Pengusaha tadika tidak sepatutnya menumpukan kepada pembangunan fizikal. Bangunan kelihatan cantik tetapi kurikulum dan guru yang mendidik kanak-kanak perlu diberi perhatian. Sebelum menceburkan diri dalam perkhidmatan pendidikan awal kanak-kanak persediaan melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan sangat diperlukan. Tidak memadai hanya dengan menghadiri kursus sedangkan tanggungjawab sebenar adalah memikul kepercayaan yang diberi oleh ibu bapa untuk mendidik anak-anak mereka sama ada di taska ataupun di tadika.
Keutamaan terhadap kualiti sesebuah tadika salah satunya bergantung kepada kualiti guru. Persediaan sebagai guru tadika adalah melengkapkan diri dengan pendidikan dalam bidang yang diceburi. Di negara maju kelayakan guru tadika telah jauh meninggalkan kita. Ada di kalangan guru di negara maju pemegang ijazah kedoktoran dan ramai yang pemegang ijazah sarjana. Seharusnya pendidik di negara kita tidak selesa dengan keadaan pengalaman sahaja. Tidak salah untuk meningkatkan keilmuan dan sekurang-kurangnya jurang pemisah akademik dapat dikurangkan supaya kita tidak ketinggalan jauh ke belakang.