Sunday, March 31, 2013

Cara Positif Meningkatkan Keyakinan Diri (2)

Menghargai dan memuji dengan jujur merupakan salah satu cara memberi ganjaran kepada kanak-kanak. Penghargaan juga merupakan salah satu cara untuk mengukuhkan keyakinan diri kanak-kanak. Penghargaan yang diberikan kepada kanak-kanak mestilah terbit dari hati yang jujur oleh orang dewasa atau guru. Jika keterlaluan dan berlaku kekerapan memuji dan menghargai kanak-kanak akan menjadi tidak bermakna sama sekali. Walau bagaimana pun setiap pujian dan penghargaan hendaklah bersesuaian dengan masa dan tempat. Penghargaan dan pujian juga patut diberi kepada daya usaha kanak-kanak bukan sahaja kepada kejayaan yang dicapai oleh kanak-kanak. Mereka memerlukan galakkan dan dorongan daripada orang dewasa. Guru boleh berkata,"Saya lihat kamu bersungguh-sungguh," atau "Saya berbangga dengan kamu; anda benar-benar mencuba," atau "Perlu mengambil masa untuk mempelajari. Suatu masa nanti kamu akan mengetahuinya."

Saturday, March 30, 2013

Cara Positif Meningkatkan Keyakinan Diri (1)

Salah satu cara yang berkesan untuk meningkatkan keyakinan diri kanak-kanak adalah secara positif memandang atau menghargai kanak-kanak tanpa meletakkan sebarang harapan. Menerima kanak-kanak seadanya tanpa memberi tahap yang diharapkan oleh guru. Menghargai kanak-kanak terhadap keupayaan yang ada pada dirinya dan menjadikan kanak-kanak peka dirinya dihargai oleh guru yang mempercayai keupayaan dirinya bahawa akan membina perkembangan peribadi mengikut cara yang betul sesuai dengan keupayaan dirinya.

Friday, March 29, 2013

Amalan Biasa Mengurangkan Perasaan Rendah Diri (3)

Memberi penilaian kanak-kanak dari apa yang didengar mereka.Kanak-kanak selalunya membina idea apa yang didengar menerusi orang lain yang memperkatakan terhadap dirinya. Kadangkala perkara ini berlaku dalam bentuk secara tidak langsung apabila guru tidak sabar terus berkata,"Datang ke sini sekarang! Awak ini terlalu lambat," atau "Awak ini terlalu tamak? Maka kanak-kanak lain akan cepat mengatakan kanak-kanak yang ditegur guru,"Awak jalan macam kura-kura!" Keadaan ini boleh menjadikan kanak-kanak merasa imej kendiri yang negatif dan merasakan dirinya tidak penting.

Thursday, March 28, 2013

Amalan Biasa Mengurangkan Perasaan Rendah Diri (2)

Membantu dan mengawal kanak-kanak secara keterlaluan atau berlebihan dilakukan oleh guru secara tidak sengaja akan merendahkan keyakinan diri kanak-kanak. Contohnya guru menyusun kasut dan membetulkan susunan peralatan yang telah digunakan oleh kanak-kanak semasa kanak-kanak berehat atau melakukan aktiviti lain. Pada pandangan guru mungkin dapat menyelesaikan masalah dan menjimatkan masa untuk mengemas supaya teratur. Selain itu membolehkan guru sentiasa sibuk. Walau bagaimana pun adalah lebih baik kanak-kanak diberi peluang melakukannya untuk diri sendiri secara tidak langsung kanak-kanak mendapat pengalaman untuk berdikari.

Wednesday, March 27, 2013

Amalan Biasa Mengurangkan Perasaan Rendah Diri(1)

Sambungan...  Cara yang lebih sesuai digunakan dalam perbandingan dan pertandingan dengan mengaitkan kanak-kanak berdasarkan prestasinya pada masa lalu. Cara ini lebih merupakan sumber sebenar kepuasan kepada kanak-kanak apabila guru memberitahu,"Bagusnya, Marzuki, awak belajar semakin baik setiap hari apabila kamu mencuba setiap kali!" atau, "Ingat cara kamu mengigit orang lain? Kamu sudah lama tidak buat lagi. Saya berbangga dengan kamu!"

Tuesday, March 26, 2013

Amalan Biasa Mengurangkan Perasaan Rendah Diri(1)

Sambungan... Menggunakan perbandingan dan pertandingan untuk motivasikan tingkahlaku yang baik.Masalah akan timbul menggunakan pertandingan dan menentukan dengan cara perbandingan hanya sedikit sahaja kanak-kanak yang 'menang' di bawah sistem ini. Walau pun kanak boleh berubah menjadi yang 'terbaik' dan meningkatkan perasaan keyakinan diri tetapi cara yang diperolehi menerusi harga diri daripada kanak-kanak lain yang terlibat dalam pertandingan menerusi situasi yang guru adakan.

Bersambung...

Monday, March 25, 2013

Amalan Biasa Mengurangkan Perasaan Rendah Diri(1)

Menggunakan perbandingan dan pertandingan untuk motivasikan tingkahlaku yang baik. Pertandingan mencapai tahap tertinggi apabila kanak-kanak mencapai usia sekitar 4 hingga 5 tahun dan semakin mudah guru menggunakan fakta ini untuk mendapatkan hasil yang cepat dengan bertanya," Saya ingin lihat siapakah yang cepat memakai kasut hari ini?" atau dengan memberi komen, "Tengok bagaimana Zihan meletakkan bongkah dengan cermat? "Mengapa kamu tidak buat macam itu?"

Bersambung...

Sunday, March 24, 2013

Sumber Keyakinan Diri

Walau pun individu perlu membina sumber dalaman untuk meningkatkan keyakinan diri, di peringkat awal perkembangan keyakinan diri kanak-kanak datangnya daripada orang di sekelilingnya. Ibu bapa merupakan orang yang terdekat dan paling signifikan mempengaruhi keyakinan diri kanak-kanak. Apabila kanak-kanak melangkah ke alam yang lebih luas, orang dewasa lain seperti guru menjadi semakin penting dalam memupuk keyakinan diri. Selain daripada itu rakan sebaya tidak kurang pentingnya dalam membina perkembangan perasaan keyakinan diri kanak-kanak.

Saturday, March 23, 2013

Hubungan Keyakinan Diri Dan Konsep Kendiri

Keyakinan diri (Self-esteem) dan konsep kendiri (self-concept) sangat berkait rapat. Konsep kendiri merujuk kepada idea individu terhadap dirinya sendiri. Perasaan keyakinan diri hasil daripada tindakbalas kepada perkara yang dilihat terhadap perlakuan dirinya sama ada diterima atau ditolak. Kebanyakan yang diterima oleh rakan sebaya dan boleh menyesuaikan diri dengan guru melihat dirinya diterima dan merasakan selesa. Manakala ramaja perempuan yang lebih berat badan menhadapi kesukaran pergerakannya dan tidak ramai kawan sentiasa berfikiran tentang dirinya yang tidak digemari rakan menyebabkan kesan keyakinan diri yang rendah.

Friday, March 22, 2013

Cara Yang Sesuai Menangani Tingkahlaku Agresif (5)

Sambungan (5)....Menyediakan peluang lain sebagai ganti yang boleh diterima oleh kanak-kanak bertingkahlaku agresif.Antaranya adalah seperti berikut:
  1. Umumnya sebarang bentuk aktiviti motor kasar yang tidak kawal ketat adalah terbaik.
  2. Menyediakan pelbagai aktiviti menggunakan tangan yang bersesuaian secara agresif perlu diberikan.
  3. Keadaan bising adalah baik untuk meluahkan perasaan agresif.
  4. Cara terbaik untuk menenangkan kanak-kanak adalah bermain dengan air.

Thursday, March 21, 2013

Cara Yang Sesuai Menangani Tingkahlaku Agresif (5)...bersambung

Menyediakan peluang lain sebagai ganti yang boleh diterima oleh kanak-kanak bertingkahlaku agresif. Aktiviti lain yang secara sosialnya boleh diganti untuk menenangkan tingkahlaku kanak-kanak agresif dan berpuas hati dengan aktiviti gantian sekurang-kurangnya dapat meredakan tingkahlaku agresif. Aktiviti ini hendaklah diberikan sebelum perasaan dan tingkahlaku agresif berlaku secara mendadak. Adalah lebih baik menyediakan sebanyak mungkin aktiviti tambahan sebagai ganti sesuai dengan keperluan kanak-kanak. Apabila menawarkan aktiviti pengalaman tambahan, seboleh-bolehnya terdapat kebebasan pilihan, menyediakan banyak peralatan, ruang masa yang banyak dan sedikit kawalan yang boleh dipertimbangkan.

Bersambung...

Wednesday, March 20, 2013

Cara Yang Sesuai Menangani Tingkahlaku Agresif (4)

Seboleh-bolehnya kurangkan rasa kekecewaan kanak-kanak. Kekecewaan biasanya berlaku apabila permintaan kanak-kanak terhadap sesuatu tidak diperolehinya. Mungkin guru tidak memberi perhatian sewaktu kanak-kanak meminta. Mengalihkan rasa kekecewaan kanak-kanak sememangnya boleh dilakukan. Salah satu cara yang berkesan mendidik kanak-kanak belajar menerima. Sekiranya di sudut permainan perlu diadakan alat mainan yang mencukupi untuk digunakan semua kanak-kanak. Selain itu mengadakan peraturan yang seminima mungkin. Jika terlalu banyak peraturan yang tidak wajar menyebabkan kanak-kanak merasa terkongkong sehingga menghadkan aktiviti yang sepatutnya boleh dilakukan. Sebagai contoh kanak-kanak tidak dibenarkan berlari di taman permainan.

Tuesday, March 19, 2013

Cara Yang Sesuai Menangani Tingkahlaku Agresif (3)

Memberi pertimbangan atau kelonggaran terhadap peraturan yang dilaksanakan. Sebenarnya melaksanakan peraturan perlu tetap dan tegas merupakan cara terbaik untuk mendisiplinkan kanak-kanak. Walau bagaimana pun terdapat kanak-kanak yang memerlukan masa untuk menyesuaikan keadaan tertentu. Contohnya terdapat kanak-kanak yang pemalu dan tiba-tiba cuba menunjukkan tingkahlaku agresif untuk meluahkan perasaan dari kepompong yang terpendam dalam dirinya. Langkah ini adalah baik bagi kanak-kanak meluahkan perasaan yang terpendam sebagai langkah pertama dan belajar mengawal perasaan kemudiannya. Guru secara mudah boleh menggunakan budi bicara dan pengetahuannya untuk memberi pertimbangan kepada kanak-kanak.

Monday, March 18, 2013

Tahniah Kepada Calon STPM


Cara Yang Sesuai Menangani Tingkahlaku Agresif (2)

Manfaatkan kawalan secara arahan apabila perlu dan mendidik kanak-kanak untuk mencari cara alternatif memenuhi keperluannya. Arahan berbentuk kawalan merupakan cara yang berkesan untuk menangani masalah tingkahlaku agresif. Kadangkala kanak-kanak berhenti terus daripada mencederakan orang lain atau memusnahkan harta benda seperti alat mainan. Sangat penting guru mengambil langkah awal sebelum kanak-kanak berpengalaman untuk merampas apa yang dia mahu atau mencederakan orang lain. Guru hendaklah dengan tenang mendampingi kanak-kanak untuk melakukan tindakan sebelum kanak-kanak meningkat kemarahannya. Guru cuba menunjukkan model dirinya sebagai orang yang tenang mengawal diri sendiri kepada kanak-kanak untuk dijadikan model atau ditiru oleh kanak-kanak. 

Apabila kanak-kanak telah menerima, berikan alasan mengapa tingkahlaku agresif tidak boleh diterima.Contohnya,"Saya tahu kamu masih mahu runtuhkan bongkah apabila rakan kamu tidak membenarkan kamu bermain sama." Selepas menangani perasaannya langkah berikut nyatakan sebab tindakan agresif tidak boleh diterima. Adalah lebih baik kanak-kanak sendiri cuba menyatakannya jika boleh. "Bagimana peraturan bermain bongkah?" Apabila kanak-kanak tidak dapat menyatakan guru boleh memandu seperti berikut,"Ingat peraturan main bongkah? Orang yang mulu-mula dapat bermain boleh meneruskan sehingga dia selesai." Atau "Awak boleh robohkan bongkah yang awak bina sendiri, tetapi tidak boleh merobohkan bongkah yang orang lain bina, melainkan jika mereka benarkan merobohkan bongkah yang mereka bina."

Sunday, March 17, 2013

Cara Yang Sesuai Menangani Tingkahlaku Agresif (1)

Kaji disebalik penyebab agresi dan selesaikannya sebaik mungkin. Guru boleh mengenalpasti terhadap tingkahlaku kanak-kanak yang memungkinkan menunjukkan percubaan bertindak agresif. Pengaruh tahap perkembangan dan ketahanan diri kanak-kanak yang berbeza antara faktor tingkahlaku agresif. Terdapat kanak-kanak yang boleh menahan sabar dan ada pula kanak-kanak yang tidak dapat membendung perasaan kekecewaan lalu diluahkan menerusi tindakan yang agresif. Apabila guru dapat melihat riaksi awal tanda-tanda tingkahlaku yang membawa keadaan agresif maka cepat-cepat diredakan supaya tidak berterusan.

Saturday, March 16, 2013

Cara Yang Tidak Sesuai Menangani Tingkahlaku Agresif (3)

Cara ke tiga yang tidak sesuai untuk menangani kanak-kanak yang bertingkahlaku agresif apabila terdapat guru bersikap tidak konsisten atau tidak dan sentiasa berubah-ubah tindakannya. Guru yang bersikap tidak konsisten mungkin teragak-agak tentang cara untuk mengawal kanak-kanak atau tidak pasti yang mana betul dan salah untuk mengawal kanak-kanak. Keadaan ini menyebabkan kadangkala guru bertegas dan berlembut dengan peraturan. Kanak-kanak mudah memahami sikap guru dan secara tidak langsung boleh menguji ketegasan guru apabila meminta sesuatu."Kalau cikgu tidak beri saya main saya menangis kuat-kuat!!!" teriak kanak-kanak mengugut guru sehinggakan guru tersebut berlembut dan mengalah.

Friday, March 15, 2013

Cara Yang Tidak Sesuai Menangani Tingkahlaku Agresif (2)

Guru yang terlalu terbuka dengan memberi kebenaran apa sahaja yang dilakukan oleh kanak-kanak. Guru seperti ini merasa kanak-kanak boleh berbuat apa sahaja tanpa larangan dan halangan. Guru ini sebenarnya keliru tentang memberi kebebasan dan keizinan terhad. Malah guru seperti ini gagal untuk melihat kebebasan sebenar yang sesuai untuk kanak-kanak menyebab guru ini membenarkan kanak-kanak melakukan apa sahaja asalkan tidak mengganggu hak dan kebebasan orang lain. Kesannya kanak-kanak hilang kawalan diri dan membuat perkara sesuka hati dan tidak berdisiplin serta bertingkahlaku agresif.

Thursday, March 14, 2013

Cara Yang Tidak Sesuai Menangani Tingkahlaku Agresif (1)

Guru yang tegas menunjukkan kuasa dengan mengawal disiplin. Guru ini juga bertindak balas terhadap kanak-kanak yang berkelakuan agresif dengan secara agresif juga untuk menunjukkan kuasa. Guru seperti ini akan mengawal dengan tegas untuk mengatasi masalah tingkahlaku agresif. Banyak peraturan yang dirasakan selesa pada guru. "Jangan berlari!", "Jangan buat bising!", "Duduk diam!", "Berbaris!", "Senyap!" banyak lagi kata-kata arahan. Dendaan digunakan oleh guru seperti ini untuk mengatasi masalah tingkahlaku agresif kanak-kanak.

Wednesday, March 13, 2013

Agresif: Apakah yang perlu dilakukan?

Tingkahlaku agresif bermaksud tindakan yang disengajakan untuk menyebabkan kecederaan atau melukakan orang lain termasuklah memukul, menendang, memusnahkan harta benda, bergaduh, menentang orang lain menggunakan kata-kata. Di taska dan tadika kandangkala terdapat kanak-kanak yang berkelakuan merosakkan alat mainan, bermain sebagai harimau sepanjang masa atau gergasi dan apabila menganas cuba mencederakan kanak-kanak lain dengan merosakkan apa yang telah dibuat oleh kanak-kanak lain, mengajuk atau mencederakan fizikal. Tindakan guru cuba mendisiplinkan tingkahlaku kanak-kanak yang bertindak agresif.

Tuesday, March 12, 2013

Jika Kanak-Kanak Berterusan Bermasalah Tingkahlaku (4)

Adalah sangat penting untuk bersama kanak-kanak dan membantu kanak-kanak mencapai kejayaan apabila dia telah melakukan semula tingkahlaku yang baik. Secara tidak langsung kanak-kanak mengalami pengalaman yang diterima untuk tidak melakukan tingkahlaku tidak diterima. Keadaan ini mengambil masa beberapa minit dan pastikan kanak-kanak berminat untuk melakukan tingkahlaku yang diterima. Jangan lupa memberi penghargaan kepada kanak-kanak apabila dia telah menyelesaikan masalah tingkahlakunya, mungkin dengan menyatakan,"Sekarang kamu telah melakukan perkara yang betul. Saya berbangga dengan sikap kamu!"

Monday, March 11, 2013

Jika Kanak-Kanak Berterusan Bermasalah Tingkahlaku (3)

Menunggu kanak-kanak membuat keputusan bersedia untuk berkelakuan baik merupakan salah satu cara mengatasi masalah tingkahlaku kanak-kanak. Guru selalunya berkata seolah-olah memberi arahan seperti, "Kamu duduk sini sehingga sehingga selesai aktiviti main pasir." Arahan ini seperti meletakkan tanggungjawab kepada tingkahlaku kanak-kanak mengatasinya sendiri. Adalah lebih baik jika guru berkata,"Sekarang beritahu cikgu bila kamu boleh mengawal diri dan saya akan benarkan kamu bermain semula dengan rakan kamu," atau lebih khusus lagi,"Apabila kamu tidak melempar pasir, beritahu saya dan kamu boleh main semula." Terdapat kanak-kanak yang boleh mengatakan dirinya bersedia tetapi ada di kalangan kanak-kanak memerlukan bantuan daripada guru yang boleh menanyakan mereka apabila telah bersedia. "Adakah kamu bersedia untuk bermain semula?" (Kanak-kanak akan mengangguk atau hanya memandang guru menunjukkan dia telah bersedia). "Bagus, saya lihat mata kamu memberitahu telah bersedia," atau pun "Saya lihat kamu mengangguk. Apa yang kamu hendak buat untuk berseronok main di sana?"

Sunday, March 10, 2013

Jika Kanak-Kanak Berterusan Bermasalah Tingkahlaku (2)

Jika kanak-kanak sudah ditegur tetapi terus melakukan perkara yang tidak dibenarkan, bertindak secara berlembut. Alihkan kanak-kanak dan minta duduk bersebelahan dengan guru, beritahu bahawa dia telah hilang keistimewaan untuk bermain pasir. Tindakan ini lebih bermakna daripada membiarkan kanak-kanak beredar. Meletakkan kanak-kanak duduk di samping guru boleh menggagalkan apa yang ingin dilakukan oleh kanak-kanak seterusnya beransur-ansur meredakan urutan tindakan kanak-kanak dan menghalang aktiviti lain yang ingin dilakukannya.

Saturday, March 9, 2013

Jika Kanak-Kanak Berterusan Bermasalah Tingkahlaku (1)

Apakah yang anda perlu lakukan jika kanak-kanak masih berterusan menunjukkan tingakahlaku bermasalah? Berikan amaran kepada kanak-kanak. Arah ke tempat lain perhatian kanak-kanak jika dia mahu menerima. Sebagai contoh, anda memberi amaran kepada kanak-kanak yang berterusan melempar pasir, dia akan kehilangan keistemewaan untuk terus bermain di petak main pasir; kemudian cadangkan beberapa benda (penyoduk, cangkul) yang menarik yang boleh dilakukan di tempat main pasir selain daripada melempar pasir. Adalah penting untuk membuat kanak-kanak memahami tingkahlakunya bergantung pada dirinya sendiri. Semua itu adalah pilihannya; tetapi jika dia memilih untuk meneruskan melempar pasir, anda perlu meneruskan apa yang telah diberi amaran sebelumnya.

Friday, March 8, 2013

Masalah TingkahLaku Kanak-Kanak Berterusan

Apakah yang perlu dilakukan sekiranya masalah tingkahlaku kanak-kanak berterusan? Oleh kerana kanak-kanak berterusan melempar pasir atau merampas mainan daripada kanak-kanak lain maka dengan mudah guru cuba mengalihkan perhatian dengan mengarahkan kanak-kanak kepada aktiviti lain. Sepatutnya guru perlu mengetahui apa yang patut dilakukan apabila kanak-kanak tingkahlaku kanak-kanak bermasalah. Terdapat empat langkah dalam mendisiplinkannya:
  1. Amaran kepada kanak-kanak
  2. Memisahkan kanak-kanak
  3. Menunggu kanak-kanak untuk membuat keputusan apabila dia bersedia untuk kembali
  4. membantu kanak-kanak kembali dan menjadi lebih berjaya

Thursday, March 7, 2013

Sesuaikan Dendaan Dengan Kesalahan

Elakkan mendenda yang tidak sesuai dengan kesalahan yang dilakukan. Guru atau orang dewasa tidak sepatutnya mendenda kanak-kanak seperti merotan, meletakkan kanak-kanak ke dalam almari atau tidak memberi makanan sewaktu rehat kerana tidak bertingkahlaku yang baik. Dendaan dibenarkan jika bersesuaian. Dendaan ini hanya untuk memberi kanak-kanak pengalaman sebenar kesan daripada tingkahlakunya. Contohnya jika kanak-kanak menolak tidak mahu bersarapan dia akan terlepas semua makanan yang sepatutnya diperolehi waktu itu; kanak-kanak yang bertindak kasar dengan mengoyakkan halam buku diarahkan membaik pulih buku yang terkoyak dengan diperhatikan guru; kanak-kanak yang menyepahkan bongkah mainan dikehendaki mengemas dan meletakkan semula di tempat yang sepatutnya. Kanak-kanak akan melihat sendiri dendaan yang dikenakan adalah sesuai dengan kesalahan yang dilakukannya dan menghargai pengadilan akibat kesan tingkahlakunya.

Wednesday, March 6, 2013

Bersikap Adil Menangani Perbalahan Kanak-Kanak

Sebenarnya mudah untuk menangani masalah tingkahlaku seorang kanak-kanak, tetapi apabila melibatkan lebih daripada dua orang kanak-kanak peranan guru sebagai orang tengah menjadi agak sukar. Guru tidak boleh membuat pertimbangan berat sebelah atau memihak kepada sebelah pihak sahaja. Apabila melibatkan dua orang kanak-kanak adalah suatu peluang kepada guru untuk membina kemahiran sosial kanak-kanak. Guru meminta kanak-kanak bercakap dan memberitahu satu sama lain apa yang mereka mahukan dan menyatakan perasaannya. Guru juga perlu menghindarkan diri daripada terperangkap untuk membuat pengadilan kepada situasi yang tidak dilihat.

Tuesday, March 5, 2013

Kawal Emosi Diri

Guru perlu mengawal emosi dirinya untuk dijadikan model kepada kanak-kanak. Segala tingkahlaku guru menjadi perhatian kepada kanak-kanak untuk dijadikan sebagai contoh. Guru perlu mengawal perasaan marah supaya perbuatannya menjadi model kepada kanak-kanak yang sememangnya suka meniru tingkahlaku guru. Kemarahan yang ditunjukkan oleh guru akan menakutkan kanak-kanak. Apabila melakukan tindakan disiplin bukan sahaja melibatkan guru dan kanak-kanak yang terlibat tetapi juga turut melibatkan setiap kanak-kanak di dalam kelas. Kanak-kanak akan memerhatikan perkara yang sedang berlaku dan akan membuat kesimpulan daripada peristiwa tersebut. Lebih elok jika guru mengajak kanak-kanak membincangkan perkara yang berlaku kepada beberapa orang kanak-kanak untuk membantu perasaan mereka merasai perbuatannya dan menjelaskan apa yang telah mereka pelajari daripada kesedaran yang telah dibincangkan bersama.

Monday, March 4, 2013

Ambil Tindakan Awal Sebelum Berlaku Tingkahlaku Bermasalah

Lumrahnya guru selalu menunggu dan melihat dahulu sehingga keadaan berlaku dari keadaan buruk sehingga mencetuskan keadaan yang lebih teruk barulah guru mengambil tindakan. Jika sesuatu perkara yang tidak diingini berlaku sepatutnya guru terlebih dahulu mengambil tindakan meredakan keadaan daripada menunggu sehingga berlakunya keadaan yang tidak dapat dikawal. Contohnya jika melihat dua orang kanak-kanak sedang cuba berebut alat mainan, guru cepat-cepat mencampuri urusan tersebut dan menenangkan keadaan. Secara rasional guru memberikan keputusan supaya kanak-kanak merasa berpuas hati dan meneruskan aktiviti permainan.

Sunday, March 3, 2013

Bilakah Guru Melaksanakan Dan Mengawal Tingkahlaku Negatif?

Guru yang tidak berpengalaman tidak pasti waktu yang sesuai untuk menangani tingkahlaku negatif dan membiarkan untuk menyelesaikan masalahnya di kalangan kanak-kanak. Peraturan menetapkan kanak-kanak tidak dibenarkan mencederakan rakannya atau merosakan harta benda. Peraturan ini perlu dijelaskan kepada kanak-kanak dan guru sentiasa perlu mengingatkannya. Guru perlu sentiasa peka dengan keadaan kanak-kanak dan bertindak untuk mengatasi sebelum berlaku sesuatu yang tidak diingini. Jika kecederaan yang tidak disengajakan seperti terlanggar sesama sendiri, segera diselesaikan dengan meredakan perasaan dan emosi kanak-kanak. Mereka mudah menerima kemaafan dan bermain semula.

Saturday, March 2, 2013

Mengetahui Apa Yang Perlu Dilakukan Apabila Berlaku Krisis

Idealnya jika dapat bekerja ke arah situasi krisis dengan mendidik kanak-kanak untuk mengatasi masalah sehingga mereka dewasa dapat menyelesaikannya sendiri tanpa kehadiran guru.Sekiranya terdapat bukti atau tanda-tanda awal bahawa kanak-kanak itu perlu bantuan maka guru membantu kanak-kanak mengawal dirinya dan berupaya mengambil tindakan yang diterima oleh sosial. Dalam menghadapi situasi ini guru jangan sesekali menggunakan kuasa untuk memberikan keadilan atau hukum karma dalam penyelesaian masalah tetapi membina keupayaan kanak-kanak untuk melakukannya sendiri.

Friday, March 1, 2013

Meningkatkan Perasaan Kanak-Kanak Rasa Dihargai

Kawal diri bergantung kepada kekuatan ego dan juga sifat kendiri. Kanak-kanak yang berfikir dirinya berkeyakinan dan merasakan mahir dengan kebolehannya dapat mengawal keadaan dirinya sendiri. Guru tidak perlu terburu-buru untuk menyatakan betapa istemewanya seseorang kanak-kanak itu, memadai dengan berkata," Terima kasih kerana membantu saya. Saya amat menghargainya." atau "Saya lihat awak bersungguh-sungguh mencuba; lain kali saya pasti awak dapat membuatnya." Pernyataan yang jujur ini akan membantu mengimbangi kritikan dan merupakan salah satu cara untuk membina harga diri perasaan kanak-kanak.