Wednesday, February 29, 2012

Implikasi Komputer Kepada Pendidik Awal Kanak-Kanak

Penggunaan komputer yang bersesuaian memberi implikasi kepada pendidik kanak-kanak di taska dan tadika. Apabila penglibatan pendidik semakin aktif menggunakan teknologi komputer mereka perlu mendapat latihan dan khidmat sokongan yang berterusan. Tujuannya untuk melengkapkan diri membuat keputusan tentang komputer dan perisian yang akan digunakan oleh kanak-kanak di samping menyediakan persekitran pembelajaran yang berkesan dengan penggunaan komputer. Matlamat ini dapat dicapai menerusi latihan yang menyediakan maklumat asas dan kesedaran terhadap teknologi dan perisian komputer yang begitu cepat berkembang san sentiasa berubah. Latihan hendaklah menekankan penilaian perisian yang berhubung dengan perkembangan kanak-kanak.

Tuesday, February 28, 2012

Kerjasama Pendidik Dan Ibu Bapa Memastikan Perisian Komputer

Pendidik awal kanak-kanak di taska dan tadika perlu mendapat pengetahuan tentang perisian yang bersesuaian untuk digunakan oleh kanak-kanak. Adalah menjadi tanggungjawab bersama pendidik dan ibu bapa untuk membuat pilihan terbaik sebagai pengguna. Apabila ibu bapa dan pendidik telah terdidik dengan pemilihan bahan perisian komputer maklumat yang positif dan negatif tentang perisian dapat disampaikan kepada pengguna lain demi kebaikan kanak-kanak.

Monday, February 27, 2012

Komputer Sebagai Alat Bantu Pembelajaran Kanak-Kanak

Penggunaan komputer yang bersesuaian hendaklah digabungjalinkan dengan persekitaran pembelajaran yang biasa dan gunakan sebagai salah satu pilihan untuk membantu kanak-kanak belajar. Komputer perlu digunakan sebagai satu cara untuk membantu arah pendidikan yang sedia ada bukan mengantikannya. Oleh itu komputer mesti digabungjalinkan dalam amalan awal kanak-kanak secara fizikal, fungi dan falsafahnya. Maksud falsafah di sini ialah menepati matlamat dan tujuan penggunaannya.

Sunday, February 26, 2012

Penggunaan Komputer Yang Bersesuaian Memupuk Keupayaan Kognitif Dan Sosial

Penggunaan teknologi termasuk komputer dapat memupuk keupayaan kognitif dan sosial. Komputer dapat menarik minat kanak-kanak terutama pada kesan bunyi dan grafik. Kanak-kanak kecil akan memerhati orang dewasa dan kanak-kanak lebih berusia menggunakan komputer dan kanak-kanak kecil berkeinginan melakukannya juga. Kanak-kanak berminat kepada komputer kerana mereka boleh membuat sesuatu perkara berlaku dengan mengunakan komputer. Perisian yang bersesuaian dapat memupuk kanak-kanak dalam permainan kreatif, menguasai pembelajaran, dan penyelesaian masalah. Kanak-kanak mengawal mengikut rentak masa dan tindakannya. Mereka boleh mengulangi proses atau aktiviti seberapa kerap dan membuat eksperimen menerusi pelbagai cara. Mereka juga boleh bekerjasama dengan rakan lain dan orang dewasa untuk membuat keputusan dan berkongsi penemuan dan rekacipta yang ditemui.

Saturday, February 25, 2012

Perbandingan Komputer Dan Peralatan Pembelajaran Lain

Walau pun pada masa ini terdapat kajian yang menunjukkan komputer mempunyai kesan positif teknologi pada pembelajaran dan perkembangan kanak-kanak, penyelidik masih menyatakan bahawa amalan, penyediaan komputer tidak dapat menggantikan nilai yang tinggi terhadap aktiviti awal kanak-kanak dan peralatan seperti lukisan, bongkah, pasir, air, buku, penerokaan dengan bahan peralatan, dan permainan dramatika. Kajian menunjukkan bahawa komputer boleh digunakan secara amalan yang bersesuaian untuk dimanfaatkan kepada kanak-kanak dan juga boleh disalahgunakan seperti peralatan lain. Oleh itu pendidik dan orang dewasa mesti menggunakan penilaian secara profesional dan menggunakan alat pembelajaran secara betul mengikut kesesuaian, mengaplikasikan ciri yang sama sebagaimana peralatan pembelajaran dan pengalaman lain. Pendidik dan orang dewasa perlu memberi pertimbangan terhadap kos teknologi dengan kos peralatan pembelajaran yang lain dan sumber program untuk membawa kepada keseimbangan yang sesuai di bilik darjah.

Friday, February 24, 2012

Peranan Orang Dewasa Dan Pendidik Menentukan Perisian Komputer

Orang dewasa dan pendidik perlu mengambil langkah dan bertanggungjawab terhadap pengaruh perisian komputer dalam kehidupan seharian kanak-kanak. Terdapat beberapa kenyataan dan isu yang yang dibangkitkan berkaitan kemajuan teknologi komputer dengan kanak-kanak.
  • peranan orang dewasa/pendidik menilai kesesuaian penggunaan teknologi.
  • potensi kebaikan penggunaan teknologi dalam program pendidikan awal kanak-kanak.
  • kesepaduan teknologi dalam persekitaran pembelajaran
  • kemudahan untuk menggunakan teknologi kepada kanak-kanak.
  • unsur keganasan yang 'streo-type'
  • peranan ibu bapa dan pendidik menetapkan peraturan/undang-undang

Thursday, February 23, 2012

Komputer Memberikan Pengalaman Yang Bersesuaian

Amalan yang bersesuaian bahan perisian komputer adalah terbuka dan penerokaan. Kanak-kanak mengawal program, membuat keputusan dan menyelesaikan masalah menerusi cuba jaya untuk membuat perisian yang diingini. Perisian dimuatkan dengan persembahan yang konkrit tentang manusia, haiwan dan objek yang berfungsi secara realiti. Menerusi perisian penerokaan kanak-kanak menemui idea yang bernas tentang diri sendiri dan persekitarannya.

Wednesday, February 22, 2012

Pemilihan Bahan Perisian Komputer

Ramai ibu bapa tidak sedar penggunaan komputer tanpa menilai kandungan bahan perisian (software) akan meninggalkan kesan negatif kepada kanak-kanak. Ibu bapa jangan mudah terpengaruh dengan muka depan kulit yang tertera di bahan perisian. Cuba buat tinjauan kandungan bahan perisian dengan meneliti perkara berikut:
  • bahan grafik
  • kandungan
  • penyelesaian terbuka (open ended)
  • tahap cabaran
  • mesra pengguna
Pemilihan bahan perisian hendaklah disesuaikan dengan tahap usia kanak-kanak dan sesuai dengan nilai budaya. Ealkkan memberi pendedahan dengan unsur keganasan. Didik kanak-kanak bahawa komputer hanya sebagai salah satu alat pembelajaran.

Tuesday, February 21, 2012

Komputer Mengurangkan Kreativiti Kanak-Kanak

Berdasarkan penyelidikan didapati penggunaan komputer boleh mengurangkan kreativiti kanak-kanak jika kanak-kanak menggunakan 'software' komputer secara latih tubi (drilland practice). Satu kajian dijalankan terhadap penggunaan 'software' latih tubi yang digunakan oleh kanak-kanak. Kajian ini telah dijalankan selama satu tahun di bilik darjah yang mempunyai kemudahan komputer digunakan tiga kali seminggu. Kanak-kanak mengalami penurunan 50 peratus dalam kreativiti skor. Tetapi sekiranya kanak-kanak menggunakan bahan terbuka (open-ended), 'software' yang bersesuaian adalah tidak menjejaskan kreativiti. Tidak semua pendidik dan ibu bapa mendapat pendedahan pemilihan bahan 'software' komputer yang bersesuaian untuk kanak-kanak. Pemilihan bahan dan memberikan bahan yang tidak bersesuaian mengakibatkan kesan negatif kepada kanak-kanak.

Monday, February 20, 2012

Pandangan Konstruktivis Terhadap Pendidikan Kanak-Kanak

Pendidik aliran konstruktivis mengandaikan bahawa kanak-kanak secara mental membina pengetahuan menerusi refleksi menerusi pengalamannya. Kanak-kanak merupakan arkitek yang sedang belajar dan menyatakan idea yang ringkas. Teori konstruktivis bermaksud "membina pemikiran bukan melengkapkannya." Main menjadi keutamaan sebagai cara untuk membina pemikiran simbolik yang abstrak. Main juga merupakan konteks pembelajaran sosial kanak-kanak.

Sunday, February 19, 2012

Prinsip Perkembangan dan Pembelajaran Kanak-Kanak

Secara ringkas perkembangan kanak-kanak adalah secara menyeluruh yang meliputi semua domain bahasa, fizikal, kognitif, emosi dan estetika. Perkembangan kanak-kanak yang terbaik dengan adanya sokongan persekitaran yang positif dan dalam kontek lingkungan ekologikal. Peranan keluarga masyarakat dan budaya turut membantu dalam membentuk perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak. Perlu diingat perkembangan kanak-kanak mengikut urutannya sesuai dengan tahap peringkat usia. Perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak mengikut kadar individu sesuai dengan usianya.

Saturday, February 18, 2012

Perspektif Saling Behubungan

Perspektif saling berhubungan mengabungkan dua perspektif iaitu perspektif semulajadi dan pemupukan. Perspektif ini berpandangan perkembangan kanak-kanak prosesnya secara menyeluruh dengan melibatkan semua domain iaitu bahasa, fizikal, emsosi, kognitif dan estetika. Pendidik lebih fleksible terhadap pembelajaran awal kanak-kanak. Semua faktor perkembangan genetik dan persekitaran diambilkira dalam pendidikan kanak-kanak. Bagaimana pun adalah sukar untuk mengambilkira semua faktor dalam mendidik kanak-kanak yang setiap individu mempunyai perbezaan tahap keupayaan, minat, latar belakang keluarga, budaya dan komuniti.

Friday, February 17, 2012

Perspektif Pemupukan

Pandangan mereka yang berpegang kepada perspektif pemupukan (nurture) lebih menekankan kepada pengaruh persekitaran yang membentuk keperibadian kanak-kanak. Contohnya sesuatu tingkahlaku yang dianggap normal di dalam sesebuah keluarga misalnya anak keluarga tersebut seawal usia sudah menunjukkan minat kepada muzik tetapi perkara tersebut adalah terlalu asing bagi keluarga yang lain. Kebaikan pendidik yang berpegang kepada perspektif pemupukan perlu memahami norma dan harapan setiap keluarga, komuniti dan budaya. Kebaikan perspektif pendidik secara proaktif dalam membentuk persekitaran pembelajaran. Manakala keburukannya pendidik menghadapi kesukaran untuk mengubahsuai rekabentuk persekitaran mengikut keperluan setiap kanak-kanak sesuai dengan suasana di rumah masing-masing. Cabaran ini akan mengecewakan pendidik kerana tidak realistik untuk mengikuti kehendak keluarga dalam mendidik kanak-kanak.

Thursday, February 16, 2012

Persepektif Semulajadi

Perspektif semulajadi menekankan kepada baka faktor utama yang menyumbang perkembangan dan pertumbuhan kanak-kanak. Contohnya duduk, berdiri dan berjalan adalah secara semulajadi dan dalam aturan dan urutan yang mudah dipelajari. Jika tingkahlaku itu terarah maka semakin longgar ikatan semulajadi kerana tekanan kematangan. Contohnya tulisan dan menulis itu diberi latihan dan terarah serta tidak berlaku secara semulajadi tetapi memerlukan arahan dan latihan. Pendidik yang berpegang kepada perspektif semulajadi terarah kepada pendekatan pasif dalam pendidikan awal kanak-kanak. Oleh kerana perkembangan kanak-kanak ditentukan oleh biologikal maka peranan pendidik hanya sebagai pendorong kanak-kanak terhadaap pembelajaran kemahiran semulajadi .

Wednesday, February 15, 2012

Bagaimana kanak-kanak belajar?

Terdapat berbagai pandangan dan pendapat serta kajian cara kanak-kanak belajar. Kepelbagaian pandangan dan perspektif tentang pembelajaran kanak-kanak ini mempunyai kekuatan dan kekurangannya. Peranan ibu bapa dan guru hendaklah memberi pengalaman sebaik mungkin kepada kanak-kanak. Semua pandangan dan perspektif hanyalah sebagai panduan dan tidak semestinya diikuti sepenuhnya. Antara perspektif tersebut ialah semulajadi, pemupukan, interaksi dan peraturan.

Tuesday, February 14, 2012

Pendekatan Lihat Dan Sebut

Terdapat kanak-kanak di tadika yang boleh membaca dengan mempelajari perkataan menerusi kaedah 'lihat dan sebut'. Apabila kanak-kanak melihat perkataan yang ditulis tentang nama yang biasa dilihat atau perkataan yang biasa lihat, kanak-kanak mengenalpasti nama atau perkataan. Mereka mengenali perkataan dan meningati kumpulan simbol berkenaan. Adalah dipercayai bahawa kanak-kanak yang mempelajari perkataan dengan cara ini perlu mengingati bentuk atau susunan perkataan. Mereka selalu keliru dengan perkataan yang mempunyai tulisan yang seakan-akan sama seperti 'tupai' untuk 'topi' atau 'caci' untuk 'cuci.' Mereka mungkin tidak tahu nama huruf pada perkataan atau bunyi setiap huruf.

Monday, February 13, 2012

Pendekatan Membaca Pengkodan Atau Fonetik

Pengkodan yang menggunakan pendekatan fonetik ialah mengajar kanak-kanak membaca berasaskan bunyi-bunyi bahasa, 26 abjad dan kombinasinya. Pendekatan ini mengandaikan bahawa untuk membaca kanak-kanak mula-mula mesti boleh mengkod. Maksudnya kanak-kanak boleh menyebut urutan tulisan yang dilihat pada halaman berdasarkan apa yang mereka ketahui tentang hubungan ejaan dan bunyi. Kemahiran membunyikan bunyi-bunyi bahasa memerlukan kepekaan fonemik (bunyi-bunyi), memahami perkataan.

Sunday, February 12, 2012

Program Membaca Berasaskan Sastera

Program membaca berasaskan sastera melibatkan strategi yang berterusan untuk dilaksanakan sehingga kanak-kanak memasuki sekolah rendah. Program ini dikendalikan menerusi membaca secara berkongsi, membaca secara berpandu, perbincangan yang dibimbing dan perbincangan sastera secara berkumpulan atau dikenali sebagai bulatan sastera. Tambahan dua strategi iaitu pendidik membaca dengan jelas dan mengekalkan membaca dengan senyap. Biasanya pendidik yang melaksanakan program ini menggunakan bahan sastera sebenar iaitu buku karya asal yang dihasilkan penulis dan ilustarator. Tujuannya untuk menggalakkan minat kanak-kanak terhadap bahan sastera. Kaedah ini jarang digunakan oleh pendidik taska di negara kita memandangkan penerimaan masyarakat yang belum lagi ke arah budaya masyarakat membaca.

Saturday, February 11, 2012

Pendekatan Membaca Secara Semulajadi

Pendekatan semulajadi merupakan salah satu pendekatan membaca. Asas pendekatan ini berpusat pada idea bahawa kanak-kanak boleh belajar membaca sebagaimana mereka belajar bertutur dengan bimbingan orang dewasa dan bantuan kemahiran awal membaca. Ini disokong dengan kanak-kanak yang belajar membaca itu tinggal di dalam kelompok masyarakat membaca. Pada masa yang sama kanak-kanak belajar untuk bertutur, berjalan, melukis, dan menyanyi:kanak-kanak melihat dan mendengar model pembaca yang mahir. Berdasarkan model yang dilihat, kanak-kanak pula mengenalpasti dan memahami bahawa ia adalah menarik dan berguna untuk dilakukan.

Pendekatan semulajadi juga dikenali sebagai seni pengalaman berbahasa menyatakan bahawa minat pada tulisan (perkataan) membawa kepada mencipta ejaan dan membaca. Sistem membaca semulajadi mencadangkan kanak-kanak belajar membaca dengan mendedahkan kepada pengarang sastera klasik dan pengarang buku kanak-kanak.

Friday, February 10, 2012

Pendekatan Membaca Menyeluruh

Salah satu kaedah mengajar membaca ialah pendekatan membaca secara meyeluruh atau keseluruhan. Kadangkala dipanggil pendekatan seni berbahasa. Pendekatan ini menganggap membaca merupakan sebahagian daripada proses berkomunikasi. Pendekatan ini saling berhubung antara bidang kemahiran untuk membantu kanak-kanak memahami bahawa komunikasi itu adalah proses yang menyeluruh iaitu bertutur, mendengar, menggunakan simbol penulisan dan membaca simbol.

Thursday, February 9, 2012

Pencapaian Membaca Kanak-Kanak

Jelas menunjukkan berdasarkan kepada kajian penyelidikan bahawa proses membaca di kalangan kanak-kanak memerlukan masa yang panjang di awal kehidupannya. Ada kajian yang membuktikan terdapat perbezaan dalam pengalaman pra-literasi dikaitkan dengan pelbagai aras pencapaian membaca semasa awal persekolahan sekolah rendah. Kanak-kanak yang memulakan alam persekolahan formal dengan sedikit pengalaman dan kurang pengetahuan tentang literasi tidak dapat untuk memenuhi keperluan secara cepat untuk membaca arahan semasaa tahun pertama persekolahan (darjah 1).

Kanak-kanak tadika yang diberi latihan dalam kesedaran fonologikal menunjukkan kecekapan membaca. Pengetahuan pra-baca perkataan boleh dianggap sebagai satu jangkaan yang terbaik untuk pencapaian membaca di tahun pertama dengan keupayaan membezakan fonem yang di tahap ke dua. Ada pengkaji yang mendapati kanak-kanak yang berupaya menulis nama sendiri merupakan salah satu jangkaan ciri kebolehan membaca. Kanak-kanak yang memerlukan bantuan tambahan untuk berbahasa di peringkat awal dan perkembangan literasi perlu menerima pendedahan seawal mungkin. Pendidik awal kanak-kanak perlu peka dengan masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak.

Wednesday, February 8, 2012

Memperkaya Bahan Bacaan Kanak-Kanak

Aktiviti membaca yang mendedahkan pengalaman kanak-kanak hendaklah bersesuaian mengikut peringkat umur melibatkan aktiviti memahami bahasa lisan, kepekaan tulisan, pengalaman yang menyeronokan dengan buku bergambar, dramatika, mendengar, aktiviti muzikal dan pelbagai aktiviti berbahasa untuk persediaan kanak-kanak meneroka bacaan. Kurikulum pengajaran bahasa di tadika adalah baik tetapi kurikulum itu sendiri tidak mencukupi.

Pencapaian membaca di peringkat awal usia mungkin hanya dilihat seperti mengenal tulisan dan bunyi. Pendapat ini adalah tidak benar. Kejayaan membaca akan lebih jelas apabila kanak-kanak memasuki darjah 3 dan 4 yang meliputi pengetahuan ingin tahu yang dipupuk dari awal usia. Pengetahuan yang dibekalkan rasa ingin tahu untuk belajar lebih lagi sebenarnya yang menggalakkan kanak-kanak menyoal, membuat penemuan, menilai dan mencipta idea baru untuk berjaya sebagai pembaca.

Tuesday, February 7, 2012

Pengalaman Membaca Kanak-Kanak

Masa dahulu ramai yang beranggapan bahawa kesediaan membaca kanak-kanak pada tahap usia tertentu telah bersedia untuk membaca menerusi 'bacaan arahan.' Kini dapatan kajian menunjukkan bahawa pendidik awal kanak-kanak di semua peringkat mesti menganggap dirinya sebagai guru pembaca walau pun jika mereka tidak memberi arahan membaca secara formal. Pengkaji dan teori mencadangkan pendidik kanak-kanak hendaklah aktif untuk menyediakan pengalaman yang dapat membina bahasa kanak-kanak dan seterusnya membawa kanak-kanak menjadi pembaca. Pengalaman ini sebenarnya sangat bersesuaian jika ia berpadanan dengan setiap kanak-kanak mengikut tahap perkembangan bahasa dan mendorong kecekapan baru dalam lisan dan bahasa penulisan. Apabila kanak-kanak belajar membaca, mereka menggunakan apa yang mereka tahu tentang bahasa lisan untuk memahami bahasa penulisan.

Monday, February 6, 2012

Pengalaman Proses Menulis Bukan Latihan Menulis

Ramai yang berpendapat dan memberi penekanan kepada latihan menulis kepada kanak-kanak. Jarang terdapat tadika yang mempunyai matlamat membimbing kanak-kanak ke arah meminati menulis. Sebaliknya menyediakan persekitaran yang kaya tulisan. Kebanyakan kanak-kanak di tadika duduk berlatih menulis bentuk huruf adalah sesuatu amalan yang tidak sesuai dengan perkembangan kanak-kanak. Malahan terdapat tadika yang memberi latihan menulis sebagai kerja rumah. Sebaik-baiknya kanak-kanak diberi peluang untuk mencuba sendiri dengan bimbingan orang dewasa/pendidik tadika yang sentiasa memberi dorongan dan menerima hasil kerja seadanya bukan mengkritik hasil penulisan kanak-kanak.

Keupayaan kanak-kanak menulis bergantung kepada:
  • kawalan otot.
  • kemahiran mengenal simbol.
  • keupayaan memastikan kedudukan garisan pada simbol.

Sunday, February 5, 2012

Peranan Ibu Bapa Menggalakkan Kanak-Kanak Menulis

Selalunya ibu bapa bertanya kepada pendidik tadika malahan taska tentang keupayaan dan pencapaian anak-anaknya terhadap penulisan. Sebelum memberi penerangan pendidik hendaklah mengenalpasti minat kanak-kanak terhadap penulisan huruf, perkataan dan angka/nombor. Pendidik hendaklah menyediakan panduan penulisan dan nombor untuk ibu bapa yang memerlukannya sebagai panduan membimbing anaknya di rumah. Pendidik sebenarnya mengalakkan percubaan untuk menulis tetapi tidak sekali-kali cuba mengajar menulis kepada setiap kanak-kanak. Terdapat kanak-kanak yang tidak berminat dan ada pula kanak-kanak mendapati terlalu sukar untuk menulis pada tahap perkembangannya.

Ibu bapa boleh membantu dengan menyediakan kertas dan alat tulis untuk anaknya menulis di rumah dengan memberi perhatian apabila ditanya oleh anaknya tentang huruf dan perkataan. Kanak-kanak yang mula terlalu awal menulis huruf dan nombor, penulisannya terbalik, depan ke belakang, atas ke bawah. Perkara ini adalah dijangkakan dan ibu bapa jangan bimbang tentang fenomena ini. Kanak-kanak memerlukan masa untuk memahami dan ibu bapa cuma perlu memberi dorongan untuk memupuk minat secara berterusan bukan paksaan.

Friday, February 3, 2012

Persekitaran Tulisan Dalam Kehidupan Harian

Orang dewasa dan pendidik hendaklah menghubungkan tulisan dengan peristiwa harian sama ada di rumah atau taska/tadika. Hal ini tidak sukar tetapi memerlukan orang dewasa untuk mengenalpasti dan tujuan tindakan. Tulisan boleh dimulakan dengan nama kanak-kanak dan diletakkan pada baju, kasut, makanan, alat mainan, dan untuk semua objek di rumah atau di taska/tadika.

Kanak-kanak perlu belajar tentang tulisan yang boleh memuaskan keperluannya. Ini menjadikan tulisan itu berguna. Kanak-kanak menjadi lebih perihatin terhadap tulisan dengan mengunakan tulisan secara betul dan bermakna mengikut tujuan. Contohnya menulis tanda arah, membaca nama di carta tugasan, melihat tanda KELUAR di pintu, melihat resipi dan mendengar cerita.

Thursday, February 2, 2012

Membacakan Carta Dan Buku Kepada Kanak-Kanak

Apabila orang dewasa membacakan carta atau buku kepada kanak-kanak, tunjuk dengan jari di bawah perkataan atau huruf. Gerakkan jari dari arah kiri ke kanan untuk memberi penekanan bermula dari kiri ke kanan sama ada membaca atau menulis dan menjarakkan antara perkataan. Memperkenalkan nama pengarang dapat membantu kanak-kanak menyedari bahawa pengarang buku itu mecipta cerita dan apa yang direka boleh ditulis. Semasa membacakan perkataan atau huruf hendaklah dengan jelas dan sebutan yang betul.

Wednesday, February 1, 2012

Memupuk Minat Menulis Kepada Kanak-Kanak

Kanak-kanak tidak akan berminat untuk menulis tetapi dengan adanya dorongan, keterbukaan dan sentiasa mengekalkan minat menulis daripada orang dewasa yang memberi sepenuh perhatian kepada kanak-kanak, minat tersebut berkekalan. Kanak-kanak mempunyai masa betahun di masa depannya untuk menguasai kemahiran menulis dengan betul. Perkara yang paling penting di peringkat awal ialah minat kanak-kanak terhadap bentuk dan menyediakan model yang betul dan galakkan daripada orang dewasa. Contohnya apabila kanak-kanak bertanya tentang bentuk huruf, berikan model yang betul dengan menggunakan teknik turis (trace) di atas bentuk huruf dengan menggunakan krayon. Orang dewasa juga perlu menunjukcara menulis supaya kanak-kanak memahami cara penulisan yang betul.

Sempena Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari yang kebetulan sama dengan Hari Lahir saya, aktiviti pada hari ini menerima undangan untuk berkongsi pengalaman kerjaya di sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Kertas. Saya amat terharu dengan undangan ini kerana masih ada yang sudi menghargai kisah hidup saya. Tidak ada apa yang istimewa pada diri saya cuma liku perjuangan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak yang di pandang sepi dan tidak 'glamour' tanpa penghargaan masyarakat bagaikan 'wira yang tidak didendang' tetapi saya tetap setia dan ikhlas sejak dahulu awal 1980an hingga kini.