perlu menguasai lagu-lagu yang hendak diajar. Artikal ini boleh dijadikan panduan untuk dirujuk oleh guru dan pendidik kanak-kanak.
 

Wednesday, December 19, 2018

Marah, meradang dan berang

Emosi kanak-kanak tidak sama. Kadangkala tidak dijangka. Terdapat kanak-kanak yang sentiasa cerita dan tidak cerewet. Ada pula menjauhkan diri dan berdiam diri. Manakala emosi yang agak menyulitkan adalah marah, meradang dan cepat berang apabila sesuatu yang diingini  tidak dapat dipenuhi. Ibu bapa dan pendidik perlu menangani kanak-kanak ini supaya tidak mengganggu kanak-kanak lain di kelas. Panduan artikal ini diharapkan dapat membantu untuk menguruskan emosi tersebut.



Thursday, December 6, 2018

Pelajar Pendidikan Awal Kanak-kanak dan ukulele

Pelajar-pelajar yang mengambil program Pendidikan Awal Kanak-kanak di Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka diwajibkan berkemahiran memainkan alat muzik ukulele sebagai alat bantu mengajar di taska mahu pun di tadika. Menerusi kemahiran ini bukan sahaja lagu kanak-kanak dapat dikuasai malahan lagu komersial sebagai ruang bersantai mereka dapat melakukannya. Muzik dan lagu kanak-kanak penting untuk menceriakan pembelajaran di taska dan tadika.

Tuesday, December 4, 2018

Pilih buku untuk kanak-kanak

Semua ibu bapa mahukan anak cepat membaca. Begitu juga guru di tadika ingin memupuk minat membaca di kalangan kanak-kanak. Tidak semua buku itu sesuai dibaca oleh kanak-kanak. Membelikan buku untuk kanak-kanak perlu dilihat berdasarkan umur dan kesesuaian bahan yang hendak dibaca. Artikal ini memberi panduan kepada ibu bapa dan guru untuk memilih bahan bacaan untuk kanak-kanak.


Tuesday, November 27, 2018

Bahasa yang tidak sesuai oleh kanak-kanak

Apabila kanak-kanak kecil  mengejek sambil menggunakan bahasa yang tidak sewajarnya diucapkan orang dewasa akan mentertawakan kerana dianggap melucukan. Kanak-kanak kecil menganggap perbuatannya itu direstui oleh orang dewasa. Lama kelamaan telah terbiasa menggunakan bahasa yang tidak senonoh di khalayak ramai. Orang lain yang mendengarnya menganggap tidak wajar kanak-kanak kecil menggunakan bahasa yang tidak senonoh di tempat yang tidak sesuai.

Thursday, November 15, 2018

Memahami kanak-kanak pintar dan bergeliga

Kita selalu memberi perhatian terhadap kanak-kanak berkeperluan khas. Manakala kanak-kanak yang pintar selalunya terpinggir dan tidak diberi perhatian sepenuhnya. Kebijaksanaan kanak-kanak geliga ini mudah bosan dalam menghadapi pelajaran kerana mereka lebih ke depan dan cepat mempelajari sesuatu perkara yang diajar oleh guru. Oleh kerana kanak-kanak geliga ini cepat belajar daripada kanak-kanak normal maka berlaku tingkah laku yang tidak diingini oleh guru. Lantas kanak-kanak ini dianggap mengganggu. Artikal di bawah ini mungkin dapat membantu ibu bapa dan pendidik untuk memahami keperluan kanak-kanak bergeliga.
 

Tuesday, November 6, 2018

Ruang fizikal di taska yang selamat

Kanak-kanak di taska adalah di bawah umur 4 tahun. Bagaimana pun bayi dan kanak-kanak berusia satu tahun tidak begitu memerlukan banyak ruang untuk pergerakannya. Kanak-kanak berusia dua tahun hingga empat tahun begitu aktif meneroka persekitaran taska. Pergerakan kanak-kanak ini perlu diberi perhatian oleh pengasuh kanak-kanak di taska untuk menjaga keselamatan mereka. Menerusi artikal ini sedikit panduan untuk pengasuh taska memastikan perkara yang perlu diberi perhatian dalam menyediakan ruang fizikal di taska.


Monday, October 29, 2018

Penjagaan kanak-kanak di taska

Tanggungjawab pengasuh di taska tidak semudah yang dijangkakan. Sebaik sahaja bayi dan kanak-kanak kecil serahkan kepada pengasuh di taska bermula tanggungjawab yang perlu digalas. Kanak-kanak kecil memerlukan perhatian dan pengawasan yang lebih. Pengasuh perlu menjalin hubungan saling mempercayai untuk anak kecil merasa selamat di bawah jagaannya. Artikal ini serba sedikit dapat membantu dan jadikan panduan untuk pengasuh di taska.

Tuesday, October 23, 2018

Bagaimanakah mengatasi masalah buli?

Buli merupakan perbuatan yang boleh mengganggu emosi yang menjadi mangsa buli. Mereka yang dibuli akan merasa ketakutan khususnya kanak-kanak. Kanak-kanak yang menjadi mangsa buli di dalam kelas merasa dirinya sentiasa dalam keadaan terancam. Berikut antara cara mengatasi buli di kalangan kanak-kanak.

Wednesday, September 5, 2018

Menjaga kebersihan alam dan ekologi

Menjaga kebersihan persekitaran dan ekologi perlu dipupuk semasa kanak-kanak masih kecil. Tabiat memunggut sampah dan memulihara alam semulajadi akan berkekalan jika dididik sejak kecil lagi. Orang dewasa perlu menjadi model kepada kanak-kanak kecil supaya mereka dapat menghayati penjagaan dan pengurusan pemuliharaan alam sekitar akan memberi faedah kepada manusia dan kehidupan di sekeliling kita.
 

Thursday, August 30, 2018

Tingkah laku kanak-kanak yang tidak terkawal

Sekiranya terdapat kanak-kanak yang sukar dikawal tingkah lakunya hendaklah diperiksa akan punca kenapa kanak-kanak itu tidak betah duduk diam. Menghukum tanpa menyelidik akan memberi kesan jangka panjang. Kanak-kanak yang tidak boleh duduk diam sebenarnya menghadapi masalah tidak dapat memberi tumpuan dan mempunyai tenaga yang berlebihan. Kanak-kanak seperti ini memerlukan perhatian daripada guru. Tugasan yang diberi tidak boleh disamakan dengan kanak-kanak normal. Kanak-kanak ini cepat merasa bosan apabila semua tugasannya telah diselesaikan. Mereka akan mula bergerak aktif dan kemungkinan mengganggu rakan lain.
 

Monday, August 20, 2018

Memahami perasaan kesedihan kanak-kanak

Sama seperti orang dewasa, kanak-kanak juga mempunyai perasaan kesedihan apabila kehilangan sesuatu yang disayanginya. Umpamanya kematian ahli keluarga seperti datuk atau nenek, perpisahan dengan rakan, kematian haiwan kesayangan dan kehilangan barang yang disayangi. Berikan dorongan dan kata-kata yang memberi semangat untuk kanak-kanak menghadapi kesedihan dengan positif. Artikal ini diharapkan dapat memberi panduan untuk menghadapi kanak-kanak dalam kesedihan.

 

Wednesday, August 15, 2018

Penglibatan ibu bapa di taska dan tadika

Penglibatan ibu bapa di taska dan tadika sangat penting. Ibu bapa jangan mengambil mudah tanpa mengambil tahu perkembangan anak-anak yang dihantar ke taska atau pun tadika. Menjalin hubungan untuk mendapatkan maklum balas tentang anak-anak disamping mengenali pengasuh atau guru dapat meningkatkan kefahaman dalam memberi pendidikan kepada anak-anak. Pengasuh dan guru mengetahui akan perkembangan pembelajaran dan tingkah laku semasa belajar. Pengasuh dan guru boleh memberi pandangan tentang anak dan begitu juga ibu bapa boleh mengongsikan perkembangan anak ketika di rumah untuk makluman pengasuh dan guru. Apabila hubungan positif dan jalinan kepercayaan antara ibu bapa, pengasuh dan guru perkara yang negatif dielakkan.

 

Monday, August 6, 2018

Berita yang tidak menyenangkan

Semua guru tadika mahu pun pengasuh di taska berdepan masalah untuk menyampaikan berita yang tidak menyenangkan kepada ibu bapa. Apa tah lagi jika berita tentang kenaikan kadar bayaran yuran menyebabkan ibu bapa mengeluh seolah-olah membebankannya sedangkan kos operasi meningkat. Begitu juga masalah tidak dapat meneruskan perkhidmatan kerana sewa bangunan yang mahal dan terpaksa berpindah tempat operasi. Ibu bapa akan mencari tempat baru yang mungkin menimbulkan masalah penyesuaian atau kedudukan yang jauh dari tempat tinggal. Artikal ini cuba memberi panduan kepada pengusaha taska dan tadika untuk menangani masalah menyampaikan berita kepada ibu bapa.
 

Wednesday, August 1, 2018

Mengajar mengikut keupayaan kanak-kanak

Ramai boleh mengajar tetapi tidak mendididik. Mengajar tanpa memberi pertimbangan keupayaan kanak-kanak mengikut perkembangan yang bersesuaian hanya membuang tenaga dan masa. Penerimaan pengajaran yang disampaikan kepada kanak-kanak berbeza dengan orang dewasa. Kanak-kanak belajar dari mudah ke sukar dan dari konkrit ke abstrak. Artikal ini cuba memberi panduan cara mengajar yang bersesuaian kepada kanak-kanak.




Tuesday, July 24, 2018

Keselamatan kanak-kanak di taska

Sejauhmana kanak-kanak di taska terjamin keselamatannya? Isu kematian kanak-kanak sama ada bayi dan kanak-kanak tatih dilaporkan dalam akhbar. Keselamatan persekitaran taska, penjagaan oleh pengasuh dan virus penyakit perlu diberi perhatian. Perkara keselamatan tidak boleh diambil ringan. Pihak berwajib dan masyarakat kerap menyuarakan hal keselamatan kanak-kanak. Ibu bapa perlu mempunyai kesedaran yang tinggi untuk melihat mutu penjagaan anak mereka sebelum meletakkan anak di bawah jangaan pengasuh taska. Terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian. Artikal ini diharapkan dapat dijadikan panduan untuk membuat penilaian keselamtan anak di taska.

 

Tuesday, July 17, 2018

Pemikiran betul salah kanak-kanak

Bilakah kanak-kanak boleh berfikir tentang betul salah? Artikal ini cuba mengupas pemikiran kanak-kanak terhadap betul salah. Diharap artikal ini boleh dijadikan panduan kepada ibu bapa dan pendidik.



Saturday, July 14, 2018

Rakaman sejarah

Penulisan ini merupakan karya pertama saya diterbitkan dalam majalah Dewan Pelajar terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka sekitar penghujung tahun 1960an. Waktu itu masih belajar di sekolah rendah. Apa yang menarik bukan penulisannya tetapi sumbangan merakam sejarah perkembangan bahasa iaitu ejaan lama, persekitaran Zoo Negara termasuk perubahan nama, harga tiket menaiki gajah. Mungkin generasi hari ini tidak dapat membayangkan keadaan zoo ketika itu. Biar pun sumbangan penulis kanak-kanak tetapi menjadi berharga sebagai kenangan silam.

Thursday, July 12, 2018

Menggalakkan kanak-kanak makan sayur-sayuran

Tabiat suka makan sayur-sayuran semakin kurang berbanding dengan masyarakat dahulu yang gemar kepada ulam-ulaman di samping makan sayur-sayuran untuk menjaga kesihatan tubuh badan. Kanak-kanak taska dan tadika di negara maju menekankan pemakanan yang diberikan dan sayur-sayuran serta buah-buahan diberi penekanan. Mereka dilatih makan sayur dan buah-buahan dengan memberi penerangan mudah kepada kanak-kanak. Apabila remaja dan dewasa maka tidak hairan mereka gemar makan sayur dan buah-buahan. apa yang berlaku di negara kita didapati kanak-kanak dan remaja tidak gemar makan sayaur. Salah satu faktor ibu bapa dan pendidika di peringkat awal tidak menekankan pemakanan yang sihat di samping terdedah makanan segera yang menjadi kegemaran generasi masa kini.


 

Wednesday, July 4, 2018

Mendidik tingkah laku berhemah

Ibu bapa perlu menegur dan mendidik anak-anak yang masih kecil belajar tatacara tingkah laku berhemah, menghormati dan berkomunikasi dengan berhemah. Khususnya apabila bertamu ketika berkunjung ke rumah rakan taulan. Anak-anak perlu dididik dan diingatkan sebelum berkunjung tentang perkara-perkara yang tidak sepatutnya dilakukan. Artikal ini boleh dijadikan panduan untuk membentuk tingkah laku yang diingini oleh ibu bapa.


Wednesday, June 27, 2018

Gaya mendidik anak yang menggembirakan dan kasih sayang

Salah satu gaya mendidik anak adalah gaya autoritaif. Gaya mendidik cara ini lebih menekankan kemesraan, kasih sayang dan bersikap terbuka kepada anak-anak. Dalam masa yang sama sikap tegas ibu bapa juga diberi penekanan tanpa membiarkan begitu sahaja. Anak-anak dibawa berbincang terhadap perkara-perkara yang tidak sepatutnya dilakukan. Ibu bapa juga memahami sikap anak-anak. Artikal ini diharapan dapat memberi gambaran gaya didikan anak-anak menerusi kompromi ibu bapa dan anak.


Thursday, June 21, 2018

Jika salah mendidik anak...

Melentur buluh biarlah masih rebung. Itulah pepatah Melayu yang sepatutnya menjadi pegangan untuk mendidik anak. Memberi kasih sayang tanpa ada batasan akan merosakkan masa depan anak. Banyak contoh yang boleh kita pelajari tentang mendidik anak. Salah satunya dengan melihat cerita yang tidak pernah jemu ditonton iaitu filem Anakku Sazali yang dilakonkan oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.


Tuesday, June 12, 2018

Asas Disiplin Kanak-kanak

Mendisiplinkan kanak-kanak perlu untuk menjadikan generasi yang mematuhi peraturan dan menghormati undang-undang. Berdisiplin juga dapat menjadikan kanak-kanak lebih berkeyakinan diri dalam menghadapi kehidupan harian. Mereka yang berjaya biasanya mempunyai asas disiplin diri yang kuat. Artikal ini diharapkan dapat menjadi panduan untuk meletakan asas disiplin kepada kanak-kanak.


Wednesday, June 6, 2018

Adakah kanak-kanak tidak bercakap benar?

Kadangkala terdapat kanak-kanak tidak bercakap benar dan orang dewasa menganggap kanak-kanak itu berbohong. Kita perlu melihat situasi percakapan kanak-kanak itu mengapa dia tidak bercakap benar atau berbohong. Artikal ini mungkin boleh dijadikan panduan kepada pembaca untuk memahami kanak-kanak yang tidak bercakap benar atau bohong.


Thursday, May 31, 2018

Cabaran mengajar kanak-kanak laki-laki di tadika

Ramai guru merasakan kanak-kanak laki-laki agak sukar dikawal berbanding kanak-kanak perempuan. Kanak-kanak laki-laki agak aktif dan tidak boleh duduk diam untuk menumpukan sesuatu aktiviti. Kebanyakan aktiviti kanak-kanak laki-laki kasar dan lasak. Contohnya berlari, memanjat, berguling dan bergumpal dengan rakannya. Hal ini tidak digemari oleh guru di tadika. Artikal ini diharapkan dapat membantu guru untuk memahami sikap dan tingkahlaku kanak-kanak laki-laki.

 

Friday, May 25, 2018

Masalah penglihatan kanak-kanak tadika

Masalah penglihatan kanak-kanak boleh mengganggu pembelajaran di tadika. Jika terdapat kanak-kanak membaca terlalu dekat dengan buku, guru perlu memberi perhatian dengan memeriksa keadaan kanak-kanak sama ada boleh nampak pada jarak yang sesuai ketika membaca. Maklumkan kepada ibu bapa untuk membuat pemeriksaan mata. Artikal ini boleh dijadikan panduan untuk menangani masalah penglihatan kanak-kanak di tadika.

 

Tuesday, May 8, 2018

Memilih buku bacaan kanak-kanak tadika

Jika anda ke kelas tadika cuba perhatikan buku-buku yang terletak di sudut bacaan. Adakah buku-buku itu sesuai dengan kanak-kanak lingkungan 5 tahun hingga 6 tahun? Tidak semua guru-guru terdedah dengan cara pemilihan buku yang sesuai dengan sasaran pembaca kanak-kanak. Oleh sebab itu kanak-kanak tidak berminat dengan buku-buku yang tersebut. Akhirnya buku itu sekadar menjadi bahan hiasan dan pameran sahaja. Artikal ini mungkin sesuai untuk dijadikan panduan memilih buku bacaan untuk kanak-kanak di tadika.

 

Thursday, May 3, 2018

Persekitaran Membina Kepelbagaian Kecerdasan

Kadangkala kita terlepas pandang untuk mengimbangi persekitaran ruang pendidikan awal kanak-kanak iaitu di tadika mahu pun di taska. Sebenarnya ruang pembelajaran itu dapat membina bakat kecerdasan kanak-kanak. Kecerdasan setiap individu itu berbeza. Oleh sebab itu kita akan lihat kanak-kanak mempunyai perbezaan ketika memberi tumpuan di sudut pembelajaran. Artikal ini boleh dijadikan panduan untuk pendidik kanak-kanak untuk mengimbangi persekitaran dengan kepelbagaian kecerdasan.


Tuesday, April 24, 2018

Alahan pemakanan

Tidak semua kanak-kanak boleh makan apa yang disediakan oleh orang dewasa semasa kanak-kanak di taska dan tadika. Oleh itu pengasuh dan guru perlu mengenalpasti kanak-kanak yang mempunyai alahan pemakanan. Senaraikan nama dan jenis makanan yang tidak boleh dimakan oleh kanak-kanak.


Wednesday, April 18, 2018

Belajar daripada kegagalan



Kegagalan itu adalah suatu pengajaran untuk memperbaiki kelemahan. Pendidik awal kanak-kanak perlu memupuk bahawa setiap perkara yang dilakukan oleh kanak-kanak jika tidak dicapai anggaplah itu suatu pembelajaran. Sekiranya perkara itu telah dipupuk sejak kecil makan apabila kanak-kanak ini dewasa akan menerima kegagalan dengan hati terbuka untuk memperbaiki kelemahan demi mencapai kejayaan.

 http://www.remaja.my/kalau-gagal-spm-tak-apa-profesor-ini-pun-ambil-2-kali-sebelum-bergelar-pakar-perkembangan-awal-kanak-kanak/


Apa itu satu, dua, tiga?

Kanak-kanak memahami nombor bukan seperti orang dewasa. Sekiranya kanak-kanak disuruh menghafal sebutan nombor, dia hanya tahu menyebut tetapi tidak memahami nilai nombor. Ini menyebabkan pembelajaran matematik menjadi bosan kepada kanak-kanak. Malahan ada yang tidak suka matematik disebabkan asas mengenali matematik tidak disesuaikan dengan keupayaan kanak-kanak itu sendiri. Artikal ini membicarakan pengajaran matematik di tadika yang mungkin dapat membantu pendidik tadika.


Monday, April 9, 2018

Melihat kelebihan kanak-kanak bukan kelemahannya

Setiap kanak-kanak mempunyai kelebihan dan kekuatannya. Berikan ruang untuk kanak-kanak mengembangkan potensi yang ada pada dirinya. Setiap kanak-kanak tidak sama akan keupayaan dan kebolehannya dalam sesuatu bidang. Artikal ini dapat membantu pembaca dengan cadangan jika sesuai untuk melihat potensi diri kanak-kanak.




Tuesday, March 13, 2018

Memupuk gaya hidup perihatin

Perihatin adalah satu sikap yang perlu dipupuk sejak dari awal iaitu di peringkat kanak-kanak. Peranan ibu bapa bukan sahaja mendidik tetapi juga memupuk anak-anak bersikap perihatin terhadap kehidupan di persekitarannya. Malahan keperihatinan terhadap persekitaran juga perlu diberi perhatian. bermula dengan mejaga kebersihan diri, persekitaran rumah kelihatan bersih, menjaga haiwan peliharaan dan sebagainya. Sikap perihatian perlu dijadikan amalan dan gaya hidup yang sihat. Kita mahukan persekitaran yang bersih tetapi dalam diri tidak mempunyai sikap perihatin untuk bersama menjaga kebersihan. Apabila kesedaran keperihatinan ini menjadi sikap amalan maka kita tidak akan lagi melihat kekotoran sampah sarap, penaniayaan terhadap haiwan berlaku, menjaga harta awam, bertimbang rasa sesama insan dan saling membantu.


Tuesday, March 6, 2018

Buku tanpa teks asas membaca

Ramai yang tidak sedar bahawa buku tanpa teks sebenarnya dapat mendorong minat membaca. Kanak-kanak yang belum mempunyai kemahiran membaca atau mengenal huruf sebaik-baiknya diperkenalkan dengan buku tanpa teks. Ilustrasi pada buku tanpa sebarang perkataan sudah dapat menceritakan dan memberi maklumat yang terperinci kepada pembaca kanak-kanak. Artikal ini membicarakan peranan buku tanpa teks untuk panduan ibu bapa dan guru yang terlibat dalam pendidikan awal kanak-kanak.



Tuesday, February 27, 2018

Sayangi haiwan

Apabila kita berjalan-jalan di pasar atau berhampiran kedai makan atau warung akan kelihatan kucing jalanan berkeliaran. Tidak ketinggalan anjing jalanan mencari makanan di tong sampah. Haiwan peliharaan ini tidak seharusnya berkeliaran di tempat-tempat sedemikian. Mereka yang tidak bertanggunjawab membuang anak-anak kucing di merata tempat. malahan membuang ke rumah orang. Perbuatan seperti ini boleh dianggap lebih mementingkan diri. Hal ini akan menyusahkan orang lain. Sepatutnya dari awal lagi mereka tidak memelihara jika tidak berminat. Haiwan ini tidak meminta banyak untuk mengisi perutnya. Manusia perlu bertimbang rasa kepada haiwan yang tidak tahu untuk mencari makanan. Kurangnya pendidikan terhadap menyayangi haiwan tidak diberi penekanan. Walhal dalam agama pun ada menyatakan hal menyayangi haiwan.Sewajarnya dari peringkat kanak-kanak perlu dididik untuk mengasihani haiwan agar di masa depan generasi ini tidak menganiaya haiwan.



Tuesday, February 20, 2018

Kepentingan memberi perhatian anak

Kanak-kanak inginkan perhatian daripada orang dewasa menerusi tingkahlaku yang tidak menyenangkan. Misalnya apabila ibu bapa atau guru meletakkan sesuatu peraturan kanak-kanak dengan sengaja melanggar peraturan yang telah ditetapkan. Keadaan ini berlaku apabila kanak-kanak yang tidak mendapat perhatian di rumah disebabkan kesibukan ibu bapa yang bekerja. Anak ini akan melakukan sesuatu untuk menarik perhatian guru ketika di tadika. Mungkin artikal ini dapat membantu memahami tingkahlaku kanak-kanak yang ingin mendapat perhatian orang dewasa.



Monday, February 12, 2018

Kanak-kanak suka menguji orang dewasa

Sebenarnya kanak-kanak suka menguji orang dewasa dengan melakukan perbuatan yang seolah-olah mencabar kesabaran orang dewasa. Contohnya jika orang dewasa membuat peraturan larangan tidak boleh memanjat pokok. Kanak-kanak secara sengaja akan melakukannya tanpa pengetahuan orang dewasa atau sengaja memanjat. Perbuatannya diharapkan dapat dilihat atau untuk menguji sama ada orang dewasa menguatkuasakan peraturan hukuman seperti yang dimaklumkan. Mungkin artikal ini dapat menjelaskan lebih lanjut tentang kanak-kanak menguji orang dewasa.

Tuesday, February 6, 2018

Ragam anak sulung, tengah dan bongsu

Ibu bapa dan pendidik kanak-kanak sentiasa berdepan dengan kerenah dan ragam kanak-kanak. Sebenarnya secara tidak langsung ada kaitan dengan susunan kelahiran anak sulung, tengah dan bongsu. Kedudukan anak dalam adik beradik mempengaruhi psikologi kanak-kanak itu sendiri. Pengetahuan ini diharapkan dapat menyelesaikan masalah emosi kanak-kanak oleh ibu bapa dan pendidik kanak-kanak.


Tuesday, January 30, 2018

Kecergasan fizikal kanak-kanak

Badan sihat otak pun cergas ketika dahulu menjadi peransang untuk kanak-kanak aktif di padang permainan. Keadaan berubah apabila pengaruh gajet menyebabkan kanak-kanak tidak lagi bermain di padang, halaman rumah mahu pun di taman permainan. Keadaan ini menyebabkan bilangan kanak-kanak obestiti meningkat dan kanak-kanak kurang bersosial di kalangan rakan sebaya. Ditambah dengan pemakanan yang tidak sihat  turut mempengaruhi fizikal kanak-kanak pada hari ini. Mungkin artikal ini dapat memberi kesedaran kepada pembaca tentang kepentingan kecergasan fizikal untuk kanak-kanak.


Monday, January 22, 2018

Isu keciciran di kalangan kanak-kanak tadika

Ramai ibu bapa dan guru pendidikan awal kanak-kanak beranggapan apabila kanak-kanak tidak boleh membaca dianggap keciciran. Sebenarnya kita terlupa bahawa setiap individu mempunyai pencapaian yang berbeza. Kita hanya melihat pencapai dari sudut kognitif tetapi bagaimana pula dari sudut fizikal, bahasa, sosial dan estetika? Begitu juga kesan daripada faktor lain yang menyebabkan keciciran. Mungkin artikal ini dapat membantu kefahaman terhadap keciciran kanak-kanak tadika.


Friday, January 19, 2018

Melayani pertanyaan kanak-kanak

Pertanyaan kanak-kanak disebabkan rasa ingin tahu sesuatu perkara dengan lebih mendalam. Kanak-kanak akan berhenti bertanya apabila mendapat penjelasan yang memberi kepuasan kepada perkara yang ingin diketahuinya. Oleh sebab itu pertanyaan kanak-kanak akan bertalu-talu dengan perkataan "Kenapa?" berulangkali. Keadaan ini menyebabkan timbul perasaan bosan bagi orang dewasa untuk melayani. Mungkin artikal ini dapat membantu orang dewasa melayani pertanyaan kanak-kanak.

Monday, January 8, 2018

Awal penulisan kanak-kanak

Ibu bapa dan pendidik awal kanak-kanak mungkin resah melihat kanak-kanak kecil membuat lakaran pada kertas atau pun dinding. Pada orang dewasa perbuatan ini dianggap sebagai contengan yang tidak memberi makna. Sebaliknya kanak-kanak membuat lakaran ini adalah makna yang ingin disampaikan. Oleh kerana kanak-kanak belum dapat menguasai simbol abjad maka simbol bentuk lakaran menggantikan simbol penulisan.


Tuesday, January 2, 2018

Hari Pertama Ke Tadika

Salam. Selamat membuka lembaran baru tahun 2018. Pastinya anak-anak yang baru melangkah usia 5 tahun dan 6 tahun tidak sabar-sabar untuk ke tadika. Manakala ibu bapa sibuk membuat persediaan awal untuk kanak-kanak ini. Terutama anak sulung merupakan pengalaman pertama ibu bapa menghantar anak ke tadika. Manakala kanak-kanak ini pula merasa teruja dan menantikan ketibaan hari pertama persekolahannya di tadika. Bagaimanakah pula perasaan ibu bapa terhadap anak-anak yang kali pertama berpisah dengan keluarga dan berjauhan biarpun seketika? Persoalan ini selalu bermain dalam pemikiran ibu bapa. Artikal ini diharapkan dapat dijadikan panduan.