Friday, August 20, 2010

Lagu Etnik dan Kanak-Kanak

Saya ingin berkongsi pengalaman semasa memperkenalkan lagu etnik di sebuah sekolah rendah di USA. Waktu itu sedang menjalani latihan mengajar di Irving Elementry School di kelas Kindergarten (tadika). Kanak-kanak digalakkan mendengar lagu etnik (tradisional) dari berbagai bangsa dan bahasa. Muzik dan lagu tiada batasan boleh didengar oleh sesiapa sahaja. Saya memakai baju Melayu lengkap, membawa kompang dan mengubahsuai lagu 'Katak Lompat.' Sebelum menyanyikan lagu dimulakan aktiviti membaca buku cerita bertajuk,'Frog Jumping Frog.' Buku itu mempunyai perkaitan dengan lagu Melayu yang akan diperkenalkan. Setelah mendengar cerita kanak-kanak diajar menyebut perkataan bahasa Melayu berulangkali dengan disusuli paluan kompang.

Kanak-kanak merasa seronok dan terus menyanyi sambil menghayati lagu mengikut pergerakan katak. Guru-guru di sekolah itu turut sama mengambil bahagian setelah mendengar kanak-kanak menyanyi. Khabarnya lagu itu sering dinyanyikan oleh guru yang mengajar di kelas tadika sekolah tersebut. Mungkin saya merupakan salah seorang dari Malaysia yang cuba mempromosikan lagu etnik Malaysia kepada kanak-kanak di sekolah USA. Biarpun sumbangannya kecil sekurang-kurangnya mereka pernah mendengar lagu etnik Malaysia. Lagu dan muzik tidak mempunyai sempadan dan boleh dihayati oleh sesiapa jua.

Mungkin anda mempunyai pengalaman dan pandangan untuk dikongsikan bersama.

No comments:

Post a Comment