Kejayaan perlu menempuh cabaran, kesabaran dan kreativiti. Ada baiknya dikongsikan bersama biarpun tidak sehebat mana. Jika sesuai boleh dijadikan teladan. Jika anda merintih dengan kegagalan pertama bermakna anda merosakkan kehidupan masa depan anda. Kita tidak tahu bahawa kegagalan itu satu anugerah untuk menguji ketabahan dan kecekalan diri.
Diharap pembaca dapat membaca liku hidup yang pernah saya lalui. Seandainya saya tidak pernah gagal semasa di zaman persekolahan dan tidak gigih untuk berhijrah, saya tetap kekal begitu sahaja terus merintih kegagalan.
Saya percaya setiap manusia dijadikan Allah mempunyai kelebihan. Saya terus mencari dan berdoa untuk mencari kekuatan diri. Mencari kelebihan dan kekuatan yang ada pada diri untuk terus meneroka dan mencuba. Saya telah cuba merintis bidang pendidikan awal kanak-kanak untuk dijadikan titik permulaan generasi muda akan datang. Sememangnya banyak rintangan dan cabaran jika kita sebagai perintis yang cuba mendahului zaman. Orang sekeliling tidak memahami dan memandang pelik dan suatu keanehan di waktu itu. Biarpun bagai 'wira yang tidak didendang.' Perjuangan tetap diteruskan.