Tuesday, January 31, 2012

Teguran Positif Menggalakkan Kanak-Kanak Menulis

Peranan orang dewasa dan pendidik di taska/tadika untuk memupuk minat kanak-kanak menulis adalah sangat penting. Kanak-kanak mungkin menunjukkan percubaannya menulis kepada orang dewasa atau menunjukkan nama huruf yang mereka tahu. Kenyataan positif kepada kanak-kanak yang bersesuaian, contohnya: "Ya, itu adalah huruf a" atau "Saya nampak macam huruf a, i dan n (orang dewasa menunjuk dengan jari setiap huruf yang ditulis oleh kanak-kanak) atau "Hilwa, kamu menulis huruf h dan w."

Menerusi teguran positif, orang dewasa mengalakkan dan mengiktiraf hasil kerja kanak-kanak. Selalunya kanak-kanak mungkin terdapat kesalahan nama atau bentuk tulisan. Orang dewasa mungkin boleh bertindak balas dengan mengatakan,"Nampaknya macam bentuk huruf menyerupai perkataan. Mari kita tengok huruf pada carta abjad dan kita tengok huruf yang mana" atau hanya dengan berkata," Tengok, kamu telah menulis huruf b."

Monday, January 30, 2012

Menunjukkan Cara Menulis Kepada Kanak-Kanak

Apabila kanak-kanak meminta orang dewasa atau pendidik di tadika/taska menulis, kedudukannya hendaklah berdiri di belakang kanak-kanak dan lakukan seboleh-bolehnya dari bahagian bahu kanak-kanak. Keadaan ini membolehkan kanak-kanak melihat pembentukan huruf di kedudukan yang betul. Jika orang dewasa/pendidik duduk berhadapan dengan kanak-kanak semasa menulis, tulisan itu akan dilihat terbalik oleh kanak-kanak. Semasa menulis hendaklah menyebut huruf.

Huruf atau nama yang ditulis hendaklah cukup besar untuk kanak-kanak mengenali berlainan bentuk huruf. Saiz huruf lebih kurang 1 inci tinggi (2 cm). Saiz ini agak besar bagi orang dewasa.

Sunday, January 29, 2012

Kanak-Kanak Menulis Tangan Kidal

Menulis tangan kanan atau tangan kiri (kidal) berlaku semasa sistem saraf kanak-kanak mula teguh. Orang dewasa dan pendidik perlu perihatin terhadap penggunaan alatan semasa kanak-kanak menulis. Terdapat kanak-kanak menukar tangan mengikut keselesaannya. Kebanyakan pengguna tangan kiri (kidal) menggunakan tangan kanannya lebih kerap berbanding dengan pengguna tangan kanan menggunakan tangan kiri. Ruang menulis di tadika hendaklah memenuhi semua keperluan kanak-kanak sama ada tangan kiri dan tangan kanan. Orang dewasa dan pendidik perlu menerima keselesaan kanak-kanak menggunakan tangan tanpa mengubahnya. Kedudukan kanak-kanak tangan kiri seboleh-bolehnya di hujung meja semasa aktiviti atau memastikan kanak-kanak tangan kiri tidak memenuhi ruang atau bertembung siku dengan kanak-kanak tangan kanan.

Saturday, January 28, 2012

Memahami Peraturan Simbol Grafik Huruf Dan Pertuturan

Peraturan yang terdapat pada simbol grafik huruf dan pertuturan melibatkan kefahaman asas. Kanak-kanak membina idea tentang peraturan berdasarkan kefahaman asas. Cetakan menitikberatkan penggunaan simbol grafik untuk mewakili bunyi dan gabungan bunyi. Simbol bergabung dan membentuk perkataan dan ayat dalam peraturan tatabahasa (grammatical). Huruf perkataan dijarakkan dan dalam bentuk huruf besar dan huruf kecil. Huruf-huruf ini ditulis dan dibaca dari kiri ke kanan pada halaman. Ruang tepi halaman (margin) bermula dan berakhir pada garisan. Garisan bermula dari atas ke bawah halaman. Tanda koma dan tanda berhenti ayat dan jarak perenggan. Kanak-kanak meneroka dan memahami dengan sendiri dan mendapat bimbingan orang dewasa untuk memahami asas simbol grafik huruf dan pertuturan untuk persediaan belajar membaca dan menulis.

Friday, January 27, 2012

Menulis Huruf Mengikut Keupayaan Kanak-Kanak

Berbagai kaedah dilakukan oleh pendidikan untuk mengajar menulis huruf salah satunya mengikut urutan dari huruf 'A a...hingga...huruf 'Z z'. Ada juga berpendapat memulakan dengan huruf mudah kepada yang lebih sukar supaya tidak menggelakkan rasa bosan apabila kanak-kanak cuba menghasilkan tulisan. Kaedah ini ada baiknya kerana kesedaran 'orthographic' terhadap kebolehan untuk mengenal dan menggunakan rupabentuk simbol grafik dalam bahasa penulisan adalah sesuai melihat grafik yang mudah ke sukar. Contohnya; I, o, L, O, H, D, i, v, l, X, E....adalah kumpulan yang mudah. Manakala kumpulan huruf yang sukar contohnya; R, G, a, u, k, m, j, y, p, g, q.

Kanak-kanak belajar tentang keunikan sesuatu huruf dan rupabentuknya untuk ditulis. Perbezaan visual antara huruf n dan m atau n dan h tidak ketara tetapi kanak-kanak di tadika tidak menghadapi kesukaran menulisnya. Pendidik kanak-kanak kebanyakannya menyedari bahawa setiap kanak-kanak mempunyai pengetahuannya sendiri dan mencari cara tersendiri untuk menulis dan mengingati serta menghasilkan tulisan.

Thursday, January 26, 2012

Orang Dewasa Sebagai Model Kanak-Kanak Menulis

Kanak-kanak memerhati dan menjadikan orang dewasa sebagai model untuk dicontohi. Oleh itu cara menulis yang betul perlu ditunjukkan kepada kanak-kanak. Selain cara memegang pensil yang betul arah pembentukan huruf juga perlu mengikut cara yang betul. Di tadika kanak-kanak mungkin tidak dapat menulis dengan baik tetapi arah pembentukan huruf yang betul dapat melatih kanak-kanak memahami pembentukan huruf. Apabila keupayaan mengawal motor kasar dan motor halus dapat dikuasai maka kemahiran menulis dapat dihasilkan dengan baik. Orang dewasa hendaklah bersabar dan sentiasa memberi dorongan setiap penulisan yang dihasilkan biarpun dalam bentuk yang tidak sempurna. Proses pengalaman menulis perlu dilalui oleh kanak-kanak dan jadikan aktiviti menulis sesuatu yang menarik kepada kanak-kanak.

Wednesday, January 25, 2012

Huruf Yang Sesuai Diperkenalkan Kepada Kanak-Kanak

Ibu bapa mungkin memperkenalkan jenis huruf besar kepada kanak-kanak. Di tadika kanak-kanak juga diperkenalkan dengan bentuk huruf yang akan digunakan pada darjah satu di sekolah rendah. Kanak-kanak sama ada di tadika atau darjah satu tulisan diperkenalkan dalam bentuk cetakan atau dipanggil cetakan D'Nealian. Walau bagaimana pun setiap komuniti atau masyarakat mempunyai gaya penulisan cetak yang tersendiri. Bagi pihak guru hendaklah membiasakan dengan jenis huruf yang sesuai diajar kepada kanak-kanak supaya mudah kanak-kanak mempelajari penulisan huruf.

Kebanyakan jenis penulisan di tadika sepatutnya menggunakan gaya cetakan skrip jenis huruf besar dan huruf kecil. Penulisan nama, papan kenyataan dan label yang dibuat oleh guru hendaklah menggunakan model yang betul.


Tuesday, January 24, 2012

Peringkat Kefahaman Kanak-Kanak Pada Tulisan Dalam Buku

Peringkat mengenali tulisan dipercayai akan timbul bermula dengan peringkat pertama teks dan gambar tidak dibezakan. Kemudian di peringkat ke dua kanak-kanak mula memahami teks adalah untuk label pada gambar. Peringkat ke tiga memahami teks menyediakan penerangan yang mengesahkan perkara yang terdapat pada gambar. Beberapa konsep yang kanak-kanak beransur-ansur memahami tentang tulisan:
  • tulisan bukan gambar dalam buku yang menyatakan cerita.
  • terdapat huruf di perkataan.
  • perkataan adalah kumpulan huruf-huruf.
  • terdapat huruf pertama dan huruf terakhir dalam perkataan.
  • huruf perkataan ada yang huruf besar dan huruf kecil.
  • jarak dalam tulisan ada sebabnya.
  • tanda koma menjadikan perkataan mempunyai makna.

Kanak-kanak dapat mengenalpasti arah kiri-ke kanan dan atas-ke bawah pada tulisan dan juga mula pada halaman kiri untuk membaca seterusnya.

Monday, January 23, 2012

Pendedahan Buku Dan Tulisan Kepada Kanak-Kanak

Pengalaman yang biasa dapat menarik minat kanak-kanak terhadap menulis adalah menerusi mendengar dan melihat gambar pada buku yang dibaca berulangkali. Melalui pendedahan berulangkali kanak-kanak mula memahami teks yang berdekatan atau pada halaman yang sama dengan objek yang diterangkan. Kanak-kanak berusia dua dan tiga tahun berfikir gambar di dalam buku menyatakan cerita. Apabila pengalamannya meningkat mereka sedar bahawa pembaca membaca tulisan pada halaman buku. Setelah mengenal perkataan dalam bentuk tulisan, mereka meniru perkataan di atas kertas atau menggunakan huruf-huruf mainan. Aktiviti ini memerlukan dorongan daripada orang dewasa khususnya ibu bapa.

Kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang berminat untuk menulis di peringkat awal usia seperti menggunakan lakaran, lukisan dan alatan pensil-kertas adalah terdiri daripada kanak-kanak yang telah diperkenalkan dengan melihat tulisan buku yang diminati.

Sunday, January 22, 2012

Hubungkait Pengalaman Melukis Dan Menulis

Kanak-kanak kecil jika diberi kertas dan alat tulis mereka akan melakar. Semakin berusia lakaran kanak-kanak dapat dikawal menjadi garisan yang diingini. Biasanya bermula dengan bulatan, rupa wajah kemudian rupa bentuk keseluruhan dan seterusnya. Kanak-kanak melukis simbolnya sendiri untuk mewakili apa yang dilihat sekelilingnya. Sebenarnya terdapat hubungan antara kebolehan minat melukis dan keupayaan menulis. Melukis dan menulis bukan sahaja menyatakan pemikiran kanak-kanak tetapi juga mempamerkan percubaan awal untuk mencipta simbol. Oleh kerana huruf/abjad lebih abstrak maka diwakili dengan lukisan. Kebanyakan pendidik mencadangkan utamakan melukis ke arah menulis.

Saturday, January 21, 2012

Main Dan Menulis

Mendidik kanak-kanak belajar menulis hendaklah dipupuk selaras dengan fitrah kanak-kanak yang suka bermain. Secara tidak langsung minat akan terbina secara semulajadi. Mengecap, menanda dan menulis mesej imaginasi selalunya merupakan sebahagian aktiviti main dramatika atau main olok-olok. Semasa bermain kanak-kanak boleh melakukan secara olok-olok untuk membaca dan menulis perkataan, cerita dan kanak-kanak juga boleh membuat tanda bersiri di atas kertas. Main menggalakkan kanak-kanak untuk melakukan seseuatu seolah-olah seperti sudah berkemahiran dan berupaya untuk mengawal aktiviti. Menerusi main olok-olok kanak-kanak merasakan mereka telah bersedia membaca dan menulis. Sekurang-kurangnya sebagai langkah awal untuk ke arah literasi. Keyakinan diri terhadap penulisan tinggi tanpa menghiraukan sama ada tulisannya kemas atau sebaliknya. Kanak-kanak memerhati ibu bapa menggunakan bacaan dan penulisan dalam kehidupan harian. Pendidik kanak-kanak boleh membina sikap kanak-kanak dengan memberi contoh/model, tunjukcara dan menyediakan peluang main dramatika yang melibatkan mencetak dan menulis bersama rakan sebaya.

Friday, January 20, 2012

Keperluan Asas Kemahiran Menulis

Terdapat kemahiran asas yang diperlukan oleh kanak-kanak untuk menguasai menulis huruf berkaitrapat dengan perkembangan kognitif:
  • perkembangan otot kecil dan koordinasi.
  • koordinasi mata-tangan.
  • keupayaan memegang alat tulis dengan betul.
  • keupayaan untuk membentuk asas garisan (bulat dan garis lurus).
  • persepsi/tanggapan huruf
  • orentasi terhadap bahasa tulisan termasuk keinginan untuk menulis dan berhubung serta keseronokan untuk menulis nama sendiri.
  • kefahaman kiri-ke-kanan

Thursday, January 19, 2012

Fenomena Kanak-Kanak Mencipta Ejaan

Kanak-kanak gemar 'mencipta ejaan' mengikut pengetahuannya sendiri. Mereka cuba mengeja perkataan yang belum diketahui berdasarkan pengetahuannya tentang sistem ejaan dan cara boleh digunakan. Contohnya kanak-kanak tidak tahu cara mengeja perkataan 'jagong' tetapi kanak-kanak sudah mengetahui huruf yang diperlukan untuk mengeja menerusi sistemnya sendiri maka di tulis 'jgog' untuk 'jagong'. Ejaan yang dihasilkannya memang asing pada orang dewasa tetapi fonomena ini iaitu kanak-kanak mencipta ejaan tidak berkekalan. Fenomena ini lebih bersifat sementara.

Ramai orang dewasa yang secara tidak sedar atau secara sedar turut memperkenalkan sistem mencipta ejaan. Contohnya kesedaran tentang ejaan dengan menggunakan huruf/abjad untuk mewakili perkataan seperti 'B'(buku), 'C'(cikgu). Mungkin dalam bahasa Inggeris ada kelebihannya menggunakan abjad untuk mewakili perkataan misalnya 'C' (see), 'U' (you), 'N' (and). Begitu juga kesedaran tentang ' ejaan prabunyi sebutan' yang menekankan sebutan huruf pertama dan kedua dalam perkataan. Contohnya BJ (baju), SD (sudu).

Wednesday, January 18, 2012

Memahami Bentuk Penulisan Peniruan Kanak-Kanak

Kanak-kanak belajar menulis menerusi peniruan. Bentuk peniruan dibina berdasarkan urutan berikut:
  1. Lakaran kanak-kanak lebih mirip kepada penulisan daripada hasil lukisan atau penerokaan sebenar.
  2. garisan lakaran umumnya mendatar dan bentuk berulang-ulang.
  3. Membina bentuk tertentu biasanya mempamerkan bentuk garisan yang mempunyai tujuan atau makna.
  4. Membentuk mirip huruf.
  5. Huruf atau abjad boleh dikenalpasti ditulis dan mungkin imej pembalikan cermin atau huruf kedudukan terbalik, atas ke bawah.
  6. Perkataan atau kumpulan perkataan abjad dengan jarak terbina.
  7. Mencipta ejaan terjelma dengan bersama gambar.

Tuesday, January 17, 2012

Taklimat Laithan Mengajar Pendidikan Awal Kanak-Kanak


Pada 17 Januari 2012 saya memberi taklimat kepada pelajar-pelajar Kolej SIDMA Sarawak untuk latihan mengajar pada semester Februari 2012. Mereka adalah bakal guru pendidikan awal kanak-kanak yang akan mengajar di tadika (7 minggu) dan di taska (7 minggu). Penerangan tentang pendekatan pengajaran, teknik dan pembinaan bahan pengajaran juga didedahkan. Saya ucapkan "Selamat Menjalani Latihan Mengajar."

Monday, January 16, 2012

Bagaimana Urutan Kesedaran Menulis Kanak-Kanak?

Kanak-kanak membina konsep menulis menerusi lakaran. Menerusi lakaran kanak-kanak memperhalusi dan meluaskan konsep dengan membuat percubaan penulisan. Mereka akan melukis, menuris, meniru dan mencipta rupa bentuk tanda dan huruf mengikut caranya sendiri. Kesedaran menulis biasanya terbina berdasarkan urutan berikut:
  1. kanak-kanak menyedari orang dewasa membuat tanda menggunakan alat tulis.
  2. kanak-kanak menyedari penulisan dalam buku dan di papan tanda - nama jalan, label makanan, buku dan sebagainya.
  3. kanak-kanak sedar akan sesuatu tanda boleh dikenalpasti membina namanya.
  4. kanak-kanak belajar nama sesuatu tanda - selalunya huruf pertama pada namanya.

Sunday, January 15, 2012

Peniruan Kepada Penciptaan

Banyak yang berlaku apabila kanak-kanak berusia antara 3 tahun hingga 5 tahun. Kanak-kanak mula dengan pelbagai tanda-tanda dan bergerak dari peniruan kepada penciptaan. Mereka menghasilkan campuran huruf/abjad sebenar, huruf yang seakan menyerupai huruf sebenar dan percubaan mencipta simbol. Terdapat beberapa mesej penulisan yang boleh dibaca. Tindakan ini memberi isyarat beberapa tingkahlaku baru dan penemuan kanak-kanak:
  • kanak-kanak cuba untuk memperkemaskan rupa bentuk tulisan, memberi perhatian pada bentuk dan huruf khusus.
  • kanak-kanak membina konsep awal tanda bahawa kesedaran tentang simbol mewakili untuk sesuatu.
  • kanak-kanak mengenali tentang kepelbagaian dalam bahasa penulisan.

Saturday, January 14, 2012

Adakah Perlu Satu Sistem Mengajar Cara Memegang Alat Tulis?


Mengajar kanak-kanak berusia 3 tahun dan 4 tahun cara memegang alat tulis menjadi perdebatan dikalangan pendidika awal kanak-kanak. Walau pun kanak-kanak telah diajar oleh ibu bapanya cara memegang alat tulis pendidik di taska dan tadika boleh juga memberi pilihan mengajar cara memegang alat tulis. Kanak-kanak yang sudah ada pengalaman memegang alat tulis akan menyesuaikan cara yang selesa dan betul. Cara memegang alat tulis yang betul adalah seperti berikut: pegang alat tulis antara ibu jari(2) dan jari penunjuk (3) menghala ke hulung alat tulis, dengan meletakkan alat tulis di atas jari tengah (1) (ada orang menyebut jari hantu), jari manis dan jari kelingking membengkok ke dalam tapak tangan.

Friday, January 13, 2012

Koordinasi Tangan Dalam Penulisan Kanak-Kanak

Penulisan dengan betul amat sukar bagi sesetengah kanak-kanak yang berusia 3-4 tahun. Biasanya mereka memegang alat tulis di tapak tangan dan dipandu dengan pergerakan pada bahu, siku atau pergelangan tangan ketika menulis. Menerusi imbangan dan alat tulis yang di halakan jauh, kanak-kanak tidak dapat mengelakkan dari menulis dengan tulisan yang besar. Kemahiran menulis kanak-kanak taska adalah terhad dan menjadi kesukaran kepada mereka untuk membina dan mengabungkan garisan. Kanak-kanak berusia 4 tahun boleh menguasai kemahiran motor memegang pensil dan boleh mengawal jari dan ibu jari (cara memegang pensil).

Thursday, January 12, 2012

Memperkenalkan Asas Menulis

Kanak-kanak boleh mengenal tulisan perkataan di persekitarannya sebelum mereka mengetahui huruf abjad. Kebolehan ini dipanggil 'baca lihat' dan kanak-kanak mungkin mengetahui nama rakan-rakannya di dalam kelas. Terdapat penyelidik yang berpendapat dalam jangka masa tertentu kanak-kanak sudah dapat menyatakan abjad tertentu atau objek sebagai mewakili nama orang atau objek. Kanak-kanak mungkin berkata 'B' adalah nama saya. Kanak-kanak mungkin tidak memahami bahawa abjad adalah set yang lengkap mewakili bunyi perkataan yang digunakan dalam penulisan. Oleh itu kanak-kanak perlu diperkenalkan dengan pengetahuan prinsip abjad. Di dalam prinsip abjad kanak-kanak boleh:
  • memahami bahawa abjad/huruf mempunyai pelbagai bentuk
  • mengenal abjad/huruf dengan nama
  • memastikan ada perkataan bermula dengan huruf/abjad yang sama
  • meyedari abjad/huruf membina bunyi
  • memadankan bunyi kepada huruf yang betul
  • proses makna perkataan menerusi penglihatan - biasanya nama sendiri dan nama rakan sebaya
  • menyedari abjad/huruf adalah kategori penulisan yang khusus.

Wednesday, January 11, 2012

Bermain Bahasa Dengan Puisi


Selepas kanak-kanak diperkenalkan dengan bunyi abjad, bermain bahasa menerusi puisi boleh diperkenalkan. Berikan kata dasar tanpa memberi imbuhan. Kandungan puisi sebaik-baiknya tentang hal pengalaman dan persekitaran kanak-kanak. Bentuk puisi juga memberi pandangan atau visual yang menarik Di sini saya cuba memperkenalkan puisi Jepun iaitu 'Haiku' yang memberi visual (puisi ini telah saya tulis untuk diterbitkan dalam buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka).

Tuesday, January 10, 2012

Bermain Abjad Dengan Puisi 2


Kalau sebelum ini bermain dengan abjad pada setiap perkataan di rangkap,contohnya abjad 'A' pada setiap perkatan 'Adi Atas Awan'. Puisi kali ini bermain abjad untuk memperkenalkan makanan. Kanak-kanak akan merasa keseronokannya apabila mendengar perkataan yang berirama dan secara tidak langsung memperkayakan kemahiran literasi. Puisi makan abjad ini saya tulis untuk buku yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Secara tidak langsung aktiviti puisi abjad ini dapat membimbing dan mendidik kanak-kanak memakan makanan yang berkhasiat. Aktiviti membaca dan menyebut perkataan amat digemari kanak-kanak biarpun belum pandai mengeja tetapi mereka akan cepat mengingat perkataan yang memberi kesan kepada diri mereka yang ada hubungan dengan pengalaman hariannya.

Monday, January 9, 2012

Bermain Abjad Dengan Puisi 1


Puisi kanak-kanak boleh digunakan untuk kanak-kanak mengenali abjad. Bahasa yang berunsur kecindan dapat menarik perhatian kanak-kanak. Abad yang dibaca secara berurutan tanpa sebarang makna dan kesan yang boleh diingati akan membosankan kanak-kanak. Puisi ini saya tulis untuk buku yang telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kanak-kanak akan mengingati abjad atau huruf di awal perkataan dalam ungkapan. Mereka diperkenalkan penggunaan abad untuk kata nama iatu orang, tempat dan makanan. Peristiwa yang biasa dan dekat menerusi pengalaman harian kanak-kanak. Mungkin ada sesuatu unsur yang melucukan atau kecindan seperti 'Hani halau harimau.'

Sunday, January 8, 2012

Apakah itu Sastera Kanak-Kanak?


Adakah terdapat cara untuk mendefinisikan atau memberi tafsiran yang tepat tentang sastera kanak-kanak? Sebenarnya tidak ada peraturan yang tetap atau definisi yang tepat dan terdapat pelbagai pandangan tentang definisi sastera kanak-kanak di kalangan pakar bidang ini. Ada yang mengatakan sastera kanak-kanak adalah apa yang dibaca oleh kanak-kanak dan menyeronokan adalah sebahagian daripada sastera kanak-kanak. Kebanyakan pakar bersetuju dan berpegang kepada sastera kanak-kanak meliputi buku yang bukan sahaja dibaca dan menyeronokan tetapi juga ditulis untuk kanak-kanak yang memenuhi mutu literasi yang tinggi dan piawaian artisitik.

Saturday, January 7, 2012

Gaya Perbualan Kanak-Kanak

Orang dewasa hendaklah memberi perhatian dan menyedari gaya kanak-kanak berbual. Hal ini disebabkan kanak-kanak mempunyai berbagai keupayaan untuk berhubung dan bercakap kemudian cara kanak-kanak bertindakbalas. Gaya perbualan kanak-kanak ini berkembang menerusi pengalaman dan berbual dengan kanak-kanak lain. Kanak-kanak membina pandangannya sebagai pembicara dan 'gaya yang betul'. Berdasarkan pengalaman anda bersama kanak-kanak, apakah gaya perbualan yang anda perhatikan? Mungkin anda mendapati kanak-kanak yang bersungguh-sungguh berbual, pemalu, rasa ingin tahu, berkeyakinan diri, bercakap dengan jelas, pendiam, bertanya, mengulangi percakapan dan pertanyaan, bercakap kuat, terlalu ke depan dan sebagainya. Hal ini perlu diberi perhatian oleh orang dewasa semasa mendekati dan berinteraksi dengan kanak-kanak mengikuti kesesuaian keadaan dan rasa selesa untuk berinteraksi dengan kanak-kanak.

Friday, January 6, 2012

Pertuturan Yang Menggalakkan Kanak-Kanak Menjelaskan Dan Mempelajari Secara Lisan

Pertutran juga dapat menggalakkan kanak-kanak mempelajari sesuatu perkara menerusi lisan. Kanak-kanak akan bertanya atau menjelaskan sesuatu perkara yang diminati dan sesuatu yang ingin diketahui. Orang dewasa dan pendidik boleh mengambil langkah untuk mendorong kanak-kanak belajar secara lisan:
  • menyediakan aktiviti yang dapat menarik perhatian/minat serta rasa ingin tahu.
  • menyediakan peluang untuk membuat kumpulan penyelesaian masalah secara kumpulan.
  • menyediakan frasa/ungkapan semasa bercakap dengan kanak-kanak seperti:

"Apa yang akan terjadi kalau..."

"Cuba lihat jika..."

"Apakah dapat kita lihat jika..."

"Bolehkah kita mencuba cara lain?"

  • dengar dengan penuh perhatian setiap penemuan kanak-kanak dan galakkan kanak-kanak memberi idea dengan menggunakan perkataan.

Thursday, January 5, 2012

Pertuturan Yang Menyatakan Idea Imaginatif

Orang dewasa dan pendidik boleh melaksanakan aktiviti pertuturan kanak-kanak yang dapat menyatakan idea dan imaginatif. Antara aktiviti yang menggalakkan pernyataan idea dan imaginatif:
  • merancang untuk kanak-kanak yang kreatif dan kumpulan yang boleh bertindakbalas untuk menyatakan idea imaginatif.
  • mereka aktiviti yang dapat menggalakkan main peranan (contoh main pondok-pondok).
  • mengalakkan pernyataan idea kreatif kanak-kanak, tindakan dan penyelesaian (contoh kanak-kanak berjaya menyelesaikan susunan bongkah menjadi bangunan).
  • menawarkan aktiviti dramatika, main peranan, dan menyediakan ruang dan peralatan.

Wednesday, January 4, 2012

Pertuturan Yang Menggalakkan Dan Mengekalkan Interaksi

Pertuturan dapat menggalakan serta mengeratkan lagi hubungan antara kanak-kanak dan rakan sebaya, dan antara kanak-kanak dan orang dewasa. Orang dewasa dan pendidik boleh mengambil langkah berikut:
  • merancang untuk berkongsi peralatan, ruang atau bantuan orang dewasa.
  • merancang untuk perbincangan dan penyelesaian masalah dalam kumpulan kecil.
  • mempelbagaikan kumpulan umur kanak-kanak dan gender dalam merancang aktiviti.
  • meraikan dan sosialisi antara kanak-kanak dan orang dewasa di dalam kelas.
  • aktiviti yang memberi kebaikan diri dan kepelbagaian aktiviti hendaklah dihargai.

Tuesday, January 3, 2012

Pertuturan Membantu Kanak-Kanak Mendapatkan Kepuasan Dan Keperluan Yang Diingini.

Pertuturan merupakan alat untuk kanak-kanak mendapatkan sesuatu yang diingini dan menyatakan kepuasannya. Orang dewasa sepatutnya bertindakbalas dengan keperluan dan kehendak kanak-kanak. Antara cara yang boleh dilakukan oleh orang dewasa:
  • mendengar dan bertindakbalas kepada kehendak kanak-kanak.
  • menggalakkan kanak-kanak cuba meminta untuk apa yang diingini dan diperlukan.
  • meningkatkan peluang kanak-kanak untuk membantu kanak-kanak lain dengan memberi arahan lisan.
  • menerangkan dengan cara langkah demi langkah mengikut urutan keperluan untuk mendapatkan keputusan yang diinginkan (contoh bagaimana untuk mendapatkan giliran main papan gelonsor).

Monday, January 2, 2012

Pertuturan Peribadi Dalam Menyatakan Idea, Perasaan Dan Mengambilberat

Pertuturan kanak-kanak secara peribadi dalam menyatakan idea, perasaan dan rasa ingin mengambilberat hendaklah diberi perhatian oleh orang dewasa mahupun pendidik. Langkah yang boleh diambil untuk meneruskan perkembangan pertuturannya:
  • memberi masa dan peluang untuk 'orang dewasa-kanak-kanak' dan 'kanak-kanak-orang dewasa' berkongsi pandangan peribadi dan perasaan.
  • mendengar pada aras mata dan pertuturan yang tidak dirancang (impromptu) sepanjang hari.
  • menerima pandangan/idea kanak-kanak dan perasaan kanak-kanak.
  • jika di taska/tadika menggalakkan lawatan ibu bapa, penglibatan dan interaksi di kelas semasa aktiviti dijalankan (jika mendapat keizinan).
  • berkongsi bahan bacaan (buku cerita) yang dapat mendorong tindakbalas pertuturan

Sunday, January 1, 2012

Perkara Yang Tidak Menggalakkan Perkembangan Pertuturan Kanak-Kanak

Semasa berinteraksi, kanak-kanak memerlukan rakan berbual untuk menyatakan maklumat yang berkaitan dengan topik perbualan dan yang bersesuaian dengan tahap bahasanya supaya dapat membina apa yang telah mereka sedia ketahui.Orang dewasa atau pendidik hendaklah menghindarkan sikap berikut yang tidak menggalakkan perkembangan pertuturan kanak-kanak:
  • membuat komen yang tidak bersesuaian
  • bercakap sahaja tanpa menujukan kepada kanak-kanak
  • menggunakan interaksi mengawal dan mengarahkan
  • kerap mengulangi hal diri
  • mengkritik pertuturan kanak-kanak
  • bercakap dengan orang lain