Sunday, October 31, 2010

Memartabatkan Pengasuhan Kanak-Kanak

Bajet 2011 memperuntukkan RM121 juta memberi fokus kepada perkhidmatan kanak-kanak yang berkualiti. Bujet ini diberikan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di bawah program bantuan kanak-kanak dengan harapan 97,000 kanak-kanak akan dapat memanfaatkannya. Secara tidak langsung bujet ini menumpukan kepada perkhidmatan di taska iaitu kanak-kanak di bawah umur 4 tahun. Jabatan Kebajikan Masyarakat yang mengelolakan program perkhidmatan kanak-kanak sewajarnya dipertanggungjawabkan oleh pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk memikirkan peningkatan kualiti perkhidmatan pendidikan kanak-kanak di taska.

Memberi perkhidmatan berkualiti bukan sahaja melibatkan kualiti pasarana di taska tetapi juga latihan pengasuhan yang berkualiti perlu diberi perhatian. Program latihan pengasuh hendaklah diberi keutamaan memandangkan peranan pengasuh dan pendidik awal kanak-kanak ini sebagai asas perkembangan pendidikan awal kanak-kanak yang perlu diterima oleh kanak-kanak sebelum melangkah pendidikan selanjutnya. Mereka yang terlibat dalam bidang ini perlu jelas tanggungjawabnya dan kualiti perkhidmatan yang perlu dilaksanakan di taska.

Saturday, October 30, 2010

Tahniah Graduan Universiti Tun Abdul Razak

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua graduan Universiti Tun Abdul Razak yang telah berjaya dan menerima ijazah pada Majlis Konvokesyen hari ini Sabtu 30 Oktober 2010.


Bintang tujuh sinar berseri,
Bulan purnama datang menerpa;
Ajaran guru hendak dicari,
Mana yang dapat janganlah lupa.


Cantik berseri bunga melati,
Mekar indah di dalam taman;
Cendikiawan berilmu sedia berbakti,
Kelak dikenang zaman berzaman.

Friday, October 29, 2010

Melarang Kanak-Kanak Menyeberang Sendiri Di Jalanraya

Ajar kanak-kanak supaya mereka sentiasa memegang tangan orang dewasa semasa menyeberang jalan. Ingatkan kanak-kanak menyeberang jalan hanya bersama orang dewasa sahaja. Sebaik-baiknya gunakan lampu isyarat dan tempat menyeberang jalan. Ajar kanak-kanak tidak menerpa atau berlari di kawasan letak kereta. Mulakan melatih kanak-kanak memerhati kiri-kanan-kiri sebelum menyeberang jalanraya.

Thursday, October 28, 2010

Pakai Tali Pinggang Keselamatan

Bayi dan kanak-kanak mesti memakai tali pinggang apabila menaiki kenderaan seperti kereta, bas atau van. Pilih kerusi kanak-kanak yang diluluskan oleh pihak berkuasa. Terdapat banyak jenis kerusi untuk kanak-kanak. Ikut arahan semasa memasang kerusi kanak-kanak mengikut yang dibekalkan oleh kilang. Perlu mengetahui cara memasang tali pinggang kerusi kanak-kanak di kereta dan memasang tali pinggang kanak-kanak di kerusinya. Patuhi undang-undang menggunakan kerusi kanak-kanak dan menggunakan tali pinggang keselamatan.

Jadikan amalan meletakkan anak di kerusi kenderaan bukan meriba anak di bahagian kerusi depan kenderaan. Utamakan keselamatan bukan ambil jalan mudah dan mengganggapnya menyusahkan.

Wednesday, October 27, 2010

Pengawasan Bahaya Kebakaran Dan Api

Kulit bayi dan kanak-kanak lebih nipis daripada kulit orang dewasa menyebabkan mudah melecur jika terkena sesuatu yang panas. Elakkan daripada kecederaan air panas dengan mengawal kepanasan air antara 120 Fahrenheit atau 130 Fahrenheit atau lebih rendah lagi. Semakin rendah suhu air semakin selamat untuk kanak-kanak.

Latihan kebakaran dan meletakkan alat pemadam api di taska. Sentiasa menyemak label pemadam api untuk memastikan masih berfungsi. Begitu juga dapur memasak sentiasa pastikan ditutup selepas digunakan.

Tuesday, October 26, 2010

Sentiasa Menyelia Kanak-Kanak Semasa Bermain Air

Kanak-kanak taska suka bermain air. Mereka boleh lemas walau pun dengan kuantiti air yang sedikit sedalam 2 inci atau 6 sentimeter. Bermakna kanak-kanak boleh lemas di tempat-tempat yang anda tidak menjangka. Oleh itu jangan biarkan kanak-kanak bermain air sendirian. Orang dewasa perlu menyelia kanak-kanak kecil semasa bermain di dalam air seperti di kolah mandi, di bilik air, di dalam besen, di kolam renang, berada di tandas, di sinki, baldi, parit kecil dan lopak berair .

Setelah menggunakan besen dan baldi pastikan dibuang airnya. Tutup bilik air dan sinki tandas untuk mengelakkan bayi dan kanak-kanak tatih memasuki bilik air. Pengawasan sekitar taska seperti parit dan lopak perlu dialirkan airnya supaya tidak bertakung. Selepas aktiviti main air, tempat menampung air hendaklah ditutup atau dibuang airnya hingga kering.

Sunday, October 24, 2010

Pagar Keselamatan Kanak-Kanak

Kanak-kanak di taska bergerak aktif untuk meneroka di persekitarannya. Peringkat kanak-kanak tatih mereka merangkak, memanjat dan berdiri sambil meneroka persekitaran tempat di dalam ruang bilik. Sekiranya di taska terdapat tangga sememangnya menjadi kegemaran kanak-kanak untuk bermain di tangga. Perkara ini diberi perhatian dan langkah untuk meletakkan pagar penghadang di bahagian bawah dan atas tangga. Sentiasa menutup pagar tangga untuk menghalang kecederaan daripada jatuh tangga. Pastikan lubang di panghalang itu kecil supaya tidak melepasi kepala kanak-kanak. Jangan menggunakan pagar jenis 'accordian'.

Kawasan lain yang dianggap merbahayakan kanak-kanak seperti ruang ke dapur boleh diletakkan pagar penghadang kanak-kanak. Meletakkan pagar penghadang adalah sebagai langkah untuk menghalang berlakunya kecederaan di taska.