Saturday, August 21, 2010

Warisan Perjuang Pendidik Awal Kanak-Kanak

Saya telah melalui sebahagian sejarah pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia. Sewaktu saya sebagai pelajar di Maktab Perguruan Ilmu Khas Kuala Lumpur terdapat pelajar yang mengambil satu kursus pendidikan awal kanak-kanak sebagai sebahagian daripada programnya. Pada masa itu tahun 1970an pendidikan awal kanak-kanak belum berkembang pesat seperti sekarang. Apabila saya mula berkhidmat sebagai pensyarah di Institut Bahasa, Kuala Lumpur saya ditugaskan untuk memberi kuliah kursus pendek 2 minggu kepada guru-guru dalam perkhidmatan dalam bidang prasekolah. Kemudian membina kurikulum untuk kursus 14 minggu dalam perkhidmatan pada tahun 1991, diikuti kursus 1 tahun dalam perkhidmatan dalam bidang prasekoalah (lihat gambar bersama guru-guru yang mengikuti program prasekolah 1 tahun). Bermula dari Institut Bahasa diikuti oleh maktab perguruan yang lain berdasarkan kurikulum yang telah dibina. Pada tahun 1990an juga program diploma prasekolah diperkenalkan di maktab perguruan untuk guru-guru asas. Saya masih ingat hanya satu pengambilan di awal tahun 1990an kemudian terhenti. Dimulakan semula pengambilan sekitar penghujung tahun 1990an.

Saya melihat perkembangan pendidikan awal kanak-kanak semakin berkembang di Kementerian Pelajaran. Bermula dengan kelas prasekolah annex menerusi beberapa buah sekolah rendah terpilih terus berkembang pesat dengan termaktubnya Akta Pendidikan 1996 (Akta 550). Sebelum meninggalkan Institusi Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran sempat mencurah bakti kepada pelajar di Institut Bahasa Melayu Malaysia Kuala Lumpur. Seterusnya saya berhijrah ke Fakulti Pendidikan Universiti Putera Malaysia. Di UPM saya berganding tenaga bersama Dr Puteri Zabariah mengendalikan program pendidikan awal kanak-kanak hanya ditawarkan sebagai elektif sahaja. Kebanyakan pelajar sains rumahtangga yang mengambil kursus ini. Pada tahun 2005 ke Universiti Terbuka Malaysia (OUM) membina program peringkat sarjana muda pendidikan awal kanak-kanak. Program ini khusus untuk guru-guru daripada Kementerian Pelajaran yang belum berijazah. Di OUM saya turut membina program diploma pendidikan awal kanak-kanak bersama Dr Puteri Zabariah setelah beliau meninggalkan UPM.

Pada tahun 2008 saya ke Universiti Tun Abdul Razak memulakan program diploma pendidikan awal kanak-kanak, sarjana muda pendidikan awal kanak-kanak dan sarjana pendidikan awal kanak-kanak. Dr Puteri Zabariah turut meninggalkan OUM dan membantu saya merealisasikan program pendidikan awal kanak-kanak di UNIRAZAK. Program dilaksanakan sepenuh masa dan sambilan untuk mereka yang bekerja. Mungkin hanya sedikit sumbangan yang dapat saya berikan khusus untuk mereka yang berminat dalam bidang ini. Saya cuba memberi laluan akademik kepada mereka yang terlibat dalam bidang ini.

Ada orang yang bertanya kepada saya,"Mengapa anda meneruskan khidmat di Institusi Pendidikan Swasta (IPTS) selepas bersara?". Jawapan saya yang ikhlas,"Saya bermula dengan kegagalan akademik. Saya ingin berkongsi pengalaman dengan mereka yang gagal dan ingin meneruskan cita-cita. Berlian hanya sebagai batu jika tidak digilap dan dicanai." Semoga mereka yang pernah bersama saya akan menjadi warisan (legacy) yang cemerlang dalam bidang awal kanak-kanak.

Berburu ke padang datar,
Dapat rusa berbelang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.

3 comments:

  1. Salam Dr Bustam,

    Saya bangga kerana masih ada insan seperti Dr yang terus berjuang untuk dunia kanak-kanak.

    Semoga ramai lagi yang akan terus dalam bidang ini dan menjadi profesional yang baik.

    Saya secara peribadi hanya terlibat dalam sebahagiannya sahaja, tidak menyeluruh untuk "early childhood education". Tetapi, semoga dengan usaha yang sedikit dari ramai orang, ia akan menberikan hasil yang terbaik juga.

    Salam perjuangan untuk semua diluar sana!

    ReplyDelete
  2. Apabila saya menerokai bidang ini di peringkat awal ramai teman mentertawakannya kerana pada masa itu laluan kerjayanya tidak jelas. Tanggungjawab saya adalah untuk menyebar luaskan laluan akademik yang tidak secara langsung mendidik masyarakat bahawa bidang ini ada kerjaya masa depan. Sekurang-kurangnya melahir lebih ramai legasi pendidik bidang ini yang terdidik. Terima kasih sokongan dan dorongan anda semua.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum prof..saya nak tanya berkenaan PAKK.

    antara banyak universiti yg offer kursus nie, universiti mana yg prof galakkan?

    ReplyDelete