Sunday, October 31, 2010

Memartabatkan Pengasuhan Kanak-Kanak

Bajet 2011 memperuntukkan RM121 juta memberi fokus kepada perkhidmatan kanak-kanak yang berkualiti. Bujet ini diberikan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di bawah program bantuan kanak-kanak dengan harapan 97,000 kanak-kanak akan dapat memanfaatkannya. Secara tidak langsung bujet ini menumpukan kepada perkhidmatan di taska iaitu kanak-kanak di bawah umur 4 tahun. Jabatan Kebajikan Masyarakat yang mengelolakan program perkhidmatan kanak-kanak sewajarnya dipertanggungjawabkan oleh pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk memikirkan peningkatan kualiti perkhidmatan pendidikan kanak-kanak di taska.

Memberi perkhidmatan berkualiti bukan sahaja melibatkan kualiti pasarana di taska tetapi juga latihan pengasuhan yang berkualiti perlu diberi perhatian. Program latihan pengasuh hendaklah diberi keutamaan memandangkan peranan pengasuh dan pendidik awal kanak-kanak ini sebagai asas perkembangan pendidikan awal kanak-kanak yang perlu diterima oleh kanak-kanak sebelum melangkah pendidikan selanjutnya. Mereka yang terlibat dalam bidang ini perlu jelas tanggungjawabnya dan kualiti perkhidmatan yang perlu dilaksanakan di taska.

Saturday, October 30, 2010

Tahniah Graduan Universiti Tun Abdul Razak

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua graduan Universiti Tun Abdul Razak yang telah berjaya dan menerima ijazah pada Majlis Konvokesyen hari ini Sabtu 30 Oktober 2010.


Bintang tujuh sinar berseri,
Bulan purnama datang menerpa;
Ajaran guru hendak dicari,
Mana yang dapat janganlah lupa.


Cantik berseri bunga melati,
Mekar indah di dalam taman;
Cendikiawan berilmu sedia berbakti,
Kelak dikenang zaman berzaman.

Friday, October 29, 2010

Melarang Kanak-Kanak Menyeberang Sendiri Di Jalanraya

Ajar kanak-kanak supaya mereka sentiasa memegang tangan orang dewasa semasa menyeberang jalan. Ingatkan kanak-kanak menyeberang jalan hanya bersama orang dewasa sahaja. Sebaik-baiknya gunakan lampu isyarat dan tempat menyeberang jalan. Ajar kanak-kanak tidak menerpa atau berlari di kawasan letak kereta. Mulakan melatih kanak-kanak memerhati kiri-kanan-kiri sebelum menyeberang jalanraya.

Thursday, October 28, 2010

Pakai Tali Pinggang Keselamatan

Bayi dan kanak-kanak mesti memakai tali pinggang apabila menaiki kenderaan seperti kereta, bas atau van. Pilih kerusi kanak-kanak yang diluluskan oleh pihak berkuasa. Terdapat banyak jenis kerusi untuk kanak-kanak. Ikut arahan semasa memasang kerusi kanak-kanak mengikut yang dibekalkan oleh kilang. Perlu mengetahui cara memasang tali pinggang kerusi kanak-kanak di kereta dan memasang tali pinggang kanak-kanak di kerusinya. Patuhi undang-undang menggunakan kerusi kanak-kanak dan menggunakan tali pinggang keselamatan.

Jadikan amalan meletakkan anak di kerusi kenderaan bukan meriba anak di bahagian kerusi depan kenderaan. Utamakan keselamatan bukan ambil jalan mudah dan mengganggapnya menyusahkan.

Wednesday, October 27, 2010

Pengawasan Bahaya Kebakaran Dan Api

Kulit bayi dan kanak-kanak lebih nipis daripada kulit orang dewasa menyebabkan mudah melecur jika terkena sesuatu yang panas. Elakkan daripada kecederaan air panas dengan mengawal kepanasan air antara 120 Fahrenheit atau 130 Fahrenheit atau lebih rendah lagi. Semakin rendah suhu air semakin selamat untuk kanak-kanak.

Latihan kebakaran dan meletakkan alat pemadam api di taska. Sentiasa menyemak label pemadam api untuk memastikan masih berfungsi. Begitu juga dapur memasak sentiasa pastikan ditutup selepas digunakan.

Tuesday, October 26, 2010

Sentiasa Menyelia Kanak-Kanak Semasa Bermain Air

Kanak-kanak taska suka bermain air. Mereka boleh lemas walau pun dengan kuantiti air yang sedikit sedalam 2 inci atau 6 sentimeter. Bermakna kanak-kanak boleh lemas di tempat-tempat yang anda tidak menjangka. Oleh itu jangan biarkan kanak-kanak bermain air sendirian. Orang dewasa perlu menyelia kanak-kanak kecil semasa bermain di dalam air seperti di kolah mandi, di bilik air, di dalam besen, di kolam renang, berada di tandas, di sinki, baldi, parit kecil dan lopak berair .

Setelah menggunakan besen dan baldi pastikan dibuang airnya. Tutup bilik air dan sinki tandas untuk mengelakkan bayi dan kanak-kanak tatih memasuki bilik air. Pengawasan sekitar taska seperti parit dan lopak perlu dialirkan airnya supaya tidak bertakung. Selepas aktiviti main air, tempat menampung air hendaklah ditutup atau dibuang airnya hingga kering.

Sunday, October 24, 2010

Pagar Keselamatan Kanak-Kanak

Kanak-kanak di taska bergerak aktif untuk meneroka di persekitarannya. Peringkat kanak-kanak tatih mereka merangkak, memanjat dan berdiri sambil meneroka persekitaran tempat di dalam ruang bilik. Sekiranya di taska terdapat tangga sememangnya menjadi kegemaran kanak-kanak untuk bermain di tangga. Perkara ini diberi perhatian dan langkah untuk meletakkan pagar penghadang di bahagian bawah dan atas tangga. Sentiasa menutup pagar tangga untuk menghalang kecederaan daripada jatuh tangga. Pastikan lubang di panghalang itu kecil supaya tidak melepasi kepala kanak-kanak. Jangan menggunakan pagar jenis 'accordian'.

Kawasan lain yang dianggap merbahayakan kanak-kanak seperti ruang ke dapur boleh diletakkan pagar penghadang kanak-kanak. Meletakkan pagar penghadang adalah sebagai langkah untuk menghalang berlakunya kecederaan di taska.

Saturday, October 23, 2010

Keselamatan Taman Permainan

Keselamatan taman permainan di taska dan tadika perlu diberi keutamaan. Kebanyakan kemalangan dan kecederaan berlaku di taman permainan apabila kanak-kanak terjatuh dari peralatan mainan. Kemalangan ini boleh dikawal dengan meletakkan bahan yang lembut di permukaan peralatan permainan. Bahan lembut ini akan menjadi penahan apabila kanak-kanak jatuh daripada alatan permainan. Bahan penahan seperti pasir boleh digunakan untuk dijadikan permukaan pelapik menahan kanak-kanak jatuh daripada alatan mainan. Terdapat juga pelapik penahan kecederaan yang dibuat secara komersial.

Setiap permukaan pelapik penahan kecederaan hendaklah mengikut piawaian (standard) yang ditetapkan khusus untuk keperluan taman permainan kanak-kanak. Pastikan peralatan mainan di taman permainan mengikut kesesuaian umur dan berkeadaan baik. Ajar kanak-kanak cara menggunakan peralatan dengan selamat.

Friday, October 22, 2010

Taska 1 Malaysia

Bajet 2011 telah mengumumkan penjenamaan semula 40 buah Taska 1 Malaysia yang dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat. Taska ini bertujuan untuk membantu golongan wanita yang tidak berkemampuan mendapatkan perkhidmatan pengasuahan dan pendidikan awal yang berkualiti bagi anak-anak mereka. Perkhidmatan ini juga memberi peluang kepada wanita yang tidak berkemampuan meneruskan kerjaya sementara anak-anak mendapat jagaan yang berkualiti.

Apabila berlaku penjenamaan semula tentunya imej baru kepada taska berkenaan. Diharapkan Jabatan Kebabjikan Masyarakat akan membuat satu perubahan menyeluruh keseluruhan aspek menguruskan taska yang dapat memberi kualiti perkhidmatan sebagaimana yang telah dimandatkan. Menerusi bujet 2011 diharapkan kewujudan pengurusan taska yang terawal di bawah Akta 308 iaitu Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 lebih menyerlah penampilannya dengan idea-idea baru khususnya pandangan daripada generasi muda. Sewajarnya taska di bawah pentadbiran Jabatan Kebajikan Masyarakat diberi perhatian memandangkan dari segi sejarahnya adalah merupakan taska terawal dan merintis program perkhidmatan kanak-kanak di bawah 4 tahun. Makluman umum bahawa Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 (Akta 308) telah diwujudkan bertujuan untuk mengawasi pengurusan perkhidmatan taska dan melindungi kanak-kanak. Oleh itu semua taska tidak kira jenama apa sekali pun perlu mendaftar dan tertakluk di bawah akta tersebut.

Semoga arus perubahan yang berlaku masa kini diharapkan Jabatan Kebajikan Masyarakat dapat memberi penampilan baru selaras dengan penjenamaannya boleh diterima oleh ibu-ibu di kalangan wanita generasi muda yang mengharapkan bantuan perkhidmatan anak-anaknya.

Thursday, October 21, 2010

Peraturan Keselamatan Di Taska

Adakah taska anda mempunyai peraturan sebagai senarai semak yang perlu anda patuhi untuk menjaga keselamatan kanak-kanak? Jika anda tidak mempunyai sebarang peraturan keselamatan di taska berikut adalah cadangan senarai peraturan umum keselamatan di taska untuk menjaga keselamatan kanak-kanak di bawah pengawasan anda:

1. Menggunakan taman permainan yang selamat.
2. Menggunakan penghadang di tangga.
3. Sentiasa mengawasi dan menyelia semasa kanak-kanak bermain air atau berada dalam air.
4. Sentiasa mengawasi kawasan merbahaya dan tempat yang boleh menyebabkan kebakaran.
5. Memakai tali pinggang di kenderaan.
6. Melarang kanak-kanak Menyeberang Sendirian di jalanraya.
7. Menyimpan bag plastik, dawai dan objek kecil dari kanak-kanak.
8. Jangan meletakkan senjata atau benda tajam di taska.
9. Panggil pegawai perubatan jika anda fikir kanak-kanak mendapat keracunan.
10. Tampal atau letakkan nombor panggilan kecemasan berdekatan dengan telefon.

Wednesday, October 20, 2010

Kemalangan Kanak-Kanak Mengikut Umur

Kemalangan adalah pembunuh nombor satu kepada kanak-kanak berumur 9 bulan ke atas jika tidak diberi perhatian. Kemalangan ini disebabkan kecuaian orang dewasa yang tidak mengambil langkah untuk melindungi kanak-kanak. Bayi dan kanak-kanak kecil dalam keadaan tertentu memerlukan perlindungan yang khusus.

Umur kanak-kanak dapat memberitahu kita jenis kemalangan yang berlaku. Contohnya bayi 9 bulan mungkin meletakkan mainan kecil ke dalam mulut dan kemungkinan mainan itu menyebabkan bayi tercekik. Kanak-kanak berusia 2 tahun mungkin termakan daun beracun semasa bermain di luar rumah. Kanak-kanak 5 tahun mendapat cedera semasa bermain basikal.
Kemalangan yang tidak dijangka juga boleh berlaku menimpa kanak-kanak (rujuk keratan akhbar). Langkah berjaga perlu diambil untuk mengawasi keselamatan bangunan secara berkala.

Tuesday, October 19, 2010

Peranan Pengasuh Di Taska

Apakah peranan pengasuh di taska dari segi aspek keselamatan? Hal ini jarang diberi penekanan terhadap pengurusan di taska. Kesedaran tentang tanggungjawab keselamatan adalah penting untuk mengelakkan berlaku kemalangan di taska. Jika anda sebagai pengasuh di taska hendaklah berperanan sebagai 'role model', pelindung dan pendidik. Peranan tersebut adalah menjadi tanggungjawab anda perlu belajar untuk bertindak sebagai role model, pelindung dan pendidik.Cara ini membantu anda menjadikan taska dalam suasana selamat.

Sebagai role model anda meletakkan diri anda contoh yang baik kepada kanak-kanak dengan mengamalkan keselamatan.

Sebagai pelindung anda sentiasa mengamalkan untuk mengawasi keadaan kemungkinan merbahaya di persekitaran daripada berlaku kebakaran, berasap, keracunan dan lain-lain jenis kemalangan. Sebagai pelindung juga anda sentiasa meletakkan buku panduan telefon untuk kecemasan bersama telefon.

Sebagai pendidik atau guru anda mendidik ibu bapa, kanak-kanak dan pengasuh yang lain tentang amalan keselamatan.

Monday, October 18, 2010

Isu Keselamatan Kanak-Kanak Di Taska

Isu kematian bayi di taska nampaknya bagaikan tiada kesudahannya. Mungkin banyak lagi insiden yang berlaku tidak dipaparkan menerusi akhbar. Kecuaian pengasuh di taska menjadi punca kematian bayi. Isu kematian bayi di taska ini memberikan gambaran bahawa keperluan latihan pengasuhan perlu kepada pengasuh. Pihak pengusaha perkhidmatan taska memastikan setiap pekerjanya mendapat latihan secukupnya dan latihan keselamatan kanak-kanak di taska perlu diadakan secara berkala oleh setiap pengusaha atau individu yang terlibat dalam perkhidmatan ini. Perbincangan bersama pengasuh taska sepatutnya diadakan sebagai langkah berjaga-jaga tentang keselamatan persekitarannya.

Pihak berkuasa juga perlu melihat kembali sistem latihan yang dijalankan kepada pengasuh. Syarat kelulusan untuk menjalankan perkhidmatan pengasuhan juga perlu dilihat kepada individu yang ingin menawarkan perkhidmatan ini. Contohnya, dari segi kelayakan bidang pengasuhan perlu dijadikan syarat sebagaimana di negara maju seperti di Amerika. Kelulusan mendapatkan sijil pertolongan cemas khusus untuk kanak-kanak juga perlu diwajibkan kepada setiap individu yang mengendalikan perkhidmatan kanak-kanak. Memang peraturan yang dicadangkan ini nampaknya menyusahkan pihak tertentu tetapi soal nyawa kanak-kanak perlu difikirkan secara terbuka dan positif.

Sunday, October 17, 2010

Bujet 2011 dan Kanak-Kanak

Peruntukan untuk pendidikan sebanyak RM6.4 bilion tidak melupakan pembangunan modal insan di peringkat kanak-kanak khususnya program prasekolah. Hasrat kerajaan untuk meningkatkan kadar enrolmen prasekolah di Kementerian Pelajaran sebanyak 1,700 kelas menjelang akhir tahun 2011 amat dialu-alukan. Secara tidak langsung akan melibatkan sekolah-sekolah di luar bandar dan pendalaman. Kanak-kanak akan mendapat menikmati kemudahan pendidikan awal setara dengan kanak-kanak di bandar. Peningkatan enrolmen ini menunjukkan kesungguhan untuk menyelaraskan sistem pendidikan awal kanak-kanak (prasekolah) di seluruh negara dengan matlamat untuk melantik 800 guru prasekolah lepasan ijazah.

Peruntukan lain untuk kanak-kanak di bawah empat tahun juga mendapat bujet sendiri untuk meneruskan program yang bersesuaian dengan keperluan dan matlamatnya.

Selaras dengan perkembangan semasa pihak College for Open Learning Universiti Tun Abdul Razak menawarkan pengajian peringkat diploma dan sarjana muda dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Pengajian ini dijalankan pada hujung minggu (Sabtu dan Ahad) berselang untuk memudahkan pendidik bekerja sambil belajar. Tenaga pengajar adalah terdiri daripada mereka yang berpengalaman dan berkelayakan akademik dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.

Pada hari ini Ahad 17 Oktober 2010 College for Open Learning Universiti Tun Abdul Razak mengadakan Hari Terbuka kepada sesiapa yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut pembelajaran secara sambilan (bukan sepenuh masa). Salah satu program yang di tawarkan adalah Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Bacelor Pendidikan Awal Kanak-Kanak. Diharapkan menerusi program ini dapat membantu pendidik yang mengajar di tadika untuk melanjutkan pengajian supaya kelayakan akademik dapat disetarakan dengan guru-guru prasekolah di Kementerian Pelajaran Malaysia.

Saturday, October 16, 2010

Kesediaan Kesabaran dan Kejayaan

Kanak-kanak tatih belajar berjalan hanya selepas mencuba berkali-kali dan jatuh bangun. Kesungguhan untuk berjaya membantu kanak-kanak ini melupakan jatuh bangun dan akhir menemui kejayaan. Apabila kanak-kanak di taska bermain pasir dengan menggalinya, mereka belajar kesan dan akibat iaitu apa yang membolehkan dan perkara yang tidak boleh.

Kanak-kanak di tadika mempunyai pengalaman dengan penyelesaian masalah, berbincang mendapakan keputusan dan menilai keputusan. Mereka selalunya menggunakan kemahiran ini untuk menilai apa yang menyebabkan kegagalan projek yang sedang dilakukannya. Mereka mencari jalan dan berusaha mencuba lagi.

Friday, October 15, 2010

Kawalan Diri Kanak-Kanak

Kanak-kanak peringkat taska mempunyai sedikit kawalan diri. Setiap objek yang dilihat seperti kereta mainan mahu dimiliki. Walau bagaimana pun kanak-kanak di peringkat taska ini tidak mempunyai intelektual atau kemahiran sosial untuk memberi pertimbangan bahawa dia sudah bermain dengan kereta dan dia perlu menunggu gilirannya.

Kanak-kanak di peringkat tadika boleh memahami dan menerima keperluan peraturan untuk kebaikan dirinya dan komuniti lain. Mereka mempelajari seni untuk berkompromi dan perundingan. Mereka juga boleh melihat peristiwa daripada pandangan orang lain. Kanak-kanak peringkat tadika biasanya berupaya mengenalpasti barang miliknya dan menghormati milik orang lain atau rakan sebayanya. Mereka juga boleh mengambil tugasan tanggungjawab yang mudah, mempunyai kawalan diri untuk memberi tumpuan dan komitmen.

Thursday, October 14, 2010

Kesediaan Kreativiti Kanak-Kanak

Bayi dilahirkan mempunyai rasa ingin tahu. Mereka akan mencapai objek dan meneroka dengan menggunakan tangan dan mulut. Kanak-kanak tatih pula mendapatkan semua sekali dan menumpukan sesuatu yang diminatinya.

Apabila kanak-kanak di peringkat tadika, mereka bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan masalah tugasannya sendiri sama ada melukis, membina projek, membilang dan interaksi sosial. Mereka menggunakan idea dan tugasan dengan inisiatif, bermain-main dan berfikiran membina. Mereka terlalu banyak bertanya soalan.

Wednesday, October 13, 2010

Kesediaan Keyakinan dan Kepercayaan

Bayi dan tatih membina asas kepercayaan apabila memperolehi penjagaan dan kasih sayang yang berterusan. Mereka merasa dirinya dipentingkan oleh ahli keluarga atau kumpulan. Mereka akan bergantung kepada orang dewasa untuk mendapatkan bantuan dalam situasi yang tidak menjadi kebiasaannya. Keinginan untuk berdikari dengan kepercayaan mendapat sokongan daripada orang dewasa kanak-kanak berasa berkeyakinan diri untuk meneroka, membuat penemuan dan memahami keadaan persekitarannya.

Peringkat tadika,kanak-kanak sudah boleh memahami bertolak ansur (memberi dan menerima) untuk situasi sosial. Mereka selesa dengan peraturan atau cara sesuatu itu dilakukan untuk keselamatan dirinya. Kanak-kanak di peringkat tadika juga bergantung orang dewasa menerangkan secara berterusan keinginan untuk mengetahui sesuatu perkara dengan cara yang betul.

Tuesday, October 12, 2010

Memupuk Rasa Belas Kasihan

Kanak-kanak di peringkat bayi dan tatih menganggap keadaan yang di sekelilingnya adalah miliknya. Oleh sebab itu mereka tidak dapat memahami keperluan orang lain dan sentiasa menyatakan perasaan dirinya sahaja. Kanak-kanak di tadika sudah mula memahami rasa belas (empathize). Mereka boleh meletakkan dirinya ditempat orang lain. Kanak-kanak tadika ini berupaya untuk mengenalpasti kekuatan dan kelemahan orang lain dan untuk berkongsi kesedihan ,keriangan dan kebanggaan.

Monday, October 11, 2010

Kesediaan Kanak-Kanak Berdikari

Kanak-kanak belajar berdikari seawal usia tatih. Mereka cuba melakukan sesuatu beberapa minit dan merasa kecewa kemudian. Mereka berkata "jangan" dan "saya punya" dan cuba menggelakkan untuk lelap (tidur sebentar) apabila kanak-kanak ini boleh menahan membuka mata.

Kanak-kanak di peringkat tadika boleh menerima tanggungjawab untuk kejayaan dan kegagalannya. Mereka meneroka menerusi tindakan yang ada akibat dan mereka boleh mempengaruhi akibat itu dengan tindakannya. Kanak-kanak tadika belajar memahami motivasi dalaman dan tidak bergantung kepada ganjaran dan pujian untuk memperolehi kejayaan. Mereka mahukan latihan keupayaan diri dan menunjukkan tidak mahu dikawal atau dijaga juga dibantu oleh orang dewasa.

Sunday, October 10, 2010

Kemahiran Kesediaan Ke Sekolah Dan Kehidupan

Sikap dan tingkahlaku kanak-kanak untuk kesediaan ke sekolah adalah berdikari, belas kasihan, kepercayaan, kreativiti, mengawal diri, kesabaran dan keriangan. Tugas dan tanggungjawab sebagai pendidik ialah menyediakan persekitaran untuk kanak-kanak boleh membina tingkahlaku dan sikap tersebut. Ciri-ciri sikap dan tingkahlaku kanak-kanak untuk kesediaan ke sekolah ini berterusan sepanjang hayat.

Berdikari
Melakukan sendiri apabila dimaklumkan, kecekapan membuat keputusan berasaskan pengalaman, maklumat dan pertimbangan keputusan. Bersedia mengambil risiko dan melihat lebih jauh "bagaimana kita harus melakukannya" untuk memperbaiki masyarakat dan keadaan diri sendiri.

Belas Kasihan
Belas kasihan membolehkan untuk mengenalpasti kemanusiaan dan kehormatan semua orang. Sikap ini akan memupuk dermawan, sukarelawan, bertimbangrasa dan saling menghormati.

Kepercayaan
Kepercayaan membolehkan membantu keyakinan, perasaan selamat bersama rakan dan berpandangan positif dan terbuka. Percaya apabila mengetahui peraturan dan mahu mematuhi peraturan.

Kreativiti
Kreativiti membolehkan berfikir menerusi cabaran mental dan menggunakan teknik rundingan untuk menyelesaikan masalah konflik sosial. Kreativiti melibatkan keanjalan (flexibility) dan keinginan untuk meneroka untuk penyelesaian dan mendapatkan keputusan baru.

Kawalan Diri
Mengawal diri merujuk kepada keupayaan untuk berfikir tentang sikap dan keputusan sama ada melakukannya atau tidak. Kawalan diri membolehkan untuk menjadikan kesabaran terhadap diri dan orang lain.

Kesabaran dan Kejayaan
Bersabar didatangi halangan dan menyelesaikan masalah. Kualiti ini membantu untuk mengatasi masalah yang dihadapi.

Ini adalah suatu pandangan sahaja. Mungkin pembaca mempunyai pandangan dan pendapat untuk dikongsikan bersama. Semua pandangan dan pendapat amat dialau-alukan untuk dikongsikan bersama saya dan pembaca semua.

Saturday, October 9, 2010

Apakah Pendapat Anda?

Adakah masalah keselamatan kanak-kanak dapat diselesaikan? Apakah pendapat anda? Mohon beri pandangan dan pendapat terhadap kenyataan akhbar di atas untuk dikongsikan bersama pembaca.
Adakah anda sedar ada taska yang tidak berdaftar? Atau sengaja memilih sesebuah taska tanpa memikirkan soal pendaftaran taska untuk penjagaan anak? Apakah pendapat anda? Mohon beri pandangan dan pendapat terhadap kenyataan akhbar di atas untuk dikongsikan bersama pembaca.

Friday, October 8, 2010

Pemikiran Matematik Kanak-Kanak Berusia Tiga dan Empat Tahun

Pada peringkat umur tiga hingga empat tahun kanak-kanak adalah di peringkat praoperasi. Kanak-kanak sudah boleh berfikir sesuatu yang dilambangkan dan boleh memikirkan sesuatu yang abstrak. Berdasarkan keupayaan ini, kanak-kanak sudah boleh berfikir tentang objek yang tidak benar di depannya. Di peringkat ini juga kanak-kanak mula membuat perkaitan antara keadaan masa kini dan pengalaman lalu. Kanak-kanak di tahap umur tiga dan empat tahun boleh memahami perkaitan yang lebih komplek lagi. Hal ini penting untuk percambahan konsep matematik kerana pada masa ini struktur mental memberi ruang kanak-kanak untuk memahami pembinaan kuantiti.

Kefahaman terhadap seriasi, pengkelasan dan urutan dilihat menerusi dimensi baru apabila kanak-kanak boleh memahami perkaitan yang lebih komplek. Peringkat umur tiga dan empat tahun boleh membuat perbandingan objek tidak terdapat di depannya atau peristiwa yang berlaku di masa lalu. Hal ini dapat membantu kanak-kanak membina gabungan urutan, seriasi dan pengkelasan untuk membina struktur mental abstrak yang akan membantu kuantifikasi dan matematik formal.

Kanak-akan mula membina perkaitan mental matematik untuk menghalusi idea tentang banyak kepada satu lagi atau dua lagi. Penelitian ini secara tidak langsung membolehkan kanak-kanak memahami tiga adalah lebih daripada dua dan dua lebih daripada satu. Ini adalah idea asas di sebalik kuantifikasi.

Thursday, October 7, 2010

Percambahan Matematik Menerusi Objek Pelbagai Bentuk

Kanak-kanak dari lahir sehingga usia dua tahun yang di sekelilingi objek menarik akan dapat membantunya memahami hubungan antara objek. Secara tidak langsung kanak-kanak menentukan sama ada objek itu sama atau berlainan, sepadan dan mengkelaskan yang mana kesemua ini memerlukan perhatian kualiti sesuatu objek untuk dibuat perbandingan. Semakin kerap kanak-kanak membuat perbandingan akan menjadi semakin komplek cara membandingkannya. Contohnya apabila kanak-kanak menambahkan pelbagai bola berwarna atau bongkah yang dipilih oleh kanak-kanak itu sendiri boleh mendorong lebih banyak hubungan kepada matematik yang komplek. Aktiviti ini juga membantu kefahaman konsep seriasi dan pengkelasan.

Bentuk boleh digunakan untuk menunjukkan hubungan padanan. Bilik atau ruang untuk bayi dan tatih sediakan pelabagai bentuk bongkah dan objek untuk kanak-kanak memadan dan membanding. Ini disebabkan perkembangan matematik masih awal, di peringkat bayi dan tatih secara semulajadi melihat kepada padanan yang sebenar. Pada tahap ini aras pengkelasan yang boleh dikuasainya. Bayi dan tatih tidak dapat melihat sesuatu yang serupa dan berbeza pada waktu yang sama.

Wednesday, October 6, 2010

Aktiviti Harian dan Matematik

Kanak-kanak di bawah usia dua tahun boleh didedahkan dengan matematik menerusi aktiviti harian seperti masa makan dan aktiviti dalam bulatan. Konsep matematik yang dimaksudkan ialah menggunakan nombor, membilang dan kuantifikasi (jumlah). Setiap kali berpeluang untuk membilang perlu digunakan sepenuhnya untuk membantu kanak-kanak memahami hubungan kuantiti (jumlah) satu per satu. Pendidik perlu membilang dan menggunakan matematik jika mengikut kesesuaian keadaan biarpun menyoal kanak-kanak tentang hubungan matematik yang mudah. Cara berinteraksi ini membantu kanak-kanak mengenalpasti kepentingan nombor dan mendorong membina percambahan matematik. Kanak-kanak di peringkat usia dua tahun juga boleh memahami konsep banyak. Bertanyakan kepada kanak-kanak untuk membandingkan kumpulan objek atau kuantiti dapat menggalakkan pembinaan kefahaman konsep banyak, kurang dan sama.

Walau pun kanak-kanak di peringkat umur dua tahun belum lagi membina kefahaman tentang nombor, bukan sebagai alasan untuk tidak menggunakan nombor di persekitaran mereka. Sama seperti kita membaca kepada bayi dan tatih membantu mereka membina kemahiran literasi. Begitu juga menggunakan matematik di persekitaran kanak-kanak membantu mereka membina konsep nombor.

Tuesday, October 5, 2010

Ritma dan Muzik Menggalakkan Percambahan Matematik

Percambahan (emergent) matematik menerusi ritma dan muzik, dan peralatan boleh diperkenalkan di peringkat bayi dan tatih. Bayi dan tatih boleh mendapatkan pengalaman matematik dengan menggunakan drum bongo atau kompang.Pengasuh dan kanak-kanak boleh bergilir untuk mengulangi rentak paluan. Contohnya pengasuh membuat dua rentak (paluan) dan kanak-kanak juga dua rentak. Jika kanak-kanak memulakan dahulu, pengasuh mengikutinya rentak paluan kanak-kanak. Keadaan ini membantu kanak-kanak memahami hubunga satu per satu'. Di samping itu kanak-kanak dapat memahami hubungan padanan dan membantu keupayaan kanak-kanak untuk memahami pengkelasan.

Pengasuh juga boleh menjalankan aktiviti kumpulan perbarisan pancaragam dengan menggunakan peralatan muzik di dalam kelas. Kanak-kanak diberi peluang untuk mengadakan perbarisan dengan menyebut,"satu, dua, satu, dua," berjalan sambil berbaris di dalam kelas. Kanak-kanak akan cuba untuk menyamakan rentak dengan perkataan "satu, dua" sepanjang masa bersama dengan paluan alat muzik.

Monday, October 4, 2010

Asas Matematik Kanak-Kanak

Bayi dan tatih (lahir hingga 2 tahun) meneroka persekitarannya menggunakan deria. Menurut Piaget dan Inhelder (1964) dalam bukunya The early growth of logic in the child: Classification and seriation pada peringkat usia lahir hingga dua tahun adalah peringkat deria motor sebab kanak-kanak belajar tentang persekitaran menerusi aktiviti motor dan menggunakan cara menyentuh, melihat, merasa dan mendengar. Keadaan masa ini kelihatan seperti tidak ada berlaku pembinaan matematik. Walau bagaimana sebenarnya kanak-kanak mula memerhati hubungan antara objek apabila mereka mula membina cara untuk mengkelaskan, membuat urutan objek, seriasi dan membanding. Klasifikasi(pengkelasan) bermula apabila kanak-kanak berupaya untuk memadankan objek dan melibatkan kepadan penyusunan objek mengikut kumpulan berdasarkan ciri kesamaannya. Pengkelasan(klasifikasi) adalah sebagai asas penting di masa akan datang untuk konsep matematik seperti set membanding nombor dan kuantifikasi.

Sunday, October 3, 2010

Isu Keselamatan Kanak-Kanak

Kemalangan boleh berlaku di mana sahaja sekiranya sikap sambil lewa terhadap penjagaan kanak-kanak terutamanya kanak-kanak di peringkat bayi dan tatih. Kecuaian menjaga bayi tidak boleh diambil mudah oleh semua pihak sama ada ibu bapa atau pun pengasuh. Apabila berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini semua pihak akan merasa sesalan jika berlaku di pihak keluarga bayi iaitu ibu bapa. Sebaliknya jika berlaku di taska maka tanggangjawab itu akan terbeban kepada pihak pengurusan taska termasuklah pengasuh yang menjaga bayi. Langkah pencegahan perlu diambil dan semua pihak perlu bekerjasama. Contohnya jika pihak tertentu yang menjemput ibu bapa menghadiri sesuatu ceramah tentang penjagaan bayi atau kaedah menyusukan bayi diharap bukan sahaja kaum ibu perlu menghadirkan diri tetapi kaum bapa hendaklah turut sama mengikuti ceramah yang diberikan.

Jika pembaca mempunyai pandangan dan pengalaman untuk dikongsikan bersama adalah dialu-alukan dan amat dihargai. Semoga pandangan dan pengalaman yang dikongsikan dapat dimanfaatkan bersama pembaca.

Saturday, October 2, 2010

Menggalakkan Percambahan Minat Matematik

Asas konsep matematik tidak boleh diajar secara terus. Pendidik kanak-kanak perlu menekankan dan menggalakkan kanak-kanak berinteraksi dengan persekitarannya sebagai dorongan kepada percambahan minat konsep matematik. Logikal dan pemikiran matematik kanak-kanak terbina menerusi latihan dan dorongan. Apabila guru meletakkan berbagai objek yang mempunyai pelbagai perkaitan secara tidak langsung adalah menggalakkan percambahan minat kanak-kanak terhadap memahami matematik. Contohnya menyediakan objek untuk membanding, menggunakan aktiviti ritma dan muzik, menunjukkan model tingkahlaku matematik, mengaitkan matematik dengan aktiviti harian selari dengan aktiviti kanak-kanak.

Friday, October 1, 2010

Membina Konsep Matematik Kanak-Kanak

Konsep matematik sebenarnya boleh dibina menerusi idea yang mudah bahawa nombor boleh mewakili kuantiti yang khusus melibatkan hubungan yang komplek di mana kanak-kanak perlu membangunkannya. Kuantifikasi adalah asas untuk matematik formal merupakan gabungan urutan. Gabungan urutan adalah asas memahami bahawa objek dikira mengikut urutan khusus dan setiap objek adalah dikira sekali sahaja. Seriasi adalah keupayaan untuk menempatkan objek atau kumpulan mengikut objek dalam siri berasaskan objek atau mengikut sifat (ciri) objek. Klasifikasi adalah keupayaan untuk mengumpulkan seperti set objek mengikut sifat (ciri) khusus. Pengabungan ini berlaku apabila kanak-kanak berinteraksi dengan objek dan meletakkan objek mengikut jenis yang berbeza hubungannya.