Thursday, January 31, 2013

Memperluaskan Skop Kerjaya Bidang Kanak-Kanak

Tanggapan bidang kanak-kanak yang selama ini hanya kerjaya sebagai pendidik di taska dan tadika sama sekali tidak tepat. Faculty of Early Childhood Studies, UNITAR International University telah mengorak langkah lebih awal berbanding dengan institusi pengajian tinggi di Malaysia memperluaskan definisi bidang kerjaya ini dengan merealisasikan penubuhan fakulti khusus untuk bidang kanak-kanak. Lanjutan daripada penubuhan fakulti, pihak universiti mengambil inisiatif mengadakan perjanjian kerjasama dengan badan korprat yang melaksanakan industri yang berkaitan dengan kanak-kanak. Perjanjian kesefahaman antara UNITAR International University dengan Themed Attraction Malaysia merupakan langkah permulaan merealisasikan matlamat memperluaskan bidang kerjaya untuk pelajar-pelajar UNITAR International University. Themed Attaraction Malaysia merupakan pengendali taman tema seperti Kidzania, The Little Big Club, Hello Kitty Town, dan Legoland.

Majlis menanda tangani perjanjian kesefahaman antara UNITAR International University dan Themed Attraction Malaysia pada 30 Januari 2013.

Wednesday, January 30, 2013

Bimbingan Kanak-Kanak Dan Kepatuhan Kanak-Kanak

Bimbingan kanak-kanak menguruskan tingkahlaku kanak-kanak secara demokratik iaitu guru dan kanak-kanak berbincang perasaan mereka dan berfikir ke arah untuk menyelesaikannya, menjelaskan salah faham, menemui arah keperluan individu. Manakala Kepatuhan kanak-kanak adalah proses tidak selari iaitu guru mengharapkan kanak-kanak dan menguruskan sejenis hukuman apabila kanak-kanak tidak dapat memenuhi harapan yang dikehendaki.

Tuesday, January 29, 2013

Mendisiplin Atau Menghukum?

Guru menghadapi kesukaran untuk menyatakan di mana akan berakhir disiplin dan menghukum dimulakan. Apabila kebanyakan guru menggunakan disiplin, mereka mirip mengabungkan tindakan hukuman. Mereka mencampur adukkan disiplin dan hukuman di sebalik kemarahan atau sebab kanak-kanak sepatutnya menerima kedua-duanya. Keadaan ini menyebabkan kanak-kanak menggambarkan disiplin sebagai hukuman yang mempunyai makna hampir sama.

Monday, January 28, 2013

Membimbing Kanak-Kanak Lawan Mengarah Kanak-Kanak

Pengurusan tingkahlaku selalunya dianggap untuk mendisiplinkan kanak-kanak. Secara profesionalnya terdapat kenyataan yang berbeza terhadap pengurusan tingkahlaku kanak-kanak. Terdapat perbezaan makna apabila dua perkataan untuk amalan 'membimbing kanak-kanak' dengan 'disiplin posititf'. Konsep disiplin yang berasal dari bahasa Latin bermaksud "membimbing atau "mengarah". Masalahnya jarang digunakan untuk mengamalkannya sebaliknya makna perkataan tersebut tersasar apabila guru keliru disiplin menjadi menghukum.

Sunday, January 27, 2013

Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Peringkat Sarjana


Bersama pelajar program siswazah lanjutan UNITAR International University di Kampus Pusat Pembelajaran Keningau Sabah















Program pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia semakin berkembang pesat. Pusat pengajian di peringkat kolej menawarkan program pendidikan awal kanak-kanak dari peringkat diploma, sarjana muda,manakala peringkat universiti pula menawarkan diploma, sarjana dan kedoktoran. UNITAR International University merupakan peneraju dalam bidang ini mengambil langkah menjadi universiti pertama di Malaysia mewujudkan Faculty of Early Childhood Studies yang mengkhususkan yang berkaitan dengan bidang kanak-kanak. Salah satunya bidang pendidikan awal kanak-kanak selain bindang industri kanak-kanak. Keupayaan Facullty of Early Childhood Studies UNITAR International University adalah bergantung kepada kepakaran dan ketokohan tenaga pengajar yang merupakan perintis dalam bidang ini. Keyakinan ini menjadikan UNITAR International University terus mengembangkan sayap ke pelusuk negara dengan membuka pusat pembelajaran untuk memudahkan pelajar di luar kampus pusat mengikuti program yang ditawarkan. Tenaga pengajar didatangkan khas ke setiap pusat pembelajaran agar pelajar di luar kampus pusat dapat kemudahan yang sama. Contohnya program sarjana pendidikan awal kanak-kanak di pusat pembelajaran Keningau Sabah tenaga pengajar didatangkan khas dari kamus pusat. Diharapkan pelajar dapat merasakan suasana pembelajaran sebagaimana dinikmati oleh pelajar di kampus pusat.

Memupuk Keazaman, Saling Bergantungan Dan Ketekunan

Keazaman:
  • menggalakkan kanak-kanak menumpukan kepada tugasan yang dianggap mencabar.
  • membantu kanak-kanak memikirkan semula keupayaan diri dan kekuatan kebolehannya.
  • membantu kanak-kanak berfikir menerusi pelbagai cara sebelum bertindak.
  • mendedahkan kanak-kanak kepda role model yang mempamerkan keazaman.
  • membacakan cerita atau melakukan pementasan yang terdapat tema keazaman.
 Saling Bergantungan:
  • membenarkan kanak-kanak untuk membina peraturan di kelas.
  • mendorong kanak-kanak untuk mengandaikan tanggungjawab terhadap tingkahlakunya.
  • membantu kanak-kanak memikirkan kembali kesan tindakan yang telah dilakukan.
  • menyediakan masa dalam kelas untuk berbincang tentang kepentingan kerjasama dan saling bergantungan.  
 Ketekunan 
  • menggalakkan kanak-kanak kesedaran bergiat menghasilkan rekaan sendiri.
  • membantu kanak-kanak memikirkan cara ke arah menyelesaikan yang berterusan terhadap tanggungjawab yang diberikan.
  • menyediakan masa secukupnya dan bahan untuk kanak-kanak menyelesaikan aktivitinya.
  • menggalakkan keupayaan dan kejayaan seimbang.
  • memasukan tema ketekunan dalam rancangan mengajar.

Saturday, January 26, 2013

Ketekunan Membina Tingkahlaku Kanak-Kanak

Ketekunan keluarga adalah penting dalam membina tingkahlaku kanak-kanak. Mereka perlu memberi perhatian terhadap keperluan diri kanak-kanak. Ketekunan individu juga mempunyai deria peningkatan. Kanak-kanak mencari penghargaan sesuatu tugasan yang telah diselesaikan bukan hanya dengan mudah membiarkan begitu sahaja. Guru boleh membantu kanak-kanak membina deria ketekunan dengan membenarkan mereka menyelesaikan tugas daripada mengganggu atau memaksa kanak-kanak menyelesaikan aktivitinya. Keupayaan kanak-kanak dan penghargaan digalakkan seimbang. Kanak-kanak perlu diberi tanggungjawab yang sesuai dengan perkembangannya. Apabila diperlukan guru membantu kanak-kanak untuk berfikir menerusi cara mereka melaksanakan tanggungjawab mengikut keadaan yang bersesuaian.

Friday, January 25, 2013

Saling Bergantungan Dalam Membina Tingkahlaku

Mendidik tingkahlaku kanak-kanak bergantung kepada sistem keluarga, persekitaran pekerjaan dan komuniti di mana setiap individu saling bergantungan dan mempercayai, Kanak-kanak hidup dalam bermasyarakat perlu belajar bahawa mereka boleh dipercayai oleh keluarganya, guru dan rakan sebaya untuk melakukan perkara yang betul. Kanak-kanak sering tidak berupaya melihat cara menggunakan perkataan dan kesan kepada tindakannya terhadap orang di persekitaran mereka. Guru boleh membantu kanak-kanak untuk membina deria bergantungan apabila menggalakkan kanak-kanak untuk menyedari terhadap kesan tindakan tingkahlaku mereka dan mengandaikan mereka bertanggungjawab terhadap tingkahlakunya. Kanak-kanak juga boleh memahami fungsi batasan yang perlu diamalkan. Kanak-kanak membina deria saling bergantungan menerusi belajar bekerja secara kerjasama dengan rakan sebaya.

Thursday, January 24, 2013

Keazaman Dalam Pengurusan Tingkahlaku

Kanak-kanak sebagaimana orang dewasa menghadapi pelbagai cabaran dalam kehidupannya. Individu yang waras membina keazaman menerusi deria untuk mengatasi cabaran, penemuan kebenaran, mencari keadilan dan membela pada yang tidak dapat membela dirinya. Keazaman ini kadangkala menentang pandangan yang popular. Deria keazaman adalah dibina apabila guru menghormati atau menghargai perasaan kanak-kanak dan idea, membantu kanak-kanak untuk mengenalpasti kekuatan diri mereka, memberi khidmat sebagai orang berpengalaman untuk membimbing kanak-kanak berfikir menerusi tindakannya, mendedahkan kanak-kanak kepada role model yang mana dirinya menunjukkan kesungguhan.

Wednesday, January 23, 2013

Matlamat Pengurusan Tingkahlaku

Walau pun terdapat banyak matlamat tingkahlaku yang boleh dikaitkan dengan pengurusan tingkahlaku, hanya satu matlamat adalah penting. Guru, ibu bapa dan pemimpin muda semua bertanggungjawab mensosialisasikan kanak-kanak untuk kehidupannya dalam masyarakat. Oleh itu sangat penting guru menggunakan amalan pengurusan tingkahlaku yang membimbing kanak-kanak pembelajaran sosial supaya mereka akan boleh membina kehidupan yang sihat menyesuaikan diri dengan orang dewasa.

Tuesday, January 22, 2013

Pengurusan Tingkahlaku Sebagai Permainan 4

Keadaan yang sebenar berlaku setiap tahun kanak-kanak bertukar, guru turut bertukar dan persekitaran kelas berubah. Atas alasan ini guru yang berpengalaman memahami bahawa pengurusan tingkahlaku perlu dilihat sebagai "permainan." Begitu juga dengan amalan pengurusan tingkahlaku yang boleh dilaksanakan dengan baik pada waktu pagi mungkin tidak sesuai pada waktu petang. Perubahan perlu dilakukan untuk sedikit penyesuaian keadaan, mengadaptasikan perubahan fizikal kanak-kanak atau sosial emosi atau menggabungkan dengan amalan lain. Kejayaan guru bergantung kepada keupayaan untuk sentiasa fleksible dan bersikap terbuka untuk menggunakan amalan tingkahlaku mengikut perkembangan yang bersesuaian. Pembinaan kemahiran bermula dengan kefahaman matlamat pegurusan tingkahlaku.

Monday, January 21, 2013

Program Pengajian Awal Kanak-Kanak Di UNITAR International University

Pelajar-pelajar lepasan Sekolah Menengah Teknik dan Vokesional atau Sijil Pelajaran Vokesional Malaysia (SPVM) dan juga pelajar aliran biasa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekiranya ingin melanjutkan pengajian di bidang pendidikan awal kanak-kanak terdapat institusi pengajian tinggi yang menawarkannya. Faculty of Early Childhood Studies UNITAR International University merupakan universiti yang pertama di Malaysia menubuhkan fakulti yang mengkhususkan bidang kanak-kanak. Fakulti tersebut menawarkan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Sarjana Pendidikan Awal Kanak-Kanak untuk pendidikan. Manakala program yang menjuruskan kepada industri ditawarkan Diploma Seni Pementasan Kanak-Kanak (Diploma in Children Performing Arts). Program ditawarkan secara konvensional dan jarak jauh, sepenuh masa dan separuh masa. Program jarak jauh dan separuh masa diadakan bertujuan untuk memberi peluang kepada mereka yang bekerja untuk melanjutkan pelajaran. Kuliah selalunya diadakan pada hujung minggu berselang. Gambar di bawah adalah pelajar-pelajar yang sedang mengikuti kuliah program Sarjana Pendidikan Awal Kanak-Kanak UNITAR International University menerusi program jarak jauh bertempat di IPGM Keningau Sabah.


Sunday, January 20, 2013

Pengurusan Tingkahlaku Sebagai Seni 3

Sesuatu yang tidak realistik untuk dipercayai bahawa semua kanak-kanak akan bertindakbalas kepada semua pengurusan tingkahlaku yang diamalkan dengan cara yang sama. Tidak realistik jika guru mengharapkan kejayaan yang sama apabila melaksanakan setiap amalan pengurusan tingkahlaku. Guru perlu menentukan kekuatan diri dan menyesuaikan personaliti dengan berlainan amalan. Inilah yang dinamakan 'seni' pengurusan tingkahlaku. Guru yang kreatif sentiasa membuat refleksi, menyesuaikan gaya personal interaksi sosial dan mendidik untuk memenuhi keperluan setiap kanak-kanak dan keseluruhan kelas.

Saturday, January 19, 2013

Program Perkhidmatan dan Asuhan Kanak-Kanak

Mungkin ramai yang tidak menyedari Program Perkhidmatan dan Asuhan Kanak-Kanak untuk pelajar Tingkatan 4 & 5 di Sekolah Menengah Teknik dan Vokesional telah dilaksanakan. Pelajar-pelajar ini berpeluang untuk meneruskan pengajian ke peringkat diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak. Pengetahuan asas yang diperolehi amat membantu mereka dalam pengajian di peringkat diploma. Gambar di bawah adalah sempena memenuhi undangan untuk memberi ceramah kepada pelajar-pelajar bidang Perkhidmatan Awal Kanak-Kanak di SM Vokesional dan Teknik Keningau, Sabah pada Jumaat 18 Januari 2013.
 

Friday, January 18, 2013

Pengurusan Tingkahlaku Sebagai Sains 2

Sains pengurusan tingkahlaku adalah refleksi pendekatan dan model yang digunakan dalam menguruskan tingkahlaku kanak-kanak. Setiap model yang digunakan mewakili berlainan jenis interpretasi interaksi guru dan kanak-kanak untuk membantu perkembangan awal dan pendidikan kanak-kanak. Model pengurusan tingkahlaku seperti model Rudolf Dreikurs dan Lee Canter adalah berbeza pendekatannya cara menguruskan tingkahlaku kanak-kanak yang akan dibincangkan kemudian. Sebagai guru perlu memilih untuk disesuaikan dengan falsafah sendiri menguruskan tingkahlaku.

...bersambung

Thursday, January 17, 2013

Mendefinisikan Pengurusan Tingkahlaku 1

Pengurusan tingkahlaku (behavior management) dalam kontek pendidikan awal kanak-kanak sebagai proses sosialisasi yang mana guru membantu kanak-kanak mendapatkan keperluannya cara bertanggungjawab cara bersosial. Istilah yang praktikal, pengurusan tingkahlaku pendekatannya boleh dianggap sebagai sains, bentuk seni, permainan. Cuba kita fikirkan semasa kecil ketika ibu bapa dan guru menggunakan pendekatan pengurusan tingkahlaku sebagai sains, bentuk seni dan permainan.

...bersambung.

Wednesday, January 16, 2013

Pandangan Guru Terhadap Pendidikan Pemupukan

Pendidik awal kanak-kanak ada yang berpandangan bahawa pendidikan awal kanak-kanak menerusi pemupukan (nuture) akan memberi kesan yang efektif. Kita akan dapat lihat guru yang berpandangan sedemikian akan membantu kanak-kanak menerusi pelbagai cara supaya kanak-kanak dapat mengikuti pengajaran yang disampaikannya. Contohnya kanak-kanak cuba didedahkan dengan pelbagai kemahiran dan pengetahuan sebanyak mungkin. Kesannya negatif kanak-kanak yang belum bersedia untuk belajar dan datangnya dari latar belakang yang berbeza tidak dapat menyesuaikan keadaan dan harapan guru. Oleh kerana terlalu untuk mendapatkan hasil guru memberi tugasan yang mungkin diluar keupayaan kanak-kanak. Hal ini tidak mendatangkan manfaat kepada kanak-kanak.

Tuesday, January 15, 2013

Keadaan Semulajadi Sebagai Prinsip Pengajaran

Terdapat guru yang berpegang kepada kepercayaan bahawa keupayaan kanak-kanak bergantung kepada baka dan keturunan. Mereka beranggapan bahawa kanak-kanak yang datang dari keluarga yang cerdik dan pandai maka kana-kanak tersebut akan mewarisi baka daripada keluarga tersebut. Cara guru membuat penilaian juga berdasarkan latar keluarga yang diwarisi oleh kanak-kanak. Guru merasakan mudah untuk mengajar kanak-kanak yang sedia cerdik dan hanya memberi sedikit bimbingan dan tunjukajar. Kesannya kanak-kanak yang memerlukan bantuan dan bimbingan pembelajaran akan ketinggalan.

Monday, January 14, 2013

Perkongsian maklumat untuk pembaca.

Memahami Sikap Pendidik Kanak-Kanak

Apabila ibu bapa datang sesekali ke tadika atau taska cuba perhatikan dari jauh sikap dan pandangan pendidik yang mengajar kanak-kanak. Ada yang terus mengarah kanak-kanak dengan suara yang meninggi dan ada pula yang mesra serta interaktif dengan kanak-kanak dan ada pula yang hanya melihat kanak-kanak sambil memberi bimbingan jika diperlukan. Jika diamati terdapat perpesktif pendidik secara tidak disedari menjadi pegangan oleh pendidik tersebut. Terdapat tiga golongan pendidik berpandangan seperti berikut iaitu sikap semulajadi (nature), sikap memupuk (nuture) dan interaktionis.

Sunday, January 13, 2013

Refleksi Pembelajaran Di Separa Bulatan

Guru digalakkan membincangkan sesuatu isu khususnya semasa transisi pembelajaran bersama kanak-kanak. Contohnya selepas aktiviti permainan di luar bangunan kanak-kanak diminta duduk di separa bulatan. Guru boleh membincangkan perkara yang tidak sepatutnya berlaku semasa menjalankan aktiviti seperti tidak mengikut peraturan. Minta kanak-kanak memberi pandangan sekira ada rakan mereka yang tidak mengikut peraturan. Galakkan kanak-kanak memberi pendapat dan guru tidak perlu menunjukkan reaksi marah atau meninggi suara. Kesedaran perlu daripada kanak-kanak itu sendiri. Perbincangana tidak terlalu lama. Jadikan hasil pandangan kanak-kanak sebagai peraturan yang difahami oleh kanak-kanak. Umpamanya peristiwa menyeberang jalan dan apabila kanak-kanak berkata,"Tidak boleh berlari." Guru boleh meminta kanak-kanak lain meminta pandangan sebab tidak boleh berlari semasa di tepi jalan. Mungkin terdapat kanak-kanak mengatakan 'bahaya', ada kereta lalu dan sebagainya. Guru menegaskan pandangan bahawa di tepi jalan raya tidak boleh berlari sesuka hati kerana membahayakan diri dan boleh berlaku kemalangan.

Saturday, January 12, 2013

Perkongsian Pengalaman Di Separa Bulatan

Perkongsian pengalaman bertujuan untuk menggalakkan kanak-kanak berkomunikasi, berkeyakinan diri, mendengar dan menghargai orang lain. Semasa di separa bulatan guru boleh menyuruh kanak-kanak menceritakan secara ringkas pengalamannya semasa ke tadika. Kanak-kanak secara bergilir bercerita pengalamannya walaupun hanya sebaris ayat yang pendek. Kanak-kanak lain diminta mendengar dan bertanya jika berminat. Secara tidak langsung akan menggalakkan kanak-kanak belajar bertutur dan mendengar. Kemahiran bersoaljawab dapat dipupuk secara tidak langsung. Guru perlu memberi galakkan dan dorongkan kepada setiap kanak-kanak. Pujian kerana berjaya menceritakan dan berkongsi pengalaman hendak diberi kepada setiap kanak-kanak.

Friday, January 11, 2013

Aktiviti Separa Bulatan Sebagai Transisi Pembelajaran

Memulakan aktiviti pengajaran di awal pagi menerusi separa bulatan dapat meransangkan minat belajar kanak-kanak. Aktiviti separa bulatan seolah-olah transisi dari rumah ke tadika. Guru tidak perlu tergesa-gesa untuk menyampaikan pengajaran yang dirancang. Kanak-kanak yang belum selesa selepas bangun tidur untuk ke tadika perlu diberi ransangan yang menyeronokkan. Menerusi aktiviti separa bulatan perbualan pagi bermula dengan pengenalan diri menerusi nyanyian, mengingatkan tarikh, hari, bulan dan tahun. Memperkenalkan kalender sangat penting supaya kanak-kanak peka akan pentingnya kalender dan peristiwa yang berlaku pada hari itu. Peistiwa untuk kanak-kanak memadai mengetahui tentang cuaca pada hari tersebut.

Thursday, January 10, 2013

Penyesuaian Diri Di Aktiviti Separa Bulatan

Kanak-kanak pada hari pertama biasa merasa malu dan kekok untuk bermain bersama rakan sebaya. Pendidik digalakkan mengadakan aktiviti menerusi separa bulatan. Mereka akan duduk berdekatan dan bersebelahan dengan rapat. Kanak-kanak juga dapat melihat wajah rakan-rakan mereka. Sekiranya ramai kanak-kanak, separa bulatan hendaklah diperbesarkan bukan dalam keadaan berlapis. Keadaan berlapis tidak digalakkan kerana matlamat separa bulatan untuk memberi peluang kanak-kanak melihat rakan mereka lebih dekat dan mudah untuk pendidik mengawal keadaan kanak-kanak. Jika terdapat kanak-kanak yang malu, galakkan mereka duduk di bulatan yang hampir dengan pendidik. Mulakan dengan memperkenalkan nama masing-masing setiap hari pada minggu pertama. Kedudukan kanak-kanak hendak sentiasa berubah-ubah supaya mereka dapat mengenali rakan bersebelahan yang secara tidak langsung mereka akan mengenali nama semua rakan mereka.

Wednesday, January 9, 2013

Separa Bulatan Sebagai Rutin Aktiviti

Sebelum memulakan sebarang aktiviti adalah digalakkan guru meminta kanak-kanak duduk separa bulatan. Sebaik-baiknya kedudukan aktiviti separa bulatan berada di tengah-tengah kelas atau di tempat atau ruang yang luas supaya semua kanak-kanak tadika dapat duduk menggelilingi guru dalam bentuk separa bulatan. Kedudukan guru hendaklah lebih tinggi daripada murid. Oleh sebab itu guru duduk di atas kerusi dengan tujuan dapat melihat atau dilihat oleh semua kanak-kanak. Kadangkala guru boleh duduk sama di lantai sewaktu separa bulatan. Jadikan separa bulatan sebagai rutin untuk memulakan sebarang aktiviti. Menerusi separa bulatan hubungan sosialisasi kanak-kanak semakin mesra. Kanak-kanak tidak digalakkan duduk setempat atau sebelah menyebelah dengan rakannya sahaja. Kedudukan yang baik bagi kanak-kanak hendaklah digilirkan supaya mereka dapat mengenali rakan sekelasnya.

Tuesday, January 8, 2013

Aktiviti Hari Pertama Di Taska

Hari pertama melangkah kaki ke tadika merupakan hari yang mendebarkan bagi kanak. Guru hendaklah bijak menyesuaikan keadaan di hari pertama. Aktiviti berbentuk sosialisasi amat penting bagi penyesuaian diri kanak-kanak di persekitaran yang baru. Dicadangkan aktiviti berkumpulan lebih sesuai dijalankan. Kanak-kanak duduk di separa bulatan menggelilingi guru untuk memulakan aktiviti. Perbualan secara informal memperkenalkan diri kanak-kanak. Guru hendaklah sentiasa mendorong kanak-kanak bercakap. Bermula dengan menyebut nama diri. Minta kanak-kanak kenal rakan di sebelahnya kemudian minta kanak-kanak menyebut nama rakan di sebelahnya. Guru menyampaikan maklumat dan peraturan mudah dan boleh difahami oleh kanak-kanak. Perkenalkan setiap sudut aktiviti supaya kanak-kanak biasa dengan peralatan yang disediakan. Bawa melawat persekitaran tadika dan maklumkan perkara yang sepatutnya dilakukan pada setiap tempat.

Monday, January 7, 2013

Kemesraan Guru Di Hari Pertama Persekolahan

Kanak-kanak tadika kali pertama melangkah ke sekolah sememangnya tidak sabar-sabar lagi. Sehari sebelum ke tadika mereka bergitu ceria dengan persiapan pakaian, kasut dan bag tadika. Mereka tidak sabar menunggu hari esok. Pastinya apabila bangun pagi mereka tidak sabar menunggu masa untuk ke tadika. Banyak pertanyaan di kemukakan dan ibu bapa melayani kanak-kanak. Malahan terdapat ibu bapa yang agak cemas kerana itulah pertama kali anaknya berada di luar rumah. Ada pula kanak-kanak yang merasa kurang selesa kerana berjauhan dengan ibu bapa atau pengasuh. Kanak-kanak ini perlu mendapat sokongan untuk menguatkan semangat ke tadika. Pihak pengurusan tadika khususnya guru yang mengajar perlu menyambut dengan mesra dan ceria. Wujudkan suasana keceriaan dan kemesraan apabila menyambut kanak-kanak yang baru melangkah ke alam persekolahan yang tidak formal. Pastinya ada gangguan keriuhan kanak-kanak dan guru perlu menghadapi dengan senyuman bukan memberi arahan meninggi suara sehingga membantutkan semangat yang baru berputik pada diri kanak-kanak. Jadikan peristiwa hari pertama di tadika akan menyuburkan semangat kanak-kanak untuk terus berminat ke tadika.

Sunday, January 6, 2013

Kemahiran Kanak-Kanak Menyebut, Mengecam Dan Memahami

Terdapat ibu bapa yang begitu berbangga kerana anaknya telah boleh membaca huruf abjad ketika menyanyi lagu abjad A, B, C. Adakah kanak-kanak sebenar-benarnya boleh membaca? Orang dewasa perlu membezakan kemahiran membaca antara menyebut, mengecam dan memahami. Semasa di taska kanak-kanak selalunya mendengar orang dewasa menyebut menerusi nyanyian lagu abjad. Mereka meniru sebutan dengan betul lantas menyanyikan lagu tersebut tanpa mengetahui simbol huruf abjad. Apabila di tadika guru menunjukkan huruf abjad lalu mereka mengecam huruf abjad tetapi kadangkala mereka sukar untuk memahami sebutan huruf maka mereka cuba mengulangi menerusi nyanyian abjad. Setelah kanak-kanak mahir menyebut, mengecam simbol abjad dan memahami sebutan setiap huruf abjad maka kanak-kanak itu dianggap telah lengkap pengetahuan membaca abjad.

Saturday, January 5, 2013

Membaca Bersama Di Hujung Minggu

Ketika anak-anak yang masih di taska dan tadika semasa hujung minggu (hari kelepasan Sabtu dan Ahad) ibu bapa elok mengajak anak duduk bersama membaca buku. Pilih buku bergambar yang menarik minat kanak-kanak. Kadangkala tidak perlu banyak teks, memadai dengan buku yang penuh dengan ilustrasi. Ibu bapa hendak menyebut setiap huruf dengan jelas dan betul jika buku berkenaan berkenaan abjad. Kadangkala ibu bapa boleh menyelitkan cerita apabila terdapat hanya mengandungi satu objek di setiap halaman. Jika anak bertanya ketika anda sedang membaca suratkhabar perlu dilayani. Terutama tentang perkara yang dilihat pada akhbar. Ceritakan dan tunjukkan perkataan dan huruf pada halaman akhbar. Ini adalah salah satu cara memupuk minat membaca di kalangan kanak-kanak.

Friday, January 4, 2013

Balik Dari Tadika

Menyambut anak pulang dari tadika pada hari pertama sesi pembelajarannya adalah digalakkan kepada ibu bapa atau penjaga. Kanak-kanak biasanya begitu teruja untuk menceritakan pengalamannya sewaktu di tadika. Ibu bapa perlu mendengar perkara yang diceritakan oleh anaknya. Beri galakkan terhadap sesuatu perkara yang positif. Maklumkan kepada anak bahawa dia telah berjaya menghadapi cabaran pembelajaran di tadika.Kata-kata peransang amat penting untuk meningkatkan motivasi kanak-kanak berminat terhadap pembelajaran.

Thursday, January 3, 2013

Menggalakkan Minat Ke Tadika

Ibu bapa terutama anak pertama yang ke tadika merasa cemas kerana anaknya berada di tadika. Peranan ibu bapa dari mula sebelum ke sekolah hendaklah sentiasa membincangkan bahawa keseronokkan belajar di tadika. Beri kata-kata peransang pada hari pertama ke tadika. Anak kecil masih belum dapat membayangkan suasana di tadika. Sampai di tadika cuba beri semangat bahawa ramai rakan dan guru yang akan membantu belajar. Pihak guru juga perlu menyambut dengan kemesraan kepada semua kanak-kanak yang datang. Aktiviti mudah dan menarik perhatian kanak-kanak untuk menyesuaikan suasana baru di alam persekolahan yang tidak formal amat penting. Tumpuan perlu diberi kepada aktiviti sosialisasi.

Wednesday, January 2, 2013

Hari Pertama Ke Tadika

Ramai kanak-kanak yang telah memulakan hari persekolahan di tadika. Berbagai kerenah kanak-kanak semasa di tadika. Mereka yang telah biasa ke taska mungkin tidak menjadi masalah semasa di tadika. Selalunya kanak-kanak tidak sabar untuk datang ke tadika. Mereka ingin mendapat pengalaman baru bersama rakan sebaya. Terdapat ibu bapa menjadi delima kerana pertama kali anaknya berada di luar dari rumah untuk beberapa waktu. Kerisauan keadaan anak menyebabkan ada di kalangan ibu bapa yang menunggu anaknya. Sebenarnya ibu bapa tidak perlu menunggu anak-anak di luar kelas tadika. Kanak-kanak mudah menyesuaikan diri jika dari mula pihak pengurusan tadika memulakan sesi perkenalan dan penyesuaian diri dengan keadaan di tadika. Kanak-kanak hendaklah diberi dorongan untuk menyesuaikan keadaan di tadika. Sebelum ke tadika ibu bapa hendaklah memberi kata-kata peransang menyakinkan diri kanak-kanak. Apabila pulang ibu bapa mengajak kanak-kanak menceritakan pengalamannya semasa di tadika. Beri pujian kepadanya kerana dapat menghadiri sepenuh masa program di tadika. Memberi pujian terhadap tingkahlaku positif semasa di tadika. Kanak-kanak akan terus merasa keseronokkan bila mengalami pengalaman yang menarik semasa di tadika.

Tuesday, January 1, 2013

Selamat Datang Tahun 2013

Tahun 2013 telah datang. Semoga pembaca terus bersama untuk mengikuti catatan perkongsian ilmu yang berkaitan dengan kanak-kanak. Saya akan berusaha berkongsi pandangan dan pengalaman yang telah saya lalui menerusi blog ini. Kerjasama pembaca amat diharapkan untuk meneruskan perkongsiaan pandangan dan pengalaman. Tahun 2013 merupakan cabaran untuk memperkembangkan bidang kanak-kanak kepada skop yang lebih luas lagi. Diharap transformasi perspektif bidang kanak-kanak dari konteks 'pendidikan' kepada 'pengajian' dapat memperluaskan skop kerjaya mereka yang terlibat dalam bidang ini. Pengiktirafan bidang kanak-kanak dapat dilihat menerusi penubuhan 'Faculty of Early Childhood Studies' di UNITAR International University pada bulan Ogos 2012 menjadi university pertama di Malaysia menubuhkan fakulti untuk pengkhususan dalam bidang kanak-kanak. Diharap dengan penubuhan fakulti berkenaan tumpuan kepada bidang kanak-kanak dapat berkembang dengan lebih luas lagi.