Saturday, July 31, 2010

Mengajar Membaca dan Menulis Di Taska?

Pengalaman lisan, membaca dan menulis adalah bebeza pada setiap kanak-kanak. Di rumah dan persekitaran taska, kanak-kanak mendapat berbagai sumber yang berbeza, jenis dan tahap membantu pembacaan dan penulisan di peringkat awal. Ada kanak-kanak yang sedia ada mendapat kemudahan bahan menulis dan membaca manakala kanak-kanak lain tidak berpeluang. Terdapat juga kanak-kanak yang memerhati ibu bapanya menulis dan membaca setiap masa, manakala yang lain tidak berlaku. Ada juga kanak-kanak yang menerima arahan sementara yang lain hanya secara bimbingan informal sahaja.

Apakah pendekatan mengajar membaca dan menulis yang paling berkesan untuk semua kanak-kanak? Sebenarnya tidak ada satu pendekatan pun yang dianggap paling sesuai untuk mengajar semua kanak-kanak. Guru yang baik akan menggunakan berbagai strategi yang boleh mempelbagaikan pendekatan pengajarannya kepada kanak-kanak. Arahan guru yang baik adalah bersesuaian untuk kanak-kanak yang sedia mengetahui dan boleh melakukannya, menyediakan pengetahuan, kemahiran dan menanam sikap pembelajaran sepanjang hayat. Kanak-kanak bukan sahaja perlu belajar teknik kemahiran membaca dan menulis tetapi juga perlu tahu menggunakan teknik kemahiran itu sebagai alat untuk meningkatkan pemikiran dan penjelasannya.

Thursday, July 29, 2010

Mengekalkan Keselamatan Luar Bangunan



Keadaan selamat, terjamin dan bertanggungjawab merupakan faktor untuk mengekalkan kualiti persekitaran luar taman permainan kanak-kanak di luar bangunan. Matlamat keselamatan perlu seimbang dengan matlamat menyediakan dorongan dan cabaran perkembangan kanak-kanak dan mainan. Orang dewasa secara idealnya merancang langkah mengelakkan kemalangan di samping membenarkan risiko untuk mengamalkan amalan yang bersesuaian dengan kanak-kanak. Contohnya membenarkan kanak-kanak memanjat adalah kebaikan untuk motor kasar. Disebalik amalan yang bersesuaian berkemunkinan berlaku kemalangan 'terjatuh' jika tidak ada yang menyelia aktiviti memanjat.

Pendekatan proaktif langkah untuk menggelakkan kemalangan. Antara strategi proaktif:
1. Menilai dan melaporkan tempat yang mengancam keselamatan
2. Merancang sistem koordinasi untuk penyeliaan orang dewasa
3. Merancang program kesediaan pertolongan cemas (first aid) di kalangan kanak-kanak dan orang dewasa (termasuk latihan dalam CPR, pertolongan cemas, langkah menggelakkan kemalangan)
4. Menggalakkan komunikasi antara ibu bapa, profesional kanak-kanak dan mereka yang berkaitan
5. Membina perancangan keselamatan kawasan luar bangunan

Mungkin pembaca ada pandangan dan pengalaman untuk dikongsikan bersama dan sama-sama kita berbincang.

Wednesday, July 28, 2010

Adakah Kawasan Permainan Luar Anda Selamat?

Merancang kawasan permainan luar sama pentingnya seperti membina kurikulum. Perancangan permainan luar yang selamat melibatkan analisis ciri-ciri tapak permainan luar. Perkara penting perlu dilihat dalam membina dan menyelenggara tapak permainan luar ialah penilaian tanah, permukaan aliran air, kepentingan kedudukannya, dapat dilihat, kemudahan keluar masuk.

Keselamatan persekitaran tapak permain luar hendaklah dilihat berdasarkan ciri-ciri berikut:
1. Kemudahan pengguna
2. Cabaran yang selamat
3. Kepelbagaian dan kejelasan
4. Cabaran yang teratur
5. Keanjalan pilihan

Mungkin ada ciri lain atau pengalaman yang boleh anda kongsikan bersama pembaca.

Tuesday, July 27, 2010

Pertolongan Cemas: Persediaan dan Kesediaannya

Persediaan 'Pertolongan Cemas'(First Aid) adalah wajib dan sering dinyatakan dalam syarat menubuhkan taska dan tadika. Latihan pertolongan cemas dan aktiviti latihan keselamatan yang kemungkinan berlaku seperti kebakaran sepatutnya dilakukan sebagai kesediaan kanak-kanak menghadapinya. Ibu bapa, guru, profesional kanak-kanak (pengasuh) perlu bertanya kepada diri sendiri tentang persoalan untuk memastikan kesediaan 'Pertolongan Cemas'. Berikut antara persoalan kesediaan yang perlu ditanya:

1. Adakah peralatan pertolongan cemas telah dilengkapi? Ditukar mengikut jadual dan bersistematik? Ditempatkan yang mudah diperolehi?

2. Adakah semua kakitangan (staff) dan kanak-kanak dilatih rutin keselamatan? Adakah rutin itu diulangkaji secara berkala? Adakah sentiasa dikemaskinikan?

3. Adakah mereka yang berkelayakan 'Pertolongan Cemas dan CPR' berada di premis setiap waktu? Adakah latihannya di kemaskini?

4. Adakah kakitangan berbincang dengan kanak-kanak setelah kemalangan berlaku untuk mendapatkan maklum balas dan melupakan peristiwa kemalangan supaya dapat bertenang?

5. Adakah komuniti dan sumber program yang menyediakan maklumat keselamatan kepada orang dewasa melibatkan kanak-kanak dalam programnya?

Mungkin pembaca boleh menambahkan persoalan untuk memberi kesedaran kepentingan keselamatan.

Monday, July 26, 2010

Pertolongan Cemas di Taska dan Tadika?



Mereka yang terlibat dengan perkhidmatan pendidikan awal kanak-kanak sewajarnya perlu mendapat latihan dalam 'Pertolongan Cemas' (First Aid). Keperluan ini jangan ambil mudah khususnya kepada mereka yang terlibat dengan bayi dan tatih. Banyak kemalangan berlaku hingga membawa kematian yang tidak diduga seperti yang pernah disiarkan menerusi suratkhabar. Langkah yang sewajarnya adalah melengkapkan diri dengan pengetahuan asas pertolongan cemas untuk mengelakkan kemalangan di taska mahupun di tadika. Pengalaman saya semasa melanjutkan pengajian di luar negara diwajibkan mendapatkan pengetahuan asas pertolongan cemas untuk menjalankan amali (latihan mengajar) di institusi pendidikan awal kanak-kanak. Dua perkara wajib dipelajari iaitu 'Infant and Child CPR' dan 'Community First Aid and Safety'.

Bersetujukah anda mewajibkan mereka yang terlibat dengan program pendidikan awal kanak-kanak (taska dan tadika) perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan 'Pertolongan Cemas' menerusi badan yang diiktiraf?

Sunday, July 25, 2010

Abjad: Diajar atau Tidak Diajar?

Pandangan ahli akademik pendidikan awal kanak-kanak terhadap pengajaran abjad atau huruf dalam bentuk kertas tugasan atau buku kerja dan apa jua jenis pengajaran formal kepada kanak-kanak di taska tidak memberi kebaikan. Ia tidak menjadi sesuatu yang berkaitan dengan kanak-kanak dan selalunya memerlukan pengkhususan kepada jawapan yang betul. Tambahan pula kertas tugasan menggalakkan kanak-kanak mengikut arahan secara pasif bukan berfikir secara kreatif. Itulah sebabnya pembelajaran abjad berbentuk arahan tidak disarankan.

Walau bagaimana pun tidak menjadi kesalahan abjad atau huruf dalam pembelajaran kanak-kanak asalkan disampaikan dengan cara yang betul dan bersesuaian. Sebenarnya kanak-kanak telah pun terdedah dengan abad oleh ibu bapa dan televisyen. Penerokaan abjad dalam program di taska dapat membantu kanak-kanak yang tidak berpeluang melihat penggunaan abjad di rumah.

Peranan profesional (pengasuh/guru) di taska membantu kanak-kanak membiasakan huruf mengikut perkembangan yang bersesuaian dengan kanak-kanak. Keutamaan memastikan aktiviti dan bahan yang digunakan menjadikan tumpuan kanak-kanak aktif, meningkatkan minat dan memberi peluang pilihan bukan sebagai kemestian untuk dilakukan.

Berikut adalah antara cadangan memperkenalkan abjad:

1. Mempamerkan perkataan abjad di dinding bersama dengan tulisan kanak-kanak dan lukisan kanak-kanak.

2. Menyanyikan lagu abjad di dalam kumpulan.

3. Bina kad perkataan untuk digunakan oleh kanak-kanak dalam aktiviti terbuka (open-ended).

4. Tambahkan objek seperti perkataan dan puzzle berbentuk perkataan di ruang manipulatif.

5. Sediakan pelbagai bahan seperti tanah liat (clay), bijirin atau bahan lain yang sesuai untuk memberi peluang kanak-kanak membina dan membentuk huruf dalam tiga dimensi.

Terdapat banyak aktiviti yang boleh difikirkan sesuai dengan perkembangan kanak-kanak. Mungkin pembaca boleh mencadangkannya supaya dapat dikongsikan bersama.

Saturday, July 24, 2010

Apa yang kanak-kanak tulis?

Apabila memerhatikan bayi, tatih, kanak-kanak di taska dan tadika memegang pensil atau krayon mereka didapati suka menulis. Keinginan menulis mungkin digambarkan dalam bentuk lakaran atau garisan. Kanak-kanak ini sebenarnya bereksperimen dengan penulisan, membina minat dan kemahiran membaca. Apabila kanak-kanak melakar adalah merupakan latihan menulis huruf atau mencipta ejaan. Kanak-kanak ini membuat penemuan dan mempelajari kemahiran baru dan menggabungkan keupayaan awalnya dengan kecekapan bentuk baru. Kunci utama untuk memupuk minat menulis adalah menerima dan menggalakkan apa jua bentuk eksperimen awal kanak-kanak yang ditunjukkan menerusi bentuk lakaran.

Cara memupuk menulis di kalangan kanak-kanak antaranya:

1. Kekalkan interaksi menulis yang mudah, menyeronokkan dan membuat penemuan.Mengajar terus untuk menulis sebenarnya kurang berkesan bahkan akan mengganggu kemahiran atau menghilangkan minat.

2. Sediakan kemudahan kertas, pensil, 'marker'. warna, krayon, buku dan lain-lain bahan yang sesuai.

3. Perhatikan kanak-kanak semasa menulis dan meminta kanak-kanak memberitahu apa yang ditulisnya.

4. Pamerkan hasil tulisan kanak-kanak dan beri peluang untuk mereka berkongsi hasil kerjanya dengan rakan-rakan.

Perkembangan penulisan kanak-kanak biasanya boleh dijangka bentuknya. Walau bagaimana pun perlu diingat setiap kanak-kanak berkembang mengikut tahapnya sendiri.

Friday, July 23, 2010

Proses Kreativiti Kanak-Kanak

Paul Torrance (1970) dalam kajiannya tentang proses kreativiti mengenalpasti empat ciri kreativiti iaitu:
1. Kelancaran
2. Keanjalan
3. Keaslian
4. Penjelasan

Tumpuan utama kreativiti dalam program pendidikan awal kanak-kanak ialah proses bukan penghasilannya. Kita perlu melihat bagaimana kanak-kanak menggunakan bahan, kanak-kanak meluahkan keaslian ideanya dengan lancar dan menerangkan keaslian ideanya. Aktiviti yang anjal (flexible) memberi ruang untuk kanak-kanak meneroka dan bereksperimen. Menjelaskan idea dengan menambah pelbagai bahan dan warna jika melakukan aktiviti mewarna.

Thursday, July 22, 2010

Amalan Yang Bersesuaian Untuk Kanak-Kanak?

Apakah sari (inti) amalan yang bersesuaian (developmentally appropriate)? Profesional kanak-kanak perlu menghayati maksud amalan yang bersesuaian. Terdapat tiga prinsip amalan bersesuaian yang dapat diperjelaskan iaitu:
1. Amalan yang bersesuaian bermaksud mengambilkira tentang bagaimana perkembangan kanak-kanak, belajar dan berpadanan dengan kandungan dan strategi yang dirancang untuk kanak-kanak dalam program pendidikan awal kanak-kanak.

2. Amalan yang bersesuaian bermaksud melayani kanak-kanak sebagai individu bukan sebagai sekumpulan kanak-kanak.

3. Amalan yang bersesuaian bermaksud melayani kanak-kanak dengan mengetahui terhadap - mengenalpasti perubahan keupayaan kanak-kanak dan berkeyakinan dengan keupayaan kanak-kanak untuk dibina dan kanak-kanak berupaya boleh belajar.

Rumusannya dengan perkataan mudah, kita mesti mulakan berfikir tentang apa yang kanak-kanak suka dikuti dengan membina aktiviti, rutin dan harapan (expectation) yang boleh memenuhi keperluan ciri-ciri yang dinyatakan di atas.

Ciri Kanak-Kanak
Kanak-kanak yang aktif belajar

Amalan Guru(Profesional Kanak-Kanak)
Menyediakan peluang kepada kanak-kanak untuk aktitivi motor kasar setiap hari termasuk waktu pemilihan bebas (sama ada aktiviti dan peralatan) setiap hari dan kanak-kanak diberi kebebasan.
Bina jadual berbentuk senyap, masa tidak aktif diikuti masa aktif yang panjang.
__________________________________________________________________
Ciri Kanak-Kanak
Kanak-kanak ingin tahu

Amalan Guru (Profesional Kanak-Kanak)
Bina aktiviti berdasarkan minat kanak-kanak.
Sediakan pelbagai peluang aktiviti untuk kanak-kanak meneroka bahan dan konsep.
Menggalakkan kanak-kanak menyatakan masalah dan mencari penyelesaian.
___________________________________________________________________
Ciri Kanak-Kanak
Kanak-kanak suka bermain-main (playful)

Amalan Guru(Profesional Kanak-Kanak)
Mengabungjalinkan main sepanjang hari
Menyediakan pelbagai props dan lain objek manipulatif.
Menggalakkan kanak-kanak untuk membina dan menggunakan idea sendiri semasa bermain.
Bina rekabentuk bilik darjah dan jadual yang membolehkan kanak-kanak bergerak bebas.
Pantau dan tingkatkan mutu mainan kanak-kanak sebagai pemerhati atau terlibat sama
Menilai bunyi dan tahap aktiviti program dari segi mutu permainan kanak-kanak - kenalpasti permainan yang berkualiti selalunya bising dan aktif.

Bagaimana amalan anda apabila berhadapan dengan kanak-kanak? Mungkin boleh dikongsikan dengan pembaca.

Wednesday, July 21, 2010

Persekitaran Yang Mengalakkan Komunikasi

Matlamat asas susunan persekitaran adalah untuk meningkatkan minat kanak-kanak dalam keadaan suasana untuk berkomunikasi. Persekitaran diurus dan disusun untuk menggalakkan permintaan dan pandangan/pendapat yang diberikan kanak-kanak dan membantu pengajaran bahasa oleh profesional kanak-kanak. Langkah menggunakan persekitaran untuk menggalakkan berbahasa antaranya adalah seperti berikut:
1. Tumpuan pada membina bahasa sebagai sebahagian rutin kanak-kanak.
2. Menyediakan kemudahan pada bahan dan aktiviti yang menarik.
3. Kesediaan orang dewasa dan rakan sekerja sebagai model yang boleh menggalakkan kanak-kanak menggunakan bahasa dan bertindakbalas pada percubaan yang dilakukan seterusnya.
4. Menyediakan pelbagai strategi yang berkaitan antara kemudahan kepada peralatan atau bimbingan dan menggunakan bahasa.

Perkara di atas adalah antara cadangan dan anda mungkin ada pengalaman yang boleh dikongsikan bersama pembaca blog ini.

UNIRAZAK & Cairo University


Pada 13 Julai 2010 yang lalu University Tun Abdul Razak dan University Cairo telah menandatangani perjanjian persefahaman. Pihak University Tun Abdil Razak diwakili oleh Prof Datuk Dr. Md. Zabid Haji Abdul Rashid (President & Vice Cancellor University Tun Abdul Razak) dan Cairo University diwakili oleh Prof Dr Adel Zaid (Vice President Education & Student Affairs Cairo University).

Prof, Madya Dr Bustam Kamri Dekan College for Open Learning, University Tun Abdul Razak sebagai saksi perjanjian tersebut. Manakala saksi daripada Cairo University diwakili oleh Prof Dr Awad Abbas Ragab (Manager Director, Cairo University Open Learning Center). Diharapkan kerjasama ini dapat memberi peluang kepada pelajar-pelajar di sekolah aliran agama dan bahasa Arab melanjutkan pengajian di tanahair tanpa berbelanja ke luar negara.

Tuesday, July 20, 2010

Bagaimana Perkataan dan Tindakan Membentuk Tingkahlaku?

Selalu terdengar rungutan profesional kanak-kanak (pengasuh) menghadapi kesukaran untuk berinteraksi dengan kanak-kanak di taska. Perkataan (speech) dan tindakan (action) boleh digunakan disamping menambahkan pengalaman kanak-kanak. Kejayaan teknik ini bergantung kepada hubungan yang dibina pada setiap kanak-kanak. Selain daripada itu memerlukan masa membina kefahaman. Apabila menggunakan perkataan hendaklah bersesuaian dengan tindakan khususnya dalam keadaan yang belum menjadi kebiasaan kepada kanak-kanak.

Berikut adalah panduan perkataan dan tindakan awal dalam keadaan yang belum menjadi kebiasaan kepada kanak-kanak:

Menggunakan perkataan
1. Menyatakan cadangan atau arahan secara positif bukan dalam bentuk negatif
2. Beri satu pilihan sahaja apabila anda bersedia meletakkan pilihan kepada kanak-kanak
3. Gunakan suara anda sebagai alat mengajar. Nada dan suara anda perlu membantu
kanak-kanak merasa yakin dan boleh dipercayai
4. Elakkan cuba mengubah tingkahlaku menerusi kaedah yang membawa kepada kurang
dihormati seperti memalukan atau melebel tingkahlaku nakal atau tamak
5. Elakkan memberi dorongan/galakkan dengan membandingkan antara seorang kanak-kanak
dengan kanak-kanak lain atau menggalakkan pertandingan
6. Mengubah haluan kanak-kanak dengan memberi cadangan aktiviti yang berkaitan dengan
tujuan atau minat apabila berpeluang melakukannya
7. Beri arahan atau cadangan pada masa yang paling berkesan

Menggunakan tindakan
1. Elakkan membuat model pada sebarang bentuk seni/seni lukis untuk ditiru oleh
kanak-kanak
2. Beri bantuan seminima mungkin kepada kanak-kanak. Keadaan ini memberi peluang
berdikari. Beri bantuan jika diperlukan sahaja
3. Buat aahan yang berkesan dengan memberi penekanan jika perlu
4. Belajar untuk kesedaran dan mencegah bukan untuk menyelesaikannya apabila menghadapi
kesukaran
5. Menyatakan sejelasnya sempadan/batasan dan sentiasa mengekalkannya
6. Sentiasa peka dengan keadaan keseluruhan. Gunakan kedudukan paling strategi semasa
membimbing
7. Sentiasa jadikan keutamaan kepada kesihatan dan keselamatan
8. Tingkatkan kepekaan anda dengan memerhati dan mengambil catatan

Anda boleh memberi cadangan dan berkongsi pengalaman untuk pembaca di blog ini.

Monday, July 19, 2010

Apakah Ciri-Ciri Program Yang Berkualiti?

Prgram kanak-kanak di taska perlu ditentukan kualitinya sebelum anda menghantar anak untuk mendapat perkhidmatannya. Intitusi kanak-kanak (taska) ini boleh dianggap sebagai makmal untuk membina hubungan insan dan pembelajaran. Keperluan kanak-kanak semestinya menjadi keutamaan yang dititikberatkan oleh pengusaha yang memberi perkhidmatan. Walaupun setiap institusi perkhidmatan kelihatan berbeza dari segi fizikalnya dan program yang ditawarkan, secara universalnya kelihatan ketara dari segi kualiti latar (setting) untuk memberi peluang kanak-kanak:
a. bermain dengan kanak-kanak lain
b. manipulasi objek dan peralatan
c. penemuan apa yang boleh berfungsi
d. membuat kesilapan
e. berimaginasi dan mencipta

Program perlu dirancang dengan idea tersebut di atas. Program seperti ini kanak-kanak jarang melakukan perkara yang sama dalam satu waktu. Main adalah landasan untuk pembelajaran yang memberi pelbagai pengalaman. Persekitaran dirancang untuk membantu keperluan perkembangan kanak-kanak menerusi bahan dan peralatan mengikut kesesuaian ruang dan masa.

Sunday, July 18, 2010

Adakah Emosi Menjadi Penghalang Pembelajaran?

Kemungkinan penghalang pembelajaran kanak-kanak disebabkan perasaan takut sehinggakan membawa ke dalam situasi pembelajaran. Perasaan takut membuat salah merupakan perkara biasa. Ketakutan membuat salah akan menghalang kanak-kanak daripada berani menghadapi risiko.

Sikap kanak-kanak terhadap orang yang berkuasa seperti guru, profesional (pengasuh) boleh menghalang dalam pembelajaran. Jika kanak-kanak ini berterusan menentang orang yang berkuasa, penghalang pembelajaran tidak dapat dielakkan kerana kanak-kanak ini sentiasa menjadikan orang yang berkuasa sebagai ukuran dan disiplin dalam situasi pembelajaran. Kanak-kanak perlu mengatasi perasaannya terhadap pihak berkuasa sebelum bebas belajar jika tidak akan berlaku sebaliknya (maksud ukuran dan disiplin). Kanak-kanak akan membanding beza pelbagai perkara menyebabkan mengurangkan minat belajar.

Pembelajaran pendekatan kognitif adalah yang terbaik untuk mengatasi keadaan konflik penghalang pembelajaran. Pendekatan kognitif terdapat unsur kejutan, ketidaktentuan jawapan yang pelbagai boleh diterima bagi mengelakkan unsur konflik. Peranan guru cuba membantu kanak-kanak daripada perkara yang menghalang pembelajaran.

Saturday, July 17, 2010

Ciri Pemikir yang Baik

Kanak-kanak boleh dikenalpasti kebolehannya berfikir dengan baik dapat dilihat menerusi ciri-ciri berikut:
1. Merasa berkeyakinan diri.
2. Keupayaan memberi tumpuan dan perhatian.
3. Melakukan jangkaan dan perancangan.
4. Menggunakan imaginasi.
5. Berupaya memperkatakan pemikirannya.

Bagaimana pandangan anda untuk dikongsikan bersama?

Tidur untuk Kanak-Kanak Tatih di Taska

Masa tidur adalah digalakkan kepada kanak-kanak tatih (antara 2 tahun hingga 3 tahun) di taska. Profesional di taska hendaklah menyediakan waktu tidur dalam program sehari. Kanak-kanak ini perlu berehat untuk cergas semula. Berikut adalah antara panduan yang boleh diikut untuk membantu profesional (pengasuh) menidurkan kanak-kanak tatih:
1. Sediakan persekitaran yang kelihatan seperti tiada sebarang gangguan kepada kanak-kanak yang memerlukannya. Ada kanak-kanak yang mudah tidur jika berdekatan dengan kanak-kanak lain.

2. Sediakan suasana senyap, tenang dan aman. Ada program yang menggunakan muzik untuk membantu kanak-kanak tidur.

3. Pastikan semua kanak-kanak mendapat udara yang segar dan beriadah (exercise). Keadaan penat menjadi pendorong untuk lelap.

4. Jangan biarkan kanak-kanak terlalu kepenatan dan keletihan. Terdapat kanak-kanak yang sukar untuk tidur apabila terlalu penat dan keletihan.

Mungkin anda ada pandangan, pendapat dan pengalaman lain untuk dikongsikan bersama.

Teater Kopi Kopi di Petronas Gallery


Pada Sabtu 17 Julai 2010 jam 10 pagi hingga 11.30 pagi bertempat di Petronas Gallery saya berkesempatan datang sebentar untuk melihat persembahan teater kanak-kanak Kumpulan Kopi Kopi. Kesanggupan dan kesungguhan kumpulan ini patut diberi pujian. Difahamkan kumpulan ini masih baru. Semangat untuk memberi galakkan saya sanggup meluangkan masa demi rakan (Yusof) dan sememangnya telah lama tidak melihat teater kanak-kanak generasi baru.

Secara ikhlas pada pandangan saya sememangnya banyak perkara tentang seni persembahan teater kanak-kanak perlu dipelajari oleh kumpulan ini. Anggota kumpulan ini perlu memahami aspek teater bercerita dan teater membaca. Diharap setiap anggota kumpulan perlu banyak mebaca buku cerita kanak-kanak sebelum memilih cerita untuk dipersembahkan kepada kanak-kanak. Kita tidak boleh mengubahsuai secara sembarangan atau semberono tanpa mengetahui jalan cerita yang sebenarnya.Dialog dan aksi pelakon yang membawa watak cerita hendaklah sesuai dengan khalayaknya. Faktor tahap bahasa perlu diberi perhatian.Persembahan boneka juga masih banyak yang perlu dipelajari. Latihan yang lebih serius diperlukan.

Harapan saya ahli kumpulan ini dapat membaca bahan berkaitan teater kanak-kanak, sastera kanak-kanak dan menerima pandangan ikhlas saya dan jangan berputus asa. Sejujurnya saya memberi pandangan berdasarkan pengalaman dan penglibatan saya dalam persembahan teater kanak-kanak sewaktu saya dan Yusof serta rakan-rakan lain yang terlibat bersama dengan Teater ABROS dahulu.

Friday, July 16, 2010

Permasalahan Kurikulum Tatih?

Tatih adalah kanak-kanak antara 2 tahun hingga 3 tahun. Selalunya pengusaha perkhidmatan kanak-kanak menawarkan kurikulum ini dengan menggunakan model kurikulum untuk kanak-kanak berusia 4 tahun. Jika merujuk buku-buku terbitan USA dikenali sebagai 'preschool' program setengah hari. Kanak-kanak tatih datang beberapa jam sebelah pagi dan mengikuti beberapa aktiviti yang dirancang untuk pembelajaran. Selalunya aktiviti pembelajaran itu hanya sesuai untuk kanak-kanak lebih berusia daripada tatih. Keadaan ini menyebabkan orang dewasa kecewa dengan apa yang dihasilkan oleh kanak-kanak tatih.

Apabila kanak-kanak tatih disogokan dengan kurikulum 'preschool' adalah tidak adil memandangkan kanak-kanak ini belum berupaya menguasai kemahiran dan harapan orang dewasa. Contohnya apabila disuruh melukis, kanak-kanak ini menconteng dirinya sedangkan sepatutnya di atas kertas. Kanak-kanak ini menggunting bajunya, sepatutnya menggunting kertas.

Isu kurikulum tatih ini telah dibincangkan sebelum ini iaitu kurikulum pendidikan untuk bayi dan tatih. Mungkin pembaca ada pandangan dan pengalaman untuk dikongsikan.

Thursday, July 15, 2010

Lawatan Delegasi Cairo University

Pada tanggal 14 Julai 2010 hari Rabu saya membawa rombongan yang mewakili Cairo University melawat ke pejabat Dato' Asariah binti Mior Shaharudin Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Bahagian Pendidikan Guru). Delegasi dari Cairo University ialah Prof Dr Adel Zaid Timbalan Presiden Cairo University (berdiri 2 dari kiri) dan Prof Dr Awad Abbas Ragab Pengurus Cairo University Open Education Center (berdiri 2 dari kanan) diiringi Amin Sabry Abdel Meguid (berdiri 1 dari kiri) Minister Plenipotentiary for Economic and Commercial Affairs. Saya berdiri paling kiri sebelah Prof Dr Awad Abbas Ragab.

Lawatan tersebut sebagai kunjungan hormat ke Kementerian Pelajaran Malaysia setelah menanda tangani MOU dengan Unirazak-Cairo University untuk program Pengajian bahasa Arab dan program-progam lain pada 13 Julai 2010.


Rombongan tersebut juga telah diberi taklimat oleh Dr Haji Zahri bin Aziz (gambar sebelah) Pengarah Bahagian Pendidikan Guru. Terima kasih kepada pihak Bahagian Pendidikan Guru yang memberi cenderamata sempena lawatan tersebut.

Apakah itu Kurikulum Pendidikan Bayi dan Tatih?

Program pengasuhan untuk dijadikan pendidikan perlu ada kurikulum. Apakah itu kurikulum? Sebenarnya mudah kita mengatakan apa yang tidak daripada apa yang sebenarnya. Kurikulum bukan sekadar sebuah buku rancangan mengajar atau aktiviti harian, bulanan atau tahunan. Kurikulum bukan suatu pakej poster, buku, mainan dan peralatan yang selaras dengan tema bulanan. Kurikulum bukan dalam bentuk borang untuk diisi tentang perkara yang berlaku setiap hari atau sesi yang berhubung dengan setiap perkembangan domain. Sebenarnya kurikulum lebih komplek daripada apa yang tersebut di atas.

Secara mudah kurikulum boleh didefinisikan sebagai perancangan untuk pembelajaran. Walau bagaimana pun untuk memahami tentang maksud program bayi dan tatih mengambil masa penjelasan berbagai aspek yang berkaitan bayi dan tatih. Kurikulum tidak perlu dalam bentuk penulisan, dilabel atau diperkatakan tentangnya. Kurikulum adalah program yang dirancang untuk pembelajaran yang bersesuaian dengan kumpulan umur (di Malaysia lahir hingga bawah 4 tahun), latihan profesional kanak-kanak (pengasuh) untuk mendapatkan kemahiran memahami perkembangan dan perkembangan yang berlainan, budaya dan berbagai kelainan budaya.

Program yang melibatkan kurikulum bergantung kepada profesional (pengasuh) yang berkemampuan untuk memerhati bayi dan tatih dari masa ke semasa dan sepanjang masa supaya dapat bertindakbalas mengikut yang sepatutnya. Profesional (pengasuh) berupaya untuk bertindakbalas apa yang dilihat dan merancang persekitaran dan pengalaman untuk disesuaikan kepada kanak-kanak. Profesional boleh menyesuaikan persekitaran dan pengalaman untuk membina perkembangan kanak-kanak. Selain daripada itu profesional (pengasuh) boleh menjelaskan maklumat kepada ibu bapa dan keluarga terhadap perkembangan anaknya.

Wednesday, July 14, 2010

Matlamat: Bergantung Lawan Berdikari

Matlamat utama orang dewasa ialah kanak-kanak boleh berdikari dan berkeinginan untuk belajar sendiri semasa di taska. Dalam menjayakan matalamat ini, profesional (pengasuh) hendaklah merancang dengan teliti persekitaran fizikal. Menyediakan peralatan terbuka yang dapat meningkatkan lagi perkembangan kognitif. Amalan menyediakan peralatan terbuka dapat meningkatkan perkembangan sosial dan emosi memandangkan kanak-kanak boleh memilih peralatan yang diperlukannya untuk digunakan. Peralatan itu juga mudah dikemas setelah digunakan. Mengubahsuai sinki bagi memudahkan kanak-kanak membasuh tangan juga dapat menggalakkan kanak-kanak berdikari.

Tuesday, July 13, 2010

Peralatan: Objek Sebenar Lawan Peralatan Terbuka

Penyediaan peralatan di taska adalah penting dan perlu di sesuaikan mengikut tahap usia. Peralatan yang disediakan hendaklah dan sudah biasa untuk menarik perhatian dan mengekalkan tumpuannya. Apabila kanak-kanak tertumpu dengan peralatan dan ideanya, maka berkurangan peluang melakukan tingkahlaku atau perlakuan yang tidak terkawal. Ini memberi peluang kepada guru dari membimbing tingkahlaku kepada bimbingan pembelajaran.

Kanak-kanak di peringkat bayi dan tatih belajar menggunakan objek sebagai alat untuk menyatakan pemikiran dan teori tentang bagaimana dunia persekitarannya berfungsi. Oleh itu dengan menyediakan peralatan yang seimbang iaitu objek sebenar dan terbuka dapat mengggalakkan perkembangan kognitif.

Peralatan sebenar disediakan dalam bentuk saiz kanak-kanak seperti cawan, gelas dan sudu yang digunakan semasa makan. Tujuan penggunaan peralatan sebenar untuk membina keyakinan dan keupayaan menjaga objek, dan menghubungkan persekitaran di rumah dan di taska.

Peralatan terbuka digunakan bertujuan untuk mengembangkan kefahaman kanak-kanak terhadap konsep dan membantu membina kreativiti menggunakan peralatan. Contoh peralatan terbuka seperti kain, kotak telur, dan bongkah kayu.

Bagaimana pendapat dan pandangan anda?

Monday, July 12, 2010

Pendekatan 3M: Bayi dan Tatih

Berbagai cara untuk berinteraksi dengan bayi dan tatih semasa profesional perkhidmatan kanak-kanak di taska. Salah satu pendekatan interaksi bayi dan tatih ialah 3M (Menghormati, Membalas dan Menyilang). Semasa berinteraksi dengan kanak-kanak hendaklah menghormati akan perkembangan kanak-kanak mengikut tahap kemahirannya dan usia, sensitif dengan memberi tindakbalas terhadap tingkahlaku yang bersesuaian mengikut domain perkembangan kanak-kanak, dan saling berbalas terhadap tingkahlaku yang positif untuk memupuk keyakinan diri kanak-kanak.

Pendekatan interaksi ini kebanyakannya tidak jauh bezanya dengan pendekatan 3P yang dibincangkan sebelum ini. Matalamatnya adalah sama iaitu untuk memupuk perkembangan diri kanak-kanak secara positif. Mungkin ada lagi pendekatan interaksi kanak-kanak di peringkat bayi dan taska untuk anda kongsikan bersama.

Sunday, July 11, 2010

Pendekatan 3P: Bayi dan Tatih

Kita jarang membicarakan pendekatan mendidik di peringkat bayi dan tatih. Pendekatan untuk kanak-kanak di bawah umur 4 tahun adalah berbeza dengan kanak-kanak berumur 4 tahun ke atas. Pengasuhan kanak-kanak peringkat bayi dan tatih antaranya, lebih kepada interaksi antara profesional perkhidmatan kanak-kanak (pengasuh) meningkatkan keyakinan dan memupuk kanak-kanak untuk berdikari. Salah satu pendekatan yang diamalkan ialah 3P (perhatian, persetujuan dan penyesuaian). Penguasaan 3P ini sebagai asas kepada profesional perkhidmatan kanak-kanak untuk menjaga dan mendidik kanak-kanak. Selain daripada itu penguasaan 3P boleh dijadikan sebagai alat untuk menggalakkan suasana persekitaran yang positif dan mengekalkan hubungan emotional yang positif antara kanak-kanak dan profesional perkhidmatan kanak-kanak.

Perhatian: tingkahlaku, kemahiran, keperluan kanak-kanak dan bertindakbalas berdasarkan pemerhatian.

Persetujuan: memberi ruang kepada kanak-kanak untuk mencuba dan menyelesaikan tugasan dan membantu membuat pilihan.

Penyesuaian: melibatkan pertimbangan, kepekaan dan bertindakbalas terhadap keadaan fikiran/hati (mood), keperluan, dan minat.

Pendekatan ini hanya cadangan berdasarkan kepada pengalaman saya ketika menjalani program amali semasa belajar dahulu. Pendekatan ini boleh disesuaikan dengan keperluan di taska. Mungkin ada lagi pendekatan yang lebih baik untuk dicadangkan dan dikongsikan bersama. Selamat mencuba pendekatan 3P di taska.

Friday, July 9, 2010

Transformasi Prasekolah

Saya tertarik dengan Tranformasi Pendidikan NKRA (Utusan Jumaat 9 Julai 2010). Terus menyalin petikan rencana tersebut untuk dikongsikan bersama:

Di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) pendidikan mencapai kematangannya pada 2020 termasuk prasekolah. Prasekolah dikenalpasti menjadi salah satu tumpuan utama sub NKRA pendidikan. Indeks prestasi utama NKRA sub prasekolah adalah seperti berikut:

Meningkatkan kadar penyertaan kanak-kanak berumur (4+ dan 5+) kepada 87% menjelang 2012; serta meningkatkan kualiti pendidikan prasekolah dengan menjadikan prasekolah swasta dan agensi-agensi lain sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan. Dalam memastikan pencapaian sasaran ini, kerajaan telah menetapkan tujuh strategi utama iaitu:
* Penubuhan jawatankuasa Penyelarasan Prasekolah Kebangsaan
* Melaksanakan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan
* Menyeragamkan bantuan kepada murid prasekolah KPM, KEMAS dan JPNIN
* Meningkatkan kualiti guru dan pembantu guru
* Menambah bilangan prasekolah di kawasan miskin bandar, luar bandar dan pedalaman
* Meningkatkan perkongsian pintar kerajaan-swasta
* Mewujudkan Sistem Maklumat Prasekolah Kebangsaan

Apakah pandangan dan pendapat anda tentang tujuh strategi untuk mencapai sasaran NKRA Prasekolah?