Showing posts with label puppeteer. Show all posts
Showing posts with label puppeteer. Show all posts

Wednesday, April 21, 2010

Siapakah Watak Kerengge

Adakah anda pernah bersama membesar dengan program kanak-kanak di RTM suatu masa dahulu? Siapakah pemain boneka watak 'Kerengge' yang pernah disiarkan dalam rancangan kanak-kanak di RTM? Saya memegang watak Kerengge dan Yusof sebagai Pak Usof yang menunjukajar kanak-kanak dalam bidang kreativiti. Saya meninggalkan program itu kerana melanjutkan pengajian ke luar negara. Sejak itu watak Kerengge tidak wujud lagi di RTM. Kerengge telah dibawa bersama ke luar negara.

Penglibatan saya dengan teater boneka pada penghujung tahun 1970an adalah secara suka-suka untuk mengisi masa lapang. Pada awal tahun 1980an saya secara kebetulan berjumpa Alimah Salam Ketua Pustaka Bimbingan Kanak-Kanak yang menguruskan perpustakaan kanak-kanak di bawah pengurusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Saya menawarkan diri untuk membantu kegiatan kanak-kanak di perpustakaan. Difahamkan aktiviti sebelum ini telah dijalankan oleh Mohd Yusof. Oleh kerana Mohd Yusof berkerja di Sabah maka tiada sukarelawan yang menjalankan aktiviti tersebut.

Terdapat dua Pustaka Bimbingan Kanak-Kanak iaitu di Jalan Tun Abdul Razak (sekarang bangunannya di robohkan berdepan dengan Institut Jantung Negara) dan sebuah lagi di Taman Tun Dr Ismail. Saya terlibat aktiviti bercerita, melukis untuk kanak-kanak dan menghidupkan teater boneka. Tidak lama kemudian bersama dengan Yusof Gajah(pelukis), Sudiro (Arwah), dan Rahim Taman telah mengasaskan Teater ABROS. Mungkin inilah kumpulan teater boneka yang pertama di Malaysia bergerak secara profesional ketika itu. Kami bergantung kepada persembahan di TV, Undangan badan swata dan kerajaan, majlis hari jadi dan di tadika-tadika. Ahli kami juga bergerak di Perpustakaan Negara (waktu itu di Jalan Raja Laut). Kumpulan kami juga berpeluang mengadakan persembahan Khyusu Island Jepun (kumpulan teater dari Malaysia pertama). Saya berkeyakinan bidang kanak-kanak mempunyai potensi di masa hadapan biarpun kumpulan teater ABROS ketika itu di pandang sepi.