Tuesday, June 1, 2010

Terminologi Pendidikan Awal Kanak-Kanak

Mereka yang terlibat dengan bidang pendidikan awal kanak-kanak perlu jelas dan memahami istilah dan definisi pendidikan awal kanak-kanak. Mereka perlu mempunyai pengetahuan dan sekata dalam menggunakan teminologi. Mengikut definisi yang digunakan oleh National Association for the Education of Young Children (NAEYC) dan bagi kebanyakan profesional pendidik kanak-kanak bersependapat bahawa awal kanak-kanak merujuk kepada kanak-kanak dari lahir sehingga 8 tahun.

Pendidikan awal kanak merangkumi perkhidmatan yang disediakan dalam latar tempat pendidikan kanak-kanak atau premis. Lumrahnya pendidik kanak-kanak menggunakan istilah awal kanak-kanak (early childhood) dan pendidikan awal kanak-kanak (early childhood education). Pada kebiasaannya istilah pendidikan awal kanak-kanak lebih kerap digunakan dan difahami.

Begitu juga dengan istilah taman asuhan (Nursery) dan prasekolah (preschool). Taman asuhan adalah program pendidikan untuk kanak-kanak berusia 2, 3 dan 4 tahun. Manakala presekolah umumnya program pendidikan untuk kanak-kanak sebelum memasuki kindergarten. Biasanya kanak-kanak di preschool lingkungan umur 4 dan 5 tahun. Pada umur 5 dan 6 tahun kanak-kanak berada di Kindergarten. Di Malaysia prasekolah merujuk untuk kanak-kanak berusia 6 tahun.

Berlaku kecelaruan istilah dalam pendidikan awal kanak-kanak dari segi institusi kanak-kanak jika dibandingkan luar negara dengan Malaysia. Kecelaruan peristilahan ini timbul mungkin di peringkat awal mereka yang terlibat untuk membina istilah bukan terdiri daripada pakar bidang. Masalah yang serupa timbul dalam mencari istilah untuk menamakan peringkat kanak-kanak. Contohnya infant (bayi), toddler (tatih), preschooler ( ?), kindergartner (?). Bagi istilah preschooler dan kindergartner masih belum dapat dicari istilah yang tepat. Biasanya akan dirujuk kepada akta yang akan dibincang selanjutnya. Begitu juga dengan masalah peristilahan institusi kanak-kanak seperti yang diberikan di bawah ini.

USA
Nursery School (4 tahun ke bawah)
Preschool (4 dan 5 tahun persediaan ke Kindergarten)
Kindergarten (6 tahun)

Malaysia
Taska (4 tahun ke bawah)
Tadika ( 4 tahun ke atas)

Jika dibuat perbandingan peristilahan di Malaysia berlaku kelompangan bagi kanak-kanak berumur antara 4 dan 5 tahun. Oleh kerana pembahagian dirujuk dengan akta iaitu kanak-kanak di bawah 4 tahun tertakluk Akta Taman Asuhan 1984 (308) dan kanak-kanak di bawah 6 tahun tertakluk Akta Pendidikan 1996 (550). Biar apa jenama taska dan tadika adalah tertakluk mengikut akta dan peraturan.

5 comments:

  1. Prof,

    mungkin di Malaysia, 'preschool' diterjemahkan terus jadi prasekolah, ini kerana 'pra' maksudnya 'sebelum atau awalan' jadi prasekolah diertikan sebelum masuk sekolah yg lebih formal iaitu sebelum thn 1. Di Malaysia juga 'kindergaten' diterjemahkan sebagai Tadika, sedangkan erti sebenarnya 'sekolah untuk kanak-kanak yg muda'. Pd pandangan saya penterjemahan spt inilah yg mungkin wujud salah faham istilah di Malaysia. Apa pendapat Prof?

    ReplyDelete
  2. Masalahnya penterjemah tidak merujuk kepada mereka yang pakar dalam bidang supaya tidak lari daripada sasaran bidang keilmuan.Adalah menjadi kejanggalan apabila kita menggunakan istilah yang tidak seragam mengikut peringkat usia.Sejujurnya saya hanya melihat dari segi akademiknya harap tidak disalah tafsir.

    ReplyDelete
  3. Salam.

    Dr, hanya sedikit perkongsian.

    Adakala terma-terma ini digunapakai dalam konteks 'marketing' untuk memudahkan pemahaman pihak peringkat awam.

    Secara peribadi, saya sering menerangkan penerangan yang berbeza untuk ibu bapa, guru dan juga pengusaha.

    Bagi ibu bapa terma yang mudah difahami akan digunakan. Apabila membuat penerangan pada guru, terma yang lebih spesifik akan digunakan. Manakala bagi pengusaha, kesemuanya akan diterangkan.

    Itu adalah antara sebab ramai yang tidak kembali pada saya setelah saya memberi penerangan.
    RAMAI YANG TAK FAHAM DAN TAKUT.

    Mungkin pendekatan saya salah. Tapi, agak memenatkan sekiranya kita menerangkan kepada mereka (yang tidak faham) dalam bentuk akademik.

    ReplyDelete
  4. Tiada kesalah jika ingin menerangkan dengan menggunakan bahasa yang mudah kepada khalayak yang naif dan menyulitkan pemahaman jika diterangkan menggunakan terminologi akademik. Sekadar memberitahu tahap usia tidak menjadi masalah.Apa yang penting anda berjaya memberi kefahaman. Apabila mereka ingin mengetahui lebih lanjut terangkan secara sebaik mungkin untuk peneguhan kefahamannya.Tahniah dan teruskan usaha anda.Terima kasih mengongsikan pengalaman.

    ReplyDelete
  5. Tidak menjadi kesalahan untuk memberi penerangan dengan menggunakan bahasa yang mudah. Tahniah kerana anda berjaya memberi kefahaman kepada masyarakat terhadap bidang pendidikan awal kanak-kanak. Terima kasih berkongsi pengalaman bersama saya dan warga blog ini. Teruskan berkongsi pengalaman dan pandangan.

    ReplyDelete