Bajet 2011 memperuntukkan RM121 juta memberi fokus kepada perkhidmatan kanak-kanak yang berkualiti. Bujet ini diberikan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di bawah program bantuan kanak-kanak dengan harapan 97,000 kanak-kanak akan dapat memanfaatkannya. Secara tidak langsung bujet ini menumpukan kepada perkhidmatan di taska iaitu kanak-kanak di bawah umur 4 tahun. Jabatan Kebajikan Masyarakat yang mengelolakan program perkhidmatan kanak-kanak sewajarnya dipertanggungjawabkan oleh pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk memikirkan peningkatan kualiti perkhidmatan pendidikan kanak-kanak di taska.Memberi perkhidmatan berkualiti bukan sahaja melibatkan kualiti pasarana di taska tetapi juga latihan pengasuhan yang berkualiti perlu diberi perhatian. Program latihan pengasuh hendaklah diberi keutamaan memandangkan peranan pengasuh dan pendidik awal kanak-kanak ini sebagai asas perkembangan pendidikan awal kanak-kanak yang perlu diterima oleh kanak-kanak sebelum melangkah pendidikan selanjutnya. Mereka yang terlibat dalam bidang ini perlu jelas tanggungjawabnya dan kualiti perkhidmatan yang perlu dilaksanakan di taska.









