Tuesday, January 31, 2012

Teguran Positif Menggalakkan Kanak-Kanak Menulis

Peranan orang dewasa dan pendidik di taska/tadika untuk memupuk minat kanak-kanak menulis adalah sangat penting. Kanak-kanak mungkin menunjukkan percubaannya menulis kepada orang dewasa atau menunjukkan nama huruf yang mereka tahu. Kenyataan positif kepada kanak-kanak yang bersesuaian, contohnya: "Ya, itu adalah huruf a" atau "Saya nampak macam huruf a, i dan n (orang dewasa menunjuk dengan jari setiap huruf yang ditulis oleh kanak-kanak) atau "Hilwa, kamu menulis huruf h dan w."

Menerusi teguran positif, orang dewasa mengalakkan dan mengiktiraf hasil kerja kanak-kanak. Selalunya kanak-kanak mungkin terdapat kesalahan nama atau bentuk tulisan. Orang dewasa mungkin boleh bertindak balas dengan mengatakan,"Nampaknya macam bentuk huruf menyerupai perkataan. Mari kita tengok huruf pada carta abjad dan kita tengok huruf yang mana" atau hanya dengan berkata," Tengok, kamu telah menulis huruf b."

Monday, January 30, 2012

Menunjukkan Cara Menulis Kepada Kanak-Kanak

Apabila kanak-kanak meminta orang dewasa atau pendidik di tadika/taska menulis, kedudukannya hendaklah berdiri di belakang kanak-kanak dan lakukan seboleh-bolehnya dari bahagian bahu kanak-kanak. Keadaan ini membolehkan kanak-kanak melihat pembentukan huruf di kedudukan yang betul. Jika orang dewasa/pendidik duduk berhadapan dengan kanak-kanak semasa menulis, tulisan itu akan dilihat terbalik oleh kanak-kanak. Semasa menulis hendaklah menyebut huruf.

Huruf atau nama yang ditulis hendaklah cukup besar untuk kanak-kanak mengenali berlainan bentuk huruf. Saiz huruf lebih kurang 1 inci tinggi (2 cm). Saiz ini agak besar bagi orang dewasa.

Sunday, January 29, 2012

Kanak-Kanak Menulis Tangan Kidal

Menulis tangan kanan atau tangan kiri (kidal) berlaku semasa sistem saraf kanak-kanak mula teguh. Orang dewasa dan pendidik perlu perihatin terhadap penggunaan alatan semasa kanak-kanak menulis. Terdapat kanak-kanak menukar tangan mengikut keselesaannya. Kebanyakan pengguna tangan kiri (kidal) menggunakan tangan kanannya lebih kerap berbanding dengan pengguna tangan kanan menggunakan tangan kiri. Ruang menulis di tadika hendaklah memenuhi semua keperluan kanak-kanak sama ada tangan kiri dan tangan kanan. Orang dewasa dan pendidik perlu menerima keselesaan kanak-kanak menggunakan tangan tanpa mengubahnya. Kedudukan kanak-kanak tangan kiri seboleh-bolehnya di hujung meja semasa aktiviti atau memastikan kanak-kanak tangan kiri tidak memenuhi ruang atau bertembung siku dengan kanak-kanak tangan kanan.

Saturday, January 28, 2012

Memahami Peraturan Simbol Grafik Huruf Dan Pertuturan

Peraturan yang terdapat pada simbol grafik huruf dan pertuturan melibatkan kefahaman asas. Kanak-kanak membina idea tentang peraturan berdasarkan kefahaman asas. Cetakan menitikberatkan penggunaan simbol grafik untuk mewakili bunyi dan gabungan bunyi. Simbol bergabung dan membentuk perkataan dan ayat dalam peraturan tatabahasa (grammatical). Huruf perkataan dijarakkan dan dalam bentuk huruf besar dan huruf kecil. Huruf-huruf ini ditulis dan dibaca dari kiri ke kanan pada halaman. Ruang tepi halaman (margin) bermula dan berakhir pada garisan. Garisan bermula dari atas ke bawah halaman. Tanda koma dan tanda berhenti ayat dan jarak perenggan. Kanak-kanak meneroka dan memahami dengan sendiri dan mendapat bimbingan orang dewasa untuk memahami asas simbol grafik huruf dan pertuturan untuk persediaan belajar membaca dan menulis.

Friday, January 27, 2012

Menulis Huruf Mengikut Keupayaan Kanak-Kanak

Berbagai kaedah dilakukan oleh pendidikan untuk mengajar menulis huruf salah satunya mengikut urutan dari huruf 'A a...hingga...huruf 'Z z'. Ada juga berpendapat memulakan dengan huruf mudah kepada yang lebih sukar supaya tidak menggelakkan rasa bosan apabila kanak-kanak cuba menghasilkan tulisan. Kaedah ini ada baiknya kerana kesedaran 'orthographic' terhadap kebolehan untuk mengenal dan menggunakan rupabentuk simbol grafik dalam bahasa penulisan adalah sesuai melihat grafik yang mudah ke sukar. Contohnya; I, o, L, O, H, D, i, v, l, X, E....adalah kumpulan yang mudah. Manakala kumpulan huruf yang sukar contohnya; R, G, a, u, k, m, j, y, p, g, q.

Kanak-kanak belajar tentang keunikan sesuatu huruf dan rupabentuknya untuk ditulis. Perbezaan visual antara huruf n dan m atau n dan h tidak ketara tetapi kanak-kanak di tadika tidak menghadapi kesukaran menulisnya. Pendidik kanak-kanak kebanyakannya menyedari bahawa setiap kanak-kanak mempunyai pengetahuannya sendiri dan mencari cara tersendiri untuk menulis dan mengingati serta menghasilkan tulisan.

Thursday, January 26, 2012

Orang Dewasa Sebagai Model Kanak-Kanak Menulis

Kanak-kanak memerhati dan menjadikan orang dewasa sebagai model untuk dicontohi. Oleh itu cara menulis yang betul perlu ditunjukkan kepada kanak-kanak. Selain cara memegang pensil yang betul arah pembentukan huruf juga perlu mengikut cara yang betul. Di tadika kanak-kanak mungkin tidak dapat menulis dengan baik tetapi arah pembentukan huruf yang betul dapat melatih kanak-kanak memahami pembentukan huruf. Apabila keupayaan mengawal motor kasar dan motor halus dapat dikuasai maka kemahiran menulis dapat dihasilkan dengan baik. Orang dewasa hendaklah bersabar dan sentiasa memberi dorongan setiap penulisan yang dihasilkan biarpun dalam bentuk yang tidak sempurna. Proses pengalaman menulis perlu dilalui oleh kanak-kanak dan jadikan aktiviti menulis sesuatu yang menarik kepada kanak-kanak.

Wednesday, January 25, 2012

Huruf Yang Sesuai Diperkenalkan Kepada Kanak-Kanak

Ibu bapa mungkin memperkenalkan jenis huruf besar kepada kanak-kanak. Di tadika kanak-kanak juga diperkenalkan dengan bentuk huruf yang akan digunakan pada darjah satu di sekolah rendah. Kanak-kanak sama ada di tadika atau darjah satu tulisan diperkenalkan dalam bentuk cetakan atau dipanggil cetakan D'Nealian. Walau bagaimana pun setiap komuniti atau masyarakat mempunyai gaya penulisan cetak yang tersendiri. Bagi pihak guru hendaklah membiasakan dengan jenis huruf yang sesuai diajar kepada kanak-kanak supaya mudah kanak-kanak mempelajari penulisan huruf.

Kebanyakan jenis penulisan di tadika sepatutnya menggunakan gaya cetakan skrip jenis huruf besar dan huruf kecil. Penulisan nama, papan kenyataan dan label yang dibuat oleh guru hendaklah menggunakan model yang betul.