Sunday, August 8, 2010

Menempuh Ranjau Bidang Kanak-Kanak

Ramai yang bertanya kepada saya, bagaimanakah anda terfikir untuk menceburi bidang kanak-kanak? Bermula dengan suka-suka dan kebetulan mendapat peluang untuk terlibat dengan kanak-kanak secara langsung di Pustaka Bimbingan Kanak-Kanak, Kuala Lumpur. Sebenarnya saya telah mencuba berbagai bidang sewaktu remaja tetapi terlalu banyak tandingannya. Apabila saya dipelawa bergiat dengan perpustakaan kanak-kanak terus mencuba dan nampaknya serasi. Saya terus menanam tekad untuk terus mempelopori bidang ini yang dianggap tidak glamour pada masa itu dan berbagai rintangannya. Biarpun agak pelik saya berkeyakinan dengan bidang ini dan bercita-cita menjadi peneraju dan pelopor. Memang ramai rakan-rakan mentertawakannya impian saya dalam bidang kanak-kanak sebagai pilihan kerjaya.

Ketiadaan Mohd Yusof kerana bekerja di Yayasan Sabah maka saya cuba mengisi ruang aktiviti di perpustakaan kanak di Jalan Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur (sekarang mejadi tapak Institut Jantung Negara). Saya bersama Sudiro, Rahim, Othman dan Adam menamakan kumpulan teater boneka ABROS sempena nama kami. Apabila Mohd Yusof kembali ke Kuala Lumpur legasi Teater ABROS diteruskan kerana kumpulan ini sedia dikenali pada masa itu.

Selain daripada bermain boneka untuk kanak-kanak, saya meluangkan masa untuk aktiviti melukis di perpustakaan pada setiap hari Sabtu dan Ahad. Waktu itu sememangnya tidak mengira ganjaran sebaliknya saya seronok dengan sumbangan kepada kanak-kanak. Seingat saya ramai kanak-kanak yang datang ke perpustakaan dihantar oleh ibu bapa untuk mengikuti kelas melukis dan kraft. Biasanya selepas aktiviti melukis kanak-kanak akan meminjam buku dan mendengar cerita (rujuk keratan akhbar The Malay Mail, Wednesday, December 21, 1983). Saya akan memilih sebuah buku dan bercerita. Aktiviti selanjutnya melukis berdasarkan cerita yang didengar bertujuan untuk menggalakkan kanak-kanak membaca. Ternyata buku yang dibacakan atau aktiviti mendengar cerita berdasarkan sebelum aktiviti melukis akan menjadi tumpuan untuk dipinjam.

2 comments:

  1. keratan akhbar ni dah lama sangat. saya belum lahir lagi =)

    ReplyDelete
  2. Bukti perjuangan dan sumbangan kepada dunia kanak-kanak yang masih disimpan untuk tatapan generasi baru. Terima kasih kerana mengikuti perkembangan bidang kanak-kanak. Diharap anda meneruskan perjuangan ini.

    ReplyDelete