Sunday, April 7, 2013

Memupuk Sikap Murah Hati Dan Dermawan

Kajian mendapati kesan yang ditunjukkan daripada guru adalah menerusi gabungan pandangan secara lisan tentang perkara yang berlaku dan menunjukkan contoh kepada kanak-kanak. Oleh itu guru hendaklah meletakkan contoh yang baik dan pada masa yang sama menyatakan apa yang sedang berlaku dengan berbincang dengan kanak-kanak. Contohnya dua orang kanak-kanak sedang bermain bongkah didapati salah seorang ingin mendapatkan bongkah daripada rakannya tetapi tidak mahu berkongsi. Guru mendekati lalu berkata,"Marzuki, tentu awak boleh bantu Mornie bina kapal." Apabila kanak-kanak memberi bongkah kepada Mornie,"Bagus, awak dapat membantu Mornie membina kapal yang cantik."

Saturday, April 6, 2013

Amalan Diet Pemakanan

Amalan diet pemakanan biasanya diberi perhatian seawal bayi dilahirkan sehingga  usia kanak-kanak berusia 4 tahun. Apabila kanak-kanak sudah boleh membuat keputusan memilih dan berupaya kemahiran memasukkan makanan seperti mengunakan tangan atau sudu untuk menyuapkan makanan ke dalam mulut orang dewasa sudah mula terlepas pandang kepentingan makanan yang sesuai untuk kanak-kanak. Kanak mula mencuba apa sahaja makanan yang diberi termasuk makanan yang kurang berkhasiat. Orang dewasa kadangkala mula mengalah dengan permintaan kanak-kanak walau pun makanan tersebut tidak sesuai untuk dimakan. Sikap sambil lewa terhadap diet pemakanan mengakibatkan kesan pada kesihatan seperti obesiti kerana makan makanan yang tidak terhad serta tidak berkhasiat.

Friday, April 5, 2013

Amalan Penjagaan Kesihatan

Bermula bayi dilahirkan ibu bapa amat menitik beratkan penjagaan kesihatan bayi agar pertumbuhan bayi dalam keadaan sihat. Di peringkat kanak-kanak terus diberi perhatian oleh orang dewasa supaya kanak- kanak sentiasa sihat dan cergas. Amalan pemakanan yang sihat dititikberatkan agar pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak berada dalam keadaan yang sihat. Pemakanan yang sihat memberi kesan kepada kesihatan kanak-kanak secara tidak langsung mempengaruhi kesan pembelajaran yang meliputi keseluruhan domain iaitu bahasa, fizikal, kognitif, estetika dan sosio emosi.

Thursday, April 4, 2013

Cadangan Mendidik Kemahiran Sosial Yang Betul

Apabila kanak-kanak kecil mahukan sesuatu anda dinasihatkan untuk memberi perhatian dan membantu. Keperluan kanak-kanak adalah serta merta, mendesak dan personal. Reaksinya untuk menunggu atau memberi pertimbangan hak orang lain mungkin keterlaluan dan memakan masa untuk mengajar membina sikap menunggu sebentar, mengawal perasaannya ke tahap memberi pertimbangan orang lain jika perlu. Kesemua kemahiran ini merupakan keutamaan kepada proses untuk bersosial.

Wednesday, April 3, 2013

Bagaimanakah Kanak-Kanak Menjadi Bersosial?

Perkembangan sosial kanak-kanak bermula sejak lahir lagi. Bayi tersenyum menandakan ingin bersosial dengan orang di sekelilingnya. Ciri kanak-kanak ingin bersosial apabila kelihatan kanak-kanak belajar ingin menjadi seperti orang lain dan boleh bersama dengan mereka hasil daripada mengenalpasti dan peniruan orang yang disukainya dan ganjaran terhadap tingkahlaku sosial. Ada juga bukti menyatakan bahawa kanak-kanak belajar dengan memerhati orang yang lebih berusia darinya dan menjadikan seseorang yang diperhatikan sebagai model untuk ditiru tingkahlakunya.

Tuesday, April 2, 2013

Cara Positif Meningkatkan Keyakinan Diri (4)

Membantu kanak-kanak meningkatkan kemahiran dan kecekapan merupakan sumber luaran keyakinan diri. Walau pun pelbagai aktiviti yang diberikan seperti dapat membantu kemahiran dan kecekapan tetapi masih ada yang perlu dibantu untuk membina gambaran keyakinan diri untuk kanak-kanak. Guru boleh membantu membina sumber dalaman keyakinan diri dengan memupuk kecekapan. Apabila kanak-kanak boleh membuat sesuatu dengan baik sama ada berlatih di sudut permainan atau menyusun bongkah dengan betul sekurang-kurangnya kanak-kanak itu telah mendapat sedikit kemahiran menyakinkan dirinya. Aktiviti kreatif banyak memberikan peluang terbaik untuk memberi pengalaman kecekapan dan kepuasan kepada kanak-kanak.

Monday, April 1, 2013

Cara Positif Meningkatkan Keyakinan Diri (3)

Menghormati kanak-kanak merupakan salah satu cara untuk meningkatkan keyakinan diri kanak-kanak. Satu cara untuk menunjukkan rasa hormat kepada kanak-kanak ialah menghormati keputusan kanak-kanak apabila diberi pilihan. Apabila guru telah memberi peluang untuk kanak-kanak memilih seperti alat permainan,"Apa yang kamu kehendaki adalah sangat penting. Saya percaya kamu lebih tahu daripada saya. Saya beri peluang kamu pilih yang kamu paling minat." Selain daripada itu cara menghormati kanak-kanak jangan sesekali menegur atau mengkritik kanak-kanak di depan khalayak. Kanak-kanak mempunyai harga diri dan mendisiplinkan tingkahlaku depan khalayak akan memberi kesan negatif kepada kanak-kanak.