Thursday, June 30, 2011

Bercakap Sendirian

Kanak-kanak semasa di peringkat tadika mula menggunakan percakapan untuk berkomunikasi dengan orang lain tetapi juga untuk dirinya sendiri. Perkataan baru terbentuk - perkataan sendiri. Apabila kanak-kanak menggunakan perkataan sendiri mereka akan bercakap kuat, tetapi kebanyakan pertuturannya bukan ditujukan kepada sesiapa, hanya pada dirinya sahaja. Perkataan sendirian sebagai langkah pertuturan ke arah sosial ke arah pertuturan dalaman dan akhirnya ke pemikiran verbal. Pertuturan persendirian bukanlah sebagai tanda kurang matang tetapi tanda perkembangan proses kognitif.

Wednesday, June 29, 2011

Kanak-kanak Bercakap dan Berfikir

Orang dewasa hendaklah menggalakkan kanak-kanak bercakap. Menerusi percakapan kanak-kanak menyalurkan pemikirannya. Bermakna apabila kanak-kanak bercakap itulah yang difikirkannya. Kanak-kanak tidak dapat memberi penerangan atau memperjelaskan pemikirannya sebagaimana orang dewasa. Oleh itu menggalakkan kanak-kanak meneruskan perbincangan dengan rakan semasa di taska atau tadika dapat memperkembangkan perkara yang difikirkannya. Sekiranya kanak-kanak sedang berbincang terus diberi galakkan. Suasana perbincangan sesama kanak-kanak dapat menjana pemikiran kreatif dan keyakinan diri. Sebaliknya menyuruh kanak-kanak duduk diam dan menghalang kanak-kanak berbual atau berbincang kerana dianggap membuat bising akan menjadikan kanak-kanak pasif dan kurang keyakinan diri.

Sunday, June 19, 2011

Pemerhatian dan Rekod Asas Kurikulum

Matlamat dan perancangan kurikulum yang realistik adalah berasaskan penilaian yang berterusan kepada keperluan, kekuatan dan minat kanak-kanak. Kurikulum juga berasaskan kesesuaian umur dan maklumat individu. Contohnya latar belakang keluarga dan budaya boleh diperluaskan dalam kurikulum untuk kanak-kanak.

Saturday, June 18, 2011

Kurikulum Kanak-Kanak Menyeluruh

Kuruikulum yang bersesuaian dengan kanak-kanak dibina bersesuaian dengan umur lingkungan kumplan kanak-kanak dan dilaksanakan dengan memberi perhatian kepada perbezaan keperluan, minat dan aras perkembangan kanak-kanak secara individu. Pembelajaran kanak-kanak tidak boleh berlaku secara sempit kepada sesuatu bidang subjek. Perkembangan kanak-kanak adalah menyeluruh. Sebarang aktiviti yang mendorong satu dimensi perkembangan dan pembelajaran memberi kesan kepada dimensi yang lain.

Friday, June 17, 2011

Perkembangan Kanak-kanak Yang Bersesuaian

Apakah yang dimaksudkan dengan perkembangan kanak-kanak yang bersesuaian? Konsep perkembangan yang bersesuaian terdapat dua dimensi:
  1. kesesuaian umur
  2. kesesuaian individu
Kesesuaian mengikut umur boleh diramalkan secara urutan mengikut pertumbuhan dan perkembangan yang berlaku pada diri kanak-kanak dalam alam kehidupannya awal 9 tahun. Jangkaan ini berlaku pada perubahan semua perkembangan domain - fizikal, sosial, emosi, dan kognitif. Pendidik hendaklah menyediakan kerangka program persekitaran pembelajaran dan perancangan pengalaman yang bersesuaian.

Kesesuaian mengikut individu berdasarkan setiap kanak-kanak mempunyai keunikan dari segi corak dan masa pertumbuhannya, personaliti, gaya pembelajaran, dan latar keluarga. Pembelajaran kanak-kanak adalah hasil daripada interaksi antara pemikiran kanak-kanak dan pengalaman dengan peralatan, idea dan manusia. Pengalaman mestilah berpadanan dengan keupayaan perkembangan kanak-kanak, mencabar minat dan kefahaman kanak-kanak.

Thursday, June 16, 2011

Peranan Lelaki Dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak

Pendidikan awal kanak-kanak didominasi oleh kaum wanita lebih daripada 97 peratus. Terdapat kaum lelaki melibatkan diri dalam bidang ini di kelas tadika yang begitu komited dengan tanggungjawabnya. Kanak-kanak yang datangnya dari keluarga ibu tunggal tiada bapa merasakan watak bapa, guru lelaki dapat memenuhi peranan kepada kanak-kanak ini. Ramai kaum lelaki yang tidak menceburi bidang ini disbabkan gaji yang kecil (kecuali guru prasekolah KPM) pandangan negatif ibu bapa terhadap lelaki mendidik kanak-kanak, rakan sekerja dan pentadbir.

Mungkin ada pandangan lain untuk menggalakkan kaum lelaki terlibat dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Mohon kongsikan pandangan dan pengalaman anda.

Wednesday, June 15, 2011

Peranan Pembantu Guru Prasekolah

Mungkin berlaku kekeliruan jika membandingkan peranan pembantu guru di negara yang telah lama mengamalkan pendidikan awal kanak-kanak. Perkongsian pengalaman saya sewaktu belajar diwajibkan mengambil sijil untuk menjadi guru dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Sebelum diikraf sebagai guru saya terpaksa mengambil sijil pembantu guru iaitu tugasnya membantu aktitivi pengajaran dan pembelajaran di kelas, menyediakan makanan, membantu guru aktiviti luar dan lawatan lapangan. Sekiranya guru tidak ada seperti mesyuarat maka tugas menjalankan aktiviti sementara dilakukan oleh pembantu guru.

Apakah isu pembantu guru di negara kita khususnya di kelas prasekolah? Mungkin pembaca boleh berkongsikan pandangan dan pengalaman.

Tuesday, June 14, 2011

Kesesuaian Umur

Apabila membicarakan kesesuaian umur dalam pendidikan awal kanak-kanak terlalu luas untuk didefinisikan. Kajian perkembangan manusia mendapati adalah universal, jangkaan urutan pertumbuhan dan perubahan berlaku pada usia kanak-kanak awal 9 tahun dalam kehidupannya. Jangkaan perubahan berlaku dalam semua domain perkembangan iaitu fizikal, emosi, sosial dan kognitif. Pengetahuan terhadap perkembangan kanak-kanak dalam lingkungan kehidupannya dapat memberikan program dan kerangka untuk guru menyediakan persekitaran pembelajaran dan perancangan pengalaman yang sesuai.

Monday, June 13, 2011

Program Bayi dan Tatih

Program bayi dan tatih iaitu kanak-kanak di bawah 3 tahun mempunyai matlamatnya iaitu untuk memastikan kanak-kanak selamat, sihat, terjamin emosinya dan memperkayakan intelektual pada permulaan kehidupannya. Matlamat dapat dicapai menerusi:
  1. meningkatkan kualiti dan kemudahan asuhan kanak-kanak untuk semua kanak-kanak di bawah usia 3 tahun menerusi latihan yang berkualiti.
  2. meningkatkn jumlah jurulatih yang berpengetahuan dan berkelayakan fokus kepada kanak-kanak lahir hingga 3 tahun menerusi latihan yang berkualiti.
  3. menyebar luaskan maklumat yang dapat meningkatkan amalan tindakbalas, menghargai dan asas hubungan pengasuhan bayi-tatih.
  4. menggalakkan proses perancangan kurikulum yang menyediakan setiap bayi adalah unik kurikulumnya.
  5. memaklumkan kepada badan yang berkaitan di peringkat kebangsaan, negeri, daerah dan majlis tempatan yang membuat dasar bahawa pembinaan kurikulum dan aktiviti program adalah berpusatkan kepada keperluan dan minat bayi, tatih dan keluarganya.
Maklumat di atas hanya sekadar pandangan yang mungkin boleh dimanfaatkan demi kepentingan pendidikan kanak-kanak di bawah usia 3 tahun.

Sunday, June 12, 2011

Namakan Benda

Kumpulkan gambar-gambar yang terdapat di dalam rumah atau kelas taska/tadika seperti meja, kerusi, almari dan radio. Gambar yang diperolehi daripada majalah dan akhbar boleh digunakan. Lekatkan gambar pada kad yang diperbuat daripada jenis kertas keras seperti manila kad. Minta kanak-kanak meletakkan gambar pada benda yang sama di dalam rumah atau kelas. Kanak-kanak di minta menyebut nama benda yang sama dengan gambar.

Saturday, June 11, 2011

Pertanyaan kesan atau akibat?

Pertanyaan jika atau kalau? Dapat membantu kanak-kanak memikirkan keputusan atau hasil sesuatu perkara terhadap kesan dan akibat perubahan berlaku. Kemukakan soalan dan beri masa kanak-kanak untuk meneka hasilnya sebelum sesuatu perkara dilakukan. Contoh:
"Apa yang akan berlaku kalau saya masukkan ice cream ke dalam air panas?
"Apa akan berlaku jika tidak ada matahari?"
"Apa akan berlaku jika awan hitam?"

Tuesday, June 7, 2011

Ukuran

Berapa panjang? Berapa jauh? Berapa tinggi? Kanak-kanak boleh diajar konsep asas mengukur. Ambil pembaris dan tutup atau lekatkan dengan 'tape' nombor yang terdapat pada 'tape' apabila memperkenalkan idea mengukur. Mulakan dengan menyuruh kanak-kanak mengukur benda yang panjang atau pendek daripada pembaris. Ini adalah penting untuk membantu kanak-kanak membuat penemuan bahawa perubahan dalam kedudukan tidak bermakna berubah dalam ukuran. Galakkan kanak-kanak mengukur semua benda.

Monday, June 6, 2011

Aktiviti Langkah Gergasi

Aktiviti langkah gergasi salah satu latihan membilang dan senaman yang baik untuk kanak-kanak. Orang dewasa," Mari bermain langkah gergasi. Mula-mula saya mahu kamu pilih langkah gergasi atau langkah bayi. Kemudian saya beritahu berapa langkah yang kamu boleh buat. Selepas kamu melangkah giliran kamu memberitahu saya."

Orang dewasa,"Kamu boleh mula tiga langkah gergasi: 1, 2, 3." (Kira dengan kuat semasa kanak-kanak melangkah. Pastikan kanak-kanak juga mengira dengan kuat semasa orang dewasa melangkah).

Sunday, June 5, 2011

Bawakan Saya 5

Menggalakkan kanak-kanak membilang boleh dijalankan menerusi arahan mudah. Apabila meminta anak mengambil sesuatu benda dengan mengatakan," Tolong bawakan saya 5 sudu." Setelah kanak-kanak membawa sudu, letakkan di tempat yang anda dan kanak-kanak boleh melihat kemudian kira bersama:"1, 2, 3, 4, 5. Lima sudu. Terima kasih."

Friday, June 3, 2011

Membilang Benda Yang Berbeza

Salah satu cara mengajar membilang pada kanak-kanak ialah membilang benda yang berbeza. Benda yang hendak dibilang merupakan benda yang biasa di persekitaran kanak-kanak. Membilang butang baju, membilang tingkap di dalam rumah, membilang kerusi di dapur, membilang duit siling, membilang biskut, membilang benda di atas meja. Kepelbagaian adalah penting.

Thursday, June 2, 2011

Kesepaduan Komponen Bayi dan Tatih

Kesepaduan komponen yang sesuai diamalkan adalah interaksi antara orang dewasa dengan kanak-kanak. Orang dewasa hendaklah sentiasa berhubung satu-dengan-satu, wajah ke wajah berinteraksi dengan bayi. Orang dewasa bercakap dengan mesra, suara yang lembut dan menggunakan bahasa yang mudah dan mata sentiasa memberi tumpuan.

Amalan yang tidak bersesuaian adalah meninggalkan bayi sendirian dengan jangka masa yang lama di tempat bayi (katil atau buaian), tempat main atau tempat duduk bayi tanpa jagaan orang dewasa. Semasa bercakap menggunakan suara yang lantang, kasar atau bercakap seperti bahasa bayi.

Wednesday, June 1, 2011

Mengajar Membilang

Tip untuk mengajar anak anda mengira atau membilang dengan menyentuh setiap benda dan anda kira dengan berkata," Mari kita mengira sudu untuk tahu berapa jumlahnya. Satu (sentuh) sudu), dua (sentuh sudu ke dua), tiga (sentuh sudu ke tiga). Ada tiga batang sudu. Mengapa kamu tidak cuba kira?"