Monday, February 28, 2011

Larangan Di TASKA

Akta dan peraturan telah menetapkan perkara berikut adalah larangan (prohibition) di taska:
(1) dilarang berludah di kawasan taska
(2) dilarang menggunakan sebarang produk tembakau
(3) dilarang merokok di kawasan taska
(4) dilarang memelihara binatang

Sunday, February 27, 2011

Pengasingan Sementara Di TASKA

Pihak pengusaha, pengurus, penyelia, pengasuh kanak-kanak, pengasuh berdaftar di taska sekiranya terdapat kanak-kanak yang sakit semasa di taska hendaklah diasingkan daripada kanak-kanak lain. Pengasingan sementara (temporarily isolation) perlu dilakukan untuk mengelakkan daripada berjangkit kepada kanak-kanak lain. Berikut langkah yang perlu diberi perhatian:
(a) ambil langkah yang sesuai untuk mengasingkan kanak-kanak daripada kanak-kanak lain yang hadir di taska.
(b) pastikan memaklumkan dengan segera ibu bapa atau penjaga kanak-kanak yang sakit tentang keadaan anaknya.

Kanak-kanak yang sakit di taska perlu di letakkan di sebuah bilik yang sesuai untuk tujuan pengasingan.

Apakah langkah untuk mengelakkan kanak-kanak yang sakit dihantar ke taska? Mohon berkongsi pengalaman dan pandangan bersama pembaca?

Saturday, February 26, 2011

Peti Pertolongan Cemas Di TASKA

Akta dan Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak telah menetapkan sekurang-kurangnya sebuah peti pertolongan cemas (first aid kit) sebagaimana yang dicadangkan oleh Jabatan Kesihatan. Setiap peti pertolongan cemas mesti:
(a) mengandungi peralatan yang tidak lupus (unexpired equipments)
(b) sentiasa memuaskan penjagaan peralatannya
(c) diletakkan pada tempat yang selamat dan tidak boleh dicapai oleh kanak-kanak

Friday, February 25, 2011

Pemeriksaan Perubatan Untuk Kanak-Kanak Dan Pekerja Di TASKA

Pemeriksaan perubatan adalah penting khususnya kepada semua kanak-kanak, pengurus, penyelia, pengasuh kanak-kanak, pengasuh kanak-kanak berdaftar atau pekerja di taska tempat kerja, komuniti dan institusi untuk menjalani pemeriksaan perubatan. Laporan perubatan perlu dihantar kepada Ketua Pengarah JKM, mana-mana pengawai penguasa atau pelindung.

Pengusaha taska di rumah juga tidak terkecuali untuk menjalani pemeriksaan perubatan. Pengusaha taska di rumah hendaklah menghantar kepada Ketua Pengarah JKM, mana-mana pegawai penguasa atau pelindung semua kelulusan kelayakan perubatan yang telah ditanda tangani oleh pegawai perubatan atau pengamal perubatan yang berdaftar.

Thursday, February 24, 2011

Pengasingan Penyakit Berjangkit Di TASKA

Pengasingan daripada hadir ke taska apabila pengawai perubatan atau pengamal perubatan telah mengesahkan kanak-kanak, penyelia, pengasuh kanak-kanak, pengasuh berdaftar atau pekerja berpandukan kepada:
(a) dijangkiti atau pernah dijangkiti penyakit berjangkit atau parasit.
(b) telah berhubung atau tinggal bersama di rumah orang yang telah dijangkiti penyakit berjangkit atau parasit.

Pengusaha taska di tempat kerja dan institusi, pengurus taska komuniti jika perlu mendapatkan laporan bertulis daripada pengawai perubatan atau pengamal perubatan untuk mengecualikan dan mengasingkan kanak-kanak, penyelia, pengasuh kanak-kanak, pengasuh berdaftar atau pekerja daripada hadir untuk jangka masa tertentu.

Pengurus, penyelia, pengasuh, pengasuh berdaftar atau pekerja di taska tempat kerja, komuniti dan institusi hendaklah melaporkan kepada pegawai perubatan atau pengamal perubatan sekiranya mengetahui kes penyakit berjangkit dikalangan kanak-kanak atau pekerja di taska telah dijangkiti penyakit berjangkit.

Wednesday, February 23, 2011

Pemeriksaan Perubatan Di TASKA

Pemeriksaan perubatan mengikut Akta dan Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak 2010 mesti dipatuhi oleh mereka yang terlibat dalam perkhidmatan taska sama ada taska di tempat kerja, komuniti dan institusi.
Pengusaha taska di tempat kerja perlu mengaturkan pemeriksaan perubatan kepada:
(a) kanak-kanak, pengurus, penyelia, pengasuh kanak-kanak, pengasuh berdaftar dan pekerja sekiranya diperlukan.
(b) memastikan semua pengurus, penyelia, pengasuh kanak-kanak, pengasuh berdaftar dan pekerja menjalani pemeriksaan perubatan sekurang-kurangnya setahun sekali.

Pengurus taska komuniti perlu mengaturkan pemeriksaan perubatan kepada:
(a) kanak-kanak, penyelia, pengasuh kanak-kanak, pengasuh berdaftar dan pekerja sekiranya diperlukan.
(b) memastikan semua penyelia, pengasuh kanak-kanak, pengasuh berdaftar dan pekerja menjalani pemeriksaan perubatan sekurang-kurangnya setahun sekali.

Pengusaha dan penyelia taska di institusi perlu pemeriksaan perubatan kepada:
(a) kanak-kanak, pengasuh kanak-kanak, pengasuh berdaftar dan pekerja sekiranya diperlukan.
(b) memastikan penyelia. pengasuh kanak-kanak, pengasuh berdaftar dan pekerja menjalani pemeriksaan perubatan sekurang-kurangnya setahun sekali.

Tuesday, February 22, 2011

Pemantauan Kesihatan Kanak-Kanak Di TASKA

Kadangkala pemerikasaan kesihatan kanak-kanak yang dihantar oleh ibu bapa atau penjaga ke taska tidak diambilberat oleh pihak taska khususnya semasa ketibaan kanak-kanak. Akta dan Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak ada menyatakan:
"Keadaan kesihatan kanak-kanak perlu dipantau setiap hari semasa kanak-kanak tiba di taska berhubung dengan penampilan, kebersihan, kebersihan diri, suhu, masalah kulit dan sebarang keadaan yang luar biasa perlu dikesan."

Bagaimana anda memeriksa kanak-kanak setiap hari? Mungkin pembaca boleh berkongsi pengalaman menerusi blog ini.

Monday, February 21, 2011

Air, Makanan Dan Nutrisi Di TASKA

Bekalan air ke setiap premis taska mestilah air yang bersih. Manakala garis panduan makanan yang dinyatakan dalam Akta dan Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak adalah seperti berikut:
(1) Semua makanan dan minuman yang disediakan untuk kanak-kanak sama ada disediakan di taska atau sebaliknya mesti disediakan dengan betul dan bersih.
(2) Semua pengusaha makanan atau penyedia makanan untuk taska di tempat kerja, komuniti dan institusi mesti mempunyai sijil imunisasi yang diperakui oleh Jabatan Kesihatan dikeluarkan oleh pegawai perubatan atau pengamal perubatan yang berdaftar.
(3) Makanan atau minuman yang disediakan mesti mengandungi diet yang seimbang, berkualiti dan memenuhi keperluan asas nutrisi kanak-kanak mengikut skala diet yang dicadangkan oleh Jabatan Kesihatan.
(4) Susu yang disediakan di taska mestilah yang telah diluluskan oleh Ketua Pengarah atau mana-mana pegawai yang diberi kuasa.
(5) Menu makanan yang diberi kepada kanak-kanak mesti disediakan sebelum dihidangkan dan sentiasa bersedia untuk diperiksa pada bila-bila masa oleh Ketua Pengarah atau mana-mana pegawai yang diberi kuasa.

Sunday, February 20, 2011

Jangka Masa Aktiviti Di TASKA

Aktiviti yang dijalankan sama ada taska di tempat kerja, institusi, komuniti dan di rumah mestilah tidak melebihi tiga puluh minit. Akta dan Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak juga menyarankan semasa menjalankan aktiviti:
(a) diselia oleh penyelia, pengasuh atau pengasuh berdaftar mengikut kesesuaiannya.
(b) hendaklah sesuai dengan umur, tahap perkembangan dan keadaan kanak di taska.
(c) memberi peluang aktiviti dalam dan luar bangunan, dan waktu rehat.
Aktiviti taska di rumah hendaklah diselia oleh pengasuh.

Jadual aktiviti hendaklah dipamerkan pada tempat yang sesuai. Semua jadual aktiviti perlu mendapat kelulusan Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat. Sebarang perubahan jadual hendaklah dimaklumkan kepada pegawai yang diberi kuasa (authorized officer) dan ibu bapa kanak-kanak.

Saturday, February 19, 2011

Aktiviti Kanak-Kanak Di TASKA

Aktiviti kanak-kanak hendaklah dirancang penjadualannya dan mendapat kelulusan daripada Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Setiap taska hendaklah merancang jadual aktiviti termasuk aktiviti rutin seperti makan, minum, rehat, tidur, mandi dan aktiviti yang memenuhi keperluan menyeluruh perkembangan kanak-kanak. Penjadualan aktiviti mesti disediakan untuk taska di tempat kerja, institusi, komuniti dan di rumah.

Semasa menghantar permohonan kelulusan aktiviti kepada Pengarah JKM hendaklah menyertakan nama dan alamat taska. Aktiviti itu mestilah sesuai dengan setiap tahap perkembangan kanak-kanak mengikut umur yang berikut:
(a) lahir hingga 1 tahun
(b) 1 hingga 3 tahun
(c) 3 hingga 4 tahun

Friday, February 18, 2011

Penyimpanan Rekod Di TASKA

Pengusaha atau pengurus taska perlu menyimpan rekod termasuklah:
(a) nama dan alamat rumah kanak-kanak yang diterima.
(b) alamat penjaga yang boleh dihubungi jika sakit atau berlaku kecemasan semasa kanak-kanak di taska.
(c) tarikh pendaftaran kanak-kanak di taska.
(d) jumlah kanak-kanak berdaftar yang hadir di taska setiap hari.
(e) salinan rekod kesihatan kanak-kanak.
(f) nama, alamat dan kelayakan setiap pekerja di taska
(g) nama, nombor kad pengenalan dan alamat orang yang menghantar kanak-kanak ke taska.
(h) rekod-rekod tentang keselamatan, kesihatan, kewangan, dan kebersihan.

Semua rekod tersebut boleh diperoleh oleh penyelia dan boleh ditunjukkan kepada Ketua Pengarah atau pihak berkuasa JKM apabila di minta pada bila-bila masa. Semua rekod hendaklah dikemaskini setiap masa.

Thursday, February 17, 2011

Alat Kebakaran Dan Latihan Kebakaran Di TASKA

Alat kebakaran (fire extinguisher) perlu disediakan. Latihan kebakaran (fire drill) dengan mengosongkan (evacuation) bangunan di taska perlu diadakan sebagaimana yang disarankan dalam Akta dan Peraturan Taman Asuhan Kanak-kanak. Antara perkara yang disarankan adalah seperti berikut:
(a) memastikan taska mempunyai alat kebakaran yang berfungsi.
(b) merancang latihan mengosongkan bangaunan sekiranya berlaku kebakaran di taska.
(c) memastikan latihan mengosongkan bangunan di premis termasuk menggunakan semua pintu keluar dilakukan oleh pengurus, penyelia, pengasuh kanak-kanak, pengasuh berdaftar dan pekerja sekurang-kurang sekali setiap tiga bulan.
(d) Latihan mengosongkan bangunan hingga keluar dari bahagian lantai bawah bangunan.
(e) Sentiasa kemaskini rekod (i) latihan (ii) masa yang diambil semasa mengosongkan bangunan

Pengusaha taska di rumah perlu merancang pengosongan bangunan sekiranya berlaku kebakaran.

Semua pengusaha taska perlu memastikan setiap laluan keluar bilik di taska bebas daripada sebarang halangan sepanjang masa.

Wednesday, February 16, 2011

Langkah Keselamatan Di Taska

Pencegahan untuk mengawal keselamatan daripada berlaku kebakaran di taska adalah amat penting. Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak telah menetapkan garis panduan untuk mencegah kebakaran sama ada taska di tempat kerja, institusi, dan komuniti.
(1) Mana-mana pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat mesti berpuas hati terhadap bangunan dan premis mempunyai tahap keselamatan yang baik terutama semasa berlaku kecemasan.
(2) Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat mesti berpuas hati dengan bangunan dan premis mempunyai tahap keselamatan yang baik terutama semasa berlaku kecemasan.
(3) Mana-mana pegawai Bomba dan Penyelamat bila-bila masa akan memeriksa mana-mana premis sama ada di tempat kerja, institusi dan komuniti.
(4) Seseorang tidak boleh menghalang pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat semasa menjalankan tugasnya.

Tuesday, February 15, 2011

Keselamatan Kebakaran Di TASKA

Mana-mana pegawai dari Jabatan Bomba dan Penyelamat perlu menasihat kepada pengusaha atau pengurus taska terhadap keselamatan kebakaran dan memberi cadangan untuk mengelakkan kebakaran. Mereka yang terlibat dengan taska seperti pengusaha, pengurus, penyelia, pengasuh, pengasuh berdaftar, pekerja sama ada taska di tempat kerja, institusi dan di rumah perlu mendapat pendedahan tentang keselamatan kebakaran dengan nasihat dari pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Monday, February 14, 2011

Kebersihan Dan Keselamatan Perabot, Perkakasan dan Main Di TASKA

Penjagaan kebersihan dan keselamatan terhadap perabot, perkakasan (fixture) dan mainan di taska perlu diberi perhatian. Berikut perkara yang perlu diberi perhatian sebagaimana yang dinyatakan di dalam akta dan peraturan taman asuhan kanak-kanak:
(1) Pengusaha atau pengurus taska mesti memastikan kebersihan dan keselamatan perabot, hiasan, perkakasan dan mainan yang disediakan sentiasa berkeadaan baik.
(2) Perabot. hiasan, perkakasan, mainan dan lain-lain peralatan yang akan digunakan oleh kanak-kanak mesti sentiasa dijaga dengan baik.

Penggunaan sebarang bentuk dan jenis katil kanak-kanak di taska adalah dilarang.

Sunday, February 13, 2011

Peralatan Mainan Di TASKA

Di dalam Akta dan Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak dinyatakan tentang penggunaan peralatan mainan yang sepatutnya digunakan untuk kanak-kanak di taska. Di antara peraturannya adalah seperti berikut:
(1) Bahan dan peralatan mainan yang mencukupi untuk aktiviti permainan sesuai dengan umur, tahap keperluan perkembangan yang menyeluruh kanak-kanak perlu disediakan untuk kanak-kanak di taska.
(2) Mainan (toys) yang disediakan di taska mestilah berupaya menyediakan peluang kanak-kanak menggunakan deria untuk penerokaan, merekacipta, koordinasi dan imaginasi semasa aktiviti permainan.

Saturday, February 12, 2011

Perabot Dan Peralatan Di TASKA

Penggunaan perabot dan peralatan yang hendak digunakan mestilah sesuai dan selamat. Berikut adalah antara peraturan yang dinyatakan dalam Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak:
(1) Setiap taska perlu menyediakan peralatan katil yang sesuai untuk kanak-kanak.
(2) Tilam, bantal, alas tempat tidur, sarung bantal dan selimut yang disediakan untuk kanak-kanak perlu bersih dan sesuai dengan tahap perkembangan kanak-kanak.
(3) Untuk tujuan (2), peralatan mestilah diperbuat daripada jenis yang mudah dibersihkan, dicuci atau dibasmi kuman.
(4) Perabot dan hiasan yang digunakan mestilah daripada jenis yang selamat dan sesuai dengan peringkat umur, keperluan dan tahap perkembangan menyeluruh kanak-kanak.
(5) Untuk tujuan (4), perabot dan hiasan mestilah yang diperbuat daripada jenis yang mudah dibersihkan, dicuci atau dibasmi kuman dan sentiasa dalam keadaan bersih.

Friday, February 11, 2011

Penyelenggaraan Bangunan Di TASKA

Bangunan atau premis taska perlu dijaga supaya berkeadaan baik, selamat dan tiada sebarang peralatan yang membahayakan kanak-kanak. Memandangkan kepentingan keselamatan bangunan pihak taska dinasihatkan memeriksa secara berkala dan sebarang kerosakan hendaklah diperbaiki.

Cat bangunan taska di tempat kerja, komuniti dan institusi hendaklah yang sesuai dan berkeadaan baik sepanjang masa. Peringatan minta nasihat kepada pakar cat untuk menggunakan bahan yang tidak mengandungi bahan toksid.

Thursday, February 10, 2011

Pendawaian Eletrik Di TASKA

Pendawaian eletrik di taska perlu menekankan keselamatan. Sebarang perubahan kepada sistem pendawaian mesti mendapat kebenaran daripada pihak yang bertanggungjawab atau pihak berkuasa yang berkaitan. Pengusaha atau pengurus taska mesti mengambil langkah keselamatan terhadap 'switch', 'socket', pendawaian, penyambung pendawaian atau lain-lain yang berkaitan dengan pendawaian.

Wednesday, February 9, 2011

Bilik Basuh Dan Tandas Di TASKA

Taska di tempat kerja, komuniti dan institusi perlu menyediakan kemudahan untuk membasuh dan mencuci, bilik persalinan dan bilik mandi untuk kanak-kanak dan pekerja. Bilik basuh dan tandas di taska hendaklah sesuai dan mesra kanak-kanak. Sekiranya bilik tersebut memerlukan pembahagi hendaklah dibina untuk memastikan terasing atau terlindung dari bilik atau kawasan aktiviti kanak-kanak.

Taska di tempat kerja, komuniti dan institusi perlu menyediakan sekurang-kurangnya satu tandas untuk sepuluh orang kanak-kanak. Kemudahan tandas dan tempat persalinan mesti sentiasa dalam keadaan bersih dan tidak boleh digunakan untuk tujuan lain.

Tuesday, February 8, 2011

Dapur Di TASKA

Dapur atau tempat menyimpan makanan di taska hendaklah terletak di bilik atau tempat yang terasing daripada bilik atau kawasan aktiviti yang digunakan oleh kanak-kanak. Kanak-kanak tidak dibenarkan ke dapur. Penghadang di letakkan pada pintu untuk mengelakkan kanak-kanak ke dapur.

Monday, February 7, 2011

Keluasan Kawasan Lantai TASKA

Keluasan kawasan lantai di taska yang ditetapkan mengikut akta dan peraturan adalah sekurang-kurangnya 3.5 meter persegi untuk taska di tempat kerja, komuniti dan institusi. Manakala taska di rumah pula sekurang-kurangnya 2.5 meter persegi.

Sunday, February 6, 2011

Hiasan Dalaman TASKA

Umumnya hiasan dalaman yang digariskan dalam akta dan peraturan antaranya dinyatakan:
(1) hiasan dalaman di taska hendaklah mesra kanak-kanak.
(2) perabot dan peralatan yang hendaklah sesuai dan selamat apabila digunakan oleh kanak-kanak di taska.
(3) kelengkapan dalaman diperbuat daripada bahan bukan toksid dan selamat digunakan oleh kanak-kanak.
(4) pembahagi yang sesuai dengan hiasan dalaman di premis atau bangunan. Pastikan dibina selamat untuk kanak-kanak.

Saturday, February 5, 2011

Kedudukan TASKA

Kedudukan atau lokasi taska menentukan jenis taska itu dijalankan. Mengikut Akta dan Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak jenis taska mengikut kedudukan atau lokasi adalah seperti berikut:
(1) Taska tempat kerja mesti berada di premis atau tempat kerja.
(2) Taska tempat kerja mesti berada di bangunan lain dengan syarat di bawah pengurusan majikan.
(3) Taska komuniti mesti di kawasan yang diiktiraf oleh Pengarah JKM.
(4) Taska institusi mesti berada di kedudukan atau lokasi yang sesuai dan tidak boleh menolak penduduk tempatan.
(5) Berdasarkan kedudukan atau lokasi, terdapat beberapa taska institusi dan tidak semestinya terhad kepada sebuah taska sahaja.

Friday, February 4, 2011

Pengubahsuaian Bangunan

Sekiranya anda ingin mengubahsuai bangunan atau presmis taska, perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Pengarah JKM dan memenuhi keperluan perundangan undang-undang tempatan berkaitan dengan bangunan berhubung pengubahsuaian perkara berikut:
(a) pengubahsuaian struktur lokasi bangunan.
(b) pengubahsuaian membina atau penambahan di presmis.
(c) pengubahsuaian atau penambahan kemudahan tandas atau pengubasuaian pencahayaan atau pengudaraan.
(d) pembahagian dalam bilik.

Thursday, February 3, 2011

Keadaan Bangunan Atau Premis TASKA


Akta dan Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak telah menetapkan garis panduan keadaan sesuatu bangunan atau premis yang hendak digunakan untuk perkhidmatan taska. Berikut garis panduannya:
(a) bangunan atau premis taska di tempat kerja, komuniti dan institusi perlu memenuhi syarat undang-undang, peraturan dan undang-undang pihak berkuasa yang berkaitan.
(b) Pengusaha taska di rumah mesti menjalankan operasinya di rumah sendiri.
(c) Premis taska di rumah perlu memenuhi syarat undang-undang, peraturan dan undang-undang yang berkaitan.
(d) Bangunan atau premis yang digunakan sebagai taska perlu sistem pengudaraan yang mesra kanak-kanak dan sistem pencahayaan yang baik.

Wednesday, February 2, 2011

Hak Kanak-Kanak

Kanak-kanak di taska adalah berhak mendapat penjagaan yang sempurna mengikut keperluan kanak-kanak. Pihak yang terlibat di taska termasuk pengusaha, pengurus, penyelia, pengasuh, pengasuh berdaftar dan pekerja di taska tempat kerja, komuniti dan rumah perlu memastikan kanak-kanak mendapat perhatian yang berikut:
(a) mendapat jagaan di taska mengikut pengurusan yang sepatutnya.
(b) kesihatan kanak-kanak di tahap yang sesuai.
(c) memastikan kanak-kanak kemas, bersih dan kelihatan baik.
(d) memberi perhatian kepada perkembangan, kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak.
(e) aktiviti atau program yang dijalankan adalah sesuai dengan tahap umur dan perkembangan kanak-kanak.
(f) peralatan dan kemudahan disediakan untuk kanak-kanak hendaklah sesuai dengan aktiviti dan tahap perkembangan kanak-kanak.
(g) membuat persediaan untuk kemudahan dan peluang membolehkan kanak-kanak membina secara menyeluruh sama ada fizikal, mental, kerohanian dan sosial dalam keadaan persekitaran yang kondusif, sihat dan bersih.
(h) kanak-kanak diberi masa rehat secukupnya.
(i) persekitaran kanak-kanak di taska perlu mesra dan sesuai dengan tahap perkembangannya.
(j) premis dan semua peralatan kanak-kanak di taska dalam keadaan sempurna.

Tuesday, February 1, 2011

Ibu Bapa Atau Penjaga Memaklumkan Kepada TASKA

Ibu bapa atau penjaga hendaklah dengan segera memberitahu sebarang kecederaan atau disyaki telah dianiaya semasa kanak-kanak di taska kepada:
(a) pengurus atau penyelia taska tempat kerja atau komuniti.
(b) pengusaha dan penyelia taska di institusi.
(c) pengusaha taska di rumah.

Pengusaha atau penyelia hendaklah menyediakan penjelasan kepada ibu bapa atau penjaga kanak-kanak terhadap kecederaan atau peaniayaan atau sebarang keraguan daripada penjagaan di taska.