Saturday, March 31, 2012

Jenaka Mengurangkan Masalah Tingkahlaku Kanak-Kanak

Berjenaka atau 'humor' dapat membantu mengurangkan masalah tingkahlaku kanak-kanak. Banyak masalah tingkahlaku seperti situasi "saya lawan awak" yang memerlukan beradu tangan dan tenaga boleh dihalang dengan menggunakan sentuhan - menghalang dengan sesuatu yang menarik dan lucu, mengalih tumpuan dalam bentuk nyanyian atau jenaka. Jenaka atau humor yang tidak menyentuh peribadi kanak-kanak perlu dihindarkan. Jenaka dapat membantu mengurangkan rebutan kuasa sebab guru dan kanak-kanak akan terlibat sama dengan penuh kemesraan dan persahabatan. Memberitahu kanak-kanak," Sekarang...cuba..saya...lihat...kamu... jalan... perlahan.. perlahan... macam... kura-kura" lebih berkesan daripada berkata, " Berapa kali saya hendak beritahu kamu jangan berlari di dalam kelas?"

Friday, March 30, 2012

Masa Khas Untuk Bersama Kanak-Kanak

Salah satu cara mekanisma menyediakan perhatian tanpa syarat kepada kanak-kanak yang memerlukan masa yang lebih untuk diberi perhatian ialah masa khas. Guru duduk di sebelah kanak-kanak untuk beberapa minit sehari atau dua atau tiga kali seminggu untuk kanak-kanak. Masa untuk bersama kanak-kanak seorang-dengan-seorang bukan syarat pada tingakahlaku kanak-kanak. Misalnya,"Jika kamu bersikap baik, kita akan bersama untuk masa khas." Masa khas hanya untuk seorang kanak-kanak sahaja bersama guru. Guru memberi isyarat," Saya hendak meluangkan bersama anda sebab kamu adalah kamu." Guru boleh bertanya apa yang kanak-kanak suka untuk masa khas dan mengikuti cadangan kanak-kanak. Contohnya membacakan buku atau main permainan.

Thursday, March 29, 2012

Pengucapan Ikhlas Untuk Peneguhan Tanpa Syarat

Peneguhan tanpa syarat memberitahu kanak-kanak bahawa anda menghargai dirinya sebagai insan yang mempunyai hak bukan disebabkan tingkahlaku yang sepatutnya anda mahukan. Oleh itu anda boleh memberi perhatian peneguhan tanpa syarat dengan berbagai cara. Jangan lupa memberi ucapan di awal permulaan kedatangan kanak-kanak sama ada ke taska atau tadika dengan pengucapan ikhlas dan jujur seperti,"Selamat pagi, Milhan! Saya cukup gembira melihat kamu!" Semasa suasana di kelas, guru tadika atau taska boleh memberikan perhatian kepada kanak-kanak yang meminta bantuan atau perhatian dengan memberi senyuman, mendakap atau menyentuh bahu kanak-kanak. Kanak-kanak akan merasakan dirinya diberi perhatian dan dihargai.

Wednesday, March 28, 2012

Peneguhan Tanpa Syarat

Pengukuhan atau peneguhan diberi dengan syarat kanak-kanak bertindakbalas dalam sesuatu keadaan yang khusus. Walau bagaimana pun kanak-kanak memerlukan perhatian tanpa syarat. Ibu bapa sebenarnya telah memulakan memberi perhatian tanpa syarat sejak bayi dilahirkan sebagai asas membina rasa kepercayaan. Hasilnya, ramai kanak-kanak yang mendapat perhatian sepenuhnya di rumah mempunyai kekuatan hubungan kepercayaan dalam kehidupannya. Kanak-kanak ini biasanya ke sekolah dengan penuh rasa berdikari dan keterbukaan kepada pengalaman baru. Manakala kanak-kanak yang asas kepercayaan tidak terbina dengan kukuh didapati ingin mendapatkan perhatian. Mungkin mereka sentiasa ingin mendapatkan perhatian daripada guru tadika atau pengasuh taska, kemungkinannya menerusi melakukan masalah tingkahlaku.

Tuesday, March 27, 2012

Kata Pujian Yang Berkesan

Memberi kata pujian atau kata ransangan/dorongan hendaklah memberi tumpuan kepada aktiviti dan proses yang membolehkan kanak-kanak menilai kerjanya dan hindarkan pertandingan. Sebagai contoh kata pujian yang memberi tumpuan kepada aktiviti dan proses;
  • Dua orang kanak-kanak Razak dan Faruk bermain di 'meja main air'. Mereka berdua menggunakan cawan dan berbagai benda berat dan ringan selama lebih 15 minit.

Kenyataan dorongan: "Awak dan Faruk bermain sama-sama di 'meja main air' begitu lama."

  • Farah baru selesai mewarna. Dia datang berjumpa guru dan berkata," Cikgu tengok lukisan saya cantik tak?"

Kenyataan dorongan: "Awak sangat suka dan senang dengan lukisan yang awak warnakan,. Tengok semua warna yang awak gunakan."

Monday, March 26, 2012

Kata Pujian Dan Dorongan Yang Tidak Berkesan

Pengukuhan positif dari sudut pandangan pengurusan tingkahlaku adalah cara untuk mengekalkan sesuatu tingkahlaku. Pengukuhan boleh menjadi alat yang berkesan untuk membimbing kanak-kanak dengan cara memberi perhatian apabila kanak-kanak melakukan tingkahlaku positif daripada tingkahlaku negatif. Walau bagaimana pun sentiasa berhati-hati dengan pujian yang tidak berkesan, sebagai contoh kenyataan yang terlalu umum, "Bagus!" atau "Budak baik!" akan menjadi kebiasaan.

Sunday, March 25, 2012

Cara Menangani Bayi dan Tatih

Bayi tidak memerlukan disiplin. Adalah menjadi tanggungjawab orang dewasa untuk memenuhi keperluannya dengan cara itu dapat memberi kepercayaan ke arah prasyarat proses sosialisasi. Kadangkala bayi hilang kawalan, mengambarkan rasa tidak selesa atau merasa tekanan. Hal ini bukan masalah tingkahlaku. Bayi mungkin memerlukan kemesraan dan dakapan untuk membantunya mengawal keadaan.

Kanak-kanak tatih pula, sentiasa bergerak dan bercakap (verbal), memerlukan bimbingan untuk membantu mengawal kelincahannya. Membina tingkahlaku kawalan dalaman adalah lambat dan proses jangka panjang. Adalah penting untuk meletakkan had sempadan untuk kanak-kanak tatih bagi memastikan keselamatan dan menyediakan rasa selamat. Kanak-kanak tatih terkenal dengan menguji had atau batasan yang ditentukan oleh orang dewasa. Tanpa melanggar had atau batasan, mereka tidak tahu had atau batasan yang ditentukan oleh orang dewasa.

Saturday, March 24, 2012

Didikan Keluarga Mempengaruhi Tingkahlaku Kanak-Kanak

Masalah tingkahlaku kanak ada perkaitannya dengan cara didikan keluarga. Sekiranya ibu bapa tidak mengambil mudah mendisiplinkan dan mengawal kanak-kanak kesanya akan memberi masalah di tadika iaitu masalah tingkahlaku. Kanak-kanak yang bermasalah tidak diterima oleh rakan sebaya. Kelemahan mendidik juga boleh membawa kepada masalah untuk menyesuaikan diri dalam kumpulan dan melanggar peraturan. Selain daripada masalah didikan ibu bapa terdapat juga masalah lain yang memberi kesan kepada tingkahlaku kanak-kanak.

Friday, March 23, 2012

Memilih Didikan Pembentukan Tingkahlaku

Setiap bimbingan tingkahlaku yang digunakan hendaklah difikirkan nilai yang ingin diterapkan dan harapan yang anda inginkan untuk mendidik kanak-kanak. Dalam kontek ini akan mempengaruhi latar belakang cara anda terdidik. Sebenarnya latar belakang anda memberi kesan kepada pandangan anda. Jika anda dididik dalam keluarga yang tegas dan bertimbangrasa, anda akan terbawa-bawa dengan pengalaman sendiri untuk tugasan membimbing kanak-kanak. Jika keluarga anda tegas dengan peraturan, anda mengharapkan untuk mengikut peraturan sebab orang yang lebih tua daripada anda mengatakan ini adalah peraturan. Oleh itu perlu diberi perhatian sama ada anda akan membawa sikap atau pandangan anda dalam melaksanakan tanggungjawab. Kefahaman sendiri adalah sangat penting dalam melaksanakan tugas untuk mendidik kanak-kanak. Jika anda menghargai kelebihan yang ada pada anda dan mengenalpasti perkara yang ingin anda ubah, anda akan dapat asas yang lebih kukuh.

Thursday, March 22, 2012

Membentuk Tingkahlaku

Membentuk tingkahlaku merupakan salah satu teknik yang boleh digunakan secara kerap kepada kanak-kanak yang memerlukan keperluan khas. Tingkahlaku dipecahkan atau bahagikan kepada langkah yang kecil. Jangkaan kejayaan kepada tingkahlaku yang diingini diberi pengukuhan sehingga akhirnya mendapat kemajuan tingkahlaku. Contohnya untuk meningkatkan daya tumpuan kanak-kanak terhadap sebarang aktiviti. Apabila kanak-kanak boleh menumpukan perhatian kepada satu tugasan purata yang hanya 3 minit, masa pengukuhan perlu dipertingkatkan secara berterusan, daripada 3 minit ke 5 minit ke 8 minit ke 10 minit ke 15 minit.

Wednesday, March 21, 2012

Menteladani Atau Meniru Tingkahlaku

Menteladani atau peniruan yang digemari dan disenangi oleh kanak-kanak dapat memberi kesan kepada tingkahlaku kanak-kanak. Pembelajaran menerusi pemerhatian kerap berlaku di kelas dan orang dewasa menggunakannya. Umpamanya orang dewasa menjadi model kesopanan, kemesraan, atau keperihatinan walau pun model bukan mudah untuk memberi fenomena kesan dan akibat. Dalam keadaan tertentu kanak-kanak melihat model yang boleh diteguhkan adalah kemungkinan hasil daripada peniruan tingkahlaku.Peranan orang dewasa adalah penting untuk menjadi model yang boleh diteladani oleh kanak-kanak.

Tuesday, March 20, 2012

Mengasingkan Tingkahlaku Negatif Kanak-Kanak

Memberi masa pengasingan tingkahlaku negatif merupakan salah satu cara mengabaikan. Keadaan in berlaku apabila kanak-kanak diberi masa pengasingan daripada kedua-dua pengukuhan dan pendorong di bilik darjah. Masa pengasingan yang berterusan boleh menjadi berkesan untuk melenyapkan tingkahlaku yang tidak dikehendaki. Masa pengasingan tidak boleh digunakan terlalu kerap untuk semua keadaan, tetapi pada keadaan mengasingkan kanak-kanak untuk mendapatkan tindak balas yang terbaik seperti kemarahan dan berlaku kekasaran. Sebenarnya masa pengasingan bukan untuk menyisihkan kanak-kanak tetapi untuk memberi kesedaran terhadap sesuatu tingkahlaku yang khusus.

Monday, March 19, 2012

Pengabaian Tingkahlaku Negatif

Pengukuhan positif dapat mengukuhan tingkahlaku. Sebaliknya pengabaian juga dapat menghapuskan tingkahlaku negatif. Contohnya jika seorang kanak-kanak menjerit di dalam kelas berulangkali, guru akan memberitahu,"Berhenti menjerit, kamu mengganggu orang lain!" atau membawa kanak-kanak duduk di penjuru dengan berjanji sekiranya dia tidak lagi menjerit boleh duduk bersama rakannya semula. Reaksi ini memberitahu kanak-kanak bahawa dia berjaya mendapatkan perhatian. Mengabaikan boleh melenyapkan tingkahlaku jika berterusan dan teratur. Walau bagaimana pun mengabaikan bukanlah cara yang terbaik untuk digunakan terutama jika melibatkan tingkahlaku agresif. Tingkahlaku yang agresif perlu di atasi dengan lebih tegas dan tindakan yang cepat diambil untuk keselamatan semua.

Sunday, March 18, 2012

Pengukuhan Bukan Ganjaran Negatif

Tingkahlaku boleh menggunakan pengukuhan yang berkesan seperti makanan, mainan, keistimewaan pada kanak-kanak jika kanak-kanak tidak bertindakbalas kepada pengukuhan sosial seperti pujian, senyuman dan kata yang memberi dorongan. Pengukuhan atau peneguhan diikuti dengan tingkahlaku: "Semua yang menolong mengemas di kelas akan dapat 'sticker'" hendaklah dibezakan dengan ganjaran negatif: "Jika saya beri kamu 'sticker' ini, bolehkah kamu menolong mengemas?". Peneguhan atau pengukuhan adalah penting disusuli dengan tingkahlaku yang berkesan walau pun kekerapan pengukuhan atau peneguhan itu berbeza-beza. Apabila kali pertama untuk membantu kanak-kanak melakukan perlakuan yang baru seperti meletakan kasut di rak, pengukuhan hendaklah digunakan setiap kali tingkahlaku meletak kasut dilakukan oleh kanak-kanak. Walau bagaimana pun apabila telah kerap dan kanak-kanak mula membiasakan meletak kasut di rak, pengukuhan itu dikurangkan sehingga kanak-kanak itu telah membiasakannya sebagai tingkahlaku positif.

Saturday, March 17, 2012

Pengukuhan Positif

Pengukuhan positif selalu digunakan dalam pengurusan tingkahlaku. Apabila orang dewasa memberikan senyuman kepada kanak-kanak di dalam kumpulan yang berkerjasama dengan rakan sebaya sambil mengusap kepala dan bahu, tindak balas kanak-kanak adalah positif. Mereka merasa dihargai. Mengucapkan terima kasih kerana membantu mengemaskan alat mainan juga dapat mengukuhkan tingkahlaku positif kanak-kanak kerana memberi makna bahawa dirinya dihargai apabila membantu mengemaskan alatan mainan. Dalam pengurusan tingkahlaku biasanya pengukuhan positif dilakukan secara sistematik untuk memberi menggalakkan tingkahlaku tertentu. Contohnya apabila seorang kanak-kanak meletakkan buku di rak buku dengan betul dan orang dewasa memberi perhatian penghargaan serta pengukuhan positif, perbuatan positif yang sama akan diulangi oleh kanak-kanak.

Friday, March 16, 2012

Pengurusan Tingkahlaku

Pendekatan pengurusan tingkahlaku adalah berasal daripada teori tingkahlaku (behavioral theory). Falsafahnya adalah tingkahlaku kanak-kanak di bawah kawalan persekitaran ( termasuklah ruang, objek dan manusia), boleh diubah oleh orang dewasa menerusi sesuatu manipulasi persekitaran. Ia berdasarkan tanggapan tentang akibat penting, sesuatu tingkahlaku kanak-kanak yang didorong dan dihilangkan tidak perlu didorong. Pengurusan tingkahlaku memberi tumpuan kepada ciri atau sifat yang boleh diukur dan dikira sebagai geraf. Misalnya jumlah peristiwa yang berlaku atau kadar jangka masa yang ditetapkan. Contohnya jumlah kekerapan seorang kanak-kanak memukul rakannya adalah tepat diketahui setelah dua minggu program pengurusan tingkahlaku, kanak-kanak tersebut dapat mengurangkan kadar memukul daripada purata lima kali sehari kepada dua kali sehari. Oleh itu program pengurusan tingkahlaku ini tidak berhasil kerana kanak-kanak itu masih memukul rakannya.

Thursday, March 15, 2012

Menangani Masalah tingkahlaku Kanak-Kanak Menerusi Teknik Penyelesaian Masalah Menang-Menang

Setelah menggunakan teknik 'pendengar aktif' dan 'permintaan', seterusnya teknik proses menang-menang digunakan. Teknik proses menang-menang berlaku apabila masalah telah menjadi milik bersama, kepunyaan orang dewasa dan kanak-kanak. Teknik ini melibatkan perbincangan dan perundingan sehingga menemui kepuasan penyelesaian kedua pihak. Kanak-kanak akan merasa dihargai dan orang dewasa dapat hasil positif dengan perubahan tingkahlaku kanak-kanak yang telah dapat memahami punca masalah tingkahlakunya.

Wednesday, March 14, 2012

Menangani Masalah Tingkahlaku Kanak-Kanak Menerusi Teknik Permintaan

Sekiranya masalah daripada orang dewasa, contohnya jika Sarah tidak mahu memunggut mainan sebab dia beria-ia hendak melukis bersama rakannya di ruang melukis. Masalah mainan yang bersepah adalah masalah orang dewasa. Dalam kes begini, orang dewasa hendaklah bertindakbalas secara "Saya-Minta", dengan memberitahu Sarah bagaimana perasaannya, bukan "Anda-Minta" yang memberi tumpuan kepada watak seseorang. Oleh itu orang dewasa mungkin boleh berkata, "Apabila saya lihat mainan bersepah di lantai, saya takut ada orang yang terlanggar dan cedera. Ini menjadikan saya sedih," daripada orang dewasa memberitahu," Kamu ini memang tidak bertanggungjawab."

Tuesday, March 13, 2012

Menangani Masalah Tingkahlaku Kanak-Kanak Menerusi Cara Pendengar Aktif

Apabila kanak-kanak mempunyai masalah sendiri, dia akan menghantar isyarat menyatakan bahawa ada sesuatu yang tidak kena. Berkenaan kes masalah ini, orang dewasa boleh menggunakan teknik' pendengar aktif.' Orang dewasa memberi tindakbalas pada masalah yang dikatakan oleh kanak-kanak untuk mendapatkan penyelesaian. Jangan menyelesaikan masalah tersebut untuk diri kanak-kanak menerusi reaksi standard seperti memberi nasihat. Pendengar aktif menerima dan menggalakkan kanak-kanak untuk menjelaskan secara jujur disebalik masalah yang menyebabkan dirinya tertekan. Contohnya, apabila terdapat kanak-kanak sedang bermain pasir, tindakbalas 'pendengar aktif mungkin dengan mengatakan,"Kamu seolah-olah marah," daripada mengatakan," Saya mahukan awak meninggalkan tempat main air sekarang juga." Kanak-kanak ini melihat orang dewasa menerima perasaannya daripada orang dewasa memberi tumpuan kepada masalah orang dewasa.

Monday, March 12, 2012

Saling Memahami Masalah Antara Orang Dewasa Dan Kanak-Kanak

Pada peringkat awal lagi sejak dari bayi orang dewasa telah menangani dan bertindak balas kepada bayi dengan menghargai komunikasi antara bayi dan orang dewasa. Sebagai orang dewasa perlu mengenalpasti tingkahlaku yang boleh diterima dan tidak boleh diterima. Apabila masalah timbul, orang dewasa boleh memastikan keadaan dan menentukan masalah "siapa". Terdapat masalah datangnya dari kanak-kanak, ada masalah datangnya dari orang dewasa dan ada pula menerusi hubungan antara dua pihak. Cara menyelesaikan masalah bergantung kepada "kepunyaan" masalah tersebut.

Sunday, March 11, 2012

Membetulkan Tingkahlaku Secara Penghasilan Logik

Tanpa disedari kadangkala orang dewasa menggunakan kaedah penghasilan logik untuk memperbetulkan tingkahlaku kanak-kanak. Memberi pengalaman dapat memberi hasil atau kesan secara semulajadi akibat daripada tindakan kanak-kanak itu sendiri, bermakna orang dewasa telah memberi pengalaman pembelajaran yang sebenar. Umpamanya jika kanak-kanak tidak mahu makan pada waktu makan yang ditetapkan bersama rakan, bermakna kanak-kanak itu akan terlepas masa makan dan lapar. Contoh lain, jika kanak-kanak sering memakai kasut pada kaki yang salah (kaki kanan pakai untuk kaki kiri), kanak-kanak itu akan merasa tidak selesa. Penghasilan tingkahlaku apabila kanak-kanak mengawal sendiri perubahan. Penghasilan logik hendaklah disusuli dengan tindakan positif dan menyediakan ransangan semulajadi untuk pelbagai tingkahlaku prososial.

Saturday, March 10, 2012

Memberi Dorongan Meningkatkan Keyakinan Diri Kanak-Kanak

Dorongan atau galakkan daripada orang dewasa dapat meningkatkan keyakinan diri kanak-kanak. Dorongan lebih tertumpu kepada meningkatkan keyakinan diri kanak-kanak dengan menerima mereka seadanya bukan mengharapkan mereka lebih daripada sepatutnya. Dorongan dibina pada kelebihan kanak-kanak yang boleh menyerlahkan keyakinannya. Dorongan juga berbeza dengan pujian. Pujian tertumpu pada tanggapan orang dewasa dan merestui kanak-kanak. Contohnya,"Saya sungguh berbangga awak menolong mengemaskan alat main di kelas." Manakala dorongan tertumpu kepada keupayaan dan pencapaian kanak-kanak. Misalnya, "Sekarang kelas ini kelihatan cantik!". Pujian memberi ganjaran kepada tindakan kanak-kanak dan menjadikannya bergantung kepada restu orang dewasa. Dorongan meletakan tindakan dalam kontek sumbangan kanak-kanak kepada kumpulan secara keseluruhan.

Friday, March 9, 2012

Menangani Masalah Tingkahlaku Kanak-Kanak Merasa Terasing

Salah satu cara untuk mendapatkan perhatian orang dewasa, kanak-kanak ini mengasingkan diri. Kanak-kanak disekelilingnya menganggap bahawa kanak-kanak sering menyalah anggap keadaan dipersekitarannya dan berkelakuan janggal serta mengganggap dirinya bodoh. Orang dewasa hendaklah memberi dorongan dan galakkan kepada kanak-kanak ini, sokongan kepada kebolehannya, pujian dan memberi kepercayaan pada dirinya. Kanak-kanak ini tidak boleh dibiarkan kelak akan memberi kesan negatif dengan meminggirkan diri dari keadaan persekitarannya.

Thursday, March 8, 2012

Menangani Masalah Tingkahlaku Kanak-Kanak Agresif

Mungkin kita tidak sedar apabila kanak-kanak yang cuba mendapatkan perhatian orang dewasa setelah percubaannya beberapa kali gagal, dia akan bertindak agresif untuk membalas dendam. Tujuan tingkahlaku agresif ini untuk menyatakan perasaannya yang menyakitkan dan diketepikan kerana tidak mendapatkan perhatian, kanak-kanak ini cuba menyakitkan orang lain. Adalah penting untuk mengenalpasti kanak-kanak yang cuba menyakitkan merupakan pembalikan rasa sakit kanak-kanak itu sendiri. Jangan sesekali menunjukkan rasa sakit anda kepada kanak-kanak ini. Kanak-kanak ini akan lebih terdorong untuk meneruskannya apabila melihat anda merasa sakit. Oleh itu jangan memberi tindakbalas sebaliknya cari jalan membuatkan kanak-kanak ini merasa diterima, galakkan bersama rakan lain dan sentiasa memberi dorongan bahawa dirinya diterima oleh rakan-rakan dan semua orang.

Wednesday, March 7, 2012

Menangani Masalah Tingkahlaku Kanak-Kanak Yang Suka Menunjukkan Kuasa

Masalah tingkahlaku kanak-kanak yang ke dua adalah cuba menunjukkan kuasa, pengaruh atau kekuatan. Kesemuanya dilakukan kerana kanak-kanak ini ingin mendapat perhatian. Tindakbalas terhadap kanak-kanak yang mempunyai matlamat cuba menunjukan kuasa atau pengaruh adalah dengan tidak terikut-ikut dengan matlamat perebutan kuasa. Pertandingan kekuatan tidak menjadi pertandingan jika anda sebagai lawan menolak atau menarik diri daripada pertandingan. Kanak-kanak perlu merasakan dirinya penting tetapi cara untuk membina rasa penting bukanlah menerusi tidak mematuhi arahan atau peraturan, kemarahan dan perbalahan. Anda boleh membantu kanak-kanak mencari cara lain untuk mendapatkan pengiktirafan terhadap kekuasaan tetapi bukan dengan cara permainan pertandingan.

Tuesday, March 6, 2012

Menangani Masalah Tingkahlaku Kanak-Kanak

Masalah tingkahlaku kanak-kanak hendaklah dilihat punca berlaku masalah. Menurut pakar kanak-kanak Rudolf Dreikurs mengatakan bahawa seseorang itu tidak boleh menukar masalah tingkahlaku kanak-kanak secara berkesan tanpa menganalisa dan memahami matlamat dan mengenalpasti matlamat yang boleh meransang kanak-kanak. Tindakan atau reaksi yang sesuai terhadap tingkahlaku kanak-kanak bergantung pada matlamat kanak-kanak. Contohnya, untuk menangani kanak-kanak yang ingin mendapat perhatian yang kebiasaannya merupakan langkah pertama masalah tingkahlaku dengan tidak menghiraukan atau tidak memperdulikan terhadap cuba mendapatkan perhatian. Ini bukan bermakna kita tidak langsung memberi perhatian kepada kanak-kanak. Dalam masa yang sama memberi perhatian kepada tingkahlaku yang positif setiap masa dan seberapa kerap. Sebaliknya tingkahlaku yang tidak bersesuaian untuk mendapat perhatian perlu diabaikan.

Monday, March 5, 2012

Waktu Peralihan Antara Aktiviti

Waktu peralihan (transition) bukan sahaja berlaku perantaraan rumah ke taska atau tadika. Sebaliknya, waktu peralihan boleh berlaku antara aktiviti ke aktiviti yang lain semasa di taska atau tadika. Waktu peralihan sewajar perlu diajar sebagai sebahagian daripada rutin (routine). Kanak-kanak berpeluang mempelajari berbagai perkara seperti menunggu giliran semasa menggunakan bilik air selepas makan, dan bekerjasama mengemas selepas menjalankan aktiviti. Perancangan aktiviti akan menjadi tidak menarik jika tiada memikirkan perancangan untuk waktu peralihan. Fikirkan tentang apa yang akan berlaku di awal aktiviti, di akhir aktiviti dan antara aktiviti.Pastikan urutan dan langkah-langkah waktu peralihan supaya panduan dan kehendak kanak-kanak adalah bersesuaian. Misalnya menggunakan loceng untuk memberitahu kanak-kanak bersedia ke waktu peralihan dan perubahan ke aktiviti lain.

Sunday, March 4, 2012

Waktu Peralihan

Waktu peralihan atau transisi (transision) berlaku antara dua situasi. Apabila ibu bapa menghantar anak kecil ke taska (nursery) transisi antara rumah dan tempat taska. Sebelum aktiviti di taska pengasuh akan menerima kedatangan kanak-kanak. Masa penyesuaian ini terdapat kanak-kanak yang tidak selesa dengan peralihan persekitaran menyebabkan gangguan emosi seperti menangis dan tidak mahu berpisah dengan ibunya. Peranan pendidik di taska memberi perhatian kepada kanak-kanak ini untuk memberi keyakinan rasa selamat bersamanya ketika di taska. Berbeza dengan kanak-kanak yang sudah berumur sedikit ketika ke tadika mereka sudah boleh menyesuaikan diri. Sementara menunggu aktiviti seterusnya pendidik di tadika hendaklah memberi peluang kanak-kanak melakukan aktiviti pilihan sendiri. Transisi ini penting untuk memberi keselesaan kepada kanak-kanak terhadap perubahan persekitaran dari rumah ke taska dan tadika.

Saturday, March 3, 2012

Kanak-Kanak Keliru Membaca Huruf

Terdapat kanak-kanak yang tidak dapat membezakan huruf walau pun anda telah mengajarnya berkali-kali. Contohnya huruf 'b' dan 'd', huruf 'p' dan 'q', 'j' dan 'i' 'y' dan 'v'. Kanak-kanak boleh menyanyikan lagu 'A, B, C...' tetapi tidak dapat mengenal atau membezakan huruf yang mempunyai persamaan bentuk. Apabila anda telah mengenalpasti masalah kanak-kanak ini segera rujuk pakar kanak-kanak yang berkeperluan khas. Anda tidak boleh terus mengatakan kanak-kanak itu 'dylexia' kerana masalah sukar membezakan huruf. Pendidik awal kanak-kanak dapat mengetahui tanda 'dylexia' tetapi untuk mengatasi masalah tersebut perlu dirujuk kepada mereka yang pakar khusu untuk menangani 'dylexia'.

Friday, March 2, 2012

Kesan Pendekatan Pengajaran Behavioris Dan Konstruktivis

Ramai mereka yang tidak menyedari secara tidak langsung mempraktikkan pendekatan pengajaran yang berasaskan teori yang sedia ada. Sebaliknya ada dikalangan pendidik kanak-kanak atau mereka yang berminat menyatakan bahawa mereka telah menemui penemuan baru tanpa membaca kajian terdahulu. Misalnya seorang pendidik di tadika menggunakan kad imbasan dan menyuruh kanak-kanak membaca berulangkali dan memberi latihan secara latih tubi (drill) untuk menghafal huruf atau perkataan yang dipamerkan. Hasilnya dalam masa jangka pendek kanak-kanak sudah boleh membaca menerusi aktiviti pengulangan dan menghafal apa yang dilihat. Sebenarnya kanak-kanak tidak memahami perkataan yang dibaca. Mereka pada awalnya menyebut mengikut sebutan orang dewasa apabila melihat kad yang dipamerkan. Kanak-kanak boleh membaca apa juga perkataan kerana telah menjadi kebiasaan menghafal gabungan suku kata, contohnya 'ba' 'bu' 'ku' 'pa.' Apabila digabungkan sukukata menjadi perkataan. Persoalannya sejauhmana kanak-kanak itu memahami perkataan yang telah digabungkan menerusi suku kata. Pendekatan pengajaran konstruktivis menekankan hasil pembelajaran jangka panjang menerusi pengalaman dan eksperimen kanak-kanak itu sendiri. Aktiviti penyelesaian masalah dan melakukan eksperimen sendiri secara tidak langsung mengukuhkan kefahamannya terhadap sesuatu yang dipelajari..

Thursday, March 1, 2012

Pendekatan Pengajaran Pendidikan Awal Kanak-Kanak

Pendekatan pengajaran pendidikan awal berasaskan mengikut aliran teori menggambarkan ciri penyampaian pengajaran yang hendak disampaikan untuk mencapai matlamat dan objektif pengajaran dan pembelajaran. Sebagai contoh sekiranya pendidik itu berpegang kepada teori behavioris (tingkahlaku), antara ciri teori tersebut ialah 'latihtubi' (drill). Pendidik yang mengajar kanak-kanak akan memberi latihan berulangkali sehingga tercapai objektifnya. Sebagai contoh membaca huru A...Z maka pendidik pastikan cara kanak-kanak dapat membaca dan mengingati huruf A...Z menerusi latihtubi sambil menghafal. Berbeza dengan teori konstruktivis tidak menekankan latihtubi dan hafalan. Sebaliknya memberi kefahaman dan pengalaman kepada kanak-kanak. Contohnya huruf 'A' dan perkaitannya dengan pengalaman kanak-kanak dengan nama rakannya 'Anom' atau menghubungkan dengan perkara yang biasa dilihat dan difahami. Secara tidak langsung kanak-kanak memahami makna huruf yang dipelajari.